Tuesday, September 29, 2009

AUKU - LAGU SUMBANG DARI PRO-M

Oleh Rizuan MH

* Artikel ini adalah jawapan balas kepada artikel Pindaan Auku dalam buku Black or White Edisi 7 yang diterbitkan oleh SPF USM baru-baru ini.





Minda yang kritis tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya mereka yang mampu menujah upaya fikir ke tahap yang kritikal saja berkemungkinan menjana idea-idea yang kritis.


Menurut Ishak Ramly, tahap berfikir manusia biasanya terbahagi kepada rendah, sederhana dan tinggi. Upaya berfikir juzuk tinggi akan menemukan seseorang kepada hakikat atau kebenaran yang sejati, sementara upaya fikir juzuk rendah memungkinkan jawapan yang bersifat permukaan saja ditemukan, atau lebih tepat berujukan terus pada konteks. Semua ini tunjangnya adalah kepada apa-apa yang disifatkan sebagai; tersurat, tersirat dan hakikat.


Juzuk rendah – tersurat

Juzuk sederhana – tersirat

Juzuk tinggi – hakikat


Walau bagaimanapun menurut de Bono (1970), pemikiran yang kreatif dan kritis sememangnya berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Ia sesuatu yang berlaku dengan sendiri dan bukan disengaja-sengajakan. Benarkah pandangan ini? Kita lihat pula definisi daripada kamus Webster’s (1976). Maksud yang diberikan ialah, “the ability to bring something new existence”. Adakah pandangan ini tepat dari jurus pandang ‘alami? Kelihatan ia seolah-olah memberikan makna bahawa kreativiti itu adalah satu kebolehupayaan membawakan sesuatu yang baru sama sekali, yakni daripada tiada kepada ada.


Sementara Hassan (1989) dan Nik Azis (1994) pula memberikan pendifinisian yang lebih literal. Menurut kedua-duanya, terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin – seperti biasa, ia datang dari lubuk segala perkataan dalam peradaban manusia – iaitu ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ atau ‘to make’. Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘krainein’ yang membawa pengertian ‘memenuhi’. Sementara dalam bahasa Inggeris perkataan yang digunapakai ialah ‘create’ atau ‘cipta’ dalam Bahasa Melayu.


Kita lihat pula pandangan yang dikemukakan oleh seorang lagi tokoh pemikir iaitu Torrance (1974). Apa kata beliau?


"To cause to exist, bring into being, originate, to give rise, bring about, produce, to be first to potray and give chraracter to a role or part creation : An original product of human invention or imagination.


A process of becoming sensitive to problems, defiencies, gaps in knowledge, missing elements, disharmonies and so on; identifying the difficult; searching for solutions, making guessess or formulating hypotheses about the defiencies; testing and retesting these hypotheses and posibly modifying and retesting them and finally communicating the results.


Berdasarkan pandangan-pandangan ini, kita tidak mempunyai pilihan lain selain menerima hakikat bahawa upaya berfikir manusia sememangnya boleh mencapai tahap yang tertinggi sehingga mampu meng‘ada’kan sesuatu yang sebelumnya tiada. Ia harus bermula dengan idea yang lahir dan dijana oleh pemikiran yang setakah lebih ke hadapan daripada biasa. Hal ini sekaligus membenarkan pernyataan yang biasa kita dengar iaitu “kejayaan dicipta oleh manusia biasa yang berfikir secara luar biasa”. Hanya mereka yang berani menujah mindanya sekeras mungkin mampu menerbitkan idea-idea atau pemikiran yang baru, segar dan malar, langsung jauh daripada nilai-nilai klise ataupun streotaip.


Dan apabila kita bercakap tentang mahasiswa universiti – sebentar lagi saya akan kecilkan skop kepada hanya di USM – kita memandang pada satu realiti iaitu golongan ini telah diberikan persepsi oleh umum sebagai golongan yang mempunyai pemikiran-pemikiran yang sentiasa segar dan baru. Adakah ini benar atau relevan? Pandangan atau persepsi ini bukan baru. Ia memang sudah terpasak kukuh dalam kalangan masyarakat. Bahkan, pada satu-satu situasi, golongan mahasiswa akan diberikan penghormatan yang wajar sekali oleh masyarakat luar. Cubalah mahasiswa masuk ke kampung-kampung dalam perkumpulan-perkumpulan tertentu, saya yakin anda akan dikalungkan dengan rasa hormat yang tidak kecil oleh orang-orang kampung tersebut.


