Showing posts with label MPP. Show all posts
Showing posts with label MPP. Show all posts

Thursday, October 2, 2014

Apresiasi Warga USM Kepada MPPUSM 2013/2014 #IkonSiswaUSM


Assalamualaikum w.b.t Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kurniaNya, pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar USM 2013/2014 (MPPUSM) hari ini secara langsung melucutkan jawatan yang ada pada mereka namun tidak bererti menghentikan usaha mereka untuk terus menabur bakti kepada warga mahasiswa USM.

Kami ingin menzahirkan apresiasi kami buat Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) 2013/2014. Sesungguhnya MPP telah berkhidmat sedaya upaya kepada mahasiswa USM, khususnya dan universiti, amnya. Pelbagai kejayaan dilakar oleh MPP sepanjang sidang lepas. Hal ini dibuktikan dengan bercambahnya majlis-majlis ilmu, riadah, sahsiah, dan lain-lain. Umpama 'taman syurga ilmu' kepada mahasiswa USM, sebanyak 15 Siri Wacana Ilmu yang menampilkan variasi tokoh, pemimpin, dan ikon telah dilaksanakan dengan jayanya. Banyak lagi program dan aktiviti anjuran MPPUSM yang kita semua maklum dengannya.

Kewujudan program-program anjuran MPPUSM tidak lain ialah mengangkat harapan untuk membentuk warga mahasiswa yang bukan sahaja menjadi pencinta ilmu malah secara beransur mengubah paradigma juga sahsiah mahasiswa secara holistik. Alhamdulillah, melalui program yang sudah berlangsung, dapat disimpulkan bahawa harapan tersebut menjadi kenyataan. Syabas buat barisan MPPUSM !

Kesempatan ini juga, kami mewakili seluruh mahasiswa USM ingin merakamkan penghargaan buat Yang Dipertua MPPUSM, Saudara Mohamad Shafiq Bin Kamaruddin atas komitmen beliau yang begitu tinggi dalam memimpin organisasi mahasiswa USM. Satu kesepaduan yang mantap telah ditunjukkan dan kami melihat MPPUSM sebagai model prinsip RASIONAL, TOLERANSI, REALISTIK.

Sekali lagi, terima kasih MPPUSM 13/14 atas perkhidmatan kalian kepada mahasiswa USM !

Rasional Toleransi Realistik
Aspirasi USM.


Wednesday, September 24, 2014

NOTA 10 TAHUN LEGASI

SHAFIQ KAMARUDDIN PENYAMBUNG LEGASI 10


Ketika kami diperkenalkan dengan beliau, kami fikir, Saudara Mohammad Shafiq bin Kamaruddin hanyalah mahasiswa kebanyakan. Tiada sesuatu yang istimewa pada diri anak muda ini. Namun, persepsi itu ternyata silap. Dianjak waktu, sedikit demi sedikit kami mula melihat sisi lain pada diri beliau terutamanya bakat kepimpinan yang besar tatkala golongan mahasiswa seperti kita sering dilabel sebagai lesu dan pasif.

Untuk rekod, Shafiq mengemudi Majlis Perwakilan Pelajar USM selaku Yang DiPertua selepas memenangi Pemilihan MPP Sidang Akademik 2013/2014 dengan bergaya. Dengan jumlah undi terkumpul sebanyak 3663 di belakang seorang lagi rakan seperjuangan, Saudara Jemindar bin Abdul Kadir yang mengumpul undi terbesar iaitu sebanyak 3680 undi, Shafiq terus membentuk sebuah pasukan yang mantap bersama 44 orang ahli Majlis Perwakilan yang lain membabitkan ketiga-tiga buah kampus utama USM.

Kemenangan Shafiq dan rakan-rakan dalam pemilihan ini juga membawa makna yang besar kepada perjuangan Aspirasi USM secara keseluruhan. Selepas 9 tahun berturut-turut Aspirasi USM menjadi nadi dan tulang belakang motto Kami Memimpin, Shafiq menggenapkan angka tersebut kepada 10 tahun – dengan cemerlang dan gemilang. 

Sesuatu yang kami pasti ada pada diri beliau secara kualiti ialah sikap rasional, toleransi dan realistik dalam setiap tindakan atau keputusan yang diambil. Pun tentu, Shafiq secara individu, kekal dengan ketegasan dan hal ini diperakui sendiri oleh rakan-rakan MPP yang lain. Gabungan kualiti inilah yang menjadikan beliau seorang ketua yang dihormati pelbagai pihak baik di dalam mahupun di luar kampus. Ya, bukan mudah menjadi ketua jika tiada nilai-nilai tersebut tetapi ia bukan susah juga untuk dipraktikkan bermula dengan jiwa kepimpinan yang tulus dalam diri seseorang pemimpin atau ketua itu sendiri. Ternyata Shafiq memiliki set nilai tersebut.

Sebaik dipilih secara majoriti oleh para perwakilan sebagai Yang DiPertua, Shafiq terus mengorak langkah yang lebih besar dan kejap apabila diundi sebagai Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menggabungkan semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar/Mahasiswa dari semua kampus IPTA seluruh negara. Kejayaan ini juga membawa makna yang besar kepada Aspirasi USM dan kita semua amnya kerana Shafiq telah mengulangi pencapaian mantan YDP MPP USM Sidang 2010/2011, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan yang turut dilantik sebagai Presiden MPPK yang pertama dari Bumi Minden ini.


Di USM, kami percaya semua kenal dan maklum akan kepimpinan Shafiq yang telah mengangkat budaya berwacana ke suatu tahap yang tinggi dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi di sini. Sehingga kini, tak kurang empat belas siri wacana ilmu telah dijayakan membabitkan pelbagai tokoh berpengaruh baik dari dalam negara mahupun dari peringkat antarabangsa. Usaha beliau dan pasukannya itu sedikit sebanyak telah meletakkan peranan mahasiswa USM dalam radar penebaran ilmu rentas bidang di luar bilik kuliah seperti yang sedang diusahakan oleh pihak Universiti.

