Thursday, February 13, 2014
SARAWAK DAPAT KETUA MENTERI BAHARU
Thursday, July 11, 2013
Doa Hari Kedua Ramadan
| Doa Hari Kedua Ramadan |
Wednesday, February 1, 2012
Siapa perlu sokongan - Israel atau Palestin?
Oleh Noraini Razak
SEGALA-galanya bermula pada 1948. Imbasan selama 64 tahun itu sememangnya amat panjang terutamanya bagi penduduk Palestin. Lebih perit lagi tidak diketahui bilakah kesengsaraan yang dicipta oleh satu kuasa bernama Israel itu akan berakhir.
Mungkinkah akan ada penghujung kepada penderitaan manusia yang terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri? Mahukah rejim Zionis keluar dari bumi Palestin yang mereka namakan Israel itu? Atau cahaya di hujung terowong bagi rakyat Palestin telah dipadamkan pada 1948 dan tidak mungkin akan menyala lagi?
Dalam keadaan sokongan terhadap Israel semakin menjadi-jadi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula dirantai 'tangan dan kaki', tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang masa depan penduduk Palestin.
Dunia berkongsi kesedihan. Paparan kanak-kanak, orang muda, warga tua disembelih, ditembak malah disiksa dengan kejam tidak pernah disembunyikan. Dunia juga menjadi saksi bagaimana hampir sejuta penduduk Palestin dihalau keluar dari negara sendiri pada 1948. Bukan saja harta dan tanah mereka dirampas, malah bumi Palestin ditukar menjadi Israel.
Dan sejak daripada tarikh itu Palestin adalah Israel. Penduduk asal terpaksa menjadi pelarian, sebahagian merempat di negara jiran. Malah ada yang bertebaran di serata pelosok dunia. Dalam pada Palestin semakin mengecil menjadi serpihan, Israel pula meluaskan empayar.
Biar pun dunia mengutuk, PBB memberi kata dua, namun Israel kebal. Israel kebal kerana adanya sokongan kuasa besar. Israel menjadi 'anak emas' Amerika Syarikat, antara negara pemegang kuasa veto di PBB.
Israel kebal kerana kelemahan negara-negara Islam bersatu sehingga memberi ruang yang amat besar kepada rejim Zionis itu bermaharajalela. Pemimpin Islam bertelagah - mereka keliru Hamas atau Fatah, apa pula akan jadi kepada Gaza dan Tebing Barat.
Tidak cukup merampas bumi Palestin, membunuh penduduk di situ, rejim Zionis memanjangkan kezaliman di bumi Lebanon. Tragedi pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila menambah dalam luka yang tidak sempat berparut di kalangan rakyat Palestin. Tragedi 15 September 1982 itu amat jelas menunjukkan siapakah Israel dan setakat mana kesungguhan mereka mahu menamatkan keturunan Palestin daripada muka bumi ini.
Saya pernah bertemu seorang sukarelawan yang pernah berkhidmat di kem pelarian Palestin di Beirut. Dr. Ang Swee Chai antara sukarelawan yang menyaksikan kekejaman tentera Israel mengepung kira-kira 3,000 pelarian Palestin kebanyakannya kanak-kanak dan wanita sebelum membunuh mereka.
Bayangkan khemah pelarian menjadi kubur besar angkara kekejaman Israel. Bagi Dr. Ang yang menganut agama Kristian, tiada siapa boleh memberi sokongan kepada Israel. Tiada siapa perlu menghormati Israel. Tiada siapa juga harus mengiktiraf Israel jauh sekali membuka mulut untuk menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan rejim Zionis itu.
Apakah kesudahannya apabila penubuhan negara Israel terus mendapat pengiktirafan sedangkan negara Palestin semakin tidak nampak bayangnya. Pemimpin dunia berbalah tentang perlukah diadakan negara Palestin. Mereka tidak berbalah tentang kewujudan Israel di atas tanah dan darah rakyat Palestin. Perkembangan mutakhir juga menyaksikan betapa Israel kini umpama raja. Dilayan kerana kuasa pelobi Yahudi yang amat kuat sehingga menenggelamkan air mata dan suara penduduk Palestin.
Apatah lagi apabila ada individu di negara kecil seperti Malaysia terang-terangan memperakui sokongan terhadap sebarang usaha untuk melindungi keselamatan Israel. Tentu rasional sokongan itu selayaknya dipersoalkan kerana negara Israel itu sendiri tidak pernah wujud sama sekali biar peta dunia mengiktirafnya.
Perlukah sesuatu yang tidak wujud dilindungi keselamatannya sedangkan mereka yang menderita menjadi pelarian tidak pernah dihiraukan keselamatannya.
Bukankah segala usaha melindungi keselamatan rakyat Palestin yang ditindas, dibunuh, disiksa dan dinafikan haknya itu mesti disokong. Israel adalah perampas yang menyebabkan rakyat Palestin berintifada bersenjatakan batu-batan mahu merampas kembali tanah yang dijajah.
Justeru siapa yang selayaknya dilindungi keselamatan - Israel atau Palestin?
Keselamatan Israel yang bagaimana mahu dilindungi sedangkan rejim Zionis itu diketahui umum mendapat pelindungan kuasa-kuasa besar dunia. Perlukah Israel kepada sokongan negara kecil, jika perlu apa pula muslihatnya.
Apa pun alasannya atau ada klausa lain selepas satu ayat yang amat nyata dan jelas disiarkan Wall Street Journal itu, sokongan terhadap keselamatan Israel sememangnya tidak perlu dilontarkan.
Tiada siapa mahu memutar-belitkan ayat yang tersusun begitu cantik. Nah sudah terbukti Israel sememangnya tidak menghormati aspirasi Palestin, apa matlamat atau niat sokongan terhadap semua usaha melindungi keselamatan Israel itu dizahirkan.
Penderitaan penduduk Palestin bukan sehari dua. Bukan juga setahun dua tetapi menjangkau 64 tahun. Apakah pelindungan yang mereka perolehi selama tempoh tersebut.
Apakah jaminan dunia bahawa serpihan tanah yang mereka miliki sekarang akan terus menjadi milik mereka. Sedangkan Israel yang sewenang-wenangnya mencabul segala undang-undang antarabangsa tidak pernah sama sekali dihadapkan ke muka pengadilan.
Ketika gelombang hak asasi manusia merempuh batasan sempadan dunia, Palestin terkecuali. Palestin tiada tempat untuk hak asasi manusia. Tiada siapa peduli tentang hak asasi mereka sebagaimana prihatinnya dunia mengisi keperluan lesbian, gay, biseksual dan transeksual.
Saturday, January 28, 2012
Tolak Budaya Seks Songsang Dan Bebas

Lelong Baucer Cemar Imej Mahasiswa

Oleh Team Aspirasi Corner
Terdapat beberapa isu berbangkit selepas penyerahan Baucer Buku 1Malaysia dilaksanakan secara berperingkat baru-baru ini. Antaranya, mekanisme penggunaan baucer empat keping bernilai RM50 setiap satu itu dan jaminan tiada manipulasi oleh pihak tertentu ke atas penerima iaitu para penuntut institut pengajian tinggi (IPT) termasuk para pelajar tingkatan enam di seluruh negara.
