Showing posts with label PRK. Show all posts
Showing posts with label PRK. Show all posts

Tuesday, February 11, 2014

PRK KAJANG SATU BENTUK KORUPSI POLITIK

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum WBT dan Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa

Dunia politik kita sentiasa kalut. Kalau dulu kita punya persepsi bahawa politik hanya akan dibicarakan apabila tiba musim pilihanraya sahaja. Kini persepsi sedemikian ternyata sudah menyimpang jauh daripada realiti yang berlaku. Politik pada masa kini sudah bertukar rupa menjadi agenda besar rakyat yang dibicarakan tanpa mengira waktu atau musim, tanpa mengira tempat dan suasana, dan oleh sesiapa sahaja. Bahkan, jika terdapat mana-mana individu atau pihak yang mendakwa mereka adalah bebas dan berkecuali, percayalah mereka sebenarnya sedang berbohong. Realiti kita hari ini menjadikan kita, paling tidak pun, untuk cenderung berpihak kepada salah satu pihak – baca: kerajaan ATAU pembangkang – kerana kewujudan pelbagai desakan di sekeliling.

Pasca Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini yang berlangsung pada 5hb Mei 2013, nampaknya kita semakin buas berpolitik. Berbanding sebelum tanggal 5.05 itu, ramai yang berharap segala kemelut politik yang telah banyak memecah-belahkan rakyat di negara ini akan selesai dengan berakhirnya PRU-13 dan memuktamadkan perebutan “siapa benar siapa salah” dengan bermacam bentuk pembongkaran hingga ke tahap mengaibkkan maruah pihak lawan dan kawan sendiri, namun harapan itu ternyata telah dipalsukan oleh para pemimpin politik kita sendiri.

Lihat sahaja hari ini. Tidak semena-mena, kita dipaksa untuk mengambil bahagian dalam satu lagi pilihanraya kecil (PRK) yang sepatutnya telah pun selesai pada 5.05.2013 yang lalu. Semuanya kerana ingin memuaskan nafsu politik dan mencapai agenda segelintir pihak yang kemaruk akan kuasa. Kenapa mesti diadakan satu lagi pilihanraya kecil (PRK) yang tentunya akan menelan belanja yang besar dan mengorbankan masa rakyat? Pilihanraya kecil (PRK) tidak wajar dijadikan platform mudah atau jalan pintas untuk berkuasa selepas gagal dalam pilihanraya umum (PRU) walaupun secara perundangan ia dibenarkan.

Kita sewajarnya secara bersama bersetuju bahawa sesuatu pilihanraya kecil (PRK) hanya boleh diadakan jika berlaku perkara-perkara yang tidak boleh dielakkan seperti kematian penyandang, kehilangan kelayakan penyandang atau si penyandang meletakkan jawatan atas sebab kesihatan, dan sekiranya si penyandang ingin menerima jawatan yang lebih besar dan memerlukan beliau meletakkan jawatan.

Dan kita juga sewajarnya secara bersama bersetuju untuk menentang sebarang bentuk tindakan pengunduran seseorang Yang Berhormat daripada jawatan yang disandangnya atas alasan parti, atau berundur kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin tertingginya menggapai cita-cita peribadi. Adakah ini susah untuk dilakukan? Malangnya, dalam hal sebegini kita lebih suka berbalah sesama sendiri dan membiarkan korupsi politik ini berjalan tanpa halangan. Kita marah akan budaya politik wang, tapi kenapa kita bersetuju dengan budaya bacul sebegini yang lebih besar penghinaannya daripada budaya politik wang?  



Ayuh rakyat. Cukup-cukuplah diperbodohkan. 

Wednesday, October 2, 2013

GENDANG DIPALU, DEPA DAH BANGUN

Peti undi baharu yang akan digunakan dalam pemilihan
tahun ini.

