Monday, February 22, 2010

USM Terus Gemilang



Kampus USM di India

IPTA pertama buka cawangan di luar negara

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan pertama mengembangkan sayapnya ke luar negara dengan membuka kampus cawangannya di India.

Kampus pertamanya di luar negara itu akan ditempatkan di Jawaharlal Nehru Medical University di Belgaum, Karnataka, dan menawarkan pengajian perubatan dengan pengambilan kumpulan pertama seramai 100 pelajar, Julai depan.

Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abd Razak, berkata buat permulaan keutamaan akan diberi kepada pelajar Malaysia sebelum dibuka kepada penuntut antarabangsa.

"USM menerima pelawaan untuk membuka kampus cawangan di India, baru-baru ini dan bersetuju mengembangkan operasinya. Kampus India ini akan menggunakan sepenuhnya kurikulum bersepadu USM.

"Prasarana dan kemudahan lain termasuk asrama dan peralatan makmal akan disediakan Jawaharlal Nehru Medical University.

"Program pengajian perubatan di USM India dijangka akan mengambil masa lima tahun dengan keseluruhan yuran pengajian dijangka kira-kira RM350,000 (US$100,000)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 kepada Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Zaidon Kamari dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Mafauzy Mohamed.

Pada majlis sama, Dzulkifli turut menyampaikan anugerah kepada pemenang pertandingan Konvensyen Kualiti dan Inovasi (KIK), membabitkan 10 kategori antaranya asrama pelajar, laman web dan Makmal Diagnostik dan Analitik.

USM yang mencipta sejarah menjadi universiti awam pertama dipilih sebagai Universiti Apex pada September 2008, mensasarkan untuk disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan 50 terbaik menjelang 2020.

Dr Dzulkifli berkata, bagi menjayakan usaha itu, USM juga akan melatih beberapa pegawai dari universiti ini di sini untuk menjadi tenaga pengajar di kampus cawangan India.

"Usaha ini adalah untuk merealisasikan USM sebagai Universiti Apex sepenuhnya menjelang 2013 dan sekiranya berjaya, ia merancang mengembangkan sayapnya ke beberapa negara lain seperti Timur Tengah," katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkifli berkata, USM akan membuka satu lagi kampus cawangan di Nilai, Negeri Sembilan, tahun depan bagi menampung jumlah pelajarnya yang kini berjumlah kira-kira 30,000, di empat kampusnya sekarang.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 20,000 pelajar adalah prasiswazah, manakala 10,000 lagi pelajar pasca siswazah. Kementerian Pengajian Tinggi meminta ditambah bilangan pelajar prasiswazah kepada 30,000 dan untuk itu USM memerlukan kampus baru," katanya.

Petikan daripada Berita Harian, 22hb Februari, 2010.


Pusat rawatan tradisional Islam USM


KOTA BHARU 21 Feb. - Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah menubuhkan pusat rawatan tradisional berteraskan Islam bagi menyediakan rawatan alternatif terhadap penyakit yang tidak dapat dikesan dan diubati melalui kaedah moden dan saintifik.


Pengarah Pusat Islam USM, Prof. Madya Nasiron Mohd. Salleh berkata, pusat rawatan dikendalikan pihaknya itu di kampus Pulau Pinang sejak Januari lalu merupakan usaha memartabatkan kaedah rawatan yang masih terpinggir itu.

Katanya, banyak kes pesakit mengadu terseksa akibat kesakitan fizikal dan rohani tetapi tidak dapat diketahui puncanya.

Justeru, katanya, kaedah perubatan Islam boleh diikhtiarkan bersama rawatan moden.
"Saya jumpa ramai pengamal perubatan Islam yang beritahu sering ditohmah dengan pelbagai sindiran daripada kalangan yang sangsi dengan rawatan bukan saintifik.

"Jadi sekarang kita ambil inisiatif mengangkat dan mengembangkannya ke institusi pengajian tinggi bagi memberi imej baru dengan kaitan aspek ilmiah," ujarnya.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyakit Gangguan Jin dan Makhluk anjuran Pusat Islam Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) di Dewan Utama USM Kubang Kerian di sini semalam.

Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar, pegawai perubatan, kakitangan hospital dan orang awam hadir mengikuti seminar sehari itu.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Dr. Wan Nudri Wan Daud dan wakil Pengarah Jaheik, Mohd. Suhaimi Mohamed.

Tiga kertas kerja dibentangkan Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Selangor, Dr. Jahid Sidek Al-Khalidi dan wakil daripada Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia (Darus Syifa') cawangan Kelantan, Zaki Ya.

Nasiron berkata, pusat rawatan tradisional itu dikendalikan pegawainya sendiri dan mempunyai empat pembantu khusus dan ia akan dikembangkan di kampus USM di sini pada masa akan datang.

Katanya, walaupun pusat rawatan di kampus Pulau Pinang itu hanya dilancarkan awal Mac ini, sudah ramai yang datang mengunjungi dan mendapat rawatan di situ tidak kira kakitangan USM sendiri atau orang luar termasuk golongan atasan.

Menurut beliau, kecanggihan dalam rawatan moden mampu merawat pelbagai penyakit kronik namun ia mempunyai keterbatasan dalam merawat penyakit berkaitan rohani.

"Penyakit yang berpunca daripada gangguan halus adalah sesuatu yang nyata berlaku dalam masyarakat dan kita tidak perlu berasa malu dan mahu menyembunyikannya.

"Rawatan yang menggunakan doa dan ayat al-Quran bukan saja bertujuan menyembuhkan daripada gangguan bahkan mempunyai objektif mentarbiah agar masyarakat kembali kepada landasan agama," katanya.

