Sifat fundamental sesuatu perundangan antara lain adalah untuk membela pihak yang tidak bersalah dan memberikan hukuman yang setimpal kepada pihak yang melakukan kesalahan. Dalam hal ini, ia juga berfungsi menjaga majoriti anggota masyarakat yang dilindungi di bawah undang-undang tersebut daripada tindakan perlanggaran yang biasanya dilakukan oleh sekumpulan kecil anggota masyarakat yang lain.
Dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun, undang-undang sentiasa dilihat sebagai instrumen teknikal yang amat penting untuk menjaga ketamadunan yang dibina daripada gangguan mana-mana pihak atau kumpulan mahupun individu yang tidak bertanggungjawab.
Justeru apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih relevan untuk mereka yang tidak tahu menjaga diri, ia seharusnya difahami dengan mudah bahawa akta tersebut mampu mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat kampus daripada sebarang suasana tidak harmoni yang cuba dicetuskan oleh mana-mana pihak.
Sekurang-kurangnya dua tafsiran boleh dibuat daripada kenyataan Tun itu. Pertama, sifat perundangan AUKU masih signifikan untuk mengawal mana-mana kumpulan mahasiswa yang sering mendahulukan cara untuk mencapai matlamat mereka seperti demonstrasi jalanan dan merosakkan harta benda universiti hingga menjejaskan suasana akademik yang berhak dinikmati oleh penuntut yang lain.
Kedua, AUKU pada masa yang sama, menjaga kumpulan mahasiswa ‘yang tahu jaga diri’ daripada tindakan-tindakan tidak wajar yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa yang ‘tidak tahu jaga diri’ seperti yang kami sebutkan tadi. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia berkaitan dengan implikasi langsung dan tidak langsung akibat daripada tindakan kumpulan mahasiswa tersebut.
Seharusnya kita semua menerima kenyataan Tun dengan hati dan minda yang terbuka kerana beberapa insiden muktahir ini jelas membuktikan bahawa masih terdapat segelintir mahasiswa yang gemar bertindak sewenang-wenangnya dalam menyuarakan hasrat dan pandangan mereka. Oleh hal yang demikian, kita memerlukan sebuah perundangan yang mampu menanganinya dengan berkesan terutama di peringkat kampus demi menjaga keharmonian bersama.
AUKU juga tidak boleh dilihat hanya pada satu dua Seksyen sahaja kerana sifatnya yang berfungsi sebagai sebuah perundangan yang menyangkuti pelbagai lagi perkara termasuk hal ehwal pentadbiran, peperiksaan, perlantikan Naib Canselor dan sebagainya. Justeru ia tidak boleh disempitkan hanya semata-mata untuk membebaskan mahasiswa bersuara dan berpolitik.
Justeru sebagai mahasiwa yang mempunyai daya intelektual yang tinggi, kita seharusnya bersikap terbuka dan bersedia melihat sesuatu perkara berkaitan AUKU dari pelbagai sudut sebelum membuat sebarang justifikasi. Hal ini penting supaya kita tidak terperangkap dalam paksi pendapat pihak lain tanpa mengkajinya terlebih dahulu secara mendalam.
“POLITIK adalah sesuatu yang tidak pasti, hakikatnya politik ini bertukar setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.”
Seperti kata Datuk Dr. Hassan Ali itu, itulah juga yang berlaku ke atas dirinya. Perjuangan beliau selama 15 tahun bersama PAS akhirnya dinoktahkan melalui pemecatan keahliannya oleh pucuk pimpinan tertinggi parti baru-baru ini.
Dari satu sudut, pemecatan beliau itu tidaklah mengejutkan . Menjadi tanggungjawab pemimpin tertinggi untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga nama baik parti daripada perbuatan tidak senonoh ahlinya sendiri.
“Pecatlah…laki bini lagi bercerai. Tidak ada parti atas muka dunia ini yang tidak pernah pecat ahlinya yang tidak senonoh.” Demikian ulasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas pemecatan tokoh ilmuan tersebut.
Dalam kes bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu, beliau dipecat kerana dilihat sering mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak selari dengan polisi semasa parti di samping terlalu obses dengan perjuangan membela agama Islam, bangsa Melayu dan institusi beraja di Malaysia.
Tindakan-tindakan tersebut telah dianggap sebagai tidak menguntungkan parti secara keseluruhan khususnya dalam usaha merebut kuasa pada PRU ke-13 kelak.
Kami tak berminat nak sentuh panjang lebar berkenaan isu tersebut. Biarlah mereka menguruskan rumah tangga yang dihuni dengan cara mereka sendiri. Tetapi kami tertarik untuk mengetengahkan satu perkara penting di sini iaitu kebebasan bersuara dalam sesebuah parti politik di negara ini.
Kes yang membabitkan Dr. Hassan Ali bukanlah yang pertama dan mungkin bukan yang terakhir untuk dijadikan contoh bahawa kebebasan bersuara yang sebenar tidak pernah diamalkan dalam mana-mana parti politik kita, melainkan jika ia bertujuan untuk menyerang pihak lawan.
Dalam erti kata yang lebih mudah, kritik musuh boleh, tapi bukan parti sendiri.
Justeru di manakah rasionalnya tuntutan bahawa kebebasan bersuara dan berpolitik mahasiswa akan lebih terjamin sekiranya mereka dibenarkan menjadi ahli parti politik?
Fikirkan sejenak. Kita bukan sahaja terpaksa membataskan suara, malah perlu patuh dengan perlembagaan parti yang lebih ketat berbanding AUKU termasuk perintah orang atasan. Usah sesekali terfikir untuk mengkritik secara terbuka terhadap pemimpin parti, atau kamu bersedia saja dikenakan tindakan. Ia umpama sengaja masuk mulut buaya!
Hal ini berbeza jika kita kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama, tetap turut serta dalam hal-hal berkaitan isu semasa dan politik. Kita boleh mengkritik atau mengemukakan teguran terhadap sesebuah parti tanpa perlu memikirkan implikasi dikenakan sebarang tindakan.
Jadi rakan-rakan siswa dan siswi sekalian, fikir-fikirkanlah. Politik memerlukan seni retorik, dan retorik tanpa seni berpolitik, ialah omong kosong. Gunakan hak berfikir dengan baik sebelum bersuara. Bagi kami, kekal berkecuali itu sebenar-benar nikmat AUKU.
Kami pelik, takjub. Kenapa agaknya kumpulan Pro-M begitu mahukan AUKU dimansuhkan? Mereka berulang kali menyatakan pandangan yang sama, mahu AUKU dimansuhkan terus. Kononnya, akta tersebut menyekat kebebasan hak asasi mahasiswa sebagai warganegara.