Shafiq bersama Saudari Nursyifa Shahida, salah seorang
PPSL Sidang 2014/2015
Selain siri Wacana Ilmu yang menjadi fenomena di USM, Shafiq juga telah melancarkan pelbagai program lain baik di dalam kampus ataupun melibatkan masyarakat luar, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global. Selain itu, beliau juga berusaha gigih memastikan setiap manifesto yang dibentangkan oleh para ahli MPP direalisasikan sebaik mungkin sebelum penggal pentadbirannya berakhir pada penghujung Oktober ini.


Dalam siri artikel ini, kami akan luncurkan semula rekod-rekod kejayaan MPP USM Sidang Akademik 2013/2014 di samping mengimbas legasi 10 tahun kepimpinan MPP yang ditunjangi  para pendokong wadah Aspirasi USM. Teruskan menyokong kami kerana kami ialah anda dan kita ialah warga USM!

Friday, December 27, 2013

SIDANG MEDIA PARLIMEN MAHASISWA USM 13/14


Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.


Pada 21 Disember yang lalu, Parlimen Mahasiswa USM telah berlangsung dengan jayanya. Proses persidangan tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dan persidangan kali ini juga telah menyaksikan Saudara Haziq Al Amir Mohd dilantik sebagai Speaker Dewan Perundingan Pelajar Siri 1 SA 2013/2014.

Parlimen Mahasiswa Siri 1 13/14 

Sebanyak 12 usul telah dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Usul (AJK Usul DPP) yang terdiri dalam kalangan wakil-wakil persatuan, kelab, anak negeri, desasiswa dan lain-lain. Perbahasan berlangsung dengan baik, berfakta, dan berhemah oleh ahli dewan walaupun terdapat momen-momen perbahasan bertukar menjadi 'panas'. Sesungguhnya Parlimen Mahasiswa merupakan wadah penyatuan semua entiti dalam universiti untuk menyuarakan pandangan dan melontarkan idea secara matang.

Kelmarin telah berlangsung pula sidang media berkenaan usul-usul yang dibahaskan dalam Parlimen Mahasiswa. AC salin dan tampal post di Facebook milik Saudara Haziq Al Amir tentang sidang media tersebut.

Alhamdulilah pada hari ini, saya bersama Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan dan bersama sebahagian Ahli Dewan yang diketuai oleh YDP MPPUSM saudara Mohamad Shafiq Bin Kamaruddin telah mengadakan persidangan media berkenaan usul-usul yang telah dibincangkan didalam persidangan parlimen mahasiswa USM baru-baru ini.

Terdapat 3 usul khas yang dibawa suara mahasiswa melalui DPP agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian dalam isu ini, iaitu usul berkenaan memohon pihak kerajaan mengkaji dan mempertimbangkan semula peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi terutama sekali golongan mahasiswa. selain itu, usul berkenaan memohon pihak kerajaan memantau dan menguatkuasa larangan penyebaran fahaman syiah yang semakin menular yang boleh mengancam akidah umat islam. dan usul berkenaan memohon pihak kerajaan mengkaji dan menolak tuntutan Comango.

ketiga-tiga usul ini telah diluluskan dan mendapat undian majoriti ahli Dewan Perundingan Pelajar sewaktu sesi persidangan pertama pada 21 disember, dan langkah pertama yang diambil adalah memaklumkan kepada pihak yang berkenaan terutama sekali pihak kerajaan agar mendengar pandangan dan suara mahasiswa yang merupakan salah satu agen transformasi negara. Insyallah semoga suara mahasiswa USM mendapat perhatian daripada kepimpinan negara.

Salam hormat dari saya.

Mohamad Haziq bin Al Amir Mohd
Speaker Dewan Perundingan Pelajar USM

Sumber : Klik Sini 

Aspirasi's Corner

Rasional Toleransi Realistik
We Lead We Love USM
Together We Unite

Wednesday, October 2, 2013

ISU BAS : SALAH MPP ATAU SALAH SIAPA?


Kelihatan jelas kepada kita isu berkaitan perkhidmatan bas komuter belum diselesaikan meskipun sudah berlarutan lebih sebulan. Sudah banyak komen, kritikan, cadangan dan tak kurang maki hamun dilontarkan oleh warga kampus terutamanya para pelajar dan pensyarah yang terjejas akibat perubahan sistem sedia ada  kepada sistem laluan baru ini yang beroperasi sejak awal bulan September.

Tak kurang juga ramai yang menyalahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang didakwa tidak prihatin kerana gagal memperjuangkan isu ini ke peringkat lebih tinggi. Ya, sungguh mudah membuat kritikan. Lebih mudah melepaskan amarah kepada subjek di depan mata tanpa kita sedari masalah timbul akibat faktor-faktor lain di belakangnya.

Kami turut merasai keperitan akibat perubahan sistem ini memandangkan kami juga pelajar sama seperti rakan-rakan di luar sana. Sebelum kami menulis di sini, kami dari Unit Media Aspirasi USM telah beberapa kali turun ke padang bersama rakan-rakan semua demi merasai kesusahan yang sedang dialami oleh kita semua ini. Inisiatif ini kami ambil sendiri tanpa sebarang publisiti kerana kami beranggapan, lebih mudah untuk kami membuat penilaian sekiranya kami sendiri yang melalui kesusahan tersebut.

Seperti komentar yang ditampal di dinding Facebook milik mantan pemimpin pelajar USM yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pendaftar, Seksyen Pembangunan Organisasi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, USM, En. Khairul Eruwan, kita sebenarnya terlepas pandang satu perkara penting dalam isu ini. Menurut En. Khairul Eruwan, masalah ini tidak akan berlaku sekiranya pihak pengurusan melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari peringkat awal terutamanya dalam perbincangan membabitkan perubahan laluan.

