Showing posts with label Universiti. Show all posts
Showing posts with label Universiti. Show all posts

Friday, December 27, 2013

SIDANG MEDIA PARLIMEN MAHASISWA USM 13/14


Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.


Pada 21 Disember yang lalu, Parlimen Mahasiswa USM telah berlangsung dengan jayanya. Proses persidangan tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dan persidangan kali ini juga telah menyaksikan Saudara Haziq Al Amir Mohd dilantik sebagai Speaker Dewan Perundingan Pelajar Siri 1 SA 2013/2014.

Parlimen Mahasiswa Siri 1 13/14 

Sebanyak 12 usul telah dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Usul (AJK Usul DPP) yang terdiri dalam kalangan wakil-wakil persatuan, kelab, anak negeri, desasiswa dan lain-lain. Perbahasan berlangsung dengan baik, berfakta, dan berhemah oleh ahli dewan walaupun terdapat momen-momen perbahasan bertukar menjadi 'panas'. Sesungguhnya Parlimen Mahasiswa merupakan wadah penyatuan semua entiti dalam universiti untuk menyuarakan pandangan dan melontarkan idea secara matang.

Kelmarin telah berlangsung pula sidang media berkenaan usul-usul yang dibahaskan dalam Parlimen Mahasiswa. AC salin dan tampal post di Facebook milik Saudara Haziq Al Amir tentang sidang media tersebut.

Alhamdulilah pada hari ini, saya bersama Timbalan Speaker, Setiausaha Dewan dan bersama sebahagian Ahli Dewan yang diketuai oleh YDP MPPUSM saudara Mohamad Shafiq Bin Kamaruddin telah mengadakan persidangan media berkenaan usul-usul yang telah dibincangkan didalam persidangan parlimen mahasiswa USM baru-baru ini.

Terdapat 3 usul khas yang dibawa suara mahasiswa melalui DPP agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian dalam isu ini, iaitu usul berkenaan memohon pihak kerajaan mengkaji dan mempertimbangkan semula peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi terutama sekali golongan mahasiswa. selain itu, usul berkenaan memohon pihak kerajaan memantau dan menguatkuasa larangan penyebaran fahaman syiah yang semakin menular yang boleh mengancam akidah umat islam. dan usul berkenaan memohon pihak kerajaan mengkaji dan menolak tuntutan Comango.

ketiga-tiga usul ini telah diluluskan dan mendapat undian majoriti ahli Dewan Perundingan Pelajar sewaktu sesi persidangan pertama pada 21 disember, dan langkah pertama yang diambil adalah memaklumkan kepada pihak yang berkenaan terutama sekali pihak kerajaan agar mendengar pandangan dan suara mahasiswa yang merupakan salah satu agen transformasi negara. Insyallah semoga suara mahasiswa USM mendapat perhatian daripada kepimpinan negara.

Salam hormat dari saya.

Mohamad Haziq bin Al Amir Mohd
Speaker Dewan Perundingan Pelajar USM

Sumber : Klik Sini 

Aspirasi's Corner

Rasional Toleransi Realistik
We Lead We Love USM
Together We Unite

Sunday, January 15, 2012

Fahami Tafsiran Kebebasan dalam Perkara 10

Beberapa insiden belakangan ini melibatkan sekumpulan mahasiswa antiestablishment yang kononnya cuba memperjuangkan kebebasan akademik dan politik seharusnya menimbulkan pelbagai pertanyaan. Antaranya, apakah kebebasan sebenar yang dimahukan oleh mereka? Sejauh manakah mereka memahami kebebasan yang sedang diperjuangkan itu? Benarkah kebebasan mutlak wujud di negara ini?


Apa yang pasti, setiap kali timbul isu-isu begini, mereka akan tampilkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai dalil utama untuk menyokong setiap kegiatan yang dilakukan. Perkara 10 jika mengikut tafsiran mereka, bermakna setiap warganegara Malaysia berhak mengamalkan kebebasan bersuara, berhimpun dan menganggotai apa-apa sahaja organisasi atau persatuan.