Kami mencari, membelek setiap patah kata dan ayat dalam AUKU yang dikatakan menyekat itu. Daripada keseluruhan Seksyen yang termaktub, kami tak jumpa pun mana-mana bahagian yang dikatakan menyekat kebebasan hak asasi tersebut. Semuanya digubal mengikut lunas perundangan negara.
Alasan mereka sebenarnya terlalu dangkal dan sempit. Sejak dahulu lagi mereka hanya berani menyentuh Seksyen 15 dalam AUKU kerana pada bahagian ini terdapat larangan yang jelas terhadap mahasiswa (baik Pro-M mahupun Pro-A) daripada menganggotai parti politik. Hanya itu sahaja yang dijadikan modal bising mereka.
Bahkan kami tahu, selagi AUKU terus berdiri, selagi itulah mereka tidak akan senyap. Lalu kami ingin bertanya, adakah kebebasan hak asasi itu terdefinisi dengan lengkap apabila kita menjadi ahli parti politik di luar kampus?
Bagi kami, AUKU sedikit pun tidak menghalang kebebasan hak asasi mahasiswa sebagai warganegara. Malah larangan itu sebenarnya satu rahmat buat kita. Kenapa kami berkata demikian? Mudah, kerana kami melihat sekian banyak contoh dan implikasi apabila mahasiswa begitu ghairah dengan ideologi politik kepartian.
Sekarang pun, kalau kita perhatikan melalui Facebook, blog dan media-media bebas yang lain, tidak sedikit mahasiswa yang telibat secara tidak langsung dengan ideologi-ideologi parti politik di luar pagar kampus. Melalui komentar mereka berhubung isu-isu semasa, itu sudah cukup membayangkan betapa kebebasan itu sebenarnya sudah wujud. Ia dipraktikkan dengan terbuka oleh sesiapa yang berminat. Jarang kita dengan ada tindakan yang diambil kalau ia cuma pandangan dan komentar.
Tetapi bagaimana kalau tiada Seksyen 15 dan larangan tersebut? Banyak yang boleh kita jangkakan. Misalnya, akan wujudlah kumpulan-kumpulan dan pergerakan mahasiswa yang mewakili parti-parti politik di dalam kampus. Kumpulan ini akan bercakap tentang A dan kumpulan yang lagi satu akan membangkang dengan hujah yang lain pula. Lama-kelamaan, apa kesudahannya?
Kita juga tidak dapat menghalang lagi jika parti-parti politik ingin mewujudkan cawangan mahasiswa mereka di dalam kampus. Bayangkan, adanya Pemuda UMNO Cawangan Fajar Harapan, Bakti Permai dan Cahaya Gemilang. Pada masa yang sama, PKR, PAS dan DAP juga mempunyai cawangan masing-masing. Ia akan sama seperti di luar! Lalu, apa lagi yang boleh kita jangkakan?
Ini implikasi-implikasi yang harus timbul sebenarnya. Maka, kita akan melihat keghairahan baru mahasiswa dan mahasiswi di dalam kampus. Lambakan koran, buletin, risalah-risalah politik, kain rentang, poster dan bermacam lagi ‘kemeriahan’ akan menghiasi kehidupan kampus. Inikah yang kita mahu?
Kita juga tidak boleh lagi menghalang jika ada pemimpin-pemimpin parti ingin masuk dan berceramah di dalam kampus. Di padang kawad, mungkin setiap minggu akan ada ceramah politik. Minggu ini UMNO, minggu depan PAS, minggu berikutnya DAP dan PKR. Begitulah seterusnya.
Kenapa kita tidak boleh menghalang? Kerana kita tidak ada lagi akta yang boleh disandarkan. Setiap perkara akan dihubungkan dengan kebebasan hak asasi mahasiswa. Kalau di luar kampus boleh, kenapa dalam USM tak boleh? Itulah yang akan digunakan sebagai hujah. Soalnya, adakah ini yang kita nak?
Kami percaya, suara yang mahukannya tidaklah ramai berbanding yang menolak. Tetapi, yang tidak ramai inilah yang selalu buat onar di dalam kampus. Yang dua, tiga orang inilah yang tak pernah diam membuat tuntutan. Kerana yang dua, tiga orang inilah kampus jadi bising seperti di UPM dan UM dahulu.
Sekali lagi kami ingin bertanya, susah sangatkah untuk mengikut apa yang telah termaktub? Susah sangatkan nak menghormati undang-undang? Kamu cuma mahasiswa. Tiga, empat tahun sahaja di dalam kampus. Kenapa ghairah dengan perkara yang bukan menjadi tanggungjawab kamu?
Nak bersuara, nak bermasyarakat, peluangnya terbuka luas. Kita ada pelbagai persatuan. Kita ada Majlis-majlis Penghuni dan MPP. Kita ada sekretariat itu ini. Kita ada NGOs yang selalu berdamping dengan mahasiswa USM. Sertailah mereka, berbaktilah dengan masyarakat jika itu yang dimahukan. Kenapa yang tak boleh juga hendak dibuat?
Berhentilah jadi mahasiswa yang dangkal dan sempit. Gunakan masa yang singkat ini untuk membina kualiti diri yang sebenar, bukannya menjadi pak turut dan anjing politik yang menyalak tak tentu punca. Kita mahasiswa! Kita harapan negara! Keluarlah dengan kualiti yang didambakan oleh masyarakat, bukannya keluar sebagai sampah masyarakat. Duit rakyat yang kita gunakan ini ada amanah yang perlu kita tanggung. Jangan disia-siakan setiap sen wang itu untuk kepentingan sempit pihak lain!
Imej : Sekumpulan pelajar Pro-M USM yang berdemonstrasi di Jalan Sg. Dua berhadapan pintu pagar USM tidak lama dahulu.
Suatu hakikat yang tidak boleh digugah lagi ialah fakta bahawa sebahagian besar mahasiswa di kebanyakan institusi pengajian tinggi pada hari ini tidak ambil kisah dengan AUKU, atau lebih teruk, tidak tahu pun akan kewujudkan akta tersebut.
Walaupun perkara ini seharusnya dipandang serius kerana ia berkait rapat dengan hak-hak dan batasan sebagai seorang mahasiswa, tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana tidak ambil kisah dengan akta berkenaan. Hal ini demikian kerana, rata-rata mahasiswa hari ini sudah dipasak dengan persepsi paling asas berkaitan peranan asasi mereka apabila menjejakkan kaki ke alam kampus iaitu untuk belajar dan mengenggam segulung ijazah di hujung pengajian. Persepsi ini tidak dibina oleh persekitaran tetapi ia tumbuh sejak mereka mula melangkah keluar dari rumah masing-masing lagi.
