Sunday, March 28, 2010

Lagi Ingatan

Jangan Terpengaruh Dengan Gesaan Berhimpun Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Mahasiswa USM diseru supaya tidak terpengaruh dengan penyebaran artikel haram yang mengajak para pelajar menyokong pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melalui kes yang melibatkan seorang bekas penuntut yang akan diperdengarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Soh Sook Hwa, yang pernah dikenakan hukuman denda sebanyak RM 200 oleh pihak universiti di bawah peruntukan AUKU selepas didapati bersalah kerana terlibat secara langsung dalam pilihan raya umum pada tahun 2004 telah memfailkan dokumen di mahkamah bagi mencabar kesahihan peruntukan terbabit.

Selepas beberapa tahun, pihak mahkamah akhirnya menerima permohonan Soh bagi memulakan perbicaraan yang dijangka berlangsung pada 29hb Mac 2010 iaitu esok. Menurut artikel itu lagi, asas tuntutan Saudari Soh adalah daripada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan kepada setiap warganegara yang berumur 21 tahun ke atas untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan politik.

Kita seharusnya tidak terkeliru dengan permainan segelintir pihak yang cuba memesongkan fakta kerana sebagai mahasiswa, kita sepatutnya boleh berfikir tentang kerelevanan dan tujuan AUKU digubal. Ia juga sebenarnya sudah dirombak dan perlaksanaannya pada hari ini adalah berdasarkan kepada penambahbaikan yang telah dilakukan pada tahun lepas.

Pihak universiti baru-baru ini juga telah mengeluarkan kenyataan yang meminta supaya para pelajar tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan pihak-pihak lain. Pada masa yang sama, di bawah autonomi sebagai Universiti APEX, USM sendiri sedang dalam proses merangka perlembagaan baru bagi menggantikan AUKU yang dilihat mampu memenuhi tuntutan-tuntutan ‘tertentu’ daripada segelintir mahasiswanya.

Justeru AC mengambil kesempatan ini untuk menyeru sekali lagi kepada rakan-rakan semua supaya berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Adalah merugikan jika tindakan hari ini hanya mengancam masa depan sendiri.

Sekitar Earth Hour@USM

Berikut merupakan sebahagian gambar yang sempat dirakamkan di sekitar kampus USM (induk) sepanjang satu jam Earth Hour@USM dijalankan.


Suasana di Blok F26 Desasiswa Fajar Harapan sebaik sahaja program bermula.

Blok F25, Desasiswa Fajar Harapan.


Bangunan Jabatan Keselamatan juga bergelap. Tahniah diucapkan!!


Suasana di Blok Ko1 dan Ko2, Desasiswa Aman Damai.


Sekitar Desasiswa Indah Kembara. 'Menyeramkan', seperti yang diperkatakan oleh Saudari NYDP MPD IK.


Imej Kompleks Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun yang dirakam dari Stadium USM. Masih bergemerlapan, tetapi jauh berbeza berbanding biasa.


Aktiviti menarik yang dianjurkan oleh MPD Fajar Harapan. Sememangnya menguji keberanian!


Salah seorang penghuni yang terlibat, Saudara Shafik.

NYDP 2 MPD FH, Saudara Nor Azlan juga turut menyertai aktiviti yang diadakan semalam. Sporting habis!!


Sebahagian peserta yang turut menyertai aktiviti ini. Kelihatan seperti sedang ketakutan!!


Banyak lagi gambar yang menarik untuk dikongsikan di sini sebenarnya tetapi ruang sangat membatasi kita. Justeru, AC sekali lagi mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan yang berjaya menyahut seruan Earth Hour kali ini. Di USM, ternyata kita mempunyai kelainan.

Saturday, March 27, 2010

Earth Hour@USM - Really Happening!!

Sebentar tadi AC bersama rakan-rakan sempat pusing-pusing sekitar kampus melihat respon yang diberikan terhadap program Earth Hour@USM yang berlansung dari jam 9.00 malam hingga 10.00 malam.

Secara keseluruhan, boleh dikatakan program pada kali ini mendapat kerjasama yang cukup baik daripada para pelajar. Rata-rata yang berada di bilik masing-masing bersedia memadamkan lampu sepanjang tempoh program ini berlangsung. Sementara itu, bagi yang keluar ke mana-mana tempat kebanyakan mereka didapati sudah pun memadamkan lampu bilik masing-masing.

Tinjauan ke beberapa lokasi lain seperti di Pusat Pengajian Sains Komputer, Kimia dan Farmasi pula respon yang diberikan adalah berbagai-bagai. Ada sesetengah tempat yang digelapkan berbanding biasa dan ada yang terang-benderang. Namun ia bukanlah masalah yang harus dibangkitkan kerana kita sedar lokasi-lokasi sebegini khususnya di makmal-makmal dan sebagainya adalah sukar untuk dibiarkan bergelap walaupun seketika.