Di USM, mahasiswa dibenarkan berbudaya kreatif dan kritis. Bahkan menjadi satu tuntutan pula kepada setiap diri mahasiswa itu untuk tampil sebagai pencetus idea-idea baru sesuai dengan status sebagai pemimpin, We Lead. Tidak benar jika ada individu-individu atau perkumpulan tertentu yang mengatakan suara mahasiswa disekat di dalam mahupun di luar kampus. Tidak benar juga jika ada yang mendakwa mahasiswa hari ini lesu dan tidak berdaya fikir yang hebat dan bisa menggegarkan komunitinya, bahkan dunia. Mereka yang berpersepsi sedemikian acap kali tampil dengan hujah kononnya AUKU-lah yang telah melesukan minda para mahasiswa hari ini. Benarkah begitu?


Lesu yang bagaimana? Frasa mana yang jelas menjadi faktor atau penyebab kelesuan mahasiswa hari ini? Dah diselak habis-habiskah setiap baris ayat dan patah kata dalam AUKU? Dalam edaran buku haram Black and White oleh SPF baru-baru ini, pihak editorial secara tidak bertanggungjawab telah mengeluarkan pandangan sempit mereka dengan mendakwa AUKU telah merendahkan kualiti pelajar universiti, bahkan turut juga menjejaskan kedudukan universiti dalam pencapaian akademik dan lapangan kajian. Pihak editorial juga mendakwa kononnya, AUKU diwujudkan hanya untuk menyekat mahasiswa daripada menyertai parti politik yang menentang kerajaan, atau tepatnya, pembangkang. Adakah ini benar? Adakah mahasiswa dibenarkan menyertai UMNO, MIC atau MCA (maaf sekadar menyebut beberapa contoh sahaja) kerana parti-parti ini berada di pihak kerajaan yang memerintah?


Selain itu, buku haram ini juga mendakwa AUKU telah memenjarakan kelibat mahasiswa daripada pandangan umum atau masyarakat. Kononnya, AUKU itu lebih bersifat tembok yang memisahkan mahasiswa daripada bersosial, melemahkan kuasa sosial sivil dan hanya mengutungkan pihak kerajaan iaitu dengan mengukuhkan kuasa dan kedudukannya. Kesimpulan oleh mereka mudah, iaitu, AUKU memang tidak bertujuan untuk melindungi pelajar. Pada saya, inilah contoh pemikiran sempit mahasiswa yang terdesak dan gagal mencari kuasa kreatif mereka. Mereka inilah golongan yang sentiasa memandang sesuatu dari jurus pandang yang prasangka, yang dangkal dan tidak proaktif. Apakah justifikasi mereka?


Dalam artikel yang diberi judul Pindaan AUKU seperti yang dimuatkan dalam buku haram tersebut, keseluruhan hujah atau dalil yang dikemukakan oleh editorial adalah berkaitan dengan satu seksyen sahaja, iaitu seksyen 15 yang hadir dengan kurungan-kurungan tertentu. Dalam seksyen ini, sebelum pindaan dibuat baru-baru ini, menyatakan tentang had-had atau limitasi penyertaan mahasiswa dalam kegiatan sosial. Misalnya, Seksyen 15(2) menyatakan bahawa mana-mana pertubuhan atau persatuan pelajar di dalam kampus tidak boleh bergabung dengan mana-mana pertubuhan di luar seperti NGO dan sebagainya jika tidak mendapat kelulusan bertulis daripada Naib Canselor.


Bagaimanapun, selepas pindaan dibuat, hal ini telah berubah sama sekali. Semua persatuan dan pertubuhan pelajar sudah diberikan kelonggaran untuk menyertai atau bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan di luar kampus kecuali parti-parti politik atau persatuan dan pertubuhan yang diharamkan oleh pihak berkuasa khususnya yang berpotensi menimbulkan suasana tidak aman terhadap masyarakat. Hal ini sudah jelas. Bahkan rakyat Malaysia sendiri tahu akan kewujudan sekian banyak badan NGO atau persatuan-persatuan dan gerakan yang tidak selari dengan undang-undang negara. Inilah yang sebetulnya cuba dielakkan daripada berlaku, dan AUKU itu pula adalah garis panduan yang telah dipersetujui oleh Parlimen Malaysia untuk digunapakai sebagai langkah kawalan dan pencegahan.