Keadaan hanya berubah apabila mereka melihat peranan sebagai mahasiswa dari suatu jurus pandang yang berbeza berbanding persepsi awal tadi. Mereka mula mengenal apa itu AUKU apabila diberitahu oleh pihak-pihak tertentu dan menjadi semakin arif apabila terlibat secara langsung dalam diskusi atau perbincangan formal ataupun tidak formal berkenaan akta tersebut, tetapi itu tidak menjamin sejauh mana kefahaman mereka tentang AUKU akan terbentuk.
Pada tahap ini, akan wujud beberapa keadaan di mana kumpulan-kumpulan dengan pemahaman yang berbeza tentang AUKU akan saling bertindak balas. Ia berpunca daripada sumber dari mana mereka memahami perihal akta tersebut dan sejauh mana mereka memahami keseluruhan atau sebahagian daripada akta yang diaplikasikan di kebanyakan universiti dan kolej universiti itu.
Dalam bahagian pertama artikel ini, kami tidak akan berbicara tentang kerelevanan AUKU kerana ia merupakan tahap yang lebih tinggi dan memerlukan kupasan yang lebih ilmiah, tetapi fokus utama kami ialah kewujudan perbezaan aliran pemahaman dalam kalangan mahasiswa terhadap AUKU dan bagaimana mahasiswa yang masih tercari-cari sumber yang absah boleh turut serta dalam mana-mana kumpulan berkenaan.
Ia bukan lagi suatu hal yang perlu dibincangkan secara sembunyi-sembunyi kerana pada hari ini, kumpulan-kumpulan mahasiswa berkenaan sudah terbuka dan mampu berdiskusi dengan lebih konklusif malah pihak universiti juga tidak menetapkan sebarang larangan yang khusus terhadap sebarang diskusi berkenaan AUKU. Semuanya demi menjana kecaknaan mahasiswa terhadap akta ini yang turut diperdebatkan di peringkat tertinggi politik nasional. Justeru kami beranggapan bahawa adalah suatu yang merugikan jika kita tidak turut serta membincangkan akta ini.
Berbalik kepada fokus utama bahagian ini, kami ingin mengajak sahabat-sahabat semua melihat dari peringkat paling asas, iaitu bagaimanakah kumpulan-kumpulan yang menaakul AUKU ini boleh berbeza pandangan atau pendirian.
Kumpulan yang membentuk majoriti atau mewakili sebahagian besar mahasiswa sebenarnya ialah kelompok yang tidak kisah atau kurang peduli atau mungkin langsung tidak ambil tahu dengan akta tersebut. Ia suatu fakta yang sukar dinafikan walaupun belum ada bancian khusus berkenaan kewujudan kumpulan-kumpulan terbabit.
Kumpulan terbesar ini lahir atau wujud secara natural, iaitu atas sebab personal seperti tidak berminat, tidak mahu membebankan diri sendiri dengan isu-isu yang tidak berkaitan dengan pembelajaran, tidak suka ‘politik’ kerana beranggapan AUKU itu berkoheransi secara langsung dengan politik, tidak mahu membuang masa menyertai diskusi atau perdebatan di samping berasa selesa dengan persekitaran sedia ada seperti di USM ketika ini.
Kumpulan ini sebahagian besarnya merupakan kelompok mahasiswa yang sudah dipasak dengan persepsi bahawa AUKU tidak penting untuk diambil tahu oleh mereka. Walaupun sesetengah universiti atau IPT telah mengadakan sesi khas untuk menerangkan perihal AUKU dan lain-lain peraturan universiti atau kolej pada awal pengajian mereka, tetapi kumpulan pelajar ini selalunya hanya mengambil mudah akan peringatan tersebut kerana beranggapan bahawa mereka sudah pasti akan melakukan perkara-perkara yang sepatutnya sesuai dengan kehidupan di kampus, tidak akan melanggar peraturan atau menentang pihak universiti atau kerajaan secara terang-terangan. Tindakan menghindarkan diri inilah yang membentuk persepsi yang kekal dalam kalangan mereka sehingga tamat pengajian yang cuma berusia tiga hingga lima atau enam tahun tersebut.
Kumpulan kedua yang selalunya wujud ialah kumpulan yang faham sebahagian daripada AUKU terutamanya pada bahagian Perkara 15 yang menyentuh penglibatan mahasiswa dalam hal-hal politik kepartian, badan-badan bukan kerajaan, persatuan dan kelab dan sebagainya lagi yang memenuhi konotasi kebebasan bersuara dan hak asasi mahasiswa sebagai rakyat negara ini.
Kumpulan ini pada asasnya wujud setelah mereka diberitahu oleh sumber-sumber tertentu tentang ketidakrelevanan AUKU yang dianggap sebagai zalim dan mengekang kebebasan asasi para mahasiswa dan pada masa yang sama, mereka juga berusaha mencari sisi ‘negatif’ tersebut melalui pembacaan, perbincangan dan kajian berdasarkan kes-kes tertentu yang pernah berlaku di sesetengah IPT seperti insiden demonstrasi di USM pada tahun 2004 dan insiden ‘Rosmah Puaka’ di Universiti Malaya pada tahun lepas. Dari situlah mereka melihat AUKU sebagai zalim dan menindas sehingganya akhirnya persepsi tersebut menjadi ideologi atau pegangan yang dikongsi bersama dalam kalangan mereka.
Pada dasarnya kelompok atau kumpulan ini lebih cakna berbanding kelompok pertama kerana mereka berusaha memahami AUKU dan berjuang menuntut ia dihapuskan secara total. Kumpulan ini wujud di hampir kesemua IPT di negara ini dan menjadikan agenda menuntut penghapusan AUKU sebagai manifesto perjuangan mereka dalam jagat politik kampus. Kita dapat melihat dengan jelas agenda ini melalui perbincangan terbuka yang sering dianjurkan oleh meraka dan juga melalui wacana-wacana yang ditulis khas berkenaan AUKU. Suatu ciri khas kumpulan ini ialah mereka lebih vokal dan berani, malah sering memilih jalan demonstrasi bagi menyuarakan pendapat mereka.
Kelompok seterusnya ialah kumpulan mahasiswa yang faham AUKU terutamanya pada bahagian Perkara 15 tersebut tetapi mempunyai pandangan atau persepsi yang berbeza. Kumpulan ini mungkin juga memahami keseluruhan AUKU atau mungkin hanya pada bahagian Perkara 15, sama seperti kumpulan kedua tadi tetapi jurus pandang yang melingkari pemahaman mereka adalah berbeza secara total kerana melihat Perkara 15 sebagai penting dan relevan bagi mengekang pengaruh politik parti-parti di luar kampus ke dalam kampus. Namun kumpulan ini selalunya tidaklah terlalu vokal, lebih rasional dan sedia berdiskusi secara sederhana kerana mereka beranggapan ia bukanlah suatu isu yang perlu diperdebatkan.