Namun, di sebalik semua kebimbangan itu, tidak semena-mena kita dikejutkan pula dengan tindakan segelintir mahasiswa melelong baucer-baucer yang diterima pada harga lebih rendah di Internet. Jelas, ia satu tindakan yang amat tidak wajar dan membelakangkan hasrat pihak kerajaan untuk membantu kita semua mengurangkan beban pembelajaran masing-masing.
Baucer-baucer tersebut seharusnya ditebus dengan membeli buku-buku yang diperlukan sebagai material kuliah, bukannya sebagai jalan untuk mengaut untung segera yang bersifat sementara. Ia bukan sahaja tindakan yang tidak beramanah, malah mencemarkan integriti golongan intelektual di negara ini khususnya dalam kalangan penuntut IPT.
Walaupun dianggap sebagai kes terpencil, kita seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan tidak bertanggungjawab ini. Pihak kerajaan melalui konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah berusaha membantu meringankan kos pengajian yang perlu ditanggung oleh kita selama ini termasuk melalui pemberian baucer buku tersebut. Justeru tidak adil sekiranya kita cuba mencari keuntungan peribadi sehingga menafikan matlamat murni yang hendak dicapai.
Akhir kata, kami mengalu-alukan sebarang tindakan undang-undang ke atas individu yang terlibat sebagai pengajaran kepada kita semua. Semoga ia menjadi pengajaran berguna kepada seluruh warga penuntut di negara ini.
Wednesday, January 18, 2012
Mahasiswa Pemangkin Masyarakat Moderat Malaysia

Oleh Team Aspirasi Corner
Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang berpangkalan di Sydney pada 2011 melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-19 daripada 153 negara sedunia yang berjaya mengekalkan suasana aman dan kestabilan politiknya. Institut tersebut yang turut bertanggungjawab mengeluarkan Global Peace Index 2011 malah meletakkan Malaysia jauh lebih baik daripada negara-negara serantau termasuk Singapura dalam indeks keamanan dan politiknya.
Menurut komentar daripada Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) yang berpangkalan di UKM, Anis Yunal Yusoff, pencapaian besar ini sebahagiannya disumbangkan oleh faktor ‘kesepaduan sosial’ yang semakin baik dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejak 54 tahun yang lalu.
Pun begitu, hasrat besar untuk melihat perpaduan yang unggul dalam kalangan rakyat sebenarnya masih belum dicapai sepenuhnya. Suasana yang sedang kita saksikan kini mungkin suatu percampuran masyarakat berasaskan formula lama iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971. Namun, apabila dasar tersebut luput pada tahun 1990, usaha menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum menggunakan formula dan rumus sosioekonomi itu, jelas masih gagal.
Hal yang sama turut berlaku selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 dengan teras utamanya ialah pembentukan Bangsa Malaysia. Jangkaan pembentukan perpaduan ini akan berlaku apabila negara memasuki tahun 2020 dengan semua anggota masyarakat memakai identiti sebagai Bangsa Malaysia tanpa sedikit pun melupuskan nilai-nilai jati diri dan asal-usulnya.
Wawasan 2020, dari satu sudut, sedikit sebanyak berjaya merobah penampilan negara ini khususnya pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun perubahan tersebut lebih banyak berlaku dalam bentuk fizikal dan budaya di mana kerancakan pembangunan material dan asimilasi budaya baharu telah menyerapi sebahagian besar anggota masyarakat terutamanya di bandar-bandar besar. Dalam pada itu, dapat dikesan sebaliknya bahawa jurang perpaduan antara kaum tidak mengecil selain ditambah oleh sisih nisbah ekonomi yang semakin membesar membabitkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India di negara ini dengan kita tinggal kurang lapan tahun lagi menjelang 2020.
Sekali imbas, ia mungkin menterjemahkan semula kegagalan formula DEB di sebalik usaha menerapkan semangat dasar tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya orang Melayu yang benar-benar menyerap semangat DEB atas faktor menjaga hak-hak keistimewaan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding kaum lain yang lebih berusaha menguasai ekonomi dan lain-lain sektor. Hasilnya, seperti yang kita lihat, situasi tersebut telah menyemai pelbagai sentimen negatif meskipun hasrat awal DEB adalah untuk kebaikan semua kaum dengan cara menyusun semula struktur ekonomi dan sosiobudaya masyarakat dalam sebuah negara yang baru mengecap kemerdekaan ini.
Justeru baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggagaskan pula konsep 1Malaysia untuk merangsang masyarakat negara ini ke arah perpaduan. Konsep ini menekankan semangat wasatiyah atau kesederhanaan dalam segenap segi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang moderat. Usaha ini seharusnya menjadi mudah kerana rakyat sudah pun memiliki asas perpaduan yang ditinggalkan melalui semangat DEB dan Wawasan 2020 yang dibawakan oleh pimpinan terdahulu, dengan kunci utamanya ialah ‘kesepaduan sosial’ itu sendiri.
Kesepaduan sosial atau social cohesion, menurut Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, telah menjadi kunci kepada konsep equilibirium yang ingin dicapai dalam konsep masyarakat moderat Malaysia sejak 42 tahun yang lalu, atau pasca rusuhan kaum pada Mei 1969. Tegas beliau, sebuah masyarakat moderat hanya mampu dicapai melalui perpaduan dan Malaysia sudah pun memegang anak kuncinya (kesepaduan sosial) sehingga ia menjadi contoh kepada banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Justeru sebagai anggota masyarakat yang lahir selepas 1957, kita selaku mahasiswa yang membentuk sebuah komuniti besar dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama serta budaya ini haruslah memainkan peranan aktif dengan menjayakan hasrat yang diidam-idamkan selama ini iaitu perpaduan unggul di Malaysia. Kita mempunyai ruang dan peluang yang cukup besar berbanding masyarakat di luar kampus untuk menjayakan hasrat tersebut selagi mana kita berpegang kepada nilai-nilai kesederhanaan dan saling menghormati.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadi asas kepada sebuah masyarakat moderat Malaysia. Mari kita mulakan hari ini, di sini!
Sunday, January 15, 2012
Kebebasan Bersuara Hanya Retorik Kosong

“POLITIK adalah sesuatu yang tidak pasti, hakikatnya politik ini bertukar setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.”
Seperti kata Datuk Dr. Hassan Ali itu, itulah juga yang berlaku ke atas dirinya. Perjuangan beliau selama 15 tahun bersama PAS akhirnya dinoktahkan melalui pemecatan keahliannya oleh pucuk pimpinan tertinggi parti baru-baru ini.
Dari satu sudut, pemecatan beliau itu tidaklah mengejutkan . Menjadi tanggungjawab pemimpin tertinggi untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga nama baik parti daripada perbuatan tidak senonoh ahlinya sendiri.
“Pecatlah…laki bini lagi bercerai. Tidak ada parti atas muka dunia ini yang tidak pernah pecat ahlinya yang tidak senonoh.” Demikian ulasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas pemecatan tokoh ilmuan tersebut.
Dalam kes bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu, beliau dipecat kerana dilihat sering mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak selari dengan polisi semasa parti di samping terlalu obses dengan perjuangan membela agama Islam, bangsa Melayu dan institusi beraja di Malaysia.
Tindakan-tindakan tersebut telah dianggap sebagai tidak menguntungkan parti secara keseluruhan khususnya dalam usaha merebut kuasa pada PRU ke-13 kelak.