Suhu politik kampus mula hangat sejak belakangan ini khususnya di kampus-kampus sekitar Lembah Kelang. Kami mengikuti rapat perkembangan ini kerana ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi suhu politik kampus di USM secara tidak langsung.

Terbaru, kami difahamkan beberapa kumpulan Pro-M di UM, UKM, UPM dan UIAM sudah melancarkan gerakan mendesak pihak pentadbiran (HEPP/HEPA) masing-masing supaya mendedahkan tarikh-tarikh penting menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) sidang ini.

Untuk makluman rakan-rakan, Pilihan Raya Kampus diadakan secara tahunan atau setiap sidang di kesemua kampus IPTA termasuk di USM. Tempoh mandat yang diberikan pula ialah setahun atau satu penggal. PRK perlu diadakan selepas tempoh ini matang. Namun begitu, dalam situasi tertentu, tempoh tersebut boleh dipanjangkan seperti yang termaktub dalam perlembangaan (AUKU dan Perlembagaan Universiti) dengan kuasa budi bicara Naib Canselor.

Berdasarkan perkembangan di Lembah Kelang, kami menjangkakan akan ada usaha daripada pihak tertentu di USM untuk mendesak pihak pentadbiran menyegerakan PRK atau sekurang-kurangnya mendedahkan tarikh-tarikh tersebut.

Berikut merupakan langkah-langkah dalam proses PRK seperti yang diamalkan di USM selama ini untuk perhatian rakan-rakan semua :

  1. NOTIS DIKELUARKAN
  2. BORANG-BORANG PENAMAAN CALON DIKELUARKAN
  3. URUSAN PENGESAHAN BORANG PENAMAAN CALON
  4. HARI PENAMAAN
  5. HARI BERKEMPEN
  6. HARI MENGUNDI
  7. PROSES MENGIRA UNDI
  8. PENGUMUMAN KEPUTUSAN
  9. PEMBENTUKAN MPP

Soal tarikh, pada kami biarlah diserahkan kepada pihak pentadbiran. Lambat atau cepat, ia tetap akan berlangsung dan kita tetap akan mengundi. Bukankah jika lambat ia akan memberi lebih ruang dan masa kepada kita untuk membuat persediaan?


Aspirasi Corner.

We Lead We Love USM !
Together We Unite.

Friday, February 25, 2011

Konspirasi?

Pemilihan MPP/MPM seluruh IPTA sudah pun selesai. Daripada analisa kami, kumpulan pendokong aspirasi universiti masih kukuh kerana menguasai 17 buah universiti manakala kumpulan Pro-Mahasiswa pula hanya mampu menguasai 3 buah universiti di Lembah Klang.

Namun begitu, pemilihan kali ini ternyata amat menarik rentetan beberapa insiden yang telah berlaku di beberapa buah IPT. Kalau di USM, kejadian bakar kain rentang calon pendokong aspirasi universiti dianggap sebagai keterlaluan, suasana di Lembah Klang sebenarnya jauh lebih genting. Insiden usung keranda, calon hilang, demonstrasi 17 jam dan sebagainya lagi telah mewarnai pemilihan tahun ini.

Beberapa akhbar misalnya hari ini melaporkan ‘kehilangan’ kedua calon Pro-Mahasiswa Universiti Malaya walaupun selepas menang kerusi yang ditandingi. Kehilangan kedua ini menimbulkan lebih banyak misteri kerana mangsa sehingga kini belum membuat laporan polis berhubung kehilangan pertama, dan kini beliau hilang lagi ketika pihak universiti mahu mengambil keterangannya.

Konspirasi? Atau penganiayaan? Ramai antara kita barangkali belum tahu kedudukan sebenar calon berkenaan. Masturah, penuntut jurusan Sains Politik Syariah Islam di Akademi Pengajian Islam UM dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas membeli kad tambah nilai prabayar di Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam ketika berkempen untuk pilihan raya kampus.