MPP USM mempunyai track records yang cukup baik sebenarnya dalam mereka memperjuangkan hak-hak dan kebajikan pelajar di sini. Sebagai contoh, laluan bas lama yang digunakan sebelum ini ialah hasil perjuangan MPP. Begitu dengan kemudahan-kemudahan perhentian bas termasuk di Pusat Pengajian Sains Farmasi, kesemuanya diperoleh selepas diperjuangkan oleh MPP USM yang ditunjangai semangat RASIONAL, TOLERANSI & REALISTIK.

Justeru kami yakin dan percaya, jika pihak MPP dilibatkan lebih awal dalam proses pertukaran laluan bas komuter, masalah ini tidak akan timbul. Kita tidak mahu menunding jari kepada sesiapa, tapi sebagai mahasiswa yang mempunyai majlis perwakilan sendiri, kita seharusnya diberikan lebih kuasa dan peranan dalam menyusun atur hal-hal kebajikan mahasiswa di USM tanpa membelakangkan semangat RASIONAL, TOLERANSI & REALISTIK tersebut.


Oleh hal yang demikian, kami menyeru kepada rakan-rakan sekalian, usahlah menyalahkan MPP sepenuhnya dalam isu ini. Mereka juga pelajar seperti kita. Kita sepatutnya membantu dan memberikan semangat kepada mereka untuk memperjuangkan hak dan kebajikan kita, bukannya mengutuk atau mengkritik sepanjang masa.


Aspirasi Corner

Rasional, Toleransi, Realistik

Saturday, August 27, 2011

Sakitkah Anak-anak Muda Hari Ini?

Memahami-Menghayati Erti Kemerdekaan Negara Bangsa

Setiap kali tiba Hari Kemerdekaan, maka kedengaranlah juga satu dua pandangan yang mendakwa anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan negara. Kononnya, nilai patriotisme dalam diri golongan muda kian menyusut. Pelbagai contoh dikemukakan seperti gelagat remaja berpeleseran pada malam kemerdekaan, lumba haram, zina dan sumbang mahram dan sebagainya lagi. Sedikit sebanyak, pandangan-pandangan ini telah menjerumuskan masyarakat secara umum ke dalam suatu persepsi bahawa golongan remaja dan anak muda menghadapi gejala yang sama – tiada jati diri!

Kami tidak mahu mengiyakan atau menafikannya kerana sesiapa pun boleh melontarkan pandangan dalam sistem demokrasi di negara ini. Tetapi kami ingin mengajak rakan-rakan sekalian khususnya para Mahasiswa Apex untuk sama-sama membuka minda dan melihat gelojakan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini terutamanya yang membabitkan golongan ini dari sudut pandang yang lebih adil dan praktikal.

Pertama, kami secara kolektif berpendapat, dan merumuskan bahawa, di luar sana masih ada sejumlah besar anak muda yang memahami erti kemerdekaan dan mereka juga menghayati ruang kemerdekaan itu. Mungkin kaedah penghayatan itu tak sama dengan segolongan yang lain seperti generasi awal dan para cendekiawan yang bercakap-cakap itu, tetapi mereka juga merupakan sebahagian daripada output kemerdekaan dalam bentuk yang tersendiri, terdidik dan terbudaya dalam korpus yang mungkin berbeza tetapi pada akarnya, mereka masih punya jati diri!

Adilkah jika kita membentangkan satu dua contoh kemudian terus membuat rumusan yang bersifat mutlak? Jika dalam uji kaji makmal, ia mungkin suatu langkah terdesak untuk mencipta sesuatu hasilan tetapi dalam konteks sosial, ia adalah suatu tindakan yang cukup dangkal sekali. Misalnya, di sebuah kampong ada kes kecurian motosikal. Si pencurinya berjaya ditangkap dan mereka dikenalpasti sebagai anak-anak muda dari kampong itu sendiri. Lalu, kita semua secara senada memuktamadkan persepsi bahawa di kampong itu anak-anak mudanya harus dibimbangi, ditakuti kerana mereka adalah pencuri! Tidak adil bukan?

Hal yang sama akan berlaku jika seluruh masyarakat terus-terusan memandang golongan remaja dan anak muda sebagai sekumpulan rakyat yang penuh dengan masalah dan penyakit sosial. Kalau pun ada, dan memang ada, tetapi tidak semua golongan ini memakai identiti yang sama. Kami yakin dan percaya masih terdapat sejumlah besar daripada mereka yang berusaha membina jati diri dan identiti yang senada dengan aspirasi kemerdekaan negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Golongan ini sebenarnya amat mudah dikenali dan senang pula didekati oleh masyarakat kerana mereka juga sentiasa mendambakan peluang untuk bersama masyarakat umum.

Lihat sahaja di kampus-kampus, berapa ramai anak muda mempunyai kualiti yang tinggi untuk tampil ke dalam arus masyarakat massa? Sebagai contoh, di USM, kita mempunyai Saudara Mohammda Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia dan juga mantan Speaker Dewan Perundingan Pelajar USM. Beliau cukup dikenali melalui ketrampilan yang menawan dan positif dan berminda super yang jarang-jarang ada pada anak muda kita, bahkan beliau sering dirujuk oleh pemimpin-pemimpin negara berhubung permasalahan mahasiswa dan sering juga menjadi tamu dalam program bual bicara yang serius di kaca-kaca televisyen.

Selain itu, Saudara Ahmad Wafi bin Shaheedan juga merupakan antara nama besar yang pernah dilahirkan oleh USM yang menunjukkan kualiti anak muda kelas pertama melalui daya kepimpinan yang cemerlang dan bersemangat tinggi. Beliau juga merupakan mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM di samping menjadi tenaga penting di sebalik penubuhan Dewan Perundingan Pelajar USM serta Persatuan Mahasiswa Kebangsaan (PMK), sebuah NGO yang sedang diterajui bersama rakan-rakannya dari seluruh negara.