Kami tak berminat nak sentuh panjang lebar berkenaan isu tersebut. Biarlah mereka menguruskan rumah tangga yang dihuni dengan cara mereka sendiri. Tetapi kami tertarik untuk mengetengahkan satu perkara penting di sini iaitu kebebasan bersuara dalam sesebuah parti politik di negara ini.
Kes yang membabitkan Dr. Hassan Ali bukanlah yang pertama dan mungkin bukan yang terakhir untuk dijadikan contoh bahawa kebebasan bersuara yang sebenar tidak pernah diamalkan dalam mana-mana parti politik kita, melainkan jika ia bertujuan untuk menyerang pihak lawan.
Dalam erti kata yang lebih mudah, kritik musuh boleh, tapi bukan parti sendiri.
Justeru di manakah rasionalnya tuntutan bahawa kebebasan bersuara dan berpolitik mahasiswa akan lebih terjamin sekiranya mereka dibenarkan menjadi ahli parti politik?
Fikirkan sejenak. Kita bukan sahaja terpaksa membataskan suara, malah perlu patuh dengan perlembagaan parti yang lebih ketat berbanding AUKU termasuk perintah orang atasan. Usah sesekali terfikir untuk mengkritik secara terbuka terhadap pemimpin parti, atau kamu bersedia saja dikenakan tindakan. Ia umpama sengaja masuk mulut buaya!
Hal ini berbeza jika kita kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama, tetap turut serta dalam hal-hal berkaitan isu semasa dan politik. Kita boleh mengkritik atau mengemukakan teguran terhadap sesebuah parti tanpa perlu memikirkan implikasi dikenakan sebarang tindakan.
Jadi rakan-rakan siswa dan siswi sekalian, fikir-fikirkanlah. Politik memerlukan seni retorik, dan retorik tanpa seni berpolitik, ialah omong kosong. Gunakan hak berfikir dengan baik sebelum bersuara. Bagi kami, kekal berkecuali itu sebenar-benar nikmat AUKU.
Fahami Tafsiran Kebebasan dalam Perkara 10
Beberapa insiden belakangan ini melibatkan sekumpulan mahasiswa antiestablishment yang kononnya cuba memperjuangkan kebebasan akademik dan politik seharusnya menimbulkan pelbagai pertanyaan. Antaranya, apakah kebebasan sebenar yang dimahukan oleh mereka? Sejauh manakah mereka memahami kebebasan yang sedang diperjuangkan itu? Benarkah kebebasan mutlak wujud di negara ini?
Apa yang pasti, setiap kali timbul isu-isu begini, mereka akan tampilkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai dalil utama untuk menyokong setiap kegiatan yang dilakukan. Perkara 10 jika mengikut tafsiran mereka, bermakna setiap warganegara Malaysia berhak mengamalkan kebebasan bersuara, berhimpun dan menganggotai apa-apa sahaja organisasi atau persatuan.
Malangnya, ramai yang tidak tahu bahawa tafsiran tersebut hanya menggunapakai Perkara 10 Fasal (1) sahaja, itupun tidak dibaca dengan lengkap. Perkara 10 (1) sebenarnya telah menetapkan kebebasan melalui klausa “Tertakluk” yang membawa maksud ia masih bersyarat dengan Fasal-fasal (2),(3) dan (4) dalam Perkara yang sama.
Ini yang sepatutnya dibacakan; Perkara 10
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3), dan (4) --
(a) Tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) Semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) Semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan --
(a) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, kententeraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam.
(c) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh Perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.
(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubungan dengan perlaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Berdasarkan peruntukan-peruntukan ini, penting untuk kita fahami bahawa kebebasan yang diberikan itu adalah bersyarat atau ada batasannya. Parlimen sebagai institusi tertinggi yang bertanggungjawab menggubal undang-undang negara mempunyai kuasa untuk menetapkan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan bersesuaian demi menjaga keselamatan awam.
Sekatan-sekatan ini diturunkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakannya. Dalam hal ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan antara pihak yang dimaksudkan menerima kuasa dalam menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat awam. Namun, PDRM tidak pula memiliki kebebasan mutlak dalam bertindak. Selain melalui peruntukan undang-undang yang khas, mereka juga terikat dengan standard operasi sendiri dalam melaksanakan sesuatu sekatan atau tindakan.
Contohnya, sesuatu perhimpunan yang melibatkan lebih daripada lima (5) orang di tempat awam perlu mendapatkan permit secara langsung daripada pihak polis. Namun, dalam insiden malam tahun baru di UPSI yang lalu, jelas sekali pihak penganjur perhimpunan gagal membuat permohonan. Malah, ia sengaja diadakan secara haram atas nama kebebasan berhimpun berdasarkan Perkara 10 ini. Justeru pihak polis tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah bertindak berlandaskan peruntukan sedia ada bagi mencegah sesuatu perhimpunan yang dilakukan secara haram.
Malah, dalam insiden tersebut juga, peserta perhimpunan didapati bertindak di luar batasan seperti memperapikan suasana melalui provokasi liar dan keras, berbaring di atas jalan raya hingga mengganggu lalu lintas, memecahkan cermin pintu sebuah poliklinik dan cuba menceroboh UPSI dengan memanjat pintu pagarnya . Tindakan-tindakan ini dilihat keterlaluan dan perlu dihalang demi menjaga keselamatan dan keharmonian awam.
Kesimpulan kami ialah,pertama, Perkara 10 sememangnya memberikan kebebasan kepada setiap warganegara untuk berhimpun dan bersuara tetapi ia sebenarnya masih terikat dengan sekatan-sekatan lain demi keselamatan dan keharmonian masyarakat awam. Kedua, tidak ada kebebasan mutlak di negara ini, malah tiada negara di dunia yang mewartakan hal tersebut. Ketiga, setiap Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca bersama dengan Perkara lain jika dinyatakan dan janganlah sesekali membuat tafsiran semberono.
Saturday, August 27, 2011
Sakitkah Anak-anak Muda Hari Ini?
Setiap kali tiba Hari Kemerdekaan, maka kedengaranlah juga satu dua pandangan yang mendakwa anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan negara. Kononnya, nilai patriotisme dalam diri golongan muda kian menyusut. Pelbagai contoh dikemukakan seperti gelagat remaja berpeleseran pada malam kemerdekaan, lumba haram, zina dan sumbang mahram dan sebagainya lagi. Sedikit sebanyak, pandangan-pandangan ini telah menjerumuskan masyarakat secara umum ke dalam suatu persepsi bahawa golongan remaja dan anak muda menghadapi gejala yang sama – tiada jati diri!
Kami tidak mahu mengiyakan atau menafikannya kerana sesiapa pun boleh melontarkan pandangan dalam sistem demokrasi di negara ini. Tetapi kami ingin mengajak rakan-rakan sekalian khususnya para Mahasiswa Apex untuk sama-sama membuka minda dan melihat gelojakan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini terutamanya yang membabitkan golongan ini dari sudut pandang yang lebih adil dan praktikal.
Pertama, kami secara kolektif berpendapat, dan merumuskan bahawa, di luar sana masih ada sejumlah besar anak muda yang memahami erti kemerdekaan dan mereka juga menghayati ruang kemerdekaan itu. Mungkin kaedah penghayatan itu tak sama dengan segolongan yang lain seperti generasi awal dan para cendekiawan yang bercakap-cakap itu, tetapi mereka juga merupakan sebahagian daripada output kemerdekaan dalam bentuk yang tersendiri, terdidik dan terbudaya dalam korpus yang mungkin berbeza tetapi pada akarnya, mereka masih punya jati diri!
