Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Sunday, March 20, 2011

Rekod Cerdik USM

Hening pagi di bumi Minden tak lagi seperti biasa. Sejak dua hari yang lalu, burung-burung dan kawanan cengkerik seakan tewas dan akur. Tewas kepada ‘kegilaan’ sekumpulan anak muda bergelar mahasiswa USM mencipta rekod baru baca puisi terpanjang di Malaysia, dan akur dengan kesungguhan dalam mereka membuktikan bahawa warga USM tidak pernah lesu menukilkan kelainan dalam jagat varsiti ini.

Sejurus membuka gelanggangnya pada Jumaat yang lalu, majlis baca puisi yang bertemakan “Sahabat Selamanya” ini terus meriah dengan para peserta bersilih ganti mengemudi kembara puitis tersebut bagi mencatatkan rekod 72 jam tanpa henti, yang pertama seumpamanya di negara ini. Untuk rekod, sebelum ini Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pernah menganjurkan Ratib Seribu Syair yang juga memakan masa lebih tiga hari tiga malam.

Justeru kami ingin mengambil peluang ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh tenaga kerja yang menjayakan program ini. Harapan kami juga tinggi, sama seperti anda semua, ingin melihat acara yang julung-julung kali diadakan ini dipahatkan dalam Malaysia Book of Records sekali gus mengharumkan nama universiti tercinta ini.

Kami juga senada dengan pendapat Siti Jarum dalam ruangan Hiburan Pancaindera minggu lepas yang memuji usaha Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan dan penganjur bersama yang lain sebagai satu program yang cerdik dan lain dari kebiasaan. Bagi kami, program ini jelas sekali berpaksikan kecerdikan dan keintelektualan, dengan hasrat yang cukup besar melangkaui batas sempadan negara dan rumpun bangsa.

Jika kita imbas semula, begitu banyak rekod telah dimuatkan dalam catatan negara tetapi adakah semuanya atau sebahagian besar daripada rekod-rekod tersebut mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan untuk suatu tempoh yang lama?

Kita biasa mendengar rekod menghasilkan kain rentang terpanjang, menyusun syiling, buku dan sebagainya menjadi bangunan atau logo tertentu, malah, menumbuk sambal cili terpanjang juga pernah ‘dijayakan’ oleh rakyat negara ini. Tetapi sejauh manakah acara-acara sedemikian mampu meninggalkan impak yang tinggi terhadap masyarakat dan item yang direkodkan itu sendiri? Kami percaya pada akhirnya, ia hanya kekal sebagai suatu rekod syok sendiri sahaja.

Bukanlah kami hendak mendabik dada dengan usaha rakan-rakan kita ini, tetapi kami yakin, tidak salah untuk kita berbangga dengan kebolehan warga kampus USM mencipta kelainan. Kami bahkan melihat acara ini sebagai suatu indikator baru dalam kita mengobarkan pandangan, suara dan harapan sejagat dengan cara yang aman dan harmoni. Inilah ruang alternatif untuk kita bersuara sebenarnya!

Justeru kami menyeru sahabat semua khususnya warga USM kampus induk untuk turun beramai-ramai memeriahkan acara ini di samping menyokong rekod cerdik ini dijayakan. Masa masih panjang. Ketika kami menulis artikel ini, kembara puisi Sahabat Selamanya baru sahaja melepasi 40 jam yang awal. Dengan baki kurang 30 jam lagi, kami percaya semua yang terlibat akan lebih bersemangat dan berdebar-debar menantikan detikan jam yang ke 72 sekali gus dipahatkan dalam Malaysia Book of Records!

Go USM!

Sunday, March 28, 2010

Sekitar Earth Hour@USM

Berikut merupakan sebahagian gambar yang sempat dirakamkan di sekitar kampus USM (induk) sepanjang satu jam Earth Hour@USM dijalankan.


Suasana di Blok F26 Desasiswa Fajar Harapan sebaik sahaja program bermula.

Blok F25, Desasiswa Fajar Harapan.


Bangunan Jabatan Keselamatan juga bergelap. Tahniah diucapkan!!


Suasana di Blok Ko1 dan Ko2, Desasiswa Aman Damai.


Sekitar Desasiswa Indah Kembara. 'Menyeramkan', seperti yang diperkatakan oleh Saudari NYDP MPD IK.


Imej Kompleks Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun yang dirakam dari Stadium USM. Masih bergemerlapan, tetapi jauh berbeza berbanding biasa.


Aktiviti menarik yang dianjurkan oleh MPD Fajar Harapan. Sememangnya menguji keberanian!


Salah seorang penghuni yang terlibat, Saudara Shafik.

NYDP 2 MPD FH, Saudara Nor Azlan juga turut menyertai aktiviti yang diadakan semalam. Sporting habis!!


Sebahagian peserta yang turut menyertai aktiviti ini. Kelihatan seperti sedang ketakutan!!


Banyak lagi gambar yang menarik untuk dikongsikan di sini sebenarnya tetapi ruang sangat membatasi kita. Justeru, AC sekali lagi mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan yang berjaya menyahut seruan Earth Hour kali ini. Di USM, ternyata kita mempunyai kelainan.

Saturday, March 27, 2010

Earth Hour@USM - Really Happening!!

Sebentar tadi AC bersama rakan-rakan sempat pusing-pusing sekitar kampus melihat respon yang diberikan terhadap program Earth Hour@USM yang berlansung dari jam 9.00 malam hingga 10.00 malam.

Secara keseluruhan, boleh dikatakan program pada kali ini mendapat kerjasama yang cukup baik daripada para pelajar. Rata-rata yang berada di bilik masing-masing bersedia memadamkan lampu sepanjang tempoh program ini berlangsung. Sementara itu, bagi yang keluar ke mana-mana tempat kebanyakan mereka didapati sudah pun memadamkan lampu bilik masing-masing.

Tinjauan ke beberapa lokasi lain seperti di Pusat Pengajian Sains Komputer, Kimia dan Farmasi pula respon yang diberikan adalah berbagai-bagai. Ada sesetengah tempat yang digelapkan berbanding biasa dan ada yang terang-benderang. Namun ia bukanlah masalah yang harus dibangkitkan kerana kita sedar lokasi-lokasi sebegini khususnya di makmal-makmal dan sebagainya adalah sukar untuk dibiarkan bergelap walaupun seketika.

Selain itu, terdapat juga Majlis Penghuni Desasiswa melalui Biro yang berkenaan yang menganjurkan aktiviti khusus kepada para penghuni. Sebagai contoh, MPD Fajar Harapan melalui Yang DiPertuanya, Saudara Mohammad Nor Hafiz, telah menganjurkan aktiviti berbentuk permainan ‘burung hantu’ yang disertai oleh para penghuni desasiswa berkenaan. Melalui akviti sebegini secara tidak langsung ia telah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama penghuni dan juga MPD itu sendiri. Tahniah diucapkan di atas usaha yang dtunjukkan.


Nota : Snapshot sekitar kampus bagi Program Earth Hour@USM 2010 akan dipaparkan selepas entri ini.

Earth Hour@USM


Aspirasi Corner akan menyokong Program Earth Hour@USM yang akan diadakan pada 27hb Mac 2010 jam 9.00 mlm hingga 10.00 mlm.

Justeru AC menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama menyokong program selama sejam ini demi kelestarian hari esok.

Padamkan lampu dan lihatlah dunia dari perspektif yang berbeza.

Lestari - Kalau bukan sekarang, bila lagi?





Tuesday, March 9, 2010

Bila Tiba Musim AGM

Musim AGM tiba lagi. AGM atau Mesyuarat Agung Tahunan merupakan rutin di USM melibatkan persatuan-persatuan yang berdaftar. Di IPTA lain suasananya mungkin sama. Masing-masing akan menjalankan operasi pembersihan dan penambahbaikan sebelum menempuh tempoh baru ‘pemerintahan’.

Operasi pembersihan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada proses menggantikan kepimpinan sedia ada yakni yang berkhidmat pada sidang ini dengan kepimpinan baru. Dibersihkan jika ada unsur kekotoran atau kecelaan. Dibersihkan juga supaya yang baru nanti lebih baik dari sedia ada.

Perlunya operasi pembersihan ini sebenarnya lebih dari sekadar menjalankan rutin AGM tersebut. Sudah berbunyi-bunyi bisikan tertentu tentang masalah pentadbiran dalam organisasi yang dihadapi sesetengah persatuan. Ada yang merungut tentang sikap kronisme, ada yang mempertikaikan amalan kuku besi, ada yang mengkritik kerana persatuan menjadi lesu dan sebagainya lagi.

Soalnya, semuanya berkaitan dengan kepimpinan. Justeru layak benarlah jika golongan pemimpin seperti ini dibersihkan lekas-lekas. Imej persatuan perlu dikembalikan. Kita dapat melihat dengan jelas banyak sekali persatuan yang dahulunya cukup aktif menganjurkan pelbagai aktiviti tetapi tiba-tiba saja berubah menikus, senyap dan seperti nyawa-nyawa ikan. Bahkan sampai ada yang terpaksa dilakukan EGM.

Dengan terlaksananya operasi pembersihan ini diharapkan akan membawa lebih banyak kebaikan kepada persatuan tersebut khususnya untuk ahli-ahli dan warga kampus seluruhnya.

Namun yang menjadi kerisauan ketika ini ialah siapakah yang boleh diharap-harapkan untuk mengambil alih kepimpinan sedia ada? Semua faham, tugas mengemudi bukan tugas yang bersifat populis semata, ia bukan sekadar menjadi orang penting dan dikenali ramai. Tetapi lebih jauh dari itu, ia adalah suatu tanggungjawab. Akauntabiliti sebagai ketua menuntut kesungguhan yang istiqamah supaya tidak lesu di tengah jalan atau kecundang sebelum sampai tarikh luputnya.

Masalah ini sebenarnya bakal menjadi barah. Masalah mencari pelapis merupakan masalah yang cukup berat untuk diselesaikan. Jika salah pilih, implikasinya tentu melibatkan seluruh organisasi. Tangkap muat pula bukanlah amalan yang baik. Paling teruk, biarlah kroni yang menjadi pewaris, itupun kalau dah tak ada sangat pilihan kerana sekurang-kurangnya orang tersebut tahu selok belok pentadbiran.

Justeru adalah diharapkan supaya AGM yang bakal diadakan secara berperingkat-peringkat kelak mengikut persatuan akan berlangsung dalam suasana yang aman dan matang. Hala tuju persatuan harus diperbetulkan dan disuntik dengan elemen baru yang lebih segar. Pemimpin hari ini harus bersedia menjadi pemuka hari esok.

Sunday, March 7, 2010

Forum Yang Mendefinisikan Rasuah

Panelis forum dari kiri Prof. Omar bin Osman, Pak Habib atau Syed Hussein Alatas, Dr. Celemans dan Prof. Amir.

Kenapa rasuah? Soalan yang selalu tiada jawapan mutlak, dan selagi ia terus berlaku, ia kekal rasuah. Negara boleh diwarisi dan akan diwarisi oleh generasi muda, tetapi rasuah hanya menyebabkan negara yang akan diwariskan itu kelak tiada harta untuk anak-anak mudanya.

Rasuah menurut Pak Habib seperti yang beliau komentarkan sebentar tadi dalam Forum Bersama Pemimpin dengan tajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” ialah Rasa Untuk Hidup Mewah. Kerana itulah, rasuah terus berlaku. Kerana itulah juga, rasuah akan terus berlaku.

Tetapi menurut Dr. Celeman pula, dengan memetik nas-nas Al-Quran yang agung, rasuah boleh dicegah jika dalam diri setiap manusia ada hati yang suci, yang gentar kepada akibat perlakuan tersebut, yang sentiasa sedar dan ingat bahawa rasuah, walau apa pun definisi dan pengertiannya, hanya akan menyebabkan kemanusiaan semakin miskin. Baik yang menerima atau yang memberi, tetap kedua-duanya akan miskin, meskipun, dalam sifat rasuah itu ada saling keberuntungan.

Pak Habib juga menghuraikan kenapa rasuah terus berlaku, antaranya kerana tiadanya sifat mahu peduli sesama diri dan sesama anggota masyarakat. Sifat kepedulian ini tidak lagi wujud dalam masyarakat hari ini kerana semuanya mahu memuaskan diri masing-masing, yakni rasa (nafsu) untuk hidup mewah. Semuanya menjadi penuh keakuan, mengejar mewah duniawi seperti yang diajarkan oleh para Yahudi melalui doktrin-doktrin halus mereka. Rasuah tidak berlaku sehinggalah apabila kebenaran Allah tiba di muka bumi ini, lalu orang-orang yang tamak dengan keduniaan menjadi gentar sehingga memaksa mereka membuat penawaran supaya kebenaran itu padam.

Rasulullah ialah manusia mukminin pertama yang ditawarkan rasuah yang cukup tinggi nilainya, ditawarkan tiga ‘Ta’ yang mampu menggoyahkan setinggi iman yakni wanita, takhta dan harta, tetapi baginda jugalah manusia mukminin pertama yang menolak rasuah dalam sejarah ketamadunan manusia sejagat kerana iman yang terlalu kukuh, 100%. Jadi kenapa rasuah? Kenapa masih rasuah?

Prof. Amir kemudiannya mengusulkan, dari sudut pandang ekonomi betapa rasuah itu berlaku hanya akan menyebabkan banyak keadaan buruk termasuk kenaikan kos dalam segenap bidang yang akhirnya menyusahkan rakyat, dan ia tak akan berlaku sekiranya dalam diri manusia perasuah itu ada integriti yang tinggi.

Soal integriti juga sebenarnya payah untuk dikupaskan. Apatah lagi bila dilawankan dengan rasuah, pasti saja integriti akan goyah. Integriti terlalu subjektif walau sebesar mana lencana digantungkan di dada uniform kerana wang satu sen pun mampu membeli integriti. Ia boleh berlaku kerana rasuah bermula serendah satu sen. Mesti ingat itu.

Jadi siapa yang akan menang? Siapa yang akan kalah? Yang menerima mungkin menang dan hidup mewah dan yang memberi pula mendapat apa yang dihajati tetapi, hakikatnya, kedua-duanya akan terus dihimpit dosa yang cukup-cukup-cukup berat. Yang kalah ialah agama, bangsa dan negaranya. Maknanya, semua akan kalah pada akhirnya. Natijahnya bukan sekali besar, tetapi selama-lamanya besar hingga diperhitungkan kelak.

Berlakunya rasuah hingga meruntuhkan negara juga sebenarnya berpunca daripada tiadanya semangat cintakan negara dalam diri setiap warga. Pak Habib memberikan contoh yang sangat kukuh tentang bagaimana Bung Karno mempertahankan negaranya kerana adanya rasa cinta yang tebal terhadap tanah air beliau. Sense of belonging itu sunnah yang tinggi, yang dituntut dalam Islam, sehingga mencintai negara atau tanah air itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada iman. Jadi kenapa rasuah? Mana pergi kepedulian kita dalam hal ini?

Wajarkah kita salahkan SPRM sahaja setiap kali berlaku isu rasuah? Wajarkah kita salahkan satu-satu pihak saja bila jerung tidak ditangkap tetapi bilis-bilis habis diheret? Kenapa bercakap tetapi takut untuk tampil sebagai saksi? Apa kita sedarkah tugas pihak berkuasa hanya menyiasat dan menyiasat itu bukannya kerja yang mudah?

Apa kita juga sedar dalam kehidupan sehari-harian ini kita bebas daripada gejala ini? Yang kita selalu nampak ialah ahli politik saja yang bergelumang dengan rasuah. Tetapi diri kita, keluarga kita, ahli masyarakat yang lainnya bebaskah daripada rasuah? Justeru tak usahlah hanya menyalahkan SPRM saja dalam hal ini. Kita bertanggungjawab secara kolektif.

Seperti kata Pak Habib juga, setinggi mana pun gunung, puncaknya tetap di bawah tapak kaki manusia. Gunung kerana itulah takut untuk memikul amanah dari Allah, tetapi manusia angkuh sekali menuntut amanah tersebut untuk bergelar khalifah di muka bumi ini. Semuanya kerana manusia ada kemahuan, dan kerana kemahuan jugalah rasuah boleh berlaku. Justeru, dengan kemahuan jugalah, atau lebih besar dari itu, kepedulian kita semua, maka rasuah boleh dibendung tak kira bilis atau jerung.

Rasuah itu hanya kita yang tentukannya.


Nota:

USM melalui Sekretariat Pencegahan Rasuah telah menganjurkan Forum Bersama Pemimpin yang bertajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” pada 6hb Mac 2010 bertempat di Dewan Budaya, Pusat Kebudayaan USM. Panelis yang diundang khas ialah Syed Hussein Alattas, penulis dan penganalisa politik terkenal tanah air, Dr. Celeman bin Kasim, Penguasa Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM dan Professor Amir Baharuddian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM yang juga pakar serta penasihat ekonomi kepada Tun Mahathir suatu ketika dahulu di samping turut membentuk sekian banyak pemimpin negara termasuk Datuk Idris Jala. Forum ini dimoderator oleh Professor Omar bin Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP, USM. Sekalung tahniah kepada sahabat saya Nurmaizatulhana Bt Osman (teman sekampung) dan rakan-rakan dalam SPR USM yang menjayakan program ini.


Dipetik daripada blog Rizuan MH

Wednesday, February 10, 2010

Ish..Ish..Ish Penuh Jenaka dan Nasihat

Satu persembahan teater oleh para pelajar USM telah diadakan sempena Majlis Penjemaan Sekretariat Rukun Negara pada hari Selasa, 9hb Februari 2010 jam 3.30 petang bertempat di Dewan Budaya, Pusat Budaya USM.

Teater yang berjudul Ish..Ish..Ish.. tersebut ditulis dan diarahkan oleh aktivis teater muda USM, Saudara Khairol Azhar Abdul Jalil yang juga merupakan mantan NYDP 1 MPP USM Sidang 2007/08.


Sebahagian sekretariat yang terlibat menjayakan program julung kali ini.


Apa yang membanggakan ialah teater tersebut dipentaskan dengan jayanya oleh hampir 99% penggiat baru yang belum pernah terlibat dalam mana-mana aktiviti persembahan secara langsung sebelum ini.

Timbalan Naib Canselor BHEPP, Prof. Omar Osman yang turut menyaksikan persembahan tersebut telah melahirkan kekagumannya di atas usaha pementasan yang disifatkan beliau sebagai penting untuk masa depan seni teater di USM amnya dan negara khsusnya.


Khusyuk menonton persembahan Teater Ish..Ish..Ish..

Pada masa yang sama, sebahagian besar penonton terutamanya pelajar sekolah dari sekitar Pulau Pinang yang dijemput khas turut terhibur dengan pementasan yang diadakan. Dalam sesi soal jawab yang diadakan selepas persembahan tamat, beberapa orang pelajar telah mengambil peluang mengajukan soalan kepada krew produksi terutamanya pengarah serta pelakon utama teater tersebut.

Teater ini mengisahkan tentang sikap dan tabiat manusia khususnya masyarakat Malaysia yang sering alpa dengan perkara-perkara yang sensitif di sekeliling mereka seperti isu bahasa kebangsaan, amalan budi bahasa yang mulia, pencemaran dan sebagainya yang disampaikan secara sinis dan penuh dengan unsur jenaka.


Babak penari menarikan tarian yang berlatarkan isu pencemaran alam sekitar.


Antara babak awal teater yang menyentuh isu kemanusiaan dalam masyarakat hari ini.


Dalam pada itu, satu percubaan pementasan teater monolog solo paling lama bagi memecahkan rekod kebangsaan akan diadakan pada 20hb Februari ini bertempat di Dewan Budaya. Warga kampus dipelawa menghadiri program julung kali ini di samping memberikan sokongan kepada pelakonnya kelak.