Kumpulan ini juga melihat Perkara 15 sebagai penyelamat keharmonian kampus selepas menilai insiden-insiden yang pernah berlaku. Sama seperti kumpulan kedua tadi, kumpulan ini juga bersumberkan info-info yang disampaikan oleh pihak tertentu seperti Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) di samping penaakulan sendiri. Kumpulan ini pada masa yang sama juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa AUKU mengekang kebebasan bersuara mahasiswa kerana mereka melihat kebebasan tersebut wujud atau dipraktikkan dalam ruang yang lebih luas dan tidak hanya berkaitan politik semata-mata.
Namun begitu, kumpulan ketiga dan kedua ini masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kumpulan terakhir yang jumlahnya jauh lebih kecil. Kumpulan yang dimaksudkan ini merujuk kepada kelompok mahasiswa yang cakna dan faham keseluruhan akta tersebut dan tidak hanya memfokuskan perbincangan terhadap Perkara 15 sahaja. Kumpulan ini selalunya lebih rasional dan memilih jalan berkecuali setiap kali diasak dengan perdebatan berkenaan Perkara 15. Hal ini demikian kerana mereka melihat AUKU sebagai sebuah institusi perundangan peringkat universiti yang menyediakan garis panduan kepada mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka dan sebagai sebuah institusi perundangan yang sah, ia tidak boleh dilihat secara terpisah-pisah sebaliknya harus dibaca keseluruhan jika benar ia menzalimi mahasiswa.
Sebab utama kumpulan ini tidak mahu terbabit secara langsung dalam mana-mana perdebatan adalah kerana berasakan tindakan tersebut sebagai tidak matang dan terikut-ikut dengan emosi yang natijahnya tidak berkesudahan. Untuk mencapai tahap kefahaman secara komprehensif ini, seseorang haruslah membaca keseluruhan akta tersebut dan mempraktikkannya melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti-aktiviti membabitkan mahasiswa baik di dalam kampus mahupun di luar kampus. Hanya melalui penglibatan secara langsunglah mahasiswa mampu memahami secara keseluruhan AUKU terutamanya dalam hal kebebasan bersuara dan boleh berdiskusi dengan baik apabila ditanya berkenaan AUKU.
Justeru sebagai mahasiswa, kita haruslah berusaha mencari dan memilih sumber yang tepat untuk memahami kepentingan AUKU secara keseluruhan. Adalah suatu tindakan yang tidak matang jika kita hanya tahu bersorak kerana diminta tetapi tidak tahu kenapa atau untuk apa kita bersorak. Juga bukanlah mahasiswa jika kita hanya mampu mengikut kemahuan pihak-pihak tertentu tetapi tidak peka dengan keperluan kita sendiri di dalam kampus dan yang lebih penting, tidaklah digelarkan mahasiswa jika kita gagal membezakan perkara yang baik dan tidak baik serta perkara yang bermanfaat secara total dan perkara yang tidak memberikan manfaat langsung.
Dalam bahagian seterusnya artikel ini, kami akan mengupas pula beberapa isu berkaitan AUKU terutamanya yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi dan bagaimana mahasiswa khususnya di USM boleh memahami AUKU tanpa terpisah-pisah. Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang komen atau pandangan berhubung artikel ini sama ada yang menyokong atau sebaliknya. Ayuh kita raikan kebebasan bersuara cara kita! Hingga berjumpa lagi.
Exile Figure Saw Sook Hwa Yang Cuba Ditokohkan Kembali Oleh Pro-Mahasiswa.
Saw Sook Hwa, bekas pelajar USM yang mencabar kesahihan AUKU kerana kesilapan diri sendiri.
Kalangan pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Pro-Mahasiswa mungkin kenal dengan individu bernama Saw Sook Hwa, bekas pelajar USM yang pernah meninggalkan secebis palitan dalam sejarah perundangan negara ini.
Saw Sook Hwa pernah dituduh melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atas kesalahan menyertai kempen pilihan raya umum pada Mac 2004 bagi pihak pembangkang ketika itu iaitu PKR. Akibatnya, beliau dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan sedia ada yang digunapakai oleh universiti termasuk apa yang telah dimaktubkan dalam AUKU.
Rentetan peristiwa tersebut, pada 2hb Dis 2004, kes beliau telah dibicarakan dan Saw Sook Hwa telah diberi amaran serta denda sebanyak RM 200.00 oleh pihak universiti. Walau bagaimanapun, Saw terselamat daripada dikenakan hukuman maksimum iaitu buang universiti meskipun kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Saw tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya telah mengambil langkah susulan termasuk membuat rayuan ke mahkamah atas alasan AUKU telah melanggar kebebasan mahasiswa. Saw menerima sokongan yang kuat termasuk daripada kumpulan bekas pelajar dan tenaga akademik USM sendiri yang pernah dikenakan hukuman yang sama untuk mencabar kesahihan AUKU di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Masa terus berlalu. Pertukaran tampuk kepimpinan kerajaan pusat juga turut berlaku seiring peredaran masa yang menyaksikan lebih banyak suara mahasiswa diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan. Dalam hal ini, AUKU sentiasa mengisi tempat dan ruang perbincangan dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara hinggalah pihak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengambil keputusan untuk merombak bahagian-bahagian tertentu dalam AUKU yang selama ini mencetuskan kekeliruan dan perbalahan umum.
Antara perkara yang paling banyak diperdebatkan ialah berkaitan hak dan kebebasan mahasiswa dalam menyertai badan-badan tertentu seperti persatuan dan pertubuhan termasuk juga parti-parti politik serta keagamaan. Hasil rombakan yang dilakukan baru-baru ini, pihak legislatif negara telah bersetuju secara dasar dan praktikalnya untuk melonggarkan mobiliti mahasiswa supaya lebih terbuka dan kondusif dengan kehendak persekitaran.
Dalam hal ini, kecuali parti politik, mahasiswa telah menerima ‘autonomi’ yang sewajarnya yang mana selama ini begitu ‘dipolemikkan’ oleh sekian banyak pihak termasuk pihak-pihak berkepentingan tertentu di luar pagar kampus. Ternyata, perobahan baru dalam erti kata membentuk mobiliti mahasiswa Malaysia yang lebih gegas, sebahagian besarnya hadir daripada sumbangan pendokong-pendokong mahasiswa yang rasional dan memahami aspirasi sejagat bahawa ketergesaan, keradikalan dan kelantangan yang melampaui batas sering kali menjauhkan matlamat daripada diri sendiri.
Inilah yang berlaku dalam kes Saw Sook Hwa seperti yang dibincangkan dalam bahagian awal tadi. Kenapa jadi begitu, adalah kerana metodologi dalam menggagaskan tuntutan yang dibuat sering kali menidakkan kerasionalan, sebaliknya keradikalan yang dibuat-buat termasuk provokasi yang tak sepatutnya berlaku, mengambil tempat dalam perjuangan mereka.
