Sunday, November 21, 2010

TARIKH HARI RAYA AIDILADHA - Apa kata FUQAHA

Ahli parlimen Kubang Kerian baru-baru ini mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung esok, 22 November 2010 (Isnin) bagi membincangkan isu tarikh Aidil Adha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.

Menurut pakar usul fiqh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, langkah Salahuddin itu sebenarnya lebih banyak mengundang kekeliruan di kalangan rakyat, khususnya umat Islam.

“Kalau saya boleh jumpa kawan saya itu (Salahuddin), saya harap supaya tidak dibawa ke Parlimen.

“Benda-benda semacam ini lebih baik dibawa ke forum yang lebih menjurus (khusus) supaya diselesaikan oleh orang yang benar-benar mahir, bukan Ahli Parlimen.

“Di Parlimen itu, ada orang Islam, ada orang bukan Islam, ada yang faham dan ada yang kurang faham... jadi isu ini akan digunakan oleh pihak tertentu untuk menuduh orang Islam tidak akan bersatu sampai bila-bila.

“Saya tak faham politik, saya tak faham (cara berfikir) ahli politik, saya yang bukan ahli politik, fikir lebih baik tak bawa (ke Parlimen) kerana itu lebih mengelirukan,” ujar Mahmood Zuhdi.

Nada yang sama turut disuarakan oleh penyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah.

“Kalau kita di Malaysia, kita ikut ketetapan kerajaan Malaysia, ia bukan masalah politik atau apa (sebagainya), kita tak nampak unsur yang mengacaunya (mengelirukan).

“Kalau masyarakat sudah boleh menerima ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu, tidak timbul kekeliruan itu seperti yang dianggap Salahuddin,” kata beliau.

Seorang lagi ahli fuqaha Wan Ji Wan Hussin pula berpendapat, inisiatif Salahuddin membawa isu tersebut ke Parlimen adalah wajar kerana perbahasan akan memangkin semua pihak berwajib, khususnya ulama untuk membuat satu ketetapan baru untuk kepentingan umat.

“Pada saya, Parlimen perlu mencetuskan sesuatu yang besar kerana Parlimen akan memangkin perkara yang dianggap kontroversi atau mengelirukan ini dibincangkan oleh mereka yang berkelayakan seperti ulama dan ahli fuqaha.” kata beliau.

“Macam isu kalimah Allah, yang sesetengah kita tidak bersetuju (penganut) bukan Islam menyebutnya (Allah).

“Kalau nak kira Parlimen tidak layak berbincang tetapi dengan tercetusnya isu itu di Parlimen akhirnya menjadi perhatian agamawan sehingga kita menemui keketapan baru iaitu harus bagi masyarakat bukan Islam menyebut kalimah Allah,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, tiada masalah jika isu itu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana Malaysia ada persamaan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Lagi pun, Parlimen mempunyai hak membincangkan sesuai yang menjadi kepentingan awam,” kata beliau.

Oleh itu katanya, beliau yakin bahawa usul tergempar Salahuddin itu tidak akan mengelirukan sesiapa kerana perbahasan di Parlimen akan menarik perhatian agamawan dan ilmuan untuk memainkan peranan masing-masing.

Pun begitu, Mahmood Zuhdi yang juga Timbalan Dekan di Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa memberitahu, penentuan tarikh Aidiladha di tanah air tidak wajar mengikut hari dan waktu wukuf di Arafah.

Jelas Mahmood Zuhdi, sudah memadai sekiranya ahli falak Islam tempatan menggunakan kaedah “ar-rukyah” (melihat anak bulan) dan “al-hisab” (kiraan hari dalam sebulan) untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha.

