Saturday, October 10, 2009

HANDSHAKE MALAYSIAN FOR 1WORLD

Semalam telah berlangsung acara Handshake: A Cultural of Malaysian bertempat di Padang Kawad USM berhadapan Dewan Utama Pelajar. Cuaca yang baik diserikan pula dengan pelbagai acara selingan ternyata berjaya memikat hati setiap pengunjung yang hadir. Difahamkan program semalam turut mendapat sambutan yang hangat daripada pengunjung luar khususnya para pelancong asing.



Deretan lantern atau tanglung menghiasi kawasan padang kawad.


Program semalam juga menempa sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya para pelajar antarabangsa ditampilkan menyerikan pentas acara dari mula hingga tamat program tersebut. Pelbagai kerenah dan aksi dapat disaksikan.



Pesta cahaya, ditampilkan khas oleh pelajar-pelajar India yang akan menyambut Deepavali minggu hadapan.


Antara aktiviti yang dijalankan semalam ialah persembahan Gendang Kungfu daripada Kelab Kungfu USM yang turut disertai oleh para pelajar antarabangsa, nyanyian lagu Ikan Kekek daripada pelajar Thailand, pertunjukkan fesyen tradisional Melayu yang dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar antarabangsa, persembahan kuda kepang yang turut disertai oleh pelajar Jepun (sungguh kagum melihat rentak tarian beliau, tahniah Kazoo) dan sebagainya lagi.



Para pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dengan dilimpahi 'cahaya' daripada pelita yang disusun dalam formasi 1Siswa.

Walau bagaimanapun, acara semalam sebenarnya menjadi lebih bermakna kerana limpahan cahaya yang menerangi kawasan padang kawad. Lebih 400 buah tanglung telah dipasang di sekitar kawasan padang kawad sementar ratusan lagi diedarkan kepada setiap pengunjung yang hadir.




Tanglung-tanglung yang digantung di astaka.


Walaupaun ada yang kempunan kerana tidak mendapat bahagian masing-masing, namun mereka tetap berpuas hati dengan kemeriahan ‘cahaya’ yang ditampilkan. Sementara itu, para pelajar India yang bakal menyambut Deepavali minggu depan pula telah menyediakan ratusan pelita yang disusun dalam formasi cantik membentuk kata keramat 1Malaysia di atas padang kawad. Ia juga merupakan antara tarikan utama program semalam.




Friday, October 9, 2009

PROGRAM PERKAMPUNGAN 1SISWA 1MALAYSIA


USM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dan IPTA&IPTS Zon Utara akan menganjurkann Program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia bertempat di Kampus Induk USM. Program ini adalah sebagai tanda sokongan mahasiswa USM di bawah kepimpinan MPP yang diketuai oleh YDP Saudara Shafiq Aziz untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri bagi mewujudkan gagasan 1Malaysia.


Teras utama program ini adalah untuk menghimpunkan semua penuntut IPTA dan IPTS Zon Utara dalam beberapa aktiviti yang berbentuk perpaduan yang telah pun dirancang sejak sekian lama. Ia juga adalah rentetan beberapa perjumpaan melibat semua MPP daripada institusi pengajian yang terlibat termasuk siri-siri persidangan meja bulat yang diketuai sendiri oleh Saudara Shafiq Aziz.


Beberapa aktiviti dan program menarik telah disediakan untuk peserta dan pengunjung sepanjang program ini berlangsung yang antara lain bermatlamat untuk mengukuhkan nilai-nilai perpaduan kebangsaan khususnya dalam kalangan mahasiswa di negara ini. Maklumat lanjut tentang program ini boleh didapati di Direktori 1Siswa 1Malaysia melalui laman web USM.

Saturday, October 3, 2009

Ketatkan kod etika pakaian bakal guru.



Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan menerima kemasukan pelajar baru setiap tahun dalam jumlah yang agak besar meskipun sejak kebelakangan ini ia semakin dikurangkan. Pemilihan pelajar baru pula adalah ketat dan menyeluruh. Proses pemilihan biasanya akan melalui prosedur ujian bertulis (MEDSI) dan juga ujian temuduga. Namun adakah hal ini mampu menjamin pengeluaran produk atau output yang benar-benar berkualiti?

Secara umumnya, kita tidak menafikan program-program yang disediakan untuk pelajar jurusan pendidikan adalah komprehensif serta sesuai dengan kehendak semasa. Malah kita sedar sememangnya pusat pengajian sentiasa mengkaji kesesuaian program yang ditawarkan di bawah kendalian mereka. Tuntutan tersebut malah semakin mencabar selepas USM menjadi pemacu APEX pertama negara. Banyak perkara harus dipertimbangkan bagi menjamin pengeluaran output yang berkualiti tersebut.

Walau bagaimanapun masih terdapat perkara-perkara tertentu yang seolahnya terlepas dek pandangan pihak pengurusan pusat pengajian sendiri iaitu soal etika berpakaian para pelajar kursus pendidikan di sini. Pakaian adalah imej yang memberikan tanggapan terhadap personaliti individu. Pakaian mencerminkan juga sikap serta budaya seharian individu. Justeru adalah wajar para pelajar dididik dengan amalan berpakaian yang sesuai dengan jurusan mereka supaya mereka kelak dapat keluar sebagai produk yang benar-benar menepati definisi guru sekolah.

Menurut Dr. Najeemah, kod etika pakaian yang menepati ciri-ciri seorang guru sebenarnya telah pun dipraktikkan tidak lama dahulu. Malangnya ia lama-kelamaan semakin tidak dihayati memandangkan wujud permintaan dan desakkan daripada para pelajar sendiri yang mahukan kod tersebut dilonggarkan. Mereka membangkitkan soal diskriminasi serta ketidakadilan kerana para pelajar dari pusat pengajian lain dibenarkan berpakaian yang lebih bebas. Soalnya adakah ini standard pemikiran bakal guru dari USM?

Jelas sekali, sesuatu mesti dilakukan segera dalam soal ini. Kita tentu sekali tidak mahu mendengar rungutan daripada pihak sekolah kelak sekiranya produk guru daripada USM gagal memberikan contoh yang baik kepada anak murid mereka. Ketika ini sudah pun kedengaran rungutan-rungutan tertentu tentang produk guru dari USM berbanding dari UPSI, UM, UKM, UPM dan sebagainya lagi. Justeru kita berharap rungutan tersebut tidak dipanjangkan dalam soal-soal remeh-temeh seperti ini pula.