Selain itu, terdapat juga Majlis Penghuni Desasiswa melalui Biro yang berkenaan yang menganjurkan aktiviti khusus kepada para penghuni. Sebagai contoh, MPD Fajar Harapan melalui Yang DiPertuanya, Saudara Mohammad Nor Hafiz, telah menganjurkan aktiviti berbentuk permainan ‘burung hantu’ yang disertai oleh para penghuni desasiswa berkenaan. Melalui akviti sebegini secara tidak langsung ia telah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama penghuni dan juga MPD itu sendiri. Tahniah diucapkan di atas usaha yang dtunjukkan.


Nota : Snapshot sekitar kampus bagi Program Earth Hour@USM 2010 akan dipaparkan selepas entri ini.

Earth Hour@USM


Aspirasi Corner akan menyokong Program Earth Hour@USM yang akan diadakan pada 27hb Mac 2010 jam 9.00 mlm hingga 10.00 mlm.

Justeru AC menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama menyokong program selama sejam ini demi kelestarian hari esok.

Padamkan lampu dan lihatlah dunia dari perspektif yang berbeza.

Lestari - Kalau bukan sekarang, bila lagi?





Tuesday, March 23, 2010

USM Nasihat Pelajar Tidak Sertai Aktiviti Tidak Berfaedah

Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh menyertai sebarang aktiviti yang tidak bersesuaian termasuk perhimpunan-perhimpunan yang boleh mencetuskan salah sangka dan masalah kepada diri mahu pun orang lain.

Ini adalah ekoran dari timbulnya gesaan untuk mahasiswa menyertai perhimpunan-perhimpunan awam tertentu dalam masa terdekat ini yang banyak disampaikan melalui khidmat pesanan ringkas mahu pun blog tertentu.

Mahasiswa USM seharusnya menumpukan masa mereka dalam aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah tanpa terpengaruh dengan gesaan-gesaan seperti itu.Pihak Universiti memandang serius sebarang cubaan untuk mengheret mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti yang boleh menimbulkan kesusahan kepada masyarakat, apatah lagi kepada diri mahasiswa itu sendiri.

Mahasiswa USM walau pun sentiasa diberi kebebasan untuk bersuara dan boleh mempunyai pandangan yang berbeza, namun terdapat batasan tertentu yang harus difahami dengan jelas dalam apa jua yang dilakukan.

MOHAMAD ABDULLAH, Timbalan Pendaftar, Pejabat Perhubungan Awam.
Sumber dipetik di sini.

Friday, March 19, 2010

Kuatkuasakan Larangan Merokok Di Kafeteria

Ada beberapa perkara yang selalu dibisingkan apabila kita bercakap tentang kafeteria yang terdapat di dalam kampus USM ketika ini. Antara perkara tersebut, yang paling mendesak tentunya isu menu dan harga makanan, isu kebersihan dan juga masalah layanan.

Tetapi adakah semua kafeteria mengalami masalah yang sama? Mengambil beberapa contoh yang mungkin dihadapi oleh sebahagian besar daripada kita, masalah menu dan harga makanan tentunya berada pada kedudukan teratas. Terdapat pengusaha gerai yang masih belum peka dengan tuntutan ‘selera’ pelanggan kerana menyediakan menu yang sama saban hari, malah ada yang sudah bertahun-tahun menggunakan set menu harian yang sama. Siang sama, malam pun sama.

Masuk bab harga, ia menjadi lebih menjelikkan. Sudahlah makanan sama saja, harga pula tak standard. Ada kafeteria yang tidak melabelkan harga makanan sehingga menyukarkan pelanggan mengagak harga yang akan dikenakan. Maka berlakulah caj yang tidak selaras. Kalau tak percaya, cubalah anda bandingkan sesama sendiri. Jalankan eksperimen mudah ini selama seminggu. Ada masanya pasti anda akan ‘terasa’ dengan harga yang dikenakan sedangkan makanan yang diambil tak seberapa.

Begitu juga, terdapat segelintir pelanggan yang selamba sahaja menghisap rokok di kawasan kafeteria. Tindakan mereka ini langsung tak menghormati hak dan perasaan pengguna lain yang memerlukan udara yang segar dan bersih. Meskipun papan tanda amaran dipasang di kebanyakan sudut, namun akibat penguatkuasaan yang lemah, golongan ini ternyata menjadi lebih galak dan ghairah. Tetapi untuk menyalahkan ketiadaan penguatkuasaan sahaja mungkin tak adil kerana semuanya bergantung kepada sikap dan kesedaran individu terbabit.