Ini kerana penetapan Aidiladha di Malaysia, mestilah mengikut al-matla” (waktu timbul) di Malaysia, bukannya mengikut al-matla” di Arab Saudi. “Sembahyang Asar sekarang pun tidak sama waktunya dengan Mekah (Arab Saudi), ertinya tidak semua waktu itu sama di seluruh dunia ini, ia dipanggil perbezaan matla”

“Dahulu pun, kita pernah ada amalan (iaitu) kita akan berhari raya sehari selepas hari wukuf, tetapi amalan itu ternyata tidak memberi kesan yang baik kerana Arab Saudi terlampau lewat mengisytiharkan ketetapannya (tarikh Hari Raya Aidiladha),” katanya lagi.

Ujar Mahmood Zuhdi lagi, sepatutnya ketetapan Hari Raya Aidiladha yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu tidak mengelirukan mana-mana pihak.

Ini kerana katanya, persidangan fiqh sedunia di Istanbul telah pun menetapkan bahawa penentuan waktu dan masa berhubung ibadat umat Islam berdasarkan al-hisab dan al-rukyah.

Luqman turut sependapat dengan Mahmood Zuhdi iaitu penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha di Malaysia tidak perlu terikat dengan ketetapan di Arab Saudi. “Kita ikut kita punya kawasan (Malaysia) sebab puasa pun kita ikut waktu tempatan, sembahyang pun kita tidak ikut Arab Saudi. Kalau diminta kita ikut Hari Arafah, sebenarnya Arab Saudi sendiri pernah mengubah hari (mengerjakan) wukufnya”



“Kalau diminta berpuasa mengikut Hari Arafah seperti yang hadis kata sekali pun, ada pendapat ulama berkata tuntutan itu di Arafah, bukan di tempat lain. Ertinya, dalam menetapkan isu Aidiladha ini sebenarnya masih bersifat dzon (sangkaan) tak kiralah kita nak ikut cara al-hisab atau ar-rukyah atau ikut (perbuatan) Arab Saudi,” ujarnya lagi.

Wan Ji pula memberikan pendapat yang berbeza dengan Mahmood Zuhdi dan Luqman dalam soal menetapkan tarikh Hari Raya Aidiadha. “Kenapa mesti dirujuk Arab Saudi? Isunya sekarang Nabi Muhammad s.a.w menyebut puasa Arafah, Nabi tak sebut puasa pada 9 Zulhijjah”.

“Apabila sebut puasa Arafah, ia perlu dirujuk pada Arab Saudi, tidak patut menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah kerana kedua-dua kaedah tersebut digunakan ketika nak menentukan hari berpuasa pada 1 Ramadan dan Aidilfitri pada 1 Syawal sahaja,” ujar Wan Ji.

Kata pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi — sebuah pertubuhan bukan kerajaan — itu lagi, pendapat tersebut berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim. “Puasa hari Arafah, aku (Nabi Muhammad s.a.w) berharap agar Allah kifarat dosa selama setahun sebelum dan setahun selepas...,” ujarnya memetik hadis ke-1979 dari kitab Sahih Muslim.

Tambah Wan Ji lagi, pendapatnya itu sebagaimana dipetik daripada Naib Presiden Majlis Fatwa dan Kajian Eropah Dr Faisal Maulawi.

“Faisal sendiri mengatakan, perbezaan pendapat itu mungkin berlaku pada melihat anak bulan Ramadan dan anak bulan Aidilfitri, tetapi jumhur (majoriti) ulama bahawasanya semua orang Islam itu berpuasa dan berbuka puasa dengan cara melihat anak bulan berdasarkan pada negeri masing-masing.

“Ada pun nisbah pada Aidiladha, tidak harus berlaku seperti itu dan tidak dilihat (menggunakan) pada al-hisab serta tidak juga melihat pada anak bulan pada negeri-negeri tertentu dalam menentukan anak bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah), tetapi perlu dilihat pada berlakunya jamaah haji secara perbuatan.

“Maka hari Arafah itu adalah hari para haji mengerjakan wukuf secara perbuatan dan tidak ada pengajaran dengan melihat anak bulan pada seluruh negara lain dengan kiraan hisab untuk menentukan Aidiladha,” ujarnya lagi.