Saya tidak berhajat menyentuh secara panjang lebar tentang perkara ini kerana pada pandangan saya, golongan mahasiswa seharusnya celik dan mampu memahami kenapa AUKU digubal dan kemudiannya dipinda tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan peruntukan perkara yang menghalang para pelajar daripada terlibat dengan parti-parti politik, pertubuhan haram dan sebagainya lagi. Perkara ini juga sebenarnya sudah jelas terang. Ia hanya dimainkan oleh segelintir pihak yang begitu dangkal dan rela dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu di luar kampus.


Poin saya di sini sebenarnya adalah untuk membangkitkan kembali persoalan adakah AUKU telah melesukan mahasiswa sebagaimana yang didakwa oleh SPF dalam buku haram tersebut? Daripada artikel tersebut, jelas sekali tuntutan mereka supaya AUKU dimansuhkan hanya dibuat berdasarkan kepada satu seksyen sahaja daripada keseluruhan AUKU itu sendiri. Kenapa begitu radikal? Itu pertanyaan saya yang belum terjawab sehingga kini. Sememangnya untuk memansuhkan terus AUKU hanya kerana ia menghalang penglibatan mahasiswa dalam arena politik luar kampus, ia samalah seperti membuang sepinggan nasi kerana ada sebiji padi didalamnya yang belum dikupas. Adakah ia satu tindakan yang cerdik dan menguntungkan?


Saya juga ingin bertanya, adakah SPF benar-benar mendukung demokrasi kampus seperti yang didakwa oleh mereka? Adakah SPF benar-benar berada bersama mahasiswa dalam setiap aktiviti atau program yang dijalankan? Saya pernah menyertai sekian banyak program baktisiswa termasuk di peringkat perdana. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya dapati hanya sebilangan kecil sahaja golongan pelajar Cina dan India di USM yang berminat dengan program-program kemasyarakatan sebegini. Jika benar AUKU menghalang mahasiswa daripada bersosial dan bermasyarakat, kenapa aktiviti sedemikan masih boleh dijalankan? Kalau benar anda mahu bersama masyarakat, kenapa tidak turut serta dalam program-program tersebut?


Sosial sivik yang bagaimana anda inginkan? Atau demokrasi metod apakah yang anda cita-citakan? Demokrasi yang bebas mengkritik usaha kebajikan orang lain? Atau demokrasi yang sentiasa skeptikal dengan pembaharuan dan kemajuan yang dibuat oleh pemerintah amnya dan pihak universiti khususnya? Jika benar itu yang anda inginkan, maka wajarlah AUKU terus dikuatkuasakan bahkan mungkin lebih patut diperketatkan lagi suapaya setiap pelajar lebih bersedia untuk keluar sebagai produk yang yang berkualiti, kreatif dan kritis, dan bukannya yang sentiasa radikal dan mahu menentang pihak yang tidak searus dengan pemikiran mereka.


Selain itu, saya juga tidak nampak apakah pertimbangan yang mereka gunakan sehingga mendakwa AUKU telah mengokong pemikiran pelajar. Hampir setiap hujah yang dikemukakan dalam artikel tersebut pasti akan menyentuh hal-hal politik sedangkan, dalam segenap bidang yang lainnya, mahasiswa sentiasa diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyatakan idea dan pemikiran mereka. Lihat sebagai contoh, program Minggu Lestari yang pernah dianjurkan oleh MPP sidang lepas. Banyak sekali aktiviti yang dijalankan yang semuanya baru dan tidak pernah diadakan sebelum ini. Bahkan, USM adalah yang pertama menganjurkan program Earth Hour di negara ini semasa Minggu Lestari diadakan. Adakah ini simbol kepada pengokongan minda seperti yang didakwa? Dimanakah kelibat SPF waktu itu?


