Monday, September 20, 2010

Politik Kampus : Pro dan Kontra Usul MPP Dua Tahun (Bahagian Satu)

MPP tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkhidmat dan menyumbang bakti? Tempoh setahun yang diamanahkan tidak praktikal? Berlaku ketidakseragaman tempoh perkhidmatan antara MPP dan Majlis-majlis Penghuni Desasiswa (MPD) serta Kelab-kelab dan Persatuan? Inilah antara persoalan dan realiti yang sedang berlaku ketika ini di USM dan beberapa IPTA lain.

Rentetan itu, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan baru-baru ini dalam satu artikelnya telah mengusulkan cadangan supaya tempoh perkhidmatan MPP dilanjutkan sehingga dua tahun atau dua sidang bagi memantapkan hubungan antara badan tersebut dan organisasi-organisasi lain di dalam kampus di samping memastikan setiap Exco MPP dapat menunaikan amanah mereka dengan lebih cekap dan berkesan.

Saranan beliau juga turut mendapat perhatian daripada mantan YDP MPP terdahulu iaitu Saudara Muhammad Syafik bin Abdul Aziz yang bersetuju sekiranya perlantikan MPP dibuat untuk tempoh dua sidang. Menurut beliau, langkah itu bukan saja dapat memastikan urusan pentadbiran dan perkhidmatan MPP menjadi lebih praktikal malah turut membantu mengurangkan kos pentadbiran universiti yang terpaksa mengadakan pilihan raya kampus setiap tahun seperti yang dipraktikkan ketika ini.

Selain itu, berdasarkan pengalaman lalu, MPP sering kali berhadapan dengan ‘tuntutan tertunggak yang dibawa ke hadapan’ menyebabkan ada sesetengah Exco MPP terpaksa menjalankan tugas mereka walaupun selepas tamat tempoh perkhidmatan. Sekiranya hal ini berterusan berlaku, adalah dibimbangi ia akan mengganggu tumpuan pihak yang berkenaan terhadap tugas hakiki mereka sebagai pelajar manakala di pihak MPP baru pula, peluang untuk mengetengahkan bakat dan potensi diri sebagai pemimpin muda sedikit sebanyak akan terjejas.

Situasi ini sebenarnya baru sahaja berlaku iaitu kira-kira dua sidang yang lepas ketika pihak Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk menyelaraskan proses pilihan raya kampus di beberapa IPTA berstatus Universiti Penyelididkan iaitu USM, UPM, UKM, UM dan UTM. Bagi mencapai tujuan tersebut, MPP sedia ada ketika itu telah dilanjutkan tempoh perkhidmatan berbanding biasa selaras dengan ketetapan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang memberikan hak kepada Naib Canselor untuk memanjangkan ‘usia’ MPP lebih daripada setahun.

Lantaran wujudnya MPP ‘caretakers’ ini, ia telah melahirkan ketidakseragaman antara badan tersebut dengan organisasi mahasiswa yang lain di dalam kampus yang kebanyakannya ditubuhkan mengikut usia sidang pengajian. Apa yang berlaku ialah, MPP akan berhadapan dengan dua kepimpinan daripada mana-mana persatuan atau kelab kerana tempoh perkhidmatan mereka yang meliputi dua sidang yang berbeza.

Sebagai contoh, sejak dua sidang yang lepas, pilihanraya kampus di USM, UPM, UKM dan UM masing-masing diadakan pada awal semester kedua dan MPP yang dilantik akan tamat tempoh perkhidmatannya setahun kemudian. Manakala Majlis-majlis Penghuni Desasiswa atau Jawatankuasa Kolej Kediaman dan persatuan-persatuan serta kelab dipilih sama ada pada awal sidang atau pada penghujung semester kedua dan bertugas secara rasmi pada semester baru sidang berikutnya.

Justeru di sinilah masalah-masalah ketidakseragaman akan berlaku kerana setiap organisasi termasuk MPP sendiri sudah tentu akan cuba menampilkan agenda-agenda baru sebaik saja ditubuhkan. Seperti kata Saudara Syafik, melainkan MPP baru bersedia memikul amanah yang ditinggalkan oleh MPP lama, maka masalah ini akan terus membelenggu mereka!

No comments:

Post a Comment