Bagaimana pun, Wan Ji berkata Pengerusi Himpunan Ulama Muslim Sedunia Dr Yusof al-Qaradawi sendiri sebenarnya tidaklah menolak pendapat ulama yang menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah dalam menentukan tarikh Aidiladha. “Al-Qaradawi sendiri bersetuju dengan pendapat Prof Maulawi ini, cumanya al-Qaradawi mengambil sikap yang lebih toleransi dengan pendapat segelintir ulama yang bersetuju menggunakan al-rukyah dan al-hisab kerana tidak ada ijmak (kesepakatan) dalam perdebatan ini.

“Maulawi sendiri menyebut jumhur (majoriti) ulama, bukannya kesepakatan (ijmak) ulama dalam perkara ini, apabila disebut majoriti ertinya wujud minoritilah,” ujarnya.

Bagi Wan Ji, Yusof berpendapat demikian mungkin bertujuan untuk mengelak pepecahan di kalangan umat Islam dalam mengamalkan ibadat Islam kerana Islam mengajar perpaduan umat, bukannya pepecahan umat.

“Oleh kerana tidak ada kesepakatan ulama, lebih baik berlapang dada seperti Dr Yusof al-Qaradawi kerana pepecahan di kalangan umat itu lebih besar mafsadahnya (keburukan) berbanding menajamkan perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini (menentukan tarikh Aidiladha),” ujar Wan Ji.

Tuesday, November 9, 2010

Parlimen Mahasiswa: Model Politik Kampus Baru di USM


23 Oktober 2010, Majlis Perwakilan Pelajar USM telah menyegarkan semula cara berpolitik di kampus bila memulakan persidangan "Parlimen Mahasiswa" di USM. Mesyuarat Dewan Perundingan Pelajar (MDPP) yang berlangsung selama sehari dan membahaskan 19 usul telah mencorak satu landskap baru bagi persekitaran politik kampus di Malaysia. Majlis Perwakilan Pelajar USM yang didominasi oleh pro Aspirasi telah berjaya membuktikan bahawa Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) tidak menghalang mereka untuk berpolitik dengan bijaksana dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar di universiti.

Paling berani adalah gesaan MPP kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP agar membenteras isu merempat di kalangan rakyat di Pulau Pinang dalam usul ke-10 Parlimen Mahasiswa. MPP juga berani bersuara menolak cadangan CUEPACS yang ingin melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun. Secara keseluruhannya, usul yang dibentangkan dalam "Parlimen Mahasiswa" adalah bersifat konstruktif untuk kebajikan mahasiswa. Inilah "student power" sebenar bagi mahasiswa. Mereka berbahas dengan rasional dan membuat usul dengan cara yang bijaksana bukan menggunakan jalanan sebagai "parlimen" untuk bersuara. Tahniah kepada MPP USM. Alangkah baiknya jika mahasiswa berpolitik dengan cara begini. Pelajaran tidak terabai, isu dapat disuarakan dan suara pelajar dapat dikemukakan dengan cara yang bijak.

Dipetik dari Angin Perubahan.

Tuesday, November 2, 2010

Pro dan Kontra Projek Menara Warisan Merdeka

Kawasan Stadium Negara dan Stadium Merdeka bakal
bertukar wajah dengan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat kelak.

Sesuatu yang kita masih belum nampak di sebalik pembinaan Menara Warisan ialah keuntungan jangka panjangnya. Manfaatnya, seperti dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CIDB baru-baru ini, terlalu besar khususnya terhadap industri pembinaan di negara ini. Ia bukan sekadar isu tapak atau berapa tinggi bangunan itu hendak didirikan, juga bukan soal modal yang cukup besar nilainya sehingga mampu membina lebih kurang 11 buah lapangan terbang utama di Malaysia, tetapi bagaimana setiap tingkat menara itu kelak mampu menjana pulangan kepada para pelabur dan rakyat negara ini pada masa hadapan.