Adilkah jika kita membentangkan satu dua contoh kemudian terus membuat rumusan yang bersifat mutlak? Jika dalam uji kaji makmal, ia mungkin suatu langkah terdesak untuk mencipta sesuatu hasilan tetapi dalam konteks sosial, ia adalah suatu tindakan yang cukup dangkal sekali. Misalnya, di sebuah kampong ada kes kecurian motosikal. Si pencurinya berjaya ditangkap dan mereka dikenalpasti sebagai anak-anak muda dari kampong itu sendiri. Lalu, kita semua secara senada memuktamadkan persepsi bahawa di kampong itu anak-anak mudanya harus dibimbangi, ditakuti kerana mereka adalah pencuri! Tidak adil bukan?
Hal yang sama akan berlaku jika seluruh masyarakat terus-terusan memandang golongan remaja dan anak muda sebagai sekumpulan rakyat yang penuh dengan masalah dan penyakit sosial. Kalau pun ada, dan memang ada, tetapi tidak semua golongan ini memakai identiti yang sama. Kami yakin dan percaya masih terdapat sejumlah besar daripada mereka yang berusaha membina jati diri dan identiti yang senada dengan aspirasi kemerdekaan negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Golongan ini sebenarnya amat mudah dikenali dan senang pula didekati oleh masyarakat kerana mereka juga sentiasa mendambakan peluang untuk bersama masyarakat umum.
Lihat sahaja di kampus-kampus, berapa ramai anak muda mempunyai kualiti yang tinggi untuk tampil ke dalam arus masyarakat massa? Sebagai contoh, di USM, kita mempunyai Saudara Mohammda Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia dan juga mantan Speaker Dewan Perundingan Pelajar USM. Beliau cukup dikenali melalui ketrampilan yang menawan dan positif dan berminda super yang jarang-jarang ada pada anak muda kita, bahkan beliau sering dirujuk oleh pemimpin-pemimpin negara berhubung permasalahan mahasiswa dan sering juga menjadi tamu dalam program bual bicara yang serius di kaca-kaca televisyen.
Selain itu, Saudara Ahmad Wafi bin Shaheedan juga merupakan antara nama besar yang pernah dilahirkan oleh USM yang menunjukkan kualiti anak muda kelas pertama melalui daya kepimpinan yang cemerlang dan bersemangat tinggi. Beliau juga merupakan mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM di samping menjadi tenaga penting di sebalik penubuhan Dewan Perundingan Pelajar USM serta Persatuan Mahasiswa Kebangsaan (PMK), sebuah NGO yang sedang diterajui bersama rakan-rakannya dari seluruh negara.
Dua nama besar ini barangkali belum cukup untuk dijadikan contoh bagi memperbaiki persepsi umum yang mengatakan golongan muda negara sedang ketandusan jati diri. Kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan yang boleh diladeni oleh kita semua khususnya para mahasiswa. Mereka lahir dan membesar melalui sistem pendidikan yang sama jika ada pihak yang masih mendakwa bahawa masalah anak muda hari ini berpunca daripada sistem pendidikan negara. Mereka juga mengambil UPSR, PMR dan SPM malah masuk ke alam universiti juga melalui sistem meritokrasi yang sama. Justeru apa yang membezakan mereka dengan anak muda yang sakit di luar sana?
Kami tidak tahu apakah rahsia mereka yang sebenar tetapi kami yakin dan percaya, kejayaan yang ditempa oleh dua orang anak muda berjiwa besar ini adalah berpunca daripada pendidikan dari rumah masing-masing. Ia bermula dengan tanggungjawab ibu bapa di rumah, sama seperti rakan-rakan yang lain juga. Justeru, ibu bapalah sebenarnya yang mencorakkan anak masing-masing sama ada ke arah masa depan yang gemilang atau suram. Siapa ibu bapa? Mereka adalah anggota masyarakat. Justeru apabila membicarakan permasalahan golongan muda dan remaja, kita akhirnya tetap akan kembali kepada akar punca iaitu peranan ibu bapa masing-masing, bukannya sistem pendidikan dan bukannya pihak kerajaan yang harus dipersalahkan secara mutlak seratus peratus.
Untuk merawat masalah hakisan jati diri dalam kalangan generasi muda dan remaja hari ini juga memerlukan penglibatan yang menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat. Kita harus berhenti menyalahkan pihak pemerintah kerana kami berasakan sudah banyak yang dilakukan oleh kerajaan hari ini dalam memupuk kesedaran umum terhadap kemerdekaan. Kini ia menjadi tanggungjawab kita pula secara khusus dan rinci untuk menyemai nilai-nilai kemerdekaan itu bermula dengan diri kita sendiri. Justeru kami menyarankan dua langkah mudah; pertama, memahami dan kedua, menghayati. Apakah yang dimaksudkan dengan memahami-menghayati ini?
Pendekatan memahami merujuk kepada proses memahami secara menyeluruh erti kemerdekaan dan segala konsep dan pembudayaan yang diperlukan untuk membolehkan seseorang memiliki kualiti atau nilai-nilai sebagai warga yang merdeka. Tidak cukup dengan hanya mengibarkan jalur gemilang atau memasang bendera pada kenderaan, sebaliknya kita semua harus faham apakah faktor yang membolehkan kita menikmati kemerdekaan selama 54 tahun ini. Berhentilah daripada bersikap ‘orang lain buat, aku tak payah’ sebaliknya kita semua perlu menyelongkar khazanah kebudayaan negara bangsa yang selama ini menjadi rona dan warna kemerdekaan Malaysia lalu kita budayakan semula dengan penuh keinsafan. Dari situ, kita akan memahami apakah sebenarnya erti kemerdekaan negara yang unik ini.
Pendekatan menghayati pula adalah suatu proses dalaman dan luaran yang lebih menyeluruh yang lahir selepas kita memahami makna kemerdekaan. Ia memerlukan lebih keinsafan, lebih kesungguhan dan lebih kesyukuran kerana penghayatan yang sebenar tidak akan lahir tanpa wujudnya elemen-elemen ini. Kita perlu insaf bahawa kemerdekaan hari ini adalah kurniaan terbesar selepas kita menyaksikan Kota Melaka runtuh akibat rendahnya nilai jati diri dalam kalangan rakyat jelata. Kita perlu insaf kerana sebuah tanah yang subur dan makmur ini pernah dijajah tetapi berkat usaha keras dan kesedaran atas kesilapan lampau, maka seluruh rakyat berbilang bangsa dan agama bersatu kembali menuntut kemerdekaan daripada para penjajah.
Kita juga perlu bersyukur kerana selama 54 tahun ini, keadilan sosial masih terpelihara di mana setiap kaum berpeluang menikmati pelbagai kemakmuran yang disediakan oleh pemerintah. Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi kita sebenarnya jauh lebih baik dan beruntung jika dibandingkan dengan negara-negara yang seusia kemerdekaannya dengan negara kita. Akhir sekali, kita juga perlu bersungguh-sungguh mempertahankan rahmat kemerdekaan ini dengan apa-apa jua cara sekali pun. Jika nenek moyang kita dahulu berkorban jiwa dan harta benda, kenapa kita tidak boleh melakukan yang sama pada hari ini? Hargailah jasa dan pengorbanan mereka kerana perjuangan mereka itu sebenarnya untuk anak cucu pada hari ini. Siapa anak cucu itu? Jawapannya ialah kita!