Saw Sook Hwa terlalu memandang serong terhadap sistem perundangan yang digunakan sehingga beliau memilih untuk mencabarnya di mahkamah sedangkan ia telah pun diiktiraf oleh pihak yang menggubal undang-undang negara ini sendiri iaitu Parlimen. Asas untuk mengatakan AUKU melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan hujah bahawa mahasiswa adalah rakyat yang harus mendapat hak dan kebebasan yang sama, termasuk dalam berpolitik, sebenarnya telah dipolitikkan oleh pihak Saw Sook Hwa untuk menutup kesalahan yang dilakukan.
Apakah Saw tidak sedar atau sengaja membutakan matanya ketika itu? Sudah pasti Saw dan kumpulan beliau iaitu Persatuan Bahasa Tionghua yang diketuainya sendiri memahami bahawa terdapat bahagian-bahagian tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dibaca bersama dengan bahagian lain kerana ia saling rujuk-merujuk dan lengkap-melengkapi untuk menjadi sebuah naskah perundangan yang bermakna.
Intipati daripada usaha terancang Saw dan kumpulan yang menyokongnya sebenarnya adalah jelas iaitu untuk membangkitkan sentimen politik dalam kalangan mahasiswa supaya menentang pihak universiti yang mendokong aspirasi pembaharuan. Lantaran itu gerakan politik haluan kiri kumpulan mahasiswa yang dipimpin oleh Saw ini digelar sebagai ‘anti-estabalishment’ yakni yang menolak pembaharuan.
Siapakah sebenarnya di belakang Saw sehingga beliau mampu menggerakkan kesnya itu ke mahkamah? Meskipun tidak secara langsung, namun rentetan demi rentetan laporan pelbagai media kebanyakannya memberikan kita satu arah yang jelas condongnya iaitu kepada pembangkang khususnya DAP dan kini PKR. Dikatakan juga, Tian Hua merupakan moderator kepada gerakan mahasiswa seperti DEMA dan SPF yang bergiat aktif di kebanyakan kampus.
Kes Saw Sook Hwa juga menarik kerana ia telah tertangguh dalam satu jangka masa yang agak lama (lima tahun) sebelum diperdengarkan semula baru-baru ini iaitu pada bulan Jun yang lalu. Dalam tempoh itu, AUKU telah dipinda termasuk pada bahagian yang menyaksikan Saw didakwa dan dijatuhkan hukuman. Justeru, natijahnya, meskipun Saw cuba mencabar hukuman yang telah dikenakan dengan menggunakan pindaan AUKU terkini, namun pihak mahkamah telah menolaknya dengan hujah Saw didakwa dengan peruntukan yang sah sebelumnya iaitu pada tahun 2004 (sebelum pindaan dilakukan).
Lebih menarik, Saw bukan sahaja gagal membatalkan hukuman terhadapnya malah beliau juga gagal dalam usahanya mencabar kesahihan AUKU dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kenapa hal ini berlaku? Mudah, kerana Saw terlalu memandang rendah dengan kuasa perundangan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Saw beranggapan hujah yang beliau kemukakan adalah kukuh tanpa mengambil kira kedudukan undang-undang dan prosedur yang digunapakai selama ini.
Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan di sini bahawa Saw Sook Hwa ibarat watak yang ditokohkan semula selepas sekian lama tidak dimainkan. Atas nama perjuangan, hari ini Pro-Mahasiswa mengetuk kembali gendang politik mereka untuk meraih perhatian termasuk cuba membawa isu ini ke Parlimen Malaysia. Apa untungnya kepada mahasiswa sejagat?
Saw mungkin boleh diibaratkan juga sebagai ‘exile figure’ yang terbuang di tempatnya sendiri tetapi telah dicirikan kembali sebagai lagenda solidaritis kemahasiswaan di Malaysia seiring dengan nama-nama lain kerana keberaniaannya melawan ‘musuh’ (baca: kerajaan). Malangnya, dalam hal ini, tanpa disedari oleh mahasiswa sendiri, kes Saw adalah satu penyimpangan yang disengajakan terhadap kebenaran dan kebenaran itu pula adalah sesuatu yang diputuskan secara kolektif oleh pemimpin-pemimpin negara sama ada di pihak pemerintah ataupun pembangkang sendiri.
Jika Saw ialah ‘exile figure’ yang cuba digilap kembali ketika ini, maka kita akan tertanya-tanya, siapakah pihak yang akan mendapat untungnya? Kenapa pihak Pro-Mahasiswa begitu mahukan supaya AUKU dimansuhkan? Apakah sebenarnya yang menghalang kebebasan mereka selama ini di dalam kampus ataupun di luar kampus? Walaupun ada AUKU, namun pada hakikatnya, mereka tetap juga menyertai aktiviti parti-parti politik di luar sana. Justeru kenapa bila masuk kampus mereka menyalak melalak menuduh universiti menghalang kebebasan mahasiswa?
Kesimpulannya, Saw Sook Hwa, AUKU dan kebebasan mahasiswa adalah tiga elemen yang sangat berbeza-beza. Saw dikenakan tindakan atas kesalahannya sendiri. AUKU pula hanya satu set peraturan yang berperanan menjaga hak dan kebajikan serta masa depan mahasiswa seluruhnya, bukan menindas atau menyekat. AUKU menyediakan panduan dan pedoman, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Dan kebebasan pula, harus difahami bahawa ia bukanlah sesuatu yang mutlak pada setiap masa dan ketika. Kebebasan mesti dikawal supaya hak minoriti dan majoriti sentiasa terbela.
Teguran berupa ingatan ini ditujukan khas kepada kumpulan pelajar tertentu; Jangan cemari keharmonian kampus kita ini dengan anasir politik luar yang bertentangan dengan Perlembagaan Universiti dan AUKU!
AC mengambil berat perkembangan mutakhir ini apabila semakin banyak edaran fylers haram di dalam kampus yang menyentuh pelbagai isu termasuk yang melibatkan kes liwat seorang pemimpin pembangkang. Rungutan dan keluhan para pelajar juga semakin banyak berhubung perkembangan ini.
Terbaru-baru dan lebih berat, AC telah menerima kiriman MMS daripada seorang sahabat yang memberikan maklumat tentang kewujudan poster ceramah sebuah badan politik pro-pembangkang yang diadakan di luar kawasan kampus pada 10hb April yang lalu. Poster tersebut telah ditampal di tiang nombor 3 Foyer Perpustakaan Hamzah Sendut 1, betul-betul di hadapan pintu utama.