Malangnya, ramai yang tidak tahu bahawa tafsiran tersebut hanya menggunapakai Perkara 10 Fasal (1) sahaja, itupun tidak dibaca dengan lengkap. Perkara 10 (1) sebenarnya telah menetapkan kebebasan melalui klausa “Tertakluk” yang membawa maksud ia masih bersyarat dengan Fasal-fasal (2),(3) dan (4) dalam Perkara yang sama.


Ini yang sepatutnya dibacakan; Perkara 10

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3), dan (4) --

(a) Tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

(b) Semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;

(c) Semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan --

(a) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, kententeraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam.

(c) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh Perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubungan dengan perlaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.


Berdasarkan peruntukan-peruntukan ini, penting untuk kita fahami bahawa kebebasan yang diberikan itu adalah bersyarat atau ada batasannya. Parlimen sebagai institusi tertinggi yang bertanggungjawab menggubal undang-undang negara mempunyai kuasa untuk menetapkan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan bersesuaian demi menjaga keselamatan awam.


Sekatan-sekatan ini diturunkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakannya. Dalam hal ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan antara pihak yang dimaksudkan menerima kuasa dalam menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat awam. Namun, PDRM tidak pula memiliki kebebasan mutlak dalam bertindak. Selain melalui peruntukan undang-undang yang khas, mereka juga terikat dengan standard operasi sendiri dalam melaksanakan sesuatu sekatan atau tindakan.


Contohnya, sesuatu perhimpunan yang melibatkan lebih daripada lima (5) orang di tempat awam perlu mendapatkan permit secara langsung daripada pihak polis. Namun, dalam insiden malam tahun baru di UPSI yang lalu, jelas sekali pihak penganjur perhimpunan gagal membuat permohonan. Malah, ia sengaja diadakan secara haram atas nama kebebasan berhimpun berdasarkan Perkara 10 ini. Justeru pihak polis tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah bertindak berlandaskan peruntukan sedia ada bagi mencegah sesuatu perhimpunan yang dilakukan secara haram.


Malah, dalam insiden tersebut juga, peserta perhimpunan didapati bertindak di luar batasan seperti memperapikan suasana melalui provokasi liar dan keras, berbaring di atas jalan raya hingga mengganggu lalu lintas, memecahkan cermin pintu sebuah poliklinik dan cuba menceroboh UPSI dengan memanjat pintu pagarnya . Tindakan-tindakan ini dilihat keterlaluan dan perlu dihalang demi menjaga keselamatan dan keharmonian awam.


Kesimpulan kami ialah,pertama, Perkara 10 sememangnya memberikan kebebasan kepada setiap warganegara untuk berhimpun dan bersuara tetapi ia sebenarnya masih terikat dengan sekatan-sekatan lain demi keselamatan dan keharmonian masyarakat awam. Kedua, tidak ada kebebasan mutlak di negara ini, malah tiada negara di dunia yang mewartakan hal tersebut. Ketiga, setiap Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca bersama dengan Perkara lain jika dinyatakan dan janganlah sesekali membuat tafsiran semberono.

Saturday, September 18, 2010

Di Sebalik Penarafan Universiti Terbaik Dunia

THE-TR 2010

Seperti yang dijanjikan oleh Times Higher Education (THE), pada 16 September yang lalu, senarai 200 buah institusi pengajian tinggi terulung di dunia telah dikeluarkan sebagai rujukan massa bagi tempoh 2010-2011.

Senarai tersebut (Klik di sini) telah memperbaharui kedudukan universiti-universiti utama dunia sebelum ini tetapi masih ‘mengekalkan’ posisi Universiti Harvard, Amerika Syarikat di tangga teratas dengan mata keseluruhan mencecah 96.1 diikuti Institut Teknologi California, Amerika Syarikat di tangga kedua dan Institut Teknologi Massachusetts juga dari Amerika Syarikat di tangga ketiga.

Ranking atau kedudukan terkini ini juga secara purata dikuasai oleh institusi-institusi pengajian tinggi dari Amerika Syarikat dengan lapan daripadanya berada dalam kelompok sepuluh universiti terbaik dunia bagi tahun 2010-2011. Ia diikuti oleh universiti-universiti utama dari United Kingdom dan beberapa universiti ternama lainnya dari Eropah dan Asia.