Selepas 30 jam dikatakan hilang, pelajar itu ditemui semula di Masjid Teras Hernang, Bangi tengah malam Ahad lalu. Masturah kemudian muncul antara calon promahasiswa yang menang dalam pemilihan.

Apa yang menariknya ialah keputusan mangsa dan keluarganya yang tidak mahu melaporkan kehilangan beliau itu kepada pihak polis walaupun mengetahui bahaya yang mungkin boleh berlaku ke atas Masturah. Tindakan ibunya, seorang pemimpin kanan sebuah parti politik yang turun berkempen di UM untuk Masturah sepanjang kehilangan tersebut juga menimbulkan pelbagai andaian.

Banyak pihak yang melihat kes ini sebagai konspirasi kumpulan Pro-Mahasiswa sendiri untuk meraih undi simpati. Jika benar, maka memang berkesan strategi tersebut. Andaian ini menjadi semakin ketara kerana sepanjang 30 jam kehilangannya, ibu Masturah dan ahli keluarga yang lain kelihatan tenang dan sempat mengemaskini laman sosial masing-masing seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Masturah juga perlu menjelaskan bagaimana sebuah laman web yang dikendalikannya sendiri iaitu UMKini boleh menghantar emel kepada NetKL.com antara jam 4.15 petang, 19 Februari 2011 lalu. Dua kiriman emel telah dihantar pada jam 1.35 pagi dan 10.12 pagi pada 20hb Februari 2011 menggunakan alamat UMKini. Jika benar beliau hilang, bagaimana emel-emel tersebut boleh dihantar?

Andaian ini semakin kukuh apabila Masturah sekali lagi hilang apabila pihak UM ingin mendapatkan keterangan dan penjelasannya sendiri berhubung kehilangan pertamanya. Menurut kenyataan daripada pihak pentadbiran universiti, Masturah dikehendaki hadir memberikan keterangannya sebelum laporan polis dibuat pada hari ini. Adakah insiden kali ini juga boleh ditakrifkan sebagai ‘hilang’ atau ‘menghilangkan diri’? Hanya Masturah sahaja yang tahu.

Apa-apa pun, beliau sudah pun mendapat apa yang dihajatkan iaitu kuasa dan kedudukan sebagai MPM UM. Namun, jika strategi ‘hilang’ ini memang dirancang, ia jelas sekali suatu pengkhianatan ke atas demokrasi kampus dan seluruh mahasiswa di negara ini.

Sunday, February 20, 2011

Bisik-bisik AC : Ibarat Anak Manja Yang Suka Meminta..

Semakin dekat, semakin jelas. Cuba teka, apakah dia? Masa semakin pantas dan akhirnya, jawapan yang sepatutnya ialah Pro-M!!!

Semakin dekat dengan sesi Pemilihan MPP, semakin jelaslah kepada kita siapa sebenarnya kumpulan pelajar atau mahasiswa/i ini. AC tak cakap kosong dan bukan tujuan AC hendak menyerang atau memburukkan kem mereka. Sebaliknya, sahabat-sahabat anggap sajalah yang AC bertungkus-lumus menyampaikan kebenaran melalui pengalaman kami sendiri.

Khususan untuk adik-adik yang baru mengenal politik kampus, Pro-M yang sebenar ialah sebuah gerakan mahasiswa yang suka mendesak dan menuntut. Lihat saja manifesto yang mereka wara-warakan semalam semasa sesi pengenalan calon. Apa yang mereka minta? Sebelum AC bertanya soalan seterusnya iaitu boleh atau tidak permintaan mereka itu ditunaikan, elok kita perhalusi dahulu apa yang mereka tuntut kali ini.

Dahulu mereka menuntut antara lain dimansuhkan AUKU. Kata mereka, ia masih konsisten dengan perjuangan mereka tetapi semalam, ia seolah-olah senyap. Mereka sebenarnya sudah sedar, isu AUKU bukanlah isu yang mendesak di USM. Ia sekadar perjuangan segelintir pihak saja tetapi kerana berada di dalam pakatan yang sama, maka mereka terpaksa memperjuangkannya selama ini.

