Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Apa yang dirisaukan selama ini telah pun berlaku semalam. Perang poster dan kain rentang memang benar-benar berlaku kali ini di Kampus Induk USM sepanjang tempoh berkempen bagi memilih kepimpinan baru MPP sidang 2009/10.
Semalam, ia benar-benar menjadi medan perang apabila beberapa helai rentangtelah dikoyakkan begitu juga dengan poster-poster yang dipasang melibatkan calon-calon yang pro aspirasi. Soalnya, siapakah yang begitu tergamak melakukan provokasi tersebut?
Kain rentang calon yang dipasang di hentian bas berhadapan Pusat Budaya yang telah direnyukkan. Siapa punya angkara?
Jika dilihat kepada kedudukan semasa, calon-calon Pro Mahasiswa jelas sekali cukup tertekan khususnya bagi calon konstituensi umum mereka kerana dihimpit dengan pelbagai hujah daripada pihak pro aspirasi sewaktu sesi rapat umum semalam.
Selain itu, kedudukan mereka juga jauh tertinggal selepas gagal menghantar wakil bagi kebanyakan kerusi pusat pengajian sekali gus memberikan kemenangan mudah kepada calon yang pro aspirasi universiti.
Selesai proses penamaan calon pada hari Isnin lalu, calon-calon yang pro aspirasi universiti telah pun menang di 11 pusat pengajian termasuk 7 di Kampus Kejuruteraan, sekali gus membolehkan 24 daripada 39 kerusi dikuasai oleh pro aspirasi sebelum sesi pemilihan diadakan pada 28hb Januari ini (esok).
Sementara itu, bagi kerusi umum pula, Pro-Mahasiswa hanya menghantar lima wakil untuk bertanding di enam buah kerusi yang diperuntukkan. Persatuan Mahasiswa Islam dilihat mendominasi kem Pro-Mahasiswa apabila menghantar 3 orang calon wanitanya bagi kerusi umum bagi menentang calon-calon yang pro aspirasi universiti.
Berdasarkan kedudukan ini, maka jelas sekali Pro-Mahasiswa yang ditunjangi SPF dan PMI cukup tertekan bagi menghadapi kempen kali ini. Aspirasi Corner bukanlah hendak mempertikaikan strategi mereka kerana bagi sesetengah orang, mengoyak banner juga adalah strategi kempen, namun ia seharusnya tidak berlaku di sini.
Pada kami, ia hanya dilakukan oleh pihak yang tertekan. Adalah mustahil atau tak masuk akal untuk mendakwa pro aspirasi yang melakukan provokasi tersebut. Kebanyakan banner yang dikoyakkan melibatkan calon Cina yang pro aspirasi universiti. Jadi, siapakah yang berdendam kepada mereka ini? Mungkin SPF? Selama ini pun, SPF yang paling agresif berkempen. Tidak mustahil jika juga ia dilakukan oleh mereka.
Harapan kami, PMI bolehlah menasihati ‘sahabat’ mereka supaya mengamalkan nilai-nilai yang murni sewaktu berkempen, insya-Allah.