Akhir kalam, kami menyeru seluruh masyarakat supaya lebih adil apabila membicarakan tentang golongan muda. Tidak semua anak muda dan remaja itu bermasalah dan kalau pun bermasalah, bantulah, rawatlah supaya lekas menjadi warga yang sihat dan berguna. Kepada mahasiswa, hayatilah erti kemedrdekaan negara dengan sebenar-benarnya. Hiruplah udara segar kemerdekaan supaya minda kita mampu berfikir dengan bebas dan cemerlang.
Salam Kemerdakaan daripada kami di Aspirasi Corner!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Tak Perlu Tunggu Sampai Anak Cucu..
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik dalam Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini ada menyatakan bahawa sikap umat Islam yang berpecah dan sering bertelagah pandangan sesama sendiri menyebabkan mereka tidak akan mampu menghadapi cabaran besar termasuk gelombang Kristianisasi.
Zaini Hassan, Penolong Pengarang Utusan Malaysia pula beberapa kali mengatakan bahawa umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini sedang mengalami perpecahan yang amat membimbangkan di mana mereka kini secara ideologi, terbahagi kepada lebih enam kumpulan utama mengikut parti politik dan persepsi peribadi masing-masing.
Apakah implikasi daripada kenyataan-kenyataan ini? Besar, implikasinya amat besar. Seperti yang kita lihat pada hari ini, dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), umat Islam kelihatan lebih banyak bercakaran sesama sendiri berbanding berbincang mencari penyelesaian. Masing-masing cuba menegakkan pandangan sendiri baik yang berautoriti seperti pemimpin politik mahupun orang kebanyakan.
Lebih memalukan apabila terdapat segelintir pihak yang kononnya memperjuangkan Islam lebih gemar mengambil jalan tengah atau manzilah baina manzilatain, supaya tiada pendirian yang dikeluarkan boleh menjejaskan kedudukan organisasi tersebut dalam pakatan yang dibina. Adakah semuanya kerana mahu menjaga undi dan pengaruh? Hanya mereka yang tahu. Tetapi dalam menghadapi persoalan akidah yang sebegini besar, adakah wajar kita berkompromi sehingga menampakkan kelemahan institusi agama Islam di negara ini?
Jika dahulu kita sudah terlanjur berkompromi sehingga merelakan hak agung kita, kalimah suci Allah digunakan oleh orang bukan Islam, adakah hari ini kita masih cuba mencari hujah untuk mewajarkan tindakan tersebut? Hakikatnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah kesan semerta akibat daripada sikap bermuka-muka kita sendiri terhadap agama. Tak perlu menunggu hingga beratus tahun untuk melihat implikasi daripada tolak ansur kita berhubung isu kalimah Allah itu. Tak sampai pun setahun, hari ini dengan kalimah yang sama, bahkan lebih suci iaitu Allahuakbar dan Subhanallah, mereka memanfaatkan keterlanjuran tersebut dengan sebaik-baiknya untuk memesongkan akidah umat Islam di Malaysia.
Misalnya, dalam pemeriksaan oleh JAIS itu, ada bukti yang menunjukkan para peserta majlis ‘thanksgiving’ yang dianjurkan oleh DUMC menyanyikan lagu yang bertajuk Allahuakbar dan Subhanallah. Jika benarlah majlis itu untuk orang Kristian sahaja, maka kenapa lagu dengan judul sedemikian dinyanyikan? Tidakkah ini menimbulkan pelbagai prasangka terhadap orang Islam kerana semua sudah maklum, kedua-dua kalimah suci itu adalah hak ekslusif agama Islam yang terpelihara oleh undang-undang negara ini.
Malah, seorang peserta bukan Islam turut mempertahankan haknya menggunakan kalimah seruan takbir dan tasbih Maha Suci Allah itu kerana kononnya tiada larangan daripada pihak kerajaan. Tidakkah ini sudah cukup untuk membuatkan kita berfikir akan muslihat mereka menuntut penggunaan kalimah Allah dalam urusan agama mereka tidak lama dahulu? Kita juga perlu melihat kembali siapa dalang dalam tuntutan tersebut dan apakah kaitan mereka dengan isu terbaru ini.
Walaupun terdapat peruntukan jelas yang memelihara kesucian kalimah-kalimah Allah dalam ajaran agama Islam di negara ini, namun kerana adanya perselisihan pandangan dalam kalangan orang Islam sendiri khususnya yang melibatkan pemimpin agama dan politik, maka orang bukan Islam lebih berani menyatakan tuntutan mereka sehingga kita akhirnya tunduk dan akur. Inilah padah yang harus kita tanggung. Inilah harga kompromi yang terpaksa kita bayar.
Seperti kata Abdullah Zaik lagi, “kita 14 juta umat Islam tidak mempunyai apa-apa risalah dan apabila berdepan dengan ancaman kita bertaburan. Bahkan kita bercanggah sesama sendiri dalam memahami isu yang dihadapi sekarang.”
Kami teringat, suatu ketika dahulu ketika isu kalimah Allah mula diperdebatkan, salah seorang pemimpin mahasiswa yang mengemudi sebuah organisasi persaudaraan Islam terbesar di USM melontarkan persoalannya; apa masalahnya jika Kristian mahu guna kalimah Allah? Beliau hanya bersandarkan kisah dalam sirah tentang umat terdahulu yang turut mengakui kewujudan Allah walaupun mereka kafir. Adakah beliau sedar, apa yang berlaku pada zaman dahulu dan pada hari ini adalah jauh berbeza? Adakah mereka sedia mengakui keesaan Allah dan menuruti perintah supaya tidak menyekutukan Allah SWT? Jika umat terdahulu yang dimaksudkan itu tetap menyekutukan Allah dan tidak mengakui keesaan-Nya, justeru apa pula bezanya dengan mereka yang menuntut kalimah tersebut pada hari ini?
Hari ini, apa yang berlaku langsung tidak menggambarkan kesediaan mereka mengesakan Allah sebaliknya konsep kebenaran mutlak itu telah dimanipulasikan untuk mengelirukan kefahaman akidah umat Islam yang sedia lemah. Dalam pemeriksaan tersebut misalnya, turut ditemui kertas soalan kuiz yang telah direnyuk dan dibuang ke dalam tong sampah yang mengandungi pelbagai soalan berkaitan Islam dan Nabi Muhammad yang amat mengelirukan. Malah, turut ditanya tentang berapa kali Nabi Isa disebut dalam Al-Quran. Apakah motif soalan kuiz sebegini diadakan? Kalau pun untuk menguji kefahaman peserta, mereka sepatutnya menjelaskan secara terperinci tujuan kuiz itu dijalankan dan bukannya cuba memanipulasikan tahap kefahaman peserta khususnya yang beragama Islam.
Jika pemimpin mahasiswa tersebut membaca artikel ini, kami ingin bertanya, apakah beliau tidak menduga implikasi-implikasi begini sewaktu melontarkan pertanyaan itu dahulu? Kami masih ingat, apabila kami cuba mendapatkan penjelasan beliau termasuk mengajukan pandangan dan kerisauan berhubung masa depan anak cucu kita kelak, beliau sebaliknya menyeru supaya bersikap lebih terbuka dan memahami secara menyeluruh isu ini. Hari ini kami benar-benar faham bahawa isu ini adalah cubaan paling halus dan licik untuk mengaburi gerakan Kristianisasi seperti yang dibangkitkan oleh Abdullah Zaik dan sekian banyak ilmuan yang lain.