Tidak lama dahulu, AC juga menerima maklumat berkenaan edaran flyers haram yang menggesa para pelajar berhimpun di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyokong seorang bekas pelajar USM yang mencabar kesahihan AUKU dalam Perlembagaan Malaysia.
AC percaya kegiatan sebegini didokong oleh kumpulan pelajar tertentu yang mempunyai hubungan rapat dengan badan-badan politik di luar kampus. Modus operandi mereka juga agak licik dan mensasarkan golongan pelajar tertentu saja sebelum beredar.
Mereka mungkin berasa selesa kerana tiada sebarang tindakan tegas diambil sehingga kini. Namun sebagai mewakili hak dan keselesaan para pelajar USM yang lain, AC berharap kegiatan sebegini tidak diteruskan lagi atau berhadapan dengan lebih banyak kesulitan pada masa akan datang. Tak salah hendak memperjuangkan isu tertentu tapi biarlah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
AC agak terkejut sebelum tersenyum lebar selepas membaca post terbaru di blog Student Progressive Front (SPF).
Isunya, sistem locker atau rak baru yang mula diperkenalkan oleh pihak perpustakaan USM. Berbanding sebelum ini, sistem baru ini nampaknya penuh dengan ciri keselamatan. Para pengguna tidak perlu risau lagi kalau-kalau barang yang ditinggalkan hilang atau sebagainya kerana ia menggunakan kunci khas, yakni berbayar. Risik-risik AC berhubung hal ini, caj yang dikenakan akan dinaikkan kepada 40 sen berbanding sekarang 20 sen dan akan mula dilaksanakan bermula semester depan.
Tapi AC ada cerita disebalik isu ini. Bukan soal survey atau sebagainya. Baru-baru ini AC telah berkesempatan bersembang lama dengan YDP MPP USM kita sekarang. Lokasi pertemuan kami adalah rahsia, tapi isunya sama iaitu sistem locker di perpustakaan. Ia memang agak hangat ketika ini sehingga pihak SPF kelihatan beriya-iya menjaguhi isu ini. Malangnya, ia agak melulu tanpa waras.
Daripada cerita saudara YDP kita, beliau memberitahu bahawa pihak MPP telah pun berjumpa dengan pihak pengurusan perpustakaan atau lebih tepat, langsung bertemu dengan invidu yang bertanggungjawab ke atas perlaksanaan sistem locker baru tersebut. MPP berusaha mendapatkan penjelasan tentang penggunaan sistem ini dan caj yang hendak dikenakan. Banyaklah yang disampaikan, katanya, tapi kita kena tunggu penjelasan secara rasmi dikeluarkan kelak. Jadi SPF, bersabarlah ya.
Oh ya, ada lagi yang AC rasa perlu dikongsikan di sini. Ia penting bagi menunjukkan perbezaan antara pihak yang buat kerja dan benar-benar menjaga kebajikan pelajar dengan pihak yang selalu nak tangguk di air keruh atau mudah katanya, nak ambil peluang.
Daripada saudara YDP kita, AC dapat tahu bahawa jika diikutkan perancangan asal, caj 40 sen tersebut sudah pun dilaksanakan pada waktu ini. Tetapi pihak MPP dengan kerjasama semua pihak yang terlibat telah memohon supaya pihak perpustakaan menangguhkannya sehingga ke semester depan. Di sini, tahulah AC bahawa caj tersebut berkemungkinan besar tetap akan dilaksanakan dengan alasan-alasan yang tersendiri. Sama-samalah kita nantikan penjelasannya.
Sebelum mengundur diri, AC juga ingin menyentuh berkenaan analisa daripada soal selidik yang dilakukan oleh SPF. AC tabik dengan inisiatif mereka. Malangnya, AC berasakan survey tersebut tidak wajar digunakan sebagai kayu ukur yang absah kerana beberapa keadaan yang meragukan. Sebagai contoh, tinjauan yang dibuat mungkin bias seperti hanya tertumpu dalam kalangan geng mereka sahaja.
Kita juga tidak tahu, adakah tinjauan mereka seimbang. Mereka menganalisa hasil tinjauan tersebut dengan angka-angka tertentu, tetapi kita langsung tidak ditunjukkan bentuk-bentuk soalan yang digunakan. Kita juga tidak ditunjukkan apakah responden mereka ialah pengguna tegar perpustakaan atau yang sekali sekala saja berkunjung ke sana.
AC bukanlah hendak mempertikaikan usaha mereka, tetapi sebagai warga USM, mahukah kita terus-terusan di takah yang sama tanpa melaksanakan sebarang pembaharuan? Mahukah kita hari-hari tengok rak kayu yang uzur tersebut untuk sepuluh atau dua puluh tahun akan datang? Lambat laun, kita tetap kena berubah. Masanya sudah sampai dan perubahan itu berlaku pada hari ini, pada waktu kita adalah warga penuntutnya, jadi terimalah dengan minda yang celik.
AC berharap rakan-rakan berfikiran terbuka dalam hal ini. Tidak salah untuk menongkah arus, tetapi kenapa sampai mengkritik pembaharuan di universiti sendiri? Di sini kita punya cara yang tersendiri, bukan untuk orang lain tetapi untuk kebaikan warga USM juga.
Akhir kata, boleh saja juga kalau SPF dan rakan-rakan tidak mahu menggunakan sistem locker tersebut, tapi tolonglah jangan serabutkan mata kami dengan meletakkan bagasi anda di atas rak. Nampak bersepah dan menyakitkan mata yang memandang.
Jangan Terpengaruh Dengan Gesaan Berhimpun Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Mahasiswa USM diseru supaya tidak terpengaruh dengan penyebaran artikel haram yang mengajak para pelajar menyokong pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melalui kes yang melibatkan seorang bekas penuntut yang akan diperdengarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.
Soh Sook Hwa, yang pernah dikenakan hukuman denda sebanyak RM 200 oleh pihak universiti di bawah peruntukan AUKU selepas didapati bersalah kerana terlibat secara langsung dalam pilihan raya umum pada tahun 2004 telah memfailkan dokumen di mahkamah bagi mencabar kesahihan peruntukan terbabit.
Selepas beberapa tahun, pihak mahkamah akhirnya menerima permohonan Soh bagi memulakan perbicaraan yang dijangka berlangsung pada 29hb Mac 2010 iaitu esok. Menurut artikel itu lagi, asas tuntutan Saudari Soh adalah daripada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan kepada setiap warganegara yang berumur 21 tahun ke atas untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan politik.
Kita seharusnya tidak terkeliru dengan permainan segelintir pihak yang cuba memesongkan fakta kerana sebagai mahasiswa, kita sepatutnya boleh berfikir tentang kerelevanan dan tujuan AUKU digubal. Ia juga sebenarnya sudah dirombak dan perlaksanaannya pada hari ini adalah berdasarkan kepada penambahbaikan yang telah dilakukan pada tahun lepas.