Menara yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kemegahan negara di tengah kepesatan ekonomi Kuala Lumpur dengan ketinggian 100 tingkat itu telah diumumkan pembinaannya oleh Perdana Menteri DS Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 baru-baru ini. Tanpa menggunakan peruntukan khusus daripada pihak kerajaan, menara itu kelak akan dibina sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan menggunakan kos sebanyak RM 5 bilion.

Sebaik saja diumumkan oleh Perdana Menteri, ia segera menarik perhatian seluruh lapisan rakyat di negara ini. Pelbagai pihak tampil mengemukakan pandangan masing-masing terutamanya ahli-ahli politik. Sehingga kini, suara yang menentang idea pembinaan menara tersebut ternyata lebih kritikal berbanding suara-suara yang menyokong. Sebagai contoh, sebuah page group di Facebook yang menentang cadangan ini, sehingga artikel ini ditulis, telah berjaya mengumpul sokongan lebih 211,000 orang pengguna di laman sosial tersebut.

Walaupun sokongan itu sebenarnya bercampur-baur disebabkan oleh faktor format ‘like’ yang digunakan (mereka yang menyokong Menara Warisan tetap perlu menyertainya untuk berkomentar sekaligus menaikkan rating atau hits kumpulan tersebut), namun sedikit sebanyak ia telah digunakan sebagai manifestasi suara rakyat bawahan yang menolak pembinaan Menara Warisan kerana dianggap membazir wang pelabur atau rakyat dan juga mengundang pelbagai masalah berbangkit terutamanya pencemaran alam sekitar, masalah sosial dan sebagainya lagi.

AC percaya, ramai dalam kalangan kita di USM yang telah menyertai komuniti maya tersebut kerana berkongsi pendapat yang sama dengan rakyat Malaysia di luar sana. Meskipun terdapat segelintir ahli politik khususnya pihak pembangkang yang menggunakan group tersebut sebagai modal menghentam Perdana Menteri, tetapi kami percaya, asasnya tetap sama iaitu berbalik kepada soal keperluan membina sebuah bangunan tinggi di tengah-tengah kekalutan Kuala Lumpur pada waktu negara sedang pulih daripada kejatuhan FDI akibat krisis ekonomi baru-baru ini.

Ramai yang melihat pengumuman oleh Perdana Menteri itu sendiri sebagai sesuatu yang silap. Ia dikatakan dilakukan pada masa dan tempat yang salah. Walaupun idea Menara Warisan dianggap sebagai bukti komitmen kerajaan DS Najib terhadap pembangunan ekonomi baru di Malaysia, hakikatnya, masih banyak sektor pembinaan lain yang sepatutnya didahulukan berbanding melabur dalam pembinaan sebuah bangunan tinggi yang bakal memberikan manfaat kepada golongan tertentu saja.

Sebagai contoh, mutu kemudahan awam yang rendah di kawasan pedalaman dan di sesetengah kawasan bandar ternyata masih membelenggu kehidupan rakyat marhein di negara ini. Hal inilah yang sebenarnya menyebabkan rakyat rimas dengan sesetengah tindak tanduk atau keputusan yang bersifat ‘gempak’ daripada pihak kerajaan. Pada rakyat, apa gunanya bangunan tinggi untuk dimegah-megahkan kalau jambatan dan jalan raya di bawah masih berlopak-lopak di sana sini!

Pun tentu, bolehkah kita melihat isu Menara Warisan ini dari satu sudut sahaja? Boleh, tetapi itu hanya mencerminkan pendirian kita yang tidak seimbang. Seperti yang AC tegaskan awal-awal tadi, keuntungan daripada pembinaannya hanya boleh dinikmati selepas ia mula menjana pulangan yang konsisten kepada negara. Mungkin masa yang diambil masih panjang, namun ia adalah formal dalam sektor hartanah di mana-mana jua.