Selain itu, masalah pinggan dan cawan yang dtinggalkan terlalu lama di atas meja juga kadang-kala merimaskan. Dalam hal ini mungkin pengusaha kafeteria dan pihak pengurusan desasiswa boleh menggunakan formula angkat bekas makanan sendiri yang diamalkan di Kafeteria Fajar Harapan. Ia bukan saja memudahkan pengguna lain tetapi turut membantu usaha mewujudkan suasana yang bersih serta kondusif untuk sebarang aktiviti.

Kita faham, tugas mengawal selia kafeteria bukanlah tugas yang mudah. Tenaga kerja pula bukanlah ramai bagi sesebuah gerai. Justeru sebagai pelajar dan pengguna, adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk membantu usaha mewujudkan suasana kafeteria yang baik. Tidak ada sesiapa yang rugi jika kita berusaha dan berganding bahu menjaga kebersihan kerana ia menjadi tuntutan dalam semua agama.


BERSAMA UNIVERSITI MENGGERAKKAN TRANSFORMASI

Thursday, March 18, 2010

Semuanya Kena Bayar

Langkah pihak perpustakaan USM menggantikan loker percuma dengan kemudahan loker yang lebih elok tetapi berbayar ternyata banyak mengundang nada sinis daripada sebahagian besar pengguna hariannya.Semuanya kena bayar sekarang ini, itu antara yang diluahkan.

Jika dibandingkan penggunaan loker tradisi sebelum ini meskipun kelihatan uzur dan kurang ciri keselamatan, namun ia sebenarnya lebih mudah dan mesra pengguna. Mungkin pernah berlaku kes-kes kecurian yang bersifat terpencil , tetapi pada masa yang sama ia juga berjaya mendidik pengguna agar lebih berhati-hati.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan tindakan ini kononnya bertujuan mengaut untung harian yang lumayan bagi menampung kos perkhidmatan perpustakaan. Sama ada benar atau pun tidak ia sukar dipastikan kerana sistem ini masih di peringkat pra-perlaksanaan. Jika benar maka tertanya-tanyalah juga kita akan peruntukan universiti yang disediakan untuk perpustakaan kita ini. Mungkin belum cukup kot.

Apa-apa pun, sistem ini masih di peringkat awal. Kita tidak harus lekas membuat penilaian atau memberikan komen yang bersifat pesimis. Mungkin ia kelak lebih memudahkan para pengguna untuk meninggalkan barang masing-masing walaupun bukan untuk ke perpustakaan. Sama ada suka atau pun tidak, semuanya terpulang kepada kita untuk menggunakan kemudahan baru ini.


BERSAMA UNIVERSITI MENGGERAKKAN TRANSFORMASI

Tuesday, March 9, 2010

Bila Tiba Musim AGM

Musim AGM tiba lagi. AGM atau Mesyuarat Agung Tahunan merupakan rutin di USM melibatkan persatuan-persatuan yang berdaftar. Di IPTA lain suasananya mungkin sama. Masing-masing akan menjalankan operasi pembersihan dan penambahbaikan sebelum menempuh tempoh baru ‘pemerintahan’.

Operasi pembersihan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada proses menggantikan kepimpinan sedia ada yakni yang berkhidmat pada sidang ini dengan kepimpinan baru. Dibersihkan jika ada unsur kekotoran atau kecelaan. Dibersihkan juga supaya yang baru nanti lebih baik dari sedia ada.

Perlunya operasi pembersihan ini sebenarnya lebih dari sekadar menjalankan rutin AGM tersebut. Sudah berbunyi-bunyi bisikan tertentu tentang masalah pentadbiran dalam organisasi yang dihadapi sesetengah persatuan. Ada yang merungut tentang sikap kronisme, ada yang mempertikaikan amalan kuku besi, ada yang mengkritik kerana persatuan menjadi lesu dan sebagainya lagi.

Soalnya, semuanya berkaitan dengan kepimpinan. Justeru layak benarlah jika golongan pemimpin seperti ini dibersihkan lekas-lekas. Imej persatuan perlu dikembalikan. Kita dapat melihat dengan jelas banyak sekali persatuan yang dahulunya cukup aktif menganjurkan pelbagai aktiviti tetapi tiba-tiba saja berubah menikus, senyap dan seperti nyawa-nyawa ikan. Bahkan sampai ada yang terpaksa dilakukan EGM.