Justeru apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah, pihak Pro-Mahasiswa khususnya SPF, sememangnya tidak pernah memahamai apakah AUKU dan kenapakah ia penting. Mereka hanya berfikiran selapis dan hanya melihat kekangan politiking sahaja. Mereka juga langsung enggan bertolak ansur dengan usaha-usaha pindaan yang telah dibuat sebaliknya tetap berpendirian ia mesti dihapuskan. Adakah mereka dangkal? Ya, sudah semestinya. Dangkal bahkan sempit sama sekali.

Monday, September 28, 2009

saya Aspirasi, anda Aspirasi, kita Aspirasi.

Oleh Rizuan MH


Doktrinisasi??


Teringat dulu, ketika baru menjejakkan kaki ke universiti, ada satu ungkapan yang selalu diulang sebut oleh para pembantu pelajar yang bertugas. Tiap kali disebut, maka bergemalah tepukan gemuruh mengiringinya. Lama-kelamaan, seolah terbit satu semangat yang kuat daripada ungkapan tersebut dan menyerap masuk ke dalam diri, dan ia terus menjadi kata-kata semangat yang sungguh hebat. Hebat sekali. Menusuk terus ke dalam hati, dalam-dalam.


Pada mulanya, ia kedengaran cuma sekali sekala. Pada hari pertama, dalam ucapan sambut kedatangan atau alu-aluan oleh penghulu desasiswa, beliaulah yang mula-mula mengungkapkannya di hadapan para pelajar. Tiada reaksi langsung pada masa itu. Kebanyakan pelajar seperti tidak endah dengan ungkapan tersebut. Dan penghulu sendiri tidak menekankan apa-apa di sebalik ungkapan beliau itu. Semuanya berlalu begitu saja.


Kemudian, pembesar suara beralih mulut. Dan masih, ungkapan yang sama terpacul seawal bicara oleh pembantu pelajar yang ini pula. Ada pelajar yang mula menangkap sesuatu. Dibiarkan juga hinggalah akhirnya, apabila setiap kali tiba giliran pembantu pelajar memperkenalkan diri mereka pasti ungkapan tersebut yang terpacul dahulu. Cuma ada seorang dua saja yang tidak mengungkapkannya. Tak tahulah pula apa sebabnya.


Sejak itu, hampir dalam semua aktiviti pasti ungkapan tersebut akan kedengaran. Lebih kagum kerana ia akan diiringi tepukan yang sungguh-sungguh oleh semua pelajar, lebih-lebih lagi daripada para pembantu pelajar sendiri. Merekalah yang meniupkan semangat tersebut sehingga semua pelajar begitu tertunggu-tunggu ungkapan tersebut dilaungkan. Di pentas, di dewan besar, di padang, bahkan di kafeteria pun ada juga kedengaran.


Doktrinisasi apakah ini? Lama berlalu, untuk seketika ungkapan itu mula senyap. Diam-diam ia pergi. Saya tertanya-tanya ke mana semangat tersebut. Adakah hanya laungan untuk memeriahkan dan menggamatkan minggu suai kenal saja? Adakah ia sekadar laungan kosong tanpa erti? Kalau tak bererti, kenapa hendak ditepuk-tepuk tangan tiap kali menyambutnya? Saya jadi bingung. Hendak bertanya rasanya tak patut. Nanti dicakap bodoh.


Dalam bingung saya usaha juga cari pasti. Saya mahu kepastian. Rasa itu sungguh asing. Rasa itu harus tak boleh hilang. Jadi asing sekali. Jadi sangat sunyi hari-hari yang saya lalui. Saya jalani hari-hari sebagai pelajar baru di sebuah kampus yang indah. Saya kagum dengan kampus ini sana-sini. Tapi bagaimana hendak saya zahirkan? Saya tahu sudah terbit rasa cinta rasa kasih rasa sayang khusus, yang khas, hanya untuk universiti ini. Saya bersyukur.