Dua nama besar ini barangkali belum cukup untuk dijadikan contoh bagi memperbaiki persepsi umum yang mengatakan golongan muda negara sedang ketandusan jati diri. Kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan yang boleh diladeni oleh kita semua khususnya para mahasiswa. Mereka lahir dan membesar melalui sistem pendidikan yang sama jika ada pihak yang masih mendakwa bahawa masalah anak muda hari ini berpunca daripada sistem pendidikan negara. Mereka juga mengambil UPSR, PMR dan SPM malah masuk ke alam universiti juga melalui sistem meritokrasi yang sama. Justeru apa yang membezakan mereka dengan anak muda yang sakit di luar sana?

Kami tidak tahu apakah rahsia mereka yang sebenar tetapi kami yakin dan percaya, kejayaan yang ditempa oleh dua orang anak muda berjiwa besar ini adalah berpunca daripada pendidikan dari rumah masing-masing. Ia bermula dengan tanggungjawab ibu bapa di rumah, sama seperti rakan-rakan yang lain juga. Justeru, ibu bapalah sebenarnya yang mencorakkan anak masing-masing sama ada ke arah masa depan yang gemilang atau suram. Siapa ibu bapa? Mereka adalah anggota masyarakat. Justeru apabila membicarakan permasalahan golongan muda dan remaja, kita akhirnya tetap akan kembali kepada akar punca iaitu peranan ibu bapa masing-masing, bukannya sistem pendidikan dan bukannya pihak kerajaan yang harus dipersalahkan secara mutlak seratus peratus.

Untuk merawat masalah hakisan jati diri dalam kalangan generasi muda dan remaja hari ini juga memerlukan penglibatan yang menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat. Kita harus berhenti menyalahkan pihak pemerintah kerana kami berasakan sudah banyak yang dilakukan oleh kerajaan hari ini dalam memupuk kesedaran umum terhadap kemerdekaan. Kini ia menjadi tanggungjawab kita pula secara khusus dan rinci untuk menyemai nilai-nilai kemerdekaan itu bermula dengan diri kita sendiri. Justeru kami menyarankan dua langkah mudah; pertama, memahami dan kedua, menghayati. Apakah yang dimaksudkan dengan memahami-menghayati ini?

Pendekatan memahami merujuk kepada proses memahami secara menyeluruh erti kemerdekaan dan segala konsep dan pembudayaan yang diperlukan untuk membolehkan seseorang memiliki kualiti atau nilai-nilai sebagai warga yang merdeka. Tidak cukup dengan hanya mengibarkan jalur gemilang atau memasang bendera pada kenderaan, sebaliknya kita semua harus faham apakah faktor yang membolehkan kita menikmati kemerdekaan selama 54 tahun ini. Berhentilah daripada bersikap ‘orang lain buat, aku tak payah’ sebaliknya kita semua perlu menyelongkar khazanah kebudayaan negara bangsa yang selama ini menjadi rona dan warna kemerdekaan Malaysia lalu kita budayakan semula dengan penuh keinsafan. Dari situ, kita akan memahami apakah sebenarnya erti kemerdekaan negara yang unik ini.

Pendekatan menghayati pula adalah suatu proses dalaman dan luaran yang lebih menyeluruh yang lahir selepas kita memahami makna kemerdekaan. Ia memerlukan lebih keinsafan, lebih kesungguhan dan lebih kesyukuran kerana penghayatan yang sebenar tidak akan lahir tanpa wujudnya elemen-elemen ini. Kita perlu insaf bahawa kemerdekaan hari ini adalah kurniaan terbesar selepas kita menyaksikan Kota Melaka runtuh akibat rendahnya nilai jati diri dalam kalangan rakyat jelata. Kita perlu insaf kerana sebuah tanah yang subur dan makmur ini pernah dijajah tetapi berkat usaha keras dan kesedaran atas kesilapan lampau, maka seluruh rakyat berbilang bangsa dan agama bersatu kembali menuntut kemerdekaan daripada para penjajah.

Kita juga perlu bersyukur kerana selama 54 tahun ini, keadilan sosial masih terpelihara di mana setiap kaum berpeluang menikmati pelbagai kemakmuran yang disediakan oleh pemerintah. Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi kita sebenarnya jauh lebih baik dan beruntung jika dibandingkan dengan negara-negara yang seusia kemerdekaannya dengan negara kita. Akhir sekali, kita juga perlu bersungguh-sungguh mempertahankan rahmat kemerdekaan ini dengan apa-apa jua cara sekali pun. Jika nenek moyang kita dahulu berkorban jiwa dan harta benda, kenapa kita tidak boleh melakukan yang sama pada hari ini? Hargailah jasa dan pengorbanan mereka kerana perjuangan mereka itu sebenarnya untuk anak cucu pada hari ini. Siapa anak cucu itu? Jawapannya ialah kita!

Akhir kalam, kami menyeru seluruh masyarakat supaya lebih adil apabila membicarakan tentang golongan muda. Tidak semua anak muda dan remaja itu bermasalah dan kalau pun bermasalah, bantulah, rawatlah supaya lekas menjadi warga yang sihat dan berguna. Kepada mahasiswa, hayatilah erti kemedrdekaan negara dengan sebenar-benarnya. Hiruplah udara segar kemerdekaan supaya minda kita mampu berfikir dengan bebas dan cemerlang.

Salam Kemerdakaan daripada kami di Aspirasi Corner!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!



Sunday, February 20, 2011

Bisik-bisik AC : Apa Yang Dahulu Tak Boleh, Sekarang Boleh?

Akhirnya terpacul juga dari mulut orang kuat PMI menafikan segala prinsip perjuangan mereka selama ini. AC bukan hendak menyibuk, tetapi rasa pelik dan hairan sahaja. Seorang ahli totok PMI berkata malam tadi bahawa Pro-M ialah Pro-M dan PMI tetap PMI. Barangkali pusingan baliknya lebih dari 360 darjah.

Sedikit masa dahulu, PMI paling lantang mempertikaikan tindakan pendokong-pendokong aspirasi yang terdiri daripada mahasiswa/i Melayu kerana menggunakan istilah ‘Salam Aspirasi’. Tetapi pada rapat umum malam tadi, PMI juga melakukan tindakan yang sama malah berulang-kali dan ia disambut penuh megah oleh penyokong-penyokong Pro-M yang terdiri daripada mahasiswa/i Melayu Islam.