Kedudukan 10 Universiti Terbaik Dunia 2010-2011


Kedudukan 10 Universiti Terbaik Dunia 2009-2010


Secara keseluruhannya kedudukan terbaru ini menyaksikan beberapa pertukaran ‘luar biasa’ berbanding pada tahun 2008 dan 2009. Misalnya kejatuhan University of Cambridge dari tangga kedua pada 2009 ke tangga ke-6 untuk berkongsi kedudukan dengan University of Oxford yang juga jatuh satu anak tangga berbanding pada tahun 2009 .

Selain itu, kita juga dapat mengesan ‘kejatuhan’ beberapa universiti utama lain seperti Yale University dari kedudukan ke-3 (2009) ke tangga ke-10 (2010), Imperial College London dari kedudukan ke-5 (2009) ke kedudukan ke-9 (2010) dan University College London yang terkeluar dari kelompok sepuluh universiti utama dunia berbanding di kedudukan ke-4 pada tahun 2009.

Persoalannya, kenapa perubahan mendadak ini boleh berlaku? Kita tidak dapat mengagak jawapan yang jelas sehinggalah kita menemukan sendiri kelemahan dalam proses penarafan ini. Time Higher Education atau singkatannya THE telah menjalankan usaha mencari universiti terulung di dunia sejak tahun 2004. Diketuai oleh penolong editornya, Phil Baty, THE sebelum ini menjalin kerjasama dengan QS Symonds dan dikenali dengan nama THE-QS.

Walau bagaimanapun, menurut Phil sendiri, metodologi yang digunapakai ketika bergabung dengan QS Symond didapati mempunyai beberapa kelemahan sehingga menimbulkan pertikaian dalam kalangan ahli akademik dan pihak pengurusan universiti terbabit.

Kita di Malaysia juga sebenarnya tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kesilapan teknikal tersebut sehingga mencetuskan polemik dangkal dalam kalangan ahli akademik tempatan. Sama ada mereka sedar ataupun tidak, kebenaran tersebut akhirnya terdedah juga.

Universiti Malaya umpamanya pernah menjadi mangsa kepada percaturan ‘kepakaran’ Barat apabila THE-QS telah dengan cuainya mentafsirkan pelajar Cina dan India warga Malaysia sebagai pelajar antarabangsa di universiti tersebut.

Natijahnya, pada 2004, THE-QS telah menyenaraikan UM di kedudukan ke-89 dunia, suatu kedudukan yang sebenarnya jauh panggang dari api, tetapi benar-benar membuatkan seluruh kampung bersorak gembira. Namun ia tidak bertahan lama apabila setahun kemudian, UM jatuh merudum ke tangga ke 169 iaitu penurunan hampir sekali ganda. Seluruh negara kembali hingar. Pelbagai punca cuba dibongkar-dedahkan tanpa mengetahui situasi sebenar.

Menurut Dr. Hashim Yaacob, bekas Naib Canselor Universiti Malaya, kriteria memberikan kredit ‘lebih’ kepada pelajar dan kakitangan antarabangsa tidak boleh dijadikan kayu ukur sama sekali dalam kita menarafkan mana-mana universiti melainkan jika kita mahu ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’.

Konglomerat Thomson Reuters menyediakan kepakaran dan data saintifik untuk kegunanaan THE dalam proses penarafan universiti terbaik.

Dalam pada itu, kerjasama baru antara THE dan Thomson Reuters juga seharusnya menimbulkan kesangsian. Kutipan data menunjukkan Thomson Reuters ialah sebuah syarikat global yang bergiat aktif dalam pengeluaran dan pemasaran data dan maklumat. Ia bermula apabila Thomson Corp. membeli Reuters pada tahun 2007 sekali gus menghasilkan sebuah konglomerat dengan nilai hampir US$17.5 bilion.

Lebih menarik, entiti ini mempunyai pangkalan data saintifik yang dihasilkan daripada 12,000 jurnal yang berada di bawah imprimata mereka yang juga diindeks dalam Webs of Science (WOS) Thomson Reuters yang kemudiannya digunakan sebagai indikator utama dalam proses penarafan univerisiti oleh THE.