KLIA dan KLCC, sebagai contoh, merupakan dua buah projek yang kini menempa pelbagai kejayaan untuk Malaysia. KLIA menjadi hub transit kepada sistem pengangkutan utama negara, juga menjadi pintu masuk terpenting Malaysia yang menghubungkan dunia luar dengan rakyat negara ini. KLCC pula kini berdiri megah sebagai lambang kejayaan sebuah konglomerat GLC ulung kita iaitu Petronas. Apa yang pasti, sama seperti Menara Warisan, kedua-duanya pernah dikritik keras sebelum ini sebelum muncul sebagai nadi pertumbuhan ekonomi Malaysia moden di samping menyediakan ribuan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Tegasnya, kerajaan mempunyai alasan yang cukup kukuh untuk melaksanakan pembinaan menara tersebut. Pembinaan bangunan itu bakal menjadi lambang kemodenan dan kemajuan negara di samping dapat memacu pembangunan ekonomi negara.

“Pertamanya, kita nak satu bangunan yang menjadi lambang bukan sahaja moden tapi negara maju, kita juga nak mencetuskan perkembangan ekonomi... Banyak kerja-kerja kontrak dan sebagainya yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi. Kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan yang menempatkan peniaga-peniaga bumiputera dan bukan bumiputera. Ia juga boleh menjadi pusat tarikan yang boleh memberi keuntungan,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan cadangan ini dahulu.

Samada kita sedar atau pun tidak, AC cukup yakin dan percaya, sebab utama projek ini ditentang bukanlah semata-mata kerana ia dianggap membazir, tetapi lebih menjurus kepada dendam politik antara pihak tertentu terhadap usaha positif kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi baru di negara ini. Hal ini demikian kerana, penjelasan berkenaan profile menara ini sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga PNB sendiri tetapi gagal difahami oleh sesetengah pihak yang sebaliknya terus mempolitikkannya untuk kepentingan jangka pendek.

DS Najib misalnya, awal-awal lagi memaklumkan bahawa menara ini bukan pembaziran wang negara sebaliknya bakal menguntungkan rakyat dan negara ini setelah siap kelak. Projek berkenaan melibatkan tanah milik kerajaan, bukannya rakyat. Ia bakal dibina di tapak yang merangkumi kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dan sebagai Perdana Menteri, apa yang dilakukan adalah satu tanggungjawab iaitu memenuhi tuntutan untuk mengkomersialkan kawasan berkenaan sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa sekali gus mensinergikan sosio-ekonomi di ibu negara yang semakin pesat berkembang ketika ini.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman telah menjelaskan kedudukan sebenar projek Menara Warisan bernilai RM5 bilion yang cuba dijadikan satu isu sebagai projek membazir. Hamad Kama Piah menjelaskan PNB tidak akan menggunakan wang pelabur unit amanah dan juga wang kerajaan untuk projek berkenaan. Sebaliknya, projek tersebut akan dimajukan menggunakan wang hasil tabungan PNB sendiri. PNB membeli tanah itu pada harga RM310 juta pada tahun 2000 daripada Danaharta dan projek Menara Warisan itu diluluskan oleh lembaga pengarah PNB pada tahun 2004. Hamad Kama Piah menjangka projek itu akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Justeru AC yakin dan percaya, rakan-rakan semua mampu cakna isu ini sebaik mungkin sebelum memutuskan pendirian masing-masing. Penulisan ini tidak bertujuan menyatakan sokongan atau membantah, sebaliknya sekadar mengusulkan beberapa kemungkinan pro dan kontra yang bakal kita semua sebagai rakyat nikmati melalui pembinaannya kelak. Apa-apa pun, satu fakta yang sukar untuk dinafikan di sini ialah, track record PNB sendiri yang cukup cemerlang sejak tahun 1981 diyakini mampu menguruskan Projek Menara Warisan Merdeka ini dengan jayanya.