Tapi rasa ini semakin asing. Ia seolah mahu berpergian. Ia semakin sunyi pergi jauh. Saya jadi takut. Saya belum sedia hilang rasa itu. Rasa yang sungguh hebat. Tapi ia jadi asing kerana seolahnya mahu pergi, mahu hilangkan diri. Saya ke perpustakaan, saya cari kamus dan saya selak entri ‘aspirasi’, lalu saya temukan ertinya. Tapi saya masih rasa asing. Rasa ini mesti datang dengan erti, dan ia wajib pula diisi. Hanya erti sahaja belum cukup. Tak cukup dengan hanya faham. Saya mesti isikan pengertian itu dengan sesuatu. Saya mahu cari lagi. Dan lagi. Saya mahu puas.


Dan akhirnya saya temukan sesuatu. Apakah? Tunggu....nanti saya ceritakan, insya-Allah.

Saturday, September 26, 2009

MPP dan Cerita-cerita Tentangnya.


Antara ungkapan yang paling biasa didengar setiap kali menjelang pilihan raya kampus ialah, MPP tak buat kerja..MPP kejar populariti..MPP kuda tunggangan HEP, dan sebagainya lagi. Enak atau tidak ditolak jauh ke belakang. Biar puas hati. Biar panas telinga yang mendengar. Biar diheboh-hebohkan..


Di pihak MPP pula; pedulikan saja kerana pelajar memang begitu..mereka tak pernah puas..mereka tidak akan senyap untuk mengutuk mencaci..mereka tak letih untuk memburukkan MPP, HEP dan universiti..makin banyak yang dibuat, kian galak pula mereka menyalak..flyers, poster, surat layang, memorandum, dan sebagainya ibarat warkah dan nota-nota pujian yang tak pernah mengenal erti jemu..pedulikan saja kerana nanti sampai masanya, kita akan berundur juga..


Namun, kami melihat dari perspektif yang berbeza. Mungkin tidak ramai yang sedar atau ambil pusing tentang hakikat yang memang wujud dalam MPP sendiri. Bukanlah nak membuka pekung kerana nanti busuk juga yang keluar. Tetapi pihak kami terpanggil untuk menyuarakan hal ini supaya semua buka mata dan celik hati serta fikiran masing-masing luas-luas.


MPP bukanlah seperti yang anda lihat. MPP memang sebuah badan yang terdiri daripada anggota exco tertentu. Mereka mempunyai bidang kuasa masing-masing bermula daripada YDP hinggalah ke setiap ranting dan cabang dalam badan tersebut. Mereka siapa? Biar jawapan kepada soalan ini jadi hujah yang awal, iaitu, mereka adalah pelajar. PELAJAR. Siapa? PELAJAR yang sama seperti kita. TAK PERLU DIHURAIKAN RASANYA..


Jika mereka pelajar, sudah pasti mereka berideologi. Ya, sudah tentu. Memang mereka ada ideologi masing-masing, dan mempunyai pemikiran yang berbeza-beza. Dalam kalangan mereka ada yang bersama universiti, mendokong aspirasi universiti, berkerja bukan hanya untuk pelajar tetapi juga untuk universiti dan lain-lain. Dan ada juga yang menentang aspirasi universiti. Mereka menentang kononnya ada perkara-perkara tertentu tidak kena dengan kehendak pelajar. Lalu mereka jadi pendokong kehendak pelajar pula.


Siapa mereka? Tak perlulah didedahkan kerana nanti pekung juga yang terbuka. Jumlah mereka tak banyak. Yang mendokong aspirasi universiti lebih ramai bahkan mereka inilah yang benar-benar buat kerja, terkejar ke sana berlari ke sini, mesyuarat sana konferensi sini, memorandum sana seminar sini. Tak cukup kaki dan tangan bahkan. Bahkan, sanggup ditinggalkan oleh yang tersayang semata-mata kerana hendak berjuang untuk universiti, bukannya sibuk mengejar cinta hingga ke jinjang pelamin.


Jom tengok-tengok ke belakang. Cerita satu; isu penempatan desasiswa yang kecoh sidang lepas. Lebih 90% yang mendaftarkan nama mereka sebagai bakal penghuni. Nasib dicuba sedang yakin menggunung bahawa mereka akan terus mejadi warga dalam kampus. Keputusan diumumkan. Dan, nah, bukan sikit yang gagal. Nama tidak naik. Anda tidak layak dan sebagainya. Ayat ‘dukacita dimaklumkan’ jadi frasa yang membunuh kepercayaan terhadap sistem merit dalam pemilihan calon yang layak menginap di desasiswa-desasiswa.