Dengan terlaksananya operasi pembersihan ini diharapkan akan membawa lebih banyak kebaikan kepada persatuan tersebut khususnya untuk ahli-ahli dan warga kampus seluruhnya.

Namun yang menjadi kerisauan ketika ini ialah siapakah yang boleh diharap-harapkan untuk mengambil alih kepimpinan sedia ada? Semua faham, tugas mengemudi bukan tugas yang bersifat populis semata, ia bukan sekadar menjadi orang penting dan dikenali ramai. Tetapi lebih jauh dari itu, ia adalah suatu tanggungjawab. Akauntabiliti sebagai ketua menuntut kesungguhan yang istiqamah supaya tidak lesu di tengah jalan atau kecundang sebelum sampai tarikh luputnya.

Masalah ini sebenarnya bakal menjadi barah. Masalah mencari pelapis merupakan masalah yang cukup berat untuk diselesaikan. Jika salah pilih, implikasinya tentu melibatkan seluruh organisasi. Tangkap muat pula bukanlah amalan yang baik. Paling teruk, biarlah kroni yang menjadi pewaris, itupun kalau dah tak ada sangat pilihan kerana sekurang-kurangnya orang tersebut tahu selok belok pentadbiran.

Justeru adalah diharapkan supaya AGM yang bakal diadakan secara berperingkat-peringkat kelak mengikut persatuan akan berlangsung dalam suasana yang aman dan matang. Hala tuju persatuan harus diperbetulkan dan disuntik dengan elemen baru yang lebih segar. Pemimpin hari ini harus bersedia menjadi pemuka hari esok.

Dr. Zakri dilantik Penasihat Sains

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Sains kepada kerajaan Malaysia bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataannya berkata, Zakri, 61, akan bertindak sebagai pegawai penasihat sains utama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Zakri bertanggungjawab mengemukakan dasar, strategi, prosedur dan langkah-langkah berkaitan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta tindakan kerajaan bagi meningkatkan pencapaian dan kelestarian sosio-ekonomi negara.

"Tanggungjawab beliau juga merangkumi mengoptimakan sumber dan keutamaan bagi transformasi Malaysia menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi dan menjadi rujukan utama bagi negara lain," menurut kenyataan itu.

Selain mempengerusikan Majlis Sains dan Penyelidikan Negara, Zakri juga dipertanggungjawabkan untuk merapatkan hubungan jaringan antara kerajaan dan saintis serta organisasi dalam dan luar negara.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Zakri adalah berdasarkan latar belakang beliau yang luas serta sumbangan besar dalam bidang sains di samping merupakan salah seorang Felo Akademi Sains Negara.

Anak kelahiran Pahang itu memperoleh Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian Malaya pada 1969 dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Crop Science dari Louisiana State University, Amerika Syarikat pada 1972.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana dalam Sains (1974) serta Doktor Falsafah (PhD) pada 1976 dalam Crop Science (Plant Breeding) dari Michigan State University.

Kerjaya cemerlangnya bermula sebagai pensyarah di Jabatan Biologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1976 hingga 1979, sebelum menjadi profesor biologi di universiti tersebut sehingga tahun 2000.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) UKM dan merupakan bekas Pengarah Institute of Advance Studies, United Nations University di Tokyo, Jepun dari 2001 hingga 2008 serta Presiden pertama Persatuan Genetik Malaysia. – BERNAMA

Ulasan AC:

Satu lagi berita yang tentunya membanggakan seluruh warga akademik USM dan negara amnya. Perlantikan ini membuktikan USM mampu melahirkan generasi pemimpin sesuai dengan motto Kami Memimpin yang dipegang selama ini. Diharapkan juga ia akan menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga kampus tanpa mengira latar belakang akademik untuk terus maju dan mencipta lebih banyak kejayaan setinggi mungkin.

Sunday, March 7, 2010

Forum Yang Mendefinisikan Rasuah

Panelis forum dari kiri Prof. Omar bin Osman, Pak Habib atau Syed Hussein Alatas, Dr. Celemans dan Prof. Amir.

Kenapa rasuah? Soalan yang selalu tiada jawapan mutlak, dan selagi ia terus berlaku, ia kekal rasuah. Negara boleh diwarisi dan akan diwarisi oleh generasi muda, tetapi rasuah hanya menyebabkan negara yang akan diwariskan itu kelak tiada harta untuk anak-anak mudanya.

Rasuah menurut Pak Habib seperti yang beliau komentarkan sebentar tadi dalam Forum Bersama Pemimpin dengan tajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” ialah Rasa Untuk Hidup Mewah. Kerana itulah, rasuah terus berlaku. Kerana itulah juga, rasuah akan terus berlaku.

Tetapi menurut Dr. Celeman