Bagi kami, apa yang berlaku khususnya yang melibatkan umat Islam dan Melayu di negara kita pada hari ini amat membimbangkan sekiranya ia terus berlarutan. Kenapa? Kerana umat Islam tidak akan dapat lagi mempertahankan saki baki jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam perkara yang memartabatkan agama Islam. Kompromi, tawar-menawar yang keterlaluan dan penghakisan kuasa politik yang sedikit demi sedikit berlaku telah mempercepatkan lagi kerosakan ini sehingga akhirnya satu persatu hak agama Islam diuji dan dicabar.
Selain itu, kita juga perlu menelan hakikat bahawa faktor globalisasi dan penyebaran fahaman humanisme yang cukup halus tetapi pantas telah mengaburi minda masyarakat dunia termasuk di negara ini. Natijahnya, kita dapat melihat bagaimana anggota masyarakat hari ini lebih bersikap pentingkan diri sendiri dan enggan peduli dengan masalah sosial yang wujud di persekitarannya. Humanisme juga telah banyak mengelirukan umat Islam yang rendah kefahaman akidahnya hingga ada yang mempertikaikan perkara-perkara yang sedia termaktub dalam syariat dan perlembagaan persekutuan. Kefahaman ini menjadi ancaman kepada kedudukan Islam, dengan berselindung atas nama pembentukan masyarakat sivil yang membawa kepada kebebasan individu secara mutlak dan saksama.
Apakah kesannya? Mudah sahaja. Seperti yang pernah dituntut oleh Interfaith Counsil (IFC) yang dipengerusikan oleh Datuk S. Ambiga, atas nama kebebasan individu yang mutlak dan saksama, maka setiap anak yang dilahirkan tidak perlu ditetapkan agamanya sebaliknya membiarkan mereka menentukannya sendiri apabila dewasa. Tidakkah ia terlalu kuat unsur humanisme yang diagung-agungkan oleh dunia barat? Sekali dengar, ia bagus. Tetapi secara halus, ia adalah usaha terancang untuk menyekat perkembangan Islam secara global termasuk di Malaysia. Malangnya, tidak sedikit pemimpin muda hari ini termasuk dalam kalangan mahasiswa sendiri yang turut terpesona dengan agenda tersebut.
Akhir kalam, kami masih berpandangan bahawa apa yang berlaku hari ini masih boleh dibaiki. Masih ada ruang dan lompang yang boleh dibaiki dengan syarat, semua umat Islam di negara ini kembali bersatu demi akidah ummah. Biar berbeza pandangan dan ideologi politik tetapi bila tiba persoalan akidah, bersegeralah kita mencari titik persamaan. Dengan persamaanlah kita mampu menjana kekuatan yang ampuh. Penganut agama lain pula tidak perlulah berasa risau atau tergugat kerana sejak sekian lama kebebasan dan keharmonian yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan sentiasa dipraktikkan dengan baik dan dipelihara oleh pemerintah. Sesungguhnya kita amat bertuah menjadi warga sebuah negara bernama Malaysia kerana toleransi beragama bukan sekadar omongan tapi falsafah yang telah lama diamalkan tetapi masih dalam sebuah kerangka yang khas iaitu Perlembagaan Persekutuan. Justeru setiap daripada kita haruslah menghormatinya dengan sebaik mungkin.
Nota : Rujuk Perkara 11 (1),(2),(3),(4) dan (5) dan Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Adil dan Saksama

Konsep adil dan saksama ialah dua konsep yang berbeza sama sekali. Adil kelihatan apabila kita meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Saksama pula lebih kepada prinsip kesamarataan, yakni menetapkan pembahagian yang sekata pada setiap bahagian.
Dalam sebuah negara seperti Malaysia, mengamalkan prinsip kesamarataan mungkin bagus, atau sekurang-kurangnya kedengaran molek dan sedap, tetapi adakah ia praktikal?
Komposisi kaum di negara ini yang belum seimbang dari segala sudut, dengan sekumpulan minoriti masih menguasai sebahagian besar sektor ekonomi, adalah mustahil bagi pemerintah mengamalkan dasar kesamarataan ini sepenuhnya.
Justeru konsep adil kelihatan lebih harmoni dan sesuai untuk dipraktikkan kerana masyarakat di negara ini pada umumnya belum bersedia menerima sepenuhnya amalan berasaskan merit dalam sistem meritokrasi.
Contoh yang cukup popular untuk memperjelas konsep ini ialah perkongsian sebuah kek. Adakah adil jika sepotong kek dibahagikan secara sama rata kepada setiap kumpulan penerimanya sekiranya jumlah bagi setiap kumpulan penerima itu sendiri tidak sekata?
Misalnya, terdapat tiga buah kumpulan yang akan menerima pembahagian kek tersebut. Kumpulan A berjumlah 10 orang. Kumpulan B pula, 6 orang dan Kumpulan C, 2 orang.
Sekiranya kek tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian secara sama rata, maka kumpulan manakah yang paling untung atau menerima tempias yang paling banyak? Sudah tentulah Kumpulan C kerana jumlah ahlinya cuma dua orang.
Manakala Kumpulan B dan A pula terpaksa membahagi-bahagikan bahagian kek yang diterima kepada setiap ahli kumpulan masing-masing pada nisbah yang jauh lebih kecil berbanding habuan yang diterima oleh dua orang ahli kumpulan C.
Hal yang sama akan berlaku sekiranya konsep sama rata diterapkan dalam dasar pemerintahan negara ini kerana adalah jelas, komposisi kaumnya adalah berbeza-beza.
Melalui Gagasan 1Malaysia, pihak kerajaan telah memperkemaskan lagi dasar sedia ada dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat melalui konsep keadilan sosial tanpa sedikit pun mengabaikan hak mana-mana kumpulan.
Justeru menjadi tanggungjawab kita sebagai mahasiswa untuk bersama-sama mendokong dasar keadilan sosial ini kerana kita adalah bakal pewaris kepimpinan negara kelak. Apa yang perlu kita lakukan ialah memahami realiti sosial masyarakat Malaysia dan berusaha memelihara keharmonian sedia ada melalui tindakan yang lebih matang dan berhemah tanpa terikut-ikut dengan persepsi sempit segelintir pihak di luar kampus.
Wednesday, August 24, 2011
Persimpangan Politik Atau Akidah?
Pelbagai tafsiran boleh dibuat apabila kita melihat dan menilai tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik berhubung isu ‘serbuan’ ke atas sebuah gereja di Damansara Utama baru-baru ini yang didakwa cuba mempengaruhi sekumpulan penganut Islam supaya murtad. Tindak-tanduk itu adakalanya mengelirukan, lebih-lebih lagi kerana wujud kecelaruan pandangan antara satu sama lain. Ada yang menyokong ‘serbuan’ tersebut, ada pula yang menentang, dan tak kurang juga yang cuba mengaitkannya dengan permainan politik oleh parti lawan.
Untuk seketika, kita percaya wujudnya insiden ‘serbuan’ tersebut kerana sebahagian besar media terutamanya portal-portal bebas melaporkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu gereja tersebut. Lalu riuhlah negara sehingga ada yang mendakwa ia umpama serbuan Zionis Israel ke atas masjid orang Islam di Palestin. Namun, semuanya berubah 360˚ apabila tersebar video liputan ‘serbuan’ tersebut melalui beberapa buah blog sebelum dipaut secara langsung oleh pengamal-pengamal media bebas yang lain.