Ramai yang tidak tahu cerita sebenar. Mereka segera menghukum kununnya HEPP tidak peka dengan masalah dan situasi para pelajar. MPP segera diheret dengan tuduhan kununnya gagal berfungsi dengan baik membela nasib pelajar. Sebelum MPP bertindak, sudah ada pihak tertentu yang cuba-cuba menangguk di air keruh dengan membuka kaunter. Malangnya mereka tidak professional dan nampak benar hendak mengambil kesempatan. Waktunya, hampir ke minggu peperiksaan akhir. Semuanya masih jelas.


Ramai sekali yang melenting. Ada yang langsung menyerang HEPP sedangkan urusan penginapan di bawah bidang kuasa bahagian lain. Pun, pelajar masih dilayan dengan baik. Dalam sibuk mengelek buku dan nota-nota kuliah, MPP lantas membuka kaunter aduan. Nasib sahabat-sahabat yang sedang dirundum malang mesti dibela. Kaunter-kaunter dibuka di semua kafeteria. Aduan menimpa-nimpa.


Sebaik segala urusan selesai, aduan dibawa ke muka pengadilan. Cerita sebenar mula menampakkan wajah. Ia sebenarnya ada kaitan dengan dasar baru universiti sebagai peneraju APEX. Di bawah dasar baru ini, bermula sidang 2009/10, pengambilan pelajar siswazah penuh masa atau undergraduate akan dikurangkan manakala pelajar ijazah lanjutan atau postgraduate akan ditambah. Penambahan ini memerlukan pengorbanan yang besar daripada pelajar-pelajar undergraduate sedia ada iaitu, ‘memberikan’ bilik masing-masing kepada mereka.


Adakah ini adil? Dilihat dari satu sudut, ia mungkin praktikal dengan dasar baru tersebut. Tetapi pihak MPP telah melihat kepentingan hak dan kebajikan para pelajar yang juga sahabat-sahabatnya jauh lebih praktikal untuk diperjuangkan. MPP ishtiharkan murafakah, keluar daripada keputusan tidak seimbang tersebut dan berjuang menentang dasar penempatan pelajar ijazah lanjutan yang dibuat. Hak dan kebajikan para pelajar sedia ada harus lebih mustahak. Pelbagai faktor dikemukakan seperti kewangan, keselamatan, praktikaliti dan sebagainya yang akhirnya berjaya menundukkan pihak pengurusan. Kunci-kunci bilik akhirnya diserahkan kembali kepada yang lebih berhak iaitu kita semua.


Sebelum cerita dua dikemukakan, kami mahu bertanya, jasa siapakah semua ini? Kalau masih tidak mahu buka mata dan memilih untuk terus buta, silakanlah. Cerita dua; isu JPA dan PTPTN. Ini lagi satu isu yang sentiasa panas dan hangat. Bab duit susah nak kompromi. Sahabat boleh jadi musuh nombor wahid hanya kerana duit. Dan kerana kita adalah golongan pelajar/mahasiswa, maka duit sentiasa mendesak. Duit menghimpit jiwa dan raga. Duit..duit..duit...


Tapi ramai tak yang tahu, kenapa tiba-tiba semester ini JPA, PTPTN, dan biasiswa lain masuk awal? Ada tak yang cuba-cuba tanya rakan-rakan di IPTA lain sama ada hal yang sama turut berlaku di tempat mereka? Ramai yang pelik lagi-lagi para pemegang akaun JPA. Dengar cerita jumlah RM yang di-bank-in-kan saban semester bukan sikit, mencecah angka Enam Ribu. Dapat duit ramai yang berseri-seri. Syukur alhamdulillah..


Semua ini sebenarnya adalah asbab usaha keras pihak MPP yang berjuang sungguh-sungguh mendesak pihak pemberi duit agar menyegerakan urusan kemasukan duit-duit tersebut ke akaun para pelajar. Sidang lepas MPP desak PTPTN, tahun ini JPA pula jadi mangsa. Bukan kerja mudah. Kena tebal muka menelefon setiap masa. Inilah MPP, muka tak pernah ada rasa malu. Pak Menteri pun selamber saja ditelefon, bercakap seolah macam pak saudara saja. Untuk siapa? Untuk kebajikan sahabat-sahabat iaitu kita para pelajar semua. Dan tahu tak, hanya USM yang begitu bertuah kerana mempunyai hubungan yang baik dengan pihak-pihak yang berkenaan. Inilah hikmahnya, alhamdulillah..