Pihak universiti baru-baru ini juga telah mengeluarkan kenyataan yang meminta supaya para pelajar tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan pihak-pihak lain. Pada masa yang sama, di bawah autonomi sebagai Universiti APEX, USM sendiri sedang dalam proses merangka perlembagaan baru bagi menggantikan AUKU yang dilihat mampu memenuhi tuntutan-tuntutan ‘tertentu’ daripada segelintir mahasiswanya.
Justeru AC mengambil kesempatan ini untuk menyeru sekali lagi kepada rakan-rakan semua supaya berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Adalah merugikan jika tindakan hari ini hanya mengancam masa depan sendiri.
* Artikel ini adalah jawapan balas kepada artikel Pindaan Auku dalam buku Black or White Edisi 7 yang diterbitkan oleh SPF USM baru-baru ini.
Minda yang kritis tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya mereka yang mampu menujah upaya fikir ke tahap yang kritikal saja berkemungkinan menjana idea-idea yang kritis.
Menurut Ishak Ramly, tahap berfikir manusia biasanya terbahagi kepada rendah, sederhana dan tinggi. Upaya berfikir juzuk tinggi akan menemukan seseorang kepada hakikat atau kebenaran yang sejati, sementara upaya fikir juzuk rendah memungkinkan jawapan yang bersifat permukaan saja ditemukan, atau lebih tepat berujukan terus pada konteks. Semua ini tunjangnya adalah kepada apa-apa yang disifatkan sebagai; tersurat, tersirat dan hakikat.
Juzuk rendah – tersurat
Juzuk sederhana – tersirat
Juzuk tinggi – hakikat
Walau bagaimanapun menurut de Bono (1970), pemikiran yang kreatif dan kritis sememangnya berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Ia sesuatu yang berlaku dengan sendiri dan bukan disengaja-sengajakan. Benarkah pandangan ini? Kita lihat pula definisi daripada kamus Webster’s (1976). Maksud yang diberikan ialah, “the ability to bring something new existence”. Adakah pandangan ini tepat dari jurus pandang ‘alami? Kelihatan ia seolah-olah memberikan makna bahawa kreativiti itu adalah satu kebolehupayaan membawakan sesuatu yang baru sama sekali, yakni daripada tiada kepada ada.
Sementara Hassan (1989) dan Nik Azis (1994) pula memberikan pendifinisian yang lebih literal. Menurut kedua-duanya, terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin – seperti biasa, ia datang dari lubuk segala perkataan dalam peradaban manusia – iaitu ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ atau ‘to make’. Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘krainein’ yang membawa pengertian ‘memenuhi’. Sementara dalam bahasa Inggeris perkataan yang digunapakai ialah ‘create’ atau ‘cipta’ dalam Bahasa Melayu.
Kita lihat pula pandangan yang dikemukakan oleh seorang lagi tokoh pemikir iaitu Torrance (1974). Apa kata beliau?
"To cause to exist, bring into being, originate, to give rise, bring about, produce, to be first to potray and give chraracter to a role or part creation : An original product of human invention or imagination.
A process of becoming sensitive to problems, defiencies, gaps in knowledge, missing elements, disharmonies and so on; identifying the difficult; searching for solutions, making guessess or formulating hypotheses about the defiencies; testing and retesting these hypotheses and posibly modifying and retesting them and finally communicating the results.
Berdasarkan pandangan-pandangan ini, kita tidak mempunyai pilihan lain selain menerima hakikat bahawa upaya berfikir manusia sememangnya boleh mencapai tahap yang tertinggi sehingga mampu meng‘ada’kan sesuatu yang sebelumnya tiada. Ia harus bermula dengan idea yang lahir dan dijana oleh pemikiran yang setakah lebih ke hadapan daripada biasa. Hal ini sekaligus membenarkan pernyataan yang biasa kita dengar iaitu “kejayaan dicipta oleh manusia biasa yang berfikir secara luar biasa”. Hanya mereka yang berani menujah mindanya sekeras mungkin mampu menerbitkan idea-idea atau pemikiran yang baru, segar dan malar, langsung jauh daripada nilai-nilai klise ataupun streotaip.
Dan apabila kita bercakap tentang mahasiswa universiti – sebentar lagi saya akan kecilkan skop kepada hanya di USM – kita memandang pada satu realiti iaitu golongan ini telah diberikan persepsi oleh umum sebagai golongan yang mempunyai pemikiran-pemikiran yang sentiasa segar dan baru. Adakah ini benar atau relevan? Pandangan atau persepsi ini bukan baru. Ia memang sudah terpasak kukuh dalam kalangan masyarakat. Bahkan, pada satu-satu situasi, golongan mahasiswa akan diberikan penghormatan yang wajar sekali oleh masyarakat luar. Cubalah mahasiswa masuk ke kampung-kampung dalam perkumpulan-perkumpulan tertentu, saya yakin anda akan dikalungkan dengan rasa hormat yang tidak kecil oleh orang-orang kampung tersebut.
Di USM, mahasiswa dibenarkan berbudaya kreatif dan kritis. Bahkan menjadi satu tuntutan pula kepada setiap diri mahasiswa itu untuk tampil sebagai pencetus idea-idea baru sesuai dengan status sebagai pemimpin, We Lead. Tidak benar jika ada individu-individu atau perkumpulan tertentu yang mengatakan suara mahasiswa disekat di dalam mahupun di luar kampus. Tidak benar juga jika ada yang mendakwa mahasiswa hari ini lesu dan tidak berdaya fikir yang hebat dan bisa menggegarkan komunitinya, bahkan dunia. Mereka yang berpersepsi sedemikian acap kali tampil dengan hujah kononnya AUKU-lah yang telah melesukan minda para mahasiswa hari ini. Benarkah begitu?
Lesu yang bagaimana? Frasa mana yang jelas menjadi faktor atau penyebab kelesuan mahasiswa hari ini? Dah diselak habis-habiskah setiap baris ayat dan patah kata dalam AUKU? Dalam edaran buku haram Black and White oleh SPF baru-baru ini, pihak editorial secara tidak bertanggungjawab telah mengeluarkan pandangan sempit mereka dengan mendakwa AUKU telah merendahkan kualiti pelajar universiti, bahkan turut juga menjejaskan kedudukan universiti dalam pencapaian akademik dan lapangan kajian. Pihak editorial juga mendakwa kononnya, AUKU diwujudkan hanya untuk menyekat mahasiswa daripada menyertai parti politik yang menentang kerajaan, atau tepatnya, pembangkang. Adakah ini benar? Adakah mahasiswa dibenarkan menyertai UMNO, MIC atau MCA (maaf sekadar menyebut beberapa contoh sahaja) kerana parti-parti ini berada di pihak kerajaan yang memerintah?