Katanya, jumlah doktor dan pakar perubatan yang ramai di sini, beliau percaya pusat serupa akan lebih cepat berkembang lebih-lebih lagi dengan adanya kluster perubatan komplimentari yang membuat kajian tentangnya.

Jelasnya, sudah ada cadangan kemasukan rawatan alternatif sebagai salah satu sukatan dalam pembelajaran jurusan perubatan cuma pelaksanaannya akan mengambil masa.

"Buat masa ini, pihak universiti akan mengambil inisiatif merakam seminar seperti hari ini contohnya dan pelajar boleh mengaksesnya sebagai sebahagian proses e-pembelajaran.

"Sebenarnya ramai pakar perubatan sudah menyedari dan yakin apabila digabungkan rawatan moden dengan rawatan Islam, proses penyembuhan pesakit sebenarnya akan menjadi lebih cepat dan mujarab kerana ayat al-Quran itu sendiri adalah penyembuh," katanya.

Petikan daripada Utusan Malaysia, 22hb Februari, 2010.

Wednesday, February 10, 2010

Ish..Ish..Ish Penuh Jenaka dan Nasihat

Satu persembahan teater oleh para pelajar USM telah diadakan sempena Majlis Penjemaan Sekretariat Rukun Negara pada hari Selasa, 9hb Februari 2010 jam 3.30 petang bertempat di Dewan Budaya, Pusat Budaya USM.

Teater yang berjudul Ish..Ish..Ish.. tersebut ditulis dan diarahkan oleh aktivis teater muda USM, Saudara Khairol Azhar Abdul Jalil yang juga merupakan mantan NYDP 1 MPP USM Sidang 2007/08.


Sebahagian sekretariat yang terlibat menjayakan program julung kali ini.


Apa yang membanggakan ialah teater tersebut dipentaskan dengan jayanya oleh hampir 99% penggiat baru yang belum pernah terlibat dalam mana-mana aktiviti persembahan secara langsung sebelum ini.

Timbalan Naib Canselor BHEPP, Prof. Omar Osman yang turut menyaksikan persembahan tersebut telah melahirkan kekagumannya di atas usaha pementasan yang disifatkan beliau sebagai penting untuk masa depan seni teater di USM amnya dan negara khsusnya.


Khusyuk menonton persembahan Teater Ish..Ish..Ish..

Pada masa yang sama, sebahagian besar penonton terutamanya pelajar sekolah dari sekitar Pulau Pinang yang dijemput khas turut terhibur dengan pementasan yang diadakan. Dalam sesi soal jawab yang diadakan selepas persembahan tamat, beberapa orang pelajar telah mengambil peluang mengajukan soalan kepada krew produksi terutamanya pengarah serta pelakon utama teater tersebut.

Teater ini mengisahkan tentang sikap dan tabiat manusia khususnya masyarakat Malaysia yang sering alpa dengan perkara-perkara yang sensitif di sekeliling mereka seperti isu bahasa kebangsaan, amalan budi bahasa yang mulia, pencemaran dan sebagainya yang disampaikan secara sinis dan penuh dengan unsur jenaka.


Babak penari menarikan tarian yang berlatarkan isu pencemaran alam sekitar.


Antara babak awal teater yang menyentuh isu kemanusiaan dalam masyarakat hari ini.


Dalam pada itu, satu percubaan pementasan teater monolog solo paling lama bagi memecahkan rekod kebangsaan akan diadakan pada 20hb Februari ini bertempat di Dewan Budaya. Warga kampus dipelawa menghadiri program julung kali ini di samping memberikan sokongan kepada pelakonnya kelak.


Tuesday, February 9, 2010

MPP Buka Kaunter Dekati Mahasiswa

Mahasiswa/i USM dipelawa berkunjung ke kaunter Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang kini dibuka di foyer Dewan Kuliah M (DK M) bermula 9hb hingga 12hb Februari ini dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut Saudara Ahmad Wafi Shahedan, Yang DiPertua MPP, kaunter yang dibuka ini bertujuan mendekatkan kepimpinan baru MPP sidang 2009/10 dengan para pelajar USM. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan mendapatkan maklum balas warga kampus tentang masalah-masalah yang dihadapi melalui khidmat aduan yang disediakan.

Menurut beliau, aduan yang diterima adalah sangat penting kerana MPP boleh bertindak berdasarkan masalah-masalah yang dikemukakan mengikut kesesuaian yang ada. Ia juga akan menjadi penghubung antara MPP dan masalah kebajikan warga kampus keseluruhannya.

Menurut Ahmad Wafi lagi, MPP juga akan membuka permohonan menjadi Pembantu Exco (PE) kepada para pelajar yang berminat menyertai Sekretariat MPP USM. Melalui penyertaan ini, katanya, para pelajar berpeluang melibatkan diri secara langsung termasuk menjadi tenaga penggerak dalam pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan dari masa ke masa oleh MPP.

Selain itu, para pelajar juga berpeluang mendapatkan Buletin MPP sidang lepas secara percuma di kaunter yang dibuka ini. Buletin ini memuatkan sebahagian besar aktiviti, program dan tindakan yang telah diambil oleh kepimpinan MPP sidang lepas untuk manfaat warga kampus dan masyarakat luar.

Justeru beliau berharap kaunter yang dibuka ini akan menjadi salah satu kaedah yang berimpak tinggi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan MPP terhadap warga kampus. Beliau juga berharap para pelajar dapat memanfaatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan ini sebaik mungkin untuk kebaikan semua pihak.