Soalnya, kenapa dahulu tak boleh sekarang boleh? Apa bezanya menggunakan Salam Aspirasi dan Salam Pro-Mahasiswa? Kami tidak mahu menggunakan hujah-hujah yang berat, cukuplah sekadar bertanya, apakah hukumnya kini sudah dibolehkan semata-mata untuk meraih undi dan sokongan mahasiswa sejagat? Kalau sudah boleh, maka wajarlah kami menuntut supaya tuduhan lampau terhadap kami dahulu ditarik balik.

Untuk makluman sahabat-sahabat mahasiswa/i USM sekalian, jika anda mahu kenal Pro-M, kenalilah siapa yang menggerakkannya. Ia terdiri daripada gabungan dua kumpulan mahasiswa yang besar di USM iaitu Student Progressive Front yang berpayungkan Persatuan Bahasa Tionghua dan Persatuan Mahasiswa Islam atau panggilan mesranya, PMI.

Pada kebiasaannya, setiap kumpulan Pro-M di mana-mana IPTA/S pun akan dikepalai oleh Presiden/Yang DiPertua PMI. Ia sudah diterima dan diperakui oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menjadi induk gerakan mahasiswa pro-pembangkang di Malaysia. Justeru bila ahli PMI berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian, kami cuma tersenyum sinis. Apa lagi yang hendak diperkatakan..

Dalam berpolitik, manusia cenderung mengikut emosi ramai. Kalau insiden pencabulan hukum semalam diambilkira, maka PMI bukanlah pejuang sebenar gerakan Islam di kampus ini. Dahulu tidak boleh, sekarang boleh. Dahulu salah, sekarang sudah betul. Sedangkan hal prinsip di dalam Islam ialah hal yang paling tidak boleh dikompromikan waima dalam politik sekali pun.

AC kata : Memaku dulang..

Tuesday, February 15, 2011

Wafi dan Rakan-rakan Buktikan Mahasiswa USM Tak Lesu!


Ucapan terima kasih khas untuk MPP 2010/2011.

Kira-kira setahun yang lalu, blog Aspirasi Corner pernah menyiarkan artikel yang mengandungi ucapan tahniah dah harapan daripada Team AC selaku lidah rasmi suara aspirasi mahasiswa USM di atas perlantikan Saudara Ahmad Wafi Shahedan sebagai Yang DiPertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia.

Kira-kira setahun yang lalu juga, kami melihat perjalanan Saudara Wafi bakal dipenuhi onak dan duri. Tidak banyak yang boleh diduga tetapi kami yakin, ranjau itu pasti akan tumbuh dan merintangi jalan yang bakal ditempuh oleh Wafi dan rakan-rakannya. Namun, kami tetap bahawa kepimpinan beliau yang berteraskan semangat toleransi, rasional dan realistik seperti kepimpinan-kepimpinan terdahulu tetap akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Setahun berlalu, dan hari ini Saudara Wafi sudah pun menyertai barisan mantan Yang DiPertua MPP. Begitu juga rakan-rakan beliau yang lain yang turut menyertai saf kepimpinan MPP USM Sidang 2010/11, kini mereka pasti tersenyum puas kerana berjaya meneruskan legasi kecemerlangan MPP terdahulu yang setia mendokong aspirasi mahasiswa dan universiti sejak bertahun lamanya.

Jika ditinjau kembali, antara iltizam besar Saudara Wafi apabila diberikan mandat menggalas tanggungjawab sebagai komander mahasiswa dan mahasiswi USM, ialah, untuk mengurangkan kebergantungan mahasiswa hari ini terhadap kerajaan khususnya melalui peluang-peluang perkerjaan selepas bergraduasi atau berijazah. Sejak menguar-uarkan harapannya itu, beliau terus bergerak ke hadapan dan berusaha gigih untuk merealisasikan segala kata yang telah diungkapkan sebaik mungkin.

Hasilnya, melalui kerjasama langsung dengan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), sebuah program berbentuk kursus telah dijalankan dengan pihak pengelola My Career My Future (MCMF) yang juga mendapat sokongan penuh daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program yang berlangsung selama enam minggu itu telah pun berakhir pada awal bulan Januari yang lalu dan melibatkan kira-kira 100 orang bekas penuntut USM. Hari ini, sebahagian besar daripada mereka telah pun mendapat pekerjaan masing-masing di pelbagai syarikat dan jabatan kerajaan.

Apakah kunci atau rahsia segala kejayaan ini? Jika ditanya, kami percaya Saudara Wafi akan menjawab sama seperti kami juga iaitu, semangat bertoleransi dan berdiplomasi ketika menuntut sesuatu perkara. Inilah teras utama kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar USM sejak sepuluh tahun yang lalu. Tanpa pengamalan prinsip-prinsip begini, tentu sukar untuk MPP merealisasikan impian dan harapan warga kampus sejagat.

Selain itu, antara kejayaan terbesar dan terpenting yang dicapai oleh Saudara Wafi dan rakan-rakan ialah melaksanakan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa. Hari ini, model DPP ini telah pun diserap oleh beberapa buah universiti sebelum dicadangkan oleh pihak kementerian supaya diwajibkan di semua IPTA menjelang tahun 2012. Malah, lebih membanggakan, beberapa buah negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat turut menggunakan model Parlimen Mahasiswa ini untuk diiplimentasikan di negeri masing-masing.

Jelas sekali, kejayaan merealisasikan penubuhan Dewan Perundingan Pelajar ini amat membanggakan kita semua. DPP bukan hanya lambang demokrasi dan kebebasan bersuara cara USM, tetapi ia adalah simbol kecemerlangan kepimpinan pelajar yang mengambil aspirasi universiti sebagai modul utama kepimpinan mereka. Kita tidak bercakap sahaja, tetapi kita melaksanakannya! Itulah MPP di USM yang perlu difahami oleh setiap warga penuntut di sini.

