Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada para pelajar yang
telah terpilih untuk memasuki Universiti Sains Malaysia pada tahun ini. Anda
amat bertuah kerana berjaya menjadi sebahagian
daripada keluarga besar USM. Anda adalah orang yang dipilih daripada mereka
yang terpilih. Hal ini kerana bilangan
pemohon yang ingin masuk ke USM amat tinggi. Pihak universiti sentiasa menanti kehadiran
adik – adik dengan penuh gembira.
Menjadi sebahagian daripada warga USM membuatkan adik –
adik telah bergelar seorang mahasiswa. Sebagai seorang mahasiswa baru, adik –
adik patutlah mempunyai rasa syukur dan bertuah. Pihak universiti dengan penuh komited
akan sentiasa memastikan semua mahasiswa USM akan dapat merealisasikan hasrat
masing –masing. Kehendak setiap mahasiswa sentiasa akan didengari oleh pihak
universiti.
Namun begitu, bukan mudah untuk memenuhi setiap tuntutan
daripada semua mahasiswa. Hal ini kerana jumlah penuntut di USM terlalu besar. Oleh itu, semua mahasiswa haruslah rasional
dalam membuat keputusan dan tuntutan. Janganlah meletakkan kehendak emosi
apabila ingin melakukan sesuatu perkara. Pihak universiti telah menyediakan
pelbagai saluran kepada mahasiswa untuk meluahkan hasrat mereka. Gunakanlah saluran
ini dengan sebaik mungkin. Mahasiswa tidak perlu terikut dengan budaya di luar
kampus yang sering kali melakukan demonstrasi apabila tidak berpuas hati
terhadap sesuatu perkara. Keadaan ini akan memburukkan imej mahasiswa. Usahlah menjadi
dalang kepada pihak tertentu yang ingin mengeksploitasi golongan mahasiswa
untuk kehendak politik mereka. Mahasiswa perlu rasional dalam menilai sesuatu
perkara dengan matang. Pihak universiti akan sentiasa melindungi golongan mahasiswa.
Hidup dalam sebuah keluarga yang besar memerlukan setiap
mahasiswa mempunyai sikap toleransi dalam diri mereka. Erti toleransi yang
sebenar dapat diterjemahkan dalam kehidupan mahasiswa di dalam kampus. Sebagai seorang
mahasiswa adik –adik haruslah bergerak bersama universiti untuk mencapai
matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Setiap dasar yang dibawa
oleh pihak universiti telah mengambil
kira keperluan setiap mahasiswa. Adik –adik janganlah terpengaruh dengan dakyah
daripada pihak luar yang ingin memburukkan nama universiti. Golongan ini kebiasaannya
akan menjadi pendesak kepada universiti untuk memenuhi kehendak mereka. Pihak yang
tidak bertanggungjawab ini secara agresif ingin menyemai benih kebencian dalam
setiap mahasiswa terhadap pihak universiti. Bersama – samalah kita berganding
bahu sebagai sebuah keluarga untuk menjayakan hasrat universiti.
Banyak pihak pada hari ini serangkali melaungkan pelbagai
retorik untuk menarik golongan mahasiswa menyokong mereka. Menyedari akan
hakikat ini, setiap mahasiswa haruslah mempunyai sikap realistik dalam diri
anda. Janganlah terpengaruh dengan retorik yang dibawa oleh sesetengah pihak. Tidak
guna hebat berjanji jika tidak mampu untuk melaksana. Golongan mahasiswa
haruslah sedar terhadap ancaman tersebut. Pihak universiti sentiasa realistik
dalam setiap perancangan yang dibuat. Tidak seperti pihak tertentu yang hanya
tahu menabur janji, pihak universiti sentiasa memastikan dasar yang dilakukan
oleh mereka adalah realistik bukan idealistik.
Akhir kata, kepada adik – adik semua, sematkanlah azam dan
semangat dalam diri anda untuk menjadi keluarga USM yang setia. Marilah kita
bergerak bersama ke arah kecemerlangan universiti. Jadilah seorang mahasiswa
yang mempunyai sikap rasional, toleransi, dan realistik. Janganlah melakukan
perbuatan yang boleh mencemarakan nama baik seluruh warga universiti. Selamat maju
jaya dan semoga anda gembira menjadi keluarga baru USM.
No comments:
Post a Comment