Bagaimana ia beroperasi dan menekan pihak univerisiti? Inilah yang seharusnya kita fahami. WOS atau Web Of Science yang dikuasai oleh Thomson Reuters inilah sebenarnya yang menyebabkan pihak pengurusan universiti dan seluruh warga akademiknya bertungkus lumus mengejar untuk menerbitkan kertas-kertas penyelidikan mereka dalam jurnal tersebut. Secara ekonominya, ia akan menguntungkan konglomerat tersebut.

Sekarang mari kita fahami pula bagaimana THE memanfaatkan data-data tersebut sebelum dijadikan indikator dalam penarafan universiti terbaik dunia 2010. Data yang sama juga akan digunakan oleh THE untuk menjana perkiraan yang akan menentukan kedudukan seperti yang diinginkan oleh mereka. Daripada maklumat yang diperolehi melalui laman web THE, tinjauan kali ini dilaksanakan selepas perbincangan dan konsultansi selama 10 bulan serta input daripada lebih 50 pemimpin sektor pengajian tinggi dunia.


Indikator yang diaplikasikan dalam proses penarafan.


Menurut Phil Baty, penarafan kali ini dianggap sebagai paling komprehensif dan sofistikated dengan mengambil kira beberapa kriteria baru seperti pengajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu yang diaplikasikan dalam 13 indikator penilaian berdasarkan pencapaian setiap universiti terbabit (Klik sini).Satu kategori baru juga telah diperkenalkan iaitu pengajaran yang memberikan markah sehingga 30 peratus di samping memberikan penekanan kepada penyelidikan dan hasilnya.

Metodologi yang telah digunakan oleh THE-TR.

Selepas penelitian ini, kita seharusnya berfikir, apakah implikasi tersirat apabila wujud usaha penarafan sebegini terhadap universiti-universiti di dunia yang merentasi sempadan negara dan benua? Adakah ia sesuatu yang positif dan adil?

Barangkali kita masih ingat akan komentar daripada Naib Canselor kita sendiri tidak lama dahulu betapa kita tidak boleh menarafkan sahabat-sahabat kita sendiri dengan angka atau kedudukan 1,2,3 dan seterusnya kerana ia tidak menjamin keputusan yang sepatutnya kita inginkan, atau setidak-tidaknya, ia akan mewujudkan persaingan dan perlumbaan yang tidak seimbang.

Begitu juga, apabila wujud ‘pihak asing yang berada di luar bidang dan kepentingan’ cuba ‘melaga-lagakan’ kalangan universiti dengan memberikan penafaran berdasarkan kriteria yang telah ‘ditetapkan’, maka ia hanya akan mencetuskan lebih banyak perlumbaan ‘kekayaan’ dan ‘kemegahan’.

Kita perlu tahu bahawa universiti di Eropah dan Amerika Syarikat telah berdiri megah sejak ratusan tahun dahulu, sudah memiliki asas dan tradisi yang kukuh dan didanai secara konsisten di mana pihak berkuasa mereka sentiasa menyokong aktiviti yang dijalankan tanpa banyak ‘berkira’ atas nama pembangunan pendidikan yang komprehensif untuk rakyatnya.

Ketika mereka memiliki tuah tersebut, masih banyak lagi universiti di negara-negara lain termasuk kita di Malaysia yang sedang ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan khususnya fizikal dan spiritual. Kita sebenarnya tewas dalam aspek dana kerana untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang ulung, sumber kewangan yang mewah adalah faktor utamanya.

Walau bagaimanapun, kita di Malaysia seharusnya bersyukur kerana pihak kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan pelbagai strategi ke arah pemantapan bidang penyelidikan di samping melabur sejumlah besar wang rakyat untuk pembangungan pengajian tinggi nasional, termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara baru-baru ini.

Akhir kata, AC ingin menyeru rakan-rakan sekalian supaya tidak terlalu skeptikal dengan melihat ranking sebagai segala-galanya tentang universiti. Usahlah berasa rendah diri atau malu jika kita tidak berada dalam kelompok terbaik dunia ketika ini kerana kita sebenarnya sedang bergerak pantas ke arah tersebut dalam menggapai masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Sayangnya juga kerana Malaysia tidak menyertai ‘pencarian’ THE-TR tersebut!