Kejayaan DPP juga amat penting dalam lanskap politik kampus. Seperti yang dikatakan tadi, DPP hari ini sudah menjadi model di negara ini dalam usaha memupuk budaya demokrasi di kampus-kampus seluruh negara. Ia malah pernah dibincangkan di peringkat Kabinet, diulas oleh pakar-pakar perundangan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia. Hal ini secara tidak langsung telah membuka lebih banyak ruang antara kepimpinan mahasiswa dengan pihak pemerintah, sekali gus memastikan lebih banyak suara kampus sampai ke peringkat tertinggi negara kita. Tidakkah ini membanggakan? Anda tanya dan anda fikirlah sendiri.

Kami juga berbesar hati ingin berkongsi kisah di sebalik penubuhan DPP di USM yang barangkali tidak diketahui oleh umum khususnya warga kampus ini. Untuk makluman semua, kejayaan penubuhan DPP adalah suatu rentetan perjuangan panjang yang dibawa oleh kepimpinan MPP terdahulu sebelum dijayakan oleh Saudara Wafi dan rakan-rakan. Ia dicetuskan oleh kepimpinan MPP 2007/08 yang dikepalai oleh Saudara Mohd Syukri Ibrahim, digerakkan secara bersepadu oleh kepimpinan 2009/10 di bawah pimpinan Saudara Muhammad Syafik bin Abd. Aziz sehingga tertubuhnya Dewan Perundingan Pelajar USM sewaktu di bawah pimpinan Saudara Wafi pada sidang 2010/11.

Selain itu, kepimpinan Saudara Wafi juga berjaya meneruskan usaha-usaha menjaga kebajikan mahasiswa seperti yang dilakukan oleh barisan kepimpinan sebelumnya. Ini amat penting untuk diketahui oleh kita semua bagi menangkis dakyah-dakyah jahat yang mengatakan MPP sidang 2010/11 sebagai MPP yang lesu. Antara kejayaan besar MPP sidang ini termasuklah memperjuangkan isu bas yang selama ini menjadi masalah kepada warga kampus. Melalui usaha yang bersungguh-sungguh, akhirnya masalah bas lewat berjaya dijadualkan semula . Beberapa buah perhentian bas juga turut dibina seperti di Desasiswa Fajar Harapan dan Restu untuk kemudahan warga kampus.

MPP juga berjaya menyelesaikan beberapa tuntutan lain terutamanya di peringkat pusat pengajian. Melalui rundingan demi rundingan dengan pihak pengurusan, sebagai contoh, akhirnya sebuah surau baru yang lebih selesa untuk para pelajar telah dibina di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK). Apa yang lebih penting, dengan terbinanya surau baru tersebut bukan sahaja menguntungkan para pelajar PPSK malah memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja yang berada di sekitarnya.

Daripada aspek kelestarian pula, MPP di bawah pimpinan Saudara Wafi kekal komited dalam menjayakan aspirasi universiti untuk menjayakan program-program berbentuk kelestarian. Sebagai contoh, Program Dua Jam Tanpa Kenderaan telah diteruskan dan ditambahbaik proses perlaksanaannya untuk mencapai hasil yang lebih maksima manakala laluan berbasikal khas untuk riadah dan kegunaan harian turut dibina di sekitar kawasan kampus. Semua ini juga berjaya dilaksanakan hasil penerapan nilai-nilai aspirasi dalam MPP iaitu toleransi dan realistik sejajar dengan konteks semasa.

Untuk disenaraikan kesemuanya di sini tentu sekali akan mengambil ruang yang cukup panjang kerana catatan sejarah kecemerlangan MPP USM bukannya sehelai dua. Namun sebagai perkongsian bersama, kami berasakan cukuplah jika kami dapat menggariskan beberapa contoh hasil sumbangan MPP pimpinan Saudara Ahmad Wafi seperti di atas supaya selepas ini, kita semua mampu memahami perih jerih dan susah payah MPP berkerja untuk mahasiswa. Mereka mahasiswa, datang dari mahasiswa dan berkhidmat untuk mahasiswa! Justeru kami menyeru, ambillah peluang masing-masing untuk mengucapkan terima kasih kepada MPP sidang 2010/2011 kerana telah banyak berkorban untuk warga kampus.

Monday, September 20, 2010

Politik Kampus : Pro dan Kontra Usul MPP Dua Tahun (Bahagian Satu)

MPP tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkhidmat dan menyumbang bakti? Tempoh setahun yang diamanahkan tidak praktikal? Berlaku ketidakseragaman tempoh perkhidmatan antara MPP dan Majlis-majlis Penghuni Desasiswa (MPD) serta Kelab-kelab dan Persatuan? Inilah antara persoalan dan realiti yang sedang berlaku ketika ini di USM dan beberapa IPTA lain.

Rentetan itu, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan baru-baru ini dalam satu artikelnya telah mengusulkan cadangan supaya tempoh perkhidmatan MPP dilanjutkan sehingga dua tahun atau dua sidang bagi memantapkan hubungan antara badan tersebut dan organisasi-organisasi lain di dalam kampus di samping memastikan setiap Exco MPP dapat menunaikan amanah mereka dengan lebih cekap dan berkesan.

Saranan beliau juga turut mendapat perhatian daripada mantan YDP MPP terdahulu iaitu Saudara Muhammad Syafik bin Abdul Aziz yang bersetuju sekiranya perlantikan MPP dibuat untuk tempoh dua sidang. Menurut beliau, langkah itu bukan saja dapat memastikan urusan pentadbiran dan perkhidmatan MPP menjadi lebih praktikal malah turut membantu mengurangkan kos pentadbiran universiti yang terpaksa mengadakan pilihan raya kampus setiap tahun seperti yang dipraktikkan ketika ini.

Selain itu, berdasarkan pengalaman lalu, MPP sering kali berhadapan dengan ‘tuntutan tertunggak yang dibawa ke hadapan’ menyebabkan ada sesetengah Exco MPP terpaksa menjalankan tugas mereka walaupun selepas tamat tempoh perkhidmatan. Sekiranya hal ini berterusan berlaku, adalah dibimbangi ia akan mengganggu tumpuan pihak yang berkenaan terhadap tugas hakiki mereka sebagai pelajar manakala di pihak MPP baru pula, peluang untuk mengetengahkan bakat dan potensi diri sebagai pemimpin muda sedikit sebanyak akan terjejas.