Tiada langsung serbuan atau yang menyerupai tindakan gestapo sebagaimana yang didakwa. Apa yang berlaku ialah beberapa kakitangan JAIS dan anggota polis mengunjungi sebuag gereja kerana terdapat laporan yang mendakwa wujudnya satu majlis kesyukuran yang dipercayai turut disertai oleh orang Islam. Mereka didakwa cuba dipengaruhi supaya meninggalkan agama yang dianuti atau dalam istilah yang sering digunapakai iaitu murtad (keluar dari Islam). Berdasarkan laporan tersebut maka pihak JAIS segera bertindak berlandaskan bidang kuasa yang dimiliki.
Siri video yang didedahkan itu juga menyiarkan secara terperinci setiap tindakan yang diambil oleh JAIS termasuk proses diplomasi yang panjang iaitu lebih satu jam dengan wakil penganjur sebelum JAIS dibenarkan masuk ke dalam dewan di mana majlis tersebut berlangsung untuk menjalankan pemeriksaan. Justeru tidak timbul langsung isu serbuan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, tuduhan itu sengaja dilemparkan untuk memburukkan kredibiliti JAIS dan pihak polis sekali gus menutup isu sebenar iaitu perlanggaran terhadap hak-hak orang Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II berhubung kebebasan beragama, Perkara 11 (1) telah menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya. Apakah yang dinyatakan dalam Fasal (4) ini? Inilah fasal atau hal yang sebenarnya telah memelihara hak-hak orang Islam di negara ini tetapi telah dicabar secara terbuka oleh pihak gereja berkenaan. Fasal (4) dengan jelas menyebut, undang-undang negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama (seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1) tadi berhubung ‘mengembangkannya’ yakni mengembangkan agama masing-masing) di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Selain itu, Perkara 12 (3) yang menyentuh Hak Berkenaan Dengan Pendidikan turut menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri. Frasa ‘tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima’ di sini membawa pengertian yang jelas iaitu larangan pemaksaan sama ada secara terang-terangan atau halus melalui apa-apa jua cara sekali pun sehingga orang yang berkenaan menukar agamanya terutamanya penganut Islam di negara ini.
Dari sudut undang-udang, tindakan JAIS itu adalah tepat. Mereka tidak menyerbu sebaliknya setiap tindakan yang diambil adalah selari dengan amalan standard atau prosedur jabatan berkenaan seperti yang didedahkan melalui siri rakaman video tersebut. Justeru kenapa boleh wujud pelbagai pertikaian terutamanya daripada pemimpin-pemimpin politik? Apakah autoriti mereka dalam isu ini mengatasi bidang kuasa JAIS sebagai agensi pelaksana undang-undang negara? Sepatutnya dalam isu ini semua pihak menghormati tindakan JAIS dan menyerahkan sepenuhnya kepada badan tersebut untuk menyelesaikan sebarang perkara berbangkit. Tetapi apabila kepentingan politik telah mengatasi bidang kuasa JAIS, maka rakyat menjadi keliru dan tertanya-tanya. Campur tangan secara keterlaluan daripada pihak media bebas juga tambah mengusutkan keadaan sehingga pintu kebenaran hampir-hampir tertutup terus. Mujurlah ada rakaman video tersebut yang sedikit sebanyak telah membantu rakyat memahami perkara sebenar.
Selain itu, tidak dinafikan, punca sebenar isu ini ialah masalah kemiskinan dan kesempitan hidup dalam kalangan peserta yang dijemput oleh pihak gereja terbabit. Dalam hal ini, agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan harus dipersalahkan kerana terlepas pandang sedangkan mereka telah disediakan dengan peruntukan yang besar untuk membantu masyarakat di negara ini. Tetapi cukupkah sahaja menyalahkan pihak berkenaan selepas isu ini timbul? Di mana tanggungjawab pemimpin masyarakat yang dipilih oleh rakyat di kawasan tersebut kerana seharusnya beliaulah yang paling awal mengetahui setiap permasalahan rakyatnya.
Kita juga berasa jengkel apabila segelintir agamawan seperti ulamak dan para ustaz mengambil peluang di atas isu ini dengan menjadikannya sebagai modal menghentam pihak kerajaan dan parti lawan bertubi-tubi. Isu seperti ini kelihatan menarik kerana ia berlaku di luar kepentingan keluarga kita. Cuba bayangkan jika ada saudara-mara kita yang terlibat. Tanyakan diri anda, di mana tanggungjawab anda ketika itu? Bagaimana pula jika mereka ialah sahabat-sahabat kita, jiran-jiran kita? Tidakkah kita juga bertanggungjawab secara umum? Jadi berhentilah daripada menyalahkan pihak lain sahaja setiap kali timbul sesuatu masalah. Sebaliknya kita semua harus memikul tanggungjawab ini bersama.
Akhir kata daripada kami, ayuhlah kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik bersama-sama menghormati undang-undang yang selama ini telah menjaga keharmonian negara tercinta ini. Jika nenek moyang kita dahulu boleh menghormati hak masing-masing, kenapa kita hari ini tidak mampu menghormatinya? Apakah yang membezakan kita dengan generasi terdahulu? Tepuk dada tanyalah iman, tanyalah hati kecil masing-masing. Sebagai mahasiswa pula, kita seharusnya cakna dengan persekitaran dan mengambil inisiatif membantu masyarakat supaya lebih memahami erti perpaduan nasional.
Apa yang kita miliki hari ini tidak datang bergolek. Hanya mereka yang memahami erti kemerdekaan yang sebenar sahaja mampu menikmati ruang yang tersedia ini dengan penuh rasa syukur dan berterima kasih. Kebebasan, ada batasnya.
Sunday, November 21, 2010
TARIKH HARI RAYA AIDILADHA - Apa kata FUQAHA
Ahli parlimen Kubang Kerian baru-baru ini mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung esok, 22 November 2010 (Isnin) bagi membincangkan isu tarikh Aidil Adha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.
“Kalau saya boleh jumpa kawan saya itu (Salahuddin), saya harap supaya tidak dibawa ke Parlimen.
“Benda-benda semacam ini lebih baik dibawa ke forum yang lebih menjurus (khusus) supaya diselesaikan oleh orang yang benar-benar mahir, bukan Ahli Parlimen.
“Di Parlimen itu, ada orang Islam, ada orang bukan Islam, ada yang faham dan ada yang kurang faham... jadi isu ini akan digunakan oleh pihak tertentu untuk menuduh orang Islam tidak akan bersatu sampai bila-bila.
“Saya tak faham politik, saya tak faham (cara berfikir) ahli politik, saya yang bukan ahli politik, fikir lebih baik tak bawa (ke Parlimen) kerana itu lebih mengelirukan,” ujar Mahmood Zuhdi.
Nada yang sama turut disuarakan oleh penyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah.
“Kalau kita di Malaysia, kita ikut ketetapan kerajaan Malaysia, ia bukan masalah politik atau apa (sebagainya), kita tak nampak unsur yang mengacaunya (mengelirukan).
“Kalau masyarakat sudah boleh menerima ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu, tidak timbul kekeliruan itu seperti yang dianggap Salahuddin,” kata beliau.