Ada banyak lagi cerita yang mahu kami kongsikan di sini. Tapi nanti-nantilah. Lagi pun tak ada gunanya kalau kami bercerita tapi anda masih tidak mahu buka mata dan celikkkan hati.

WE LEAD


Suasana universiti kita sekarang jika dibandingkan dengan tahun-tahun 90-an dan mungkin lebih jauh ke belakang ternyata sangat berbeza. Kini kita sudah mampu mencapai pelbagai kejayaan baik yang kecil-kecil mahupun yang besar-besar berkat kerja gigih setiap daripada kita semua.


Kita juga sudah mampu menggapai kecemerlangan dalam banyak bidang. Banyak hasil kajian kita sudah dikomersialkan sesuai dengan status universiti penyelidikan utama negara. Bidang sains yang menjadi teras USM bukan lagi bidang yang sekadar cuba-cuba.


Kita semakin yakin dengan kemampuan diri untuk keluar daripada kelompok persaingan sebaliknya gah sebagai pencetus dan perintis. Kita semakin berani menjadi pemimpin kepada rakan-rakan IPTA lain. Bahkan kita bangga untuk berdiri di hadapan dunia sebagai peserta yang wajib diberikan perhatian.


Begitu juga dengan bidang kejuruteraan dimana semakin banyak penemuan dimanfaatkan oleh mesyarakat umum. Pendeknya, kita sudah berupaya menempa kegemilangan dan hari ini kita sedang mengorak langkah pula menuju keterbilangan sebagai sebuah universiti glokal. Inilah kita dalam rupa sebenar pemimpin. We lead, tunjang yang kita pegang erat sejak sekian lama.


Pun tentu, dalam menempa kejayaan dan kecemerlangan tersebut, kita tidak bongkak kepada rakan-rakan dan taulan. Kita tidak suka untuk berdiri dengan dada megah terbuka konon kitalah yang terbaik. Kita menolak budaya yang tidak mahu berpijak di bumi nyata. Kerana kita memimpin, maka kita perlu sedar, langit yang tinggi dijunjung tetapi ke bumi juga kita berpijak.


Padang ini mungkin tidak sama ratanya. Padang ini ada tinggi rendah permukaannya. Dan di sinilah juga kita berpijak dan bermain sepak terajang dalam dunia ini. Dahulu kita berlari. Kita mengejar matlamat. Kita bersaing hebat. Kadang ada waktunya kita penat. Tetapi kita pesan pada diri, kita harus lebih lekas dan langkah harus makin deras.


Kita beritahu rakan-rakan, ayuh turut serta mencipta lebih banyak persiapan kerana kami tidak mahu menunggu. Kami tidak suka berlengah masa. Langkah harus gegas, tindak harus pantas. Kami perlu memecut lebih laju.


Alhamdulillah, atas prinsip yang kita pegang, rezeki Allah makin terhidang. Amanah sebagai pemacu kecemerlangan kita terima dengan rendah diri. APEX kita junjung dengan hati yang terbuka. Kami mohon izin rakan-rakan untuk melangkah dahulu ke masa depan yang lebih gemilang.


Kenapa kami begini laju? Ke mana yang ingin kami tuju? Mengapa kami tidak mahu menunggu? Siapa pun kami, kami tetap unversiti glokal yang memandang global dengan jiwa lokal.


Kami laju kerana kami sudah penat bertatih dan berjalan mencipta laluan sendiri, lalu kini kami berlari dan memecut pula kerana kami yakin dengan laluan yang telah kami ciptakan. Laluan ini kami yakini akan membawa kami ke satu mercu kejayaan yang kami yakin pula ada kecemerlangan dihujungnya. Kami tidak mahu menunggu kerana bukanlah kami yang suka bertangguh mencipta keterbilangan. Sertailah kami memacu lebih banyak kecemerlangan untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta.


Salam Aspirasi 1Siswa 1Malaysia.