Selain itu, buku haram ini juga mendakwa AUKU telah memenjarakan kelibat mahasiswa daripada pandangan umum atau masyarakat. Kononnya, AUKU itu lebih bersifat tembok yang memisahkan mahasiswa daripada bersosial, melemahkan kuasa sosial sivil dan hanya mengutungkan pihak kerajaan iaitu dengan mengukuhkan kuasa dan kedudukannya. Kesimpulan oleh mereka mudah, iaitu, AUKU memang tidak bertujuan untuk melindungi pelajar. Pada saya, inilah contoh pemikiran sempit mahasiswa yang terdesak dan gagal mencari kuasa kreatif mereka. Mereka inilah golongan yang sentiasa memandang sesuatu dari jurus pandang yang prasangka, yang dangkal dan tidak proaktif. Apakah justifikasi mereka?
Dalam artikel yang diberi judul Pindaan AUKU seperti yang dimuatkan dalam buku haram tersebut, keseluruhan hujah atau dalil yang dikemukakan oleh editorial adalah berkaitan dengan satu seksyen sahaja, iaitu seksyen 15 yang hadir dengan kurungan-kurungan tertentu. Dalam seksyen ini, sebelum pindaan dibuat baru-baru ini, menyatakan tentang had-had atau limitasi penyertaan mahasiswa dalam kegiatan sosial. Misalnya, Seksyen 15(2) menyatakan bahawa mana-mana pertubuhan atau persatuan pelajar di dalam kampus tidak boleh bergabung dengan mana-mana pertubuhan di luar seperti NGO dan sebagainya jika tidak mendapat kelulusan bertulis daripada Naib Canselor.
Bagaimanapun, selepas pindaan dibuat, hal ini telah berubah sama sekali. Semua persatuan dan pertubuhan pelajar sudah diberikan kelonggaran untuk menyertai atau bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan di luar kampus kecuali parti-parti politik atau persatuan dan pertubuhan yang diharamkan oleh pihak berkuasa khususnya yang berpotensi menimbulkan suasana tidak aman terhadap masyarakat. Hal ini sudah jelas. Bahkan rakyat Malaysia sendiri tahu akan kewujudan sekian banyak badan NGO atau persatuan-persatuan dan gerakan yang tidak selari dengan undang-undang negara. Inilah yang sebetulnya cuba dielakkan daripada berlaku, dan AUKU itu pula adalah garis panduan yang telah dipersetujui oleh Parlimen Malaysia untuk digunapakai sebagai langkah kawalan dan pencegahan.
Saya tidak berhajat menyentuh secara panjang lebar tentang perkara ini kerana pada pandangan saya, golongan mahasiswa seharusnya celik dan mampu memahami kenapa AUKU digubal dan kemudiannya dipinda tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan peruntukan perkara yang menghalang para pelajar daripada terlibat dengan parti-parti politik, pertubuhan haram dan sebagainya lagi. Perkara ini juga sebenarnya sudah jelas terang. Ia hanya dimainkan oleh segelintir pihak yang begitu dangkal dan rela dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu di luar kampus.
Poin saya di sini sebenarnya adalah untuk membangkitkan kembali persoalan adakah AUKU telah melesukan mahasiswa sebagaimana yang didakwa oleh SPF dalam buku haram tersebut? Daripada artikel tersebut, jelas sekali tuntutan mereka supaya AUKU dimansuhkan hanya dibuat berdasarkan kepada satu seksyen sahaja daripada keseluruhan AUKU itu sendiri. Kenapa begitu radikal? Itu pertanyaan saya yang belum terjawab sehingga kini. Sememangnya untuk memansuhkan terus AUKU hanya kerana ia menghalang penglibatan mahasiswa dalam arena politik luar kampus, ia samalah seperti membuang sepinggan nasi kerana ada sebiji padi didalamnya yang belum dikupas. Adakah ia satu tindakan yang cerdik dan menguntungkan?
Saya juga ingin bertanya, adakah SPF benar-benar mendukung demokrasi kampus seperti yang didakwa oleh mereka? Adakah SPF benar-benar berada bersama mahasiswa dalam setiap aktiviti atau program yang dijalankan? Saya pernah menyertai sekian banyak program baktisiswa termasuk di peringkat perdana. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya dapati hanya sebilangan kecil sahaja golongan pelajar Cina dan India di USM yang berminat dengan program-program kemasyarakatan sebegini. Jika benar AUKU menghalang mahasiswa daripada bersosial dan bermasyarakat, kenapa aktiviti sedemikan masih boleh dijalankan? Kalau benar anda mahu bersama masyarakat, kenapa tidak turut serta dalam program-program tersebut?
Sosial sivik yang bagaimana anda inginkan? Atau demokrasi metod apakah yang anda cita-citakan? Demokrasi yang bebas mengkritik usaha kebajikan orang lain? Atau demokrasi yang sentiasa skeptikal dengan pembaharuan dan kemajuan yang dibuat oleh pemerintah amnya dan pihak universiti khususnya? Jika benar itu yang anda inginkan, maka wajarlah AUKU terus dikuatkuasakan bahkan mungkin lebih patut diperketatkan lagi suapaya setiap pelajar lebih bersedia untuk keluar sebagai produk yang yang berkualiti, kreatif dan kritis, dan bukannya yang sentiasa radikal dan mahu menentang pihak yang tidak searus dengan pemikiran mereka.
Selain itu, saya juga tidak nampak apakah pertimbangan yang mereka gunakan sehingga mendakwa AUKU telah mengokong pemikiran pelajar. Hampir setiap hujah yang dikemukakan dalam artikel tersebut pasti akan menyentuh hal-hal politik sedangkan, dalam segenap bidang yang lainnya, mahasiswa sentiasa diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyatakan idea dan pemikiran mereka. Lihat sebagai contoh, program Minggu Lestari yang pernah dianjurkan oleh MPP sidang lepas. Banyak sekali aktiviti yang dijalankan yang semuanya baru dan tidak pernah diadakan sebelum ini. Bahkan, USM adalah yang pertama menganjurkan program Earth Hour di negara ini semasa Minggu Lestari diadakan. Adakah ini simbol kepada pengokongan minda seperti yang didakwa? Dimanakah kelibat SPF waktu itu?
Justeru apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah, pihak Pro-Mahasiswa khususnya SPF, sememangnya tidak pernah memahamai apakah AUKU dan kenapakah ia penting. Mereka hanya berfikiran selapis dan hanya melihat kekangan politiking sahaja. Mereka juga langsung enggan bertolak ansur dengan usaha-usaha pindaan yang telah dibuat sebaliknya tetap berpendirian ia mesti dihapuskan. Adakah mereka dangkal? Ya, sudah semestinya. Dangkal bahkan sempit sama sekali.