Seorang lagi ahli fuqaha Wan Ji Wan Hussin pula berpendapat, inisiatif Salahuddin membawa isu tersebut ke Parlimen adalah wajar kerana perbahasan akan memangkin semua pihak berwajib, khususnya ulama untuk membuat satu ketetapan baru untuk kepentingan umat.
“Pada saya, Parlimen perlu mencetuskan sesuatu yang besar kerana Parlimen akan memangkin perkara yang dianggap kontroversi atau mengelirukan ini dibincangkan oleh mereka yang berkelayakan seperti ulama dan ahli fuqaha.” kata beliau.
“Macam isu kalimah Allah, yang sesetengah kita tidak bersetuju (penganut) bukan Islam menyebutnya (Allah).
“Kalau nak kira Parlimen tidak layak berbincang tetapi dengan tercetusnya isu itu di Parlimen akhirnya menjadi perhatian agamawan sehingga kita menemui keketapan baru iaitu harus bagi masyarakat bukan Islam menyebut kalimah Allah,” kata beliau.
Beliau menjelaskan, tiada masalah jika isu itu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana Malaysia ada persamaan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
“Lagi pun, Parlimen mempunyai hak membincangkan sesuai yang menjadi kepentingan awam,” kata beliau.
Oleh itu katanya, beliau yakin bahawa usul tergempar Salahuddin itu tidak akan mengelirukan sesiapa kerana perbahasan di Parlimen akan menarik perhatian agamawan dan ilmuan untuk memainkan peranan masing-masing.
Pun begitu, Mahmood Zuhdi yang juga Timbalan Dekan di Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa memberitahu, penentuan tarikh Aidiladha di tanah air tidak wajar mengikut hari dan waktu wukuf di Arafah.
Jelas Mahmood Zuhdi, sudah memadai sekiranya ahli falak Islam tempatan menggunakan kaedah “ar-rukyah” (melihat anak bulan) dan “al-hisab” (kiraan hari dalam sebulan) untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha.
Ini kerana penetapan Aidiladha di Malaysia, mestilah mengikut al-matla” (waktu timbul) di Malaysia, bukannya mengikut al-matla” di Arab Saudi. “Sembahyang Asar sekarang pun tidak sama waktunya dengan Mekah (Arab Saudi), ertinya tidak semua waktu itu sama di seluruh dunia ini, ia dipanggil perbezaan matla”
“Dahulu pun, kita pernah ada amalan (iaitu) kita akan berhari raya sehari selepas hari wukuf, tetapi amalan itu ternyata tidak memberi kesan yang baik kerana Arab Saudi terlampau lewat mengisytiharkan ketetapannya (tarikh Hari Raya Aidiladha),” katanya lagi.
Ujar Mahmood Zuhdi lagi, sepatutnya ketetapan Hari Raya Aidiladha yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu tidak mengelirukan mana-mana pihak.
Ini kerana katanya, persidangan fiqh sedunia di Istanbul telah pun menetapkan bahawa penentuan waktu dan masa berhubung ibadat umat Islam berdasarkan al-hisab dan al-rukyah.
Luqman turut sependapat dengan Mahmood Zuhdi iaitu penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha di Malaysia tidak perlu terikat dengan ketetapan di Arab Saudi. “Kita ikut kita punya kawasan (Malaysia) sebab puasa pun kita ikut waktu tempatan, sembahyang pun kita tidak ikut Arab Saudi. Kalau diminta kita ikut Hari Arafah, sebenarnya Arab Saudi sendiri pernah mengubah hari (mengerjakan) wukufnya”
“Kalau diminta berpuasa mengikut Hari Arafah seperti yang hadis kata sekali pun, ada pendapat ulama berkata tuntutan itu di Arafah, bukan di tempat lain. Ertinya, dalam menetapkan isu Aidiladha ini sebenarnya masih bersifat dzon (sangkaan) tak kiralah kita nak ikut cara al-hisab atau ar-rukyah atau ikut (perbuatan) Arab Saudi,” ujarnya lagi.
Wan Ji pula memberikan pendapat yang berbeza dengan Mahmood Zuhdi dan Luqman dalam soal menetapkan tarikh Hari Raya Aidiadha. “Kenapa mesti dirujuk Arab Saudi? Isunya sekarang Nabi Muhammad s.a.w menyebut puasa Arafah, Nabi tak sebut puasa pada 9 Zulhijjah”.
“Apabila sebut puasa Arafah, ia perlu dirujuk pada Arab Saudi, tidak patut menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah kerana kedua-dua kaedah tersebut digunakan ketika nak menentukan hari berpuasa pada 1 Ramadan dan Aidilfitri pada 1 Syawal sahaja,” ujar Wan Ji.
Kata pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi — sebuah pertubuhan bukan kerajaan — itu lagi, pendapat tersebut berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim. “Puasa hari Arafah, aku (Nabi Muhammad s.a.w) berharap agar Allah kifarat dosa selama setahun sebelum dan setahun selepas...,” ujarnya memetik hadis ke-1979 dari kitab Sahih Muslim.
Tambah Wan Ji lagi, pendapatnya itu sebagaimana dipetik daripada Naib Presiden Majlis Fatwa dan Kajian Eropah Dr Faisal Maulawi.
“Faisal sendiri mengatakan, perbezaan pendapat itu mungkin berlaku pada melihat anak bulan Ramadan dan anak bulan Aidilfitri, tetapi jumhur (majoriti) ulama bahawasanya semua orang Islam itu berpuasa dan berbuka puasa dengan cara melihat anak bulan berdasarkan pada negeri masing-masing.
“Ada pun nisbah pada Aidiladha, tidak harus berlaku seperti itu dan tidak dilihat (menggunakan) pada al-hisab serta tidak juga melihat pada anak bulan pada negeri-negeri tertentu dalam menentukan anak bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah), tetapi perlu dilihat pada berlakunya jamaah haji secara perbuatan.
“Maka hari Arafah itu adalah hari para haji mengerjakan wukuf secara perbuatan dan tidak ada pengajaran dengan melihat anak bulan pada seluruh negara lain dengan kiraan hisab untuk menentukan Aidiladha,” ujarnya lagi.
Bagaimana pun, Wan Ji berkata Pengerusi Himpunan Ulama Muslim Sedunia Dr Yusof al-Qaradawi sendiri sebenarnya tidaklah menolak pendapat ulama yang menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah dalam menentukan tarikh Aidiladha. “Al-Qaradawi sendiri bersetuju dengan pendapat Prof Maulawi ini, cumanya al-Qaradawi mengambil sikap yang lebih toleransi dengan pendapat segelintir ulama yang bersetuju menggunakan al-rukyah dan al-hisab kerana tidak ada ijmak (kesepakatan) dalam perdebatan ini.
“Maulawi sendiri menyebut jumhur (majoriti) ulama, bukannya kesepakatan (ijmak) ulama dalam perkara ini, apabila disebut majoriti ertinya wujud minoritilah,” ujarnya.
Bagi Wan Ji, Yusof berpendapat demikian mungkin bertujuan untuk mengelak pepecahan di kalangan umat Islam dalam mengamalkan ibadat Islam kerana Islam mengajar perpaduan umat, bukannya pepecahan umat.
“Oleh kerana tidak ada kesepakatan ulama, lebih baik berlapang dada seperti Dr Yusof al-Qaradawi kerana pepecahan di kalangan umat itu lebih besar mafsadahnya (keburukan) berbanding menajamkan perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini (menentukan tarikh Aidiladha),” ujar Wan Ji.