Situasi ini sebenarnya baru sahaja berlaku iaitu kira-kira dua sidang yang lepas ketika pihak Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk menyelaraskan proses pilihan raya kampus di beberapa IPTA berstatus Universiti Penyelididkan iaitu USM, UPM, UKM, UM dan UTM. Bagi mencapai tujuan tersebut, MPP sedia ada ketika itu telah dilanjutkan tempoh perkhidmatan berbanding biasa selaras dengan ketetapan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang memberikan hak kepada Naib Canselor untuk memanjangkan ‘usia’ MPP lebih daripada setahun.

Lantaran wujudnya MPP ‘caretakers’ ini, ia telah melahirkan ketidakseragaman antara badan tersebut dengan organisasi mahasiswa yang lain di dalam kampus yang kebanyakannya ditubuhkan mengikut usia sidang pengajian. Apa yang berlaku ialah, MPP akan berhadapan dengan dua kepimpinan daripada mana-mana persatuan atau kelab kerana tempoh perkhidmatan mereka yang meliputi dua sidang yang berbeza.

Sebagai contoh, sejak dua sidang yang lepas, pilihanraya kampus di USM, UPM, UKM dan UM masing-masing diadakan pada awal semester kedua dan MPP yang dilantik akan tamat tempoh perkhidmatannya setahun kemudian. Manakala Majlis-majlis Penghuni Desasiswa atau Jawatankuasa Kolej Kediaman dan persatuan-persatuan serta kelab dipilih sama ada pada awal sidang atau pada penghujung semester kedua dan bertugas secara rasmi pada semester baru sidang berikutnya.

Justeru di sinilah masalah-masalah ketidakseragaman akan berlaku kerana setiap organisasi termasuk MPP sendiri sudah tentu akan cuba menampilkan agenda-agenda baru sebaik saja ditubuhkan. Seperti kata Saudara Syafik, melainkan MPP baru bersedia memikul amanah yang ditinggalkan oleh MPP lama, maka masalah ini akan terus membelenggu mereka!

Sunday, July 25, 2010

Relevankah Lagi Penggantungan Pinjaman PTPTN Ke Atas Pelajar Bermasalah?

Dalam kita menempuh alam kampus sebagai mahasiswa, kita sentiasa berdepan pelbagai risiko. Sama ada risiko itu berpunca daripada tindakan kita sendiri, ataupun ia berlaku di luar kawalan kita, namun impaknya tetap sama. Hanya kita yang mengalami dan merasainya.

Ada waktunya kita mungkin terjatuh kerana tersalah langkah. Ada waktunya, kita terus tersungkur. Pada masa itu, kita sekali lagi terdesak sama ada untuk bangun atau terus mengalah. Jika kita berusaha untuk bangun dan kembali melangkah, kita mungkin akan berhadapan dengan lebih banyak cabaran.

Soalnya, adakah kita bersedia? Jika ketika kita jatuh, kita dihukum pula, jadi bagaimana kita hendak bangun?

Mungkin inilah dilema yang dihadapi oleh segelintir sahabat kita yang mengalami situasi sudah jatuh ditimpa tangga pula seperti yang digambarkan sebentar tadi. AC ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk menginsafi diri masing-masing dengan mengambil iktibar yang sewajarnya dan pada masa yang sama berkongsi masalah ini dengan hati yang terbuka.

Ketika kita ‘berbelanja mewah’ menggunakan wang pinjaman PTPTN dan biasiswa masing-masing, sebenarnya, ada antara kita yang mengikat perut dan berperang dengan semangat untuk meneruskan pengajian masing-masing kerana pinjaman mereka disekat atau ditahan kerana keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan.

Kita menerima ini sebagai satu bentuk hukuman. Tetapi masihkah ia relevan dalam situasi hari ini? Kita semua tentunya bersetuju bahawa kehidupan sebagai mahasiswa tidak dapat dipisahkan daripada menggunakan wang yang banyak sama ada untuk perbelanjaan diri sendiri ataupun untuk urusan pengajian sehari-hari.

AC bukanlah hendak membela mereka yang membuat salah, tetapi sebagai mahasiswa, terdetik juga barangkali di hati kita ini betapa hukuman sebegitu kelihatan lebih kepada menghukum, bukannya mengatasi puncanya. AC mengambil pendirian bahawa masalah sebegini perlu diatasi di peringkat puncanya, dan bukannya hanya terus mencatas pucuk sebagai satu bentuk hukuman.

Bagaimana golongan pelajar malang ini hendak meneruskan pengajian mereka jika tidak berduit, apatah lagi untuk membaiki keputusan mereka? Motivasi mereka tentunya merudum lebih teruk daripada sentimen penyesalan sendiri. Hendak pinjam? Siapa yang hendak bagi kalau satu semester sentiasa perlu meminjam?

Justeru, AC ingin memohon jasa baik pihak yang berkenaan khususnya MPP USM supaya dapat mempertimbangkan duduk penting perkara ini demi menjaga kebajikan mahasiswa sejagat. MPP sudah pasti mempunyai saluran yang lebih baik untuk membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi. Jadi andalah yang paling layak sebelum isu ini dijadikan modal kempen oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu.

Bersama Aspirasi Menggerakkan Transformasi.

Mahasiswa Didahulukan, Kebajikan Diutamakan.

Terima Kasih MPP USM 2009/2010

Sebahagian besar penuntut USM memulakan pengajian masing-masing dengan senyuman lebar. Masakan tidak, semester ini menyaksikan urusan kemasukan wang pinjaman PTPTN dan biasiswa JPA lebih awal berbanding biasa.

Bagi mereka yang menerima biasiswa JPA misalnya, ‘bahagian’ masing-masing telah dikreditkan kira-kira seminggu sebelum bermulanya semester baru manakala pinjaman PTPTN dikreditkan beberapa hari lebih awal.

Perkembangan positif dalam urusan kemasukan wang pinjaman dan biasiswa pelajar pada semester ini ternyata amat melegakan. Jika dahulu ia sering menjadi keluhan utama setiap kali bermulanya semester baru, namun hari ini ia bukan lagi satu masalah yang membebankan para pelajar di USM.

Justeru kita semua seharusnya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang berjaya mengatasi masalah tersebut khususnya Jabatan Bendahari USM dan pihak Majlis Perwakilan Pelajar yang sentiasa memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa di semua kampus.

Pada masa yang sama, kita juga perlu berterima kasih kerana perjuangan MPP menuntut penambahbaikan dan peningkatan kecekapan yang menyeluruh dalam semua sektor semakin membuahkan hasilnya dan impaknya mula dinikmati sedikit demi sedikit.

Misalnya, MPP USM sejak dahulu lagi sentiasa berjuang menuntut pengurangan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN ke atas peminjam. Hasilnya, hari ini ia telah dikurangkan kepada hanya 1% sahaja meskipun tuntutan asal adalah untuk menghapuskan terus caj tersebut.

Semua ini hanya mampu dicapai jika perjuangan yang digerakkan mengutamakan nilai-nilai positif seperti toleransi, rasional dan realistik bagi memastikan aspirasi mahasiswa sentiasa seiring dengan aspirasi universiti di bawah satu bumbung yang sama.

Team Aspirasi Corner sekali lagi ingin mengambil ruang dan kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MPP USM dan pihak-pihak yang terbabit secara langsung dalam menjaga kebajikan mahasiswa di USM. Kami akan terus menyokong perjuangan anda semua.

Bersama Aspirasi Menggerakkan Transformasi.

Mahasiswa Didahulukan, Kebajikan Diutamakan.

Tuesday, February 9, 2010

MPP Buka Kaunter Dekati Mahasiswa

Mahasiswa/i USM dipelawa berkunjung ke kaunter Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang kini dibuka di foyer Dewan Kuliah M (DK M) bermula 9hb hingga 12hb Februari ini dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut Saudara Ahmad Wafi Shahedan, Yang DiPertua MPP, kaunter yang dibuka ini bertujuan mendekatkan kepimpinan baru MPP sidang 2009/10 dengan para pelajar USM. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan mendapatkan maklum balas warga kampus tentang masalah-masalah yang dihadapi melalui khidmat aduan yang disediakan.

Menurut beliau, aduan yang diterima adalah sangat penting kerana MPP boleh bertindak berdasarkan masalah-masalah yang dikemukakan mengikut kesesuaian yang ada. Ia juga akan menjadi penghubung antara MPP dan masalah kebajikan warga kampus keseluruhannya.

Menurut Ahmad Wafi lagi, MPP juga akan membuka permohonan menjadi Pembantu Exco (PE) kepada para pelajar yang berminat menyertai Sekretariat MPP USM. Melalui penyertaan ini, katanya, para pelajar berpeluang melibatkan diri secara langsung termasuk menjadi tenaga penggerak dalam pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan dari masa ke masa oleh MPP.

Selain itu, para pelajar juga berpeluang mendapatkan Buletin MPP sidang lepas secara percuma di kaunter yang dibuka ini. Buletin ini memuatkan sebahagian besar aktiviti, program dan tindakan yang telah diambil oleh kepimpinan MPP sidang lepas untuk manfaat warga kampus dan masyarakat luar.

Justeru beliau berharap kaunter yang dibuka ini akan menjadi salah satu kaedah yang berimpak tinggi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan MPP terhadap warga kampus. Beliau juga berharap para pelajar dapat memanfaatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan ini sebaik mungkin untuk kebaikan semua pihak.

Wednesday, February 3, 2010

Tahniah Wafi, Komander Baru Mahasiswa USM

Saudara Ahmad Wafi Shahedan, YDP MPP USM 2009/10


Rasanya belum terlambat untuk AC mengucapkan sekalung tahniah kepada Saudara Ahmad Wafi yang telah dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM bagi sidang akademik 2009/10.

Pemilihan beliau pada AC adalah sangat bertepatan dengan kredibilitinya sebagai seorang mahasiswa yang proaktif baik di dalam kampus mahupun di peringkat yang lebih tinggi. Ahmad Wafi atau lebih mesra dengan panggilan Wafi merupakan anak Pulau Pinang yang pernah menuntut di Malay Collegue Kuala Kangsar (MCKK), kilang yang melahirkan sekian banyak pemimpin negara sejak dahulu hingga ke hari ini.

Keupayaan beliau juga tidak harus dilihat kepada latar belakang akademik semata-mata. Wafi sendiri sebenarnya telah membentuk imej yang meyakinkan sebagai Exco MPP sewaktu di bawah kepimpinan cemerlang Saudara Mohammad Shafiq pada sidang 2008/09. Justeru tidak hairanlah jika beliau dipilih dan kemudian dilantik sebagai YDP yang baru.

Wafi juga wajar dilihat sebagai penerus tradisi cemerlang MPP USM selama ini. Sebagai YDP, tugasnya sememangnya mencabar lebih-lebih lagi dalam beliau memimpin bukan sahaja MPP tetapi seluruh mahasiswa USM untuk tempoh setahun mendatang. Beliau juga memikul bertanggungjawab yang berat untuk membina persepsi yang lebih cemerlang terhadap mahasiswa USM di mata dunia.

AC mengambil kesempatan ini menyeru rakan-rakan semua supaya tidak lekas membandingkan Wafi dengan barisan YDP sebelum ini. Masa untuk Wafi sememangnya masih panjang sementara jalan yang sedia menanti untuk beliau dan rakan-rakan yang lain masih berliku di hadapan. Justeru kita haruslah menyokong beliau dan rakan-rakan supaya tidak tersasar dari arah yang sebenar.

Selamat berjuang Tuan Komander!!!