Apa yang mereka tuntut semalam sebahagiannya adalah tuntutan lama yang diperbaharui untuk menggempakkan kempen mereka. Salah satunya ialah mendesak universiti supaya mengambil alih perkhidmatan bas komuter. Ia terbit daripada mulut salah seorang calon umum mereka tetapi malangnya, beliau tidak pula menyatakan mekanisme yang hendak digunakan dalam menjayakan misi besar ini.

Agak sedih juga apabila beliau mendakwa MPP selama ini berdiam diri berpeluk tubuh dalam menangani masalah ini, lalu beliau tampil sebagai pejuang atau jaguh, kononnyalah. Tetapi nampak jelas yang beliau sendiri tidak faham situasi sebenar dan tidak merancang sebarang mekanisme pun untuk mengatasi masalah ini secara menyeluruh.

MPP saban tahun sudah berhadapan dengan masalah ini. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh mantan NYDP MPP USM sidang 2010/11, beliau mendapati sebahagian besar responden berpendapat perkhidmatan sedia ada wajar dikekalkan tetapi mutu yang disediakan hendaklah dinaiktaraf selalu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa/i USM pada umumnnya memahami situasi. Justeru kita tertanya-tanya, di manakah tahap kefahaman calon-calon Pro-M terhadap sesuatu isu?

Contoh lain ialah tuntutan insentif APEX kepada semua mahasiswa/i USM. Wah, sekali dengar, manisnya mengalahkan madu. Tetapi realistikkah? Rasionalkah tuntutan begini? Bagaimana mekanisme (sekali lagi) yang hendak digunapakai? Salah seorang daripada mereka malah mengatakan bahawa USM lebih daripada mampu untuk membayar wang tersebut kepada para pelajar justeru kenapa mesti kepada segelintir sahaja?

Kami tak mahu panjang-panjangkan hal ini kerana pemimpin yang berjiwa kecil akan hanya bercakap hal-hal yang kecil dan remeh-temeh. Tetapi kami mahu mengajak sahabat-sahabat semua untuk sama-sama berfikir tentang keanehan Pro-M di USM ini.

RM1000 seorang dengan jumlah pelajara tak kurang 17,000 orang dalam satu-satu masa. Berapa banyak wang diperlukan? Anda hitungkan sendiri, pastikan darab, tambah, bahagi dan tolaknya betul kerana anda pasti tidak percaya dengan angka yang akan anda perolehi. Ia bukan suatu jumlah yang sedikit, sedangkan peruntukan untuk pembangunan mahasiswa/i di bawah Program APEX tak lebih RM 10 juta setahun. Adakah ini rasional?

Persoalannya, adakah mahasiswa USM semakin materialistik atau Pro-M sahaja yang manja lebih-lebih? Yuran pengajian sebahagian besarnya sudah pun ditanggung oleh pihak kerajaan, kemudian diberikan pula pinjaman PTPTN (pinjam dahulu, dah berjaya baru bayar balik) dan biasiswa, pun tak cukup lagi?

Insentif APEX sebenarnya ialah strategi menggalakkan bakal-bakal penuntut IPTA untuk memilih program Sains Tulen dan Sastera Tulin di USM. Hanya mereka yang layak diterima masuk ke USM untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang tersebut sahaja berpeluang mendapat insentif APEX, bukannya untuk semua mahasiswa/i USM. Yang kamu cemburukan sangat itu kenapa? Bukan rezeki kamu, maka terimalah sahaja ketentuan ini dengan hati terbuka dan berusaha bersungguh-sungguh mengejar habuan yang lebih besar pada masa hadapan.

Kami tak nak berceloteh banyak lagi. Anda mahasiswa minda kelas pertama, fikir-fikirkanlah kerasionalan tuntutan mereka ini. Kami akan berkongsi lagi dalam siri bisikan-bisikan seterusnya. Nak percaya atau tidak, terpulanglah kepada anda.

Kata AC : Lebih sudu daripada kuahnya..

Sunday, February 6, 2011

Laungkan Hak dan Aspirasi Anda!

Komposer terkenal tanah air, Azmeer, turut membuang undi
dalam pilihan raya kampus yang lalu di USM.

Terdapat satu pandangan umum yang agak popular bahawa pilihan raya kampus (PRK) hanyalah suatu bentuk aktiviti yang tidak begitu penting yang dijalankan saban tahun untuk memilih barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP di sesebuah universiti.

Malah, ada yang beranggapan, ia sekadar ‘fardhu kifayah, orang lain buat kita tak payah’ justeru, golongan ini langsung memandang sepi PRK seolah-olah ia memang benar-benar tidak penting. Bagi mereka, cukuplah jika ada yang turun membuang undi, atau kalau tidak ada sekali pun, pihak universiti masih berkuasa memilih MPP berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada.

Sikap tidak ambil berat, tidak peka dan mungkin juga tidak bertanggungjawab ini sebenarnya amat-amat merugikan. Demokrasi yang cuba dipupuk secara amali ini pastinya tidak mampu dicapai seoptimum mungkin lantaran kurangnya penyertaan daripada golongan mahasiswa terhadap perlaksanaannya.

Sekali pun ada yang secara sukarela terlibat secara aktif termasuklah sewaktu berkempen, meraih undi, membuang undi dan sebagainya lagi, namun tanpa sambutan yang sewajarnya, demokrasi itu sudah tentu tidak dapat diraikan seperti yang diharap-harapkan.

Justeru mahasiswa haruslah menyisih jauh segala pandangan lembam bahawa pilihan raya kampus adalah sesuatu yang tidak penting. Pandangan lembam beginilah yang akhirnya menyebabkan mahasiswa dilabel sebagai lesu dan tidak bermaya.

PRK bukan sekadar tentang membuang undi, juga tidak semata-mata berkenaan memilih calon yang kacak dan cantik-cantik seperti yang tercetak di atas kertas-kertas undi sahaja. Lebih dari itu, pilihan raya kampus ialah suatu proses untuk memaknakan kebebasan bersuara mahasiswa. Ia bukan lagi semata-mata tentang teori dan idealisme. Inilah detik untuk mempraktikkannya.

Mahasiswa perlu menggunakan peluang dan ruang yang disediakan ini sebaik-baiknya untuk menyatakan hak dan impian mereka. Gunakanlah proses ini untuk menyemarakkan harapan anda sama ada ia bersangkut-paut dengan hal-hal kebajikan mahupun isu-isu sejagat. PRK inilah medannya untuk anda memilih wakil terbaik yang mampu menyalurkan aspirasi anda supaya didengar oleh pihak universiti dan kerajaan.

Akhir kata, gunakanlah hak bersuara anda sebaik-baiknya. Undilah calon-calon yang diyakini mampu membawa seluruh isi universiti ke arah yang lebih cemerlang. Sejarah politik kampus kita jelas membuktikan bahawa kepimpinan MPP yang sedia mendokong aspirasi universiti seperti yang terkandung di dalam Misi dan Visi USM adalah yang terbaik!

Aspirasi Universiti Adalah Aspirasi Mahasiswa!

Bersama Universiti Manjana Transformasi.

Monday, September 20, 2010

Politik Kampus : Pro dan Kontra Usul MPP Dua Tahun (Bahagian Satu)

MPP tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkhidmat dan menyumbang bakti? Tempoh setahun yang diamanahkan tidak praktikal? Berlaku ketidakseragaman tempoh perkhidmatan antara MPP dan Majlis-majlis Penghuni Desasiswa (MPD) serta Kelab-kelab dan Persatuan? Inilah antara persoalan dan realiti yang sedang berlaku ketika ini di USM dan beberapa IPTA lain.

Rentetan itu, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan baru-baru ini dalam satu artikelnya telah mengusulkan cadangan supaya tempoh perkhidmatan MPP dilanjutkan sehingga dua tahun atau dua sidang bagi memantapkan hubungan antara badan tersebut dan organisasi-organisasi lain di dalam kampus di samping memastikan setiap Exco MPP dapat menunaikan amanah mereka dengan lebih cekap dan berkesan.

Saranan beliau juga turut mendapat perhatian daripada mantan YDP MPP terdahulu iaitu Saudara Muhammad Syafik bin Abdul Aziz yang bersetuju sekiranya perlantikan MPP dibuat untuk tempoh dua sidang. Menurut beliau, langkah itu bukan saja dapat memastikan urusan pentadbiran dan perkhidmatan MPP menjadi lebih praktikal malah turut membantu mengurangkan kos pentadbiran universiti yang terpaksa mengadakan pilihan raya kampus setiap tahun seperti yang dipraktikkan ketika ini.

Selain itu, berdasarkan pengalaman lalu, MPP sering kali berhadapan dengan ‘tuntutan tertunggak yang dibawa ke hadapan’ menyebabkan ada sesetengah Exco MPP terpaksa menjalankan tugas mereka walaupun selepas tamat tempoh perkhidmatan. Sekiranya hal ini berterusan berlaku, adalah dibimbangi ia akan mengganggu tumpuan pihak yang berkenaan terhadap tugas hakiki mereka sebagai pelajar manakala di pihak MPP baru pula, peluang untuk mengetengahkan bakat dan potensi diri sebagai pemimpin muda sedikit sebanyak akan terjejas.

Situasi ini sebenarnya baru sahaja berlaku iaitu kira-kira dua sidang yang lepas ketika pihak Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk menyelaraskan proses pilihan raya kampus di beberapa IPTA berstatus Universiti Penyelididkan iaitu USM, UPM, UKM, UM dan UTM. Bagi mencapai tujuan tersebut, MPP sedia ada ketika itu telah dilanjutkan tempoh perkhidmatan berbanding biasa selaras dengan ketetapan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang memberikan hak kepada Naib Canselor untuk memanjangkan ‘usia’ MPP lebih daripada setahun.

Lantaran wujudnya MPP ‘caretakers’ ini, ia telah melahirkan ketidakseragaman antara badan tersebut dengan organisasi mahasiswa yang lain di dalam kampus yang kebanyakannya ditubuhkan mengikut usia sidang pengajian. Apa yang berlaku ialah, MPP akan berhadapan dengan dua kepimpinan daripada mana-mana persatuan atau kelab kerana tempoh perkhidmatan mereka yang meliputi dua sidang yang berbeza.

Sebagai contoh, sejak dua sidang yang lepas, pilihanraya kampus di USM, UPM, UKM dan UM masing-masing diadakan pada awal semester kedua dan MPP yang dilantik akan tamat tempoh perkhidmatannya setahun kemudian. Manakala Majlis-majlis Penghuni Desasiswa atau Jawatankuasa Kolej Kediaman dan persatuan-persatuan serta kelab dipilih sama ada pada awal sidang atau pada penghujung semester kedua dan bertugas secara rasmi pada semester baru sidang berikutnya.

Justeru di sinilah masalah-masalah ketidakseragaman akan berlaku kerana setiap organisasi termasuk MPP sendiri sudah tentu akan cuba menampilkan agenda-agenda baru sebaik saja ditubuhkan. Seperti kata Saudara Syafik, melainkan MPP baru bersedia memikul amanah yang ditinggalkan oleh MPP lama, maka masalah ini akan terus membelenggu mereka!

Wednesday, January 27, 2010

Calon Pro Aspirasi Disabotaj?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apa yang dirisaukan selama ini telah pun berlaku semalam. Perang poster dan kain rentang memang benar-benar berlaku kali ini di Kampus Induk USM sepanjang tempoh berkempen bagi memilih kepimpinan baru MPP sidang 2009/10.

Semalam, ia benar-benar menjadi medan perang apabila beberapa helai rentangtelah dikoyakkan begitu juga dengan poster-poster yang dipasang melibatkan calon-calon yang pro aspirasi. Soalnya, siapakah yang begitu tergamak melakukan provokasi tersebut?




Kain rentang calon yang dipasang di hentian bas berhadapan Pusat Budaya yang telah direnyukkan. Siapa punya angkara?


Kain rentang calon yang pro aspirasi universiti, Saudara Kelvin telah dikoyakkan dengan menggunakan alat tajam. Sebahagian daripada kain rentang tersebut telah hilang.


Jika dilihat kepada kedudukan semasa, calon-calon Pro Mahasiswa jelas sekali cukup tertekan khususnya bagi calon konstituensi umum mereka kerana dihimpit dengan pelbagai hujah daripada pihak pro aspirasi sewaktu sesi rapat umum semalam.

Selain itu, kedudukan mereka juga jauh tertinggal selepas gagal menghantar wakil bagi kebanyakan kerusi pusat pengajian sekali gus memberikan kemenangan mudah kepada calon yang pro aspirasi universiti.

Selesai proses penamaan calon pada hari Isnin lalu, calon-calon yang pro aspirasi universiti telah pun menang di 11 pusat pengajian termasuk 7 di Kampus Kejuruteraan, sekali gus membolehkan 24 daripada 39 kerusi dikuasai oleh pro aspirasi sebelum sesi pemilihan diadakan pada 28hb Januari ini (esok).



Kain rentang calon pro aspirasi universiti, Saudara Abel Benjamin turut menjadi mangsa. Kain rentang ini dipasang berhadapan Pusat Pengajian Fizik tidak jauh dari lokasi markas Pro-Mahasiswa di Pusat Pengajian Teknologi Industri.


Sementara itu, bagi kerusi umum pula, Pro-Mahasiswa hanya menghantar lima wakil untuk bertanding di enam buah kerusi yang diperuntukkan. Persatuan Mahasiswa Islam dilihat mendominasi kem Pro-Mahasiswa apabila menghantar 3 orang calon wanitanya bagi kerusi umum bagi menentang calon-calon yang pro aspirasi universiti.

Berdasarkan kedudukan ini, maka jelas sekali Pro-Mahasiswa yang ditunjangi SPF dan PMI cukup tertekan bagi menghadapi kempen kali ini. Aspirasi Corner bukanlah hendak mempertikaikan strategi mereka kerana bagi sesetengah orang, mengoyak banner juga adalah strategi kempen, namun ia seharusnya tidak berlaku di sini.



Kain rentang calon pilihan yang pro aspirasi universiti, Saudara Kelvin paling banyak dikoyakkan. Adakah wujud dendam yang mendalam terhadap calon ini daripada pihak tertentu? Jika ditelitikan, modus operandi 'mereka' hampir sama iaitu mensasarkan calon-calon yang dilihat mampu menggugat calon pelajar SPF dari Pro-Mahasiswa.


Pada kami, ia hanya dilakukan oleh pihak yang tertekan. Adalah mustahil atau tak masuk akal untuk mendakwa pro aspirasi yang melakukan provokasi tersebut. Kebanyakan banner yang dikoyakkan melibatkan calon Cina yang pro aspirasi universiti. Jadi, siapakah yang berdendam kepada mereka ini? Mungkin SPF? Selama ini pun, SPF yang paling agresif berkempen. Tidak mustahil jika juga ia dilakukan oleh mereka.

Harapan kami, PMI bolehlah menasihati ‘sahabat’ mereka supaya mengamalkan nilai-nilai yang murni sewaktu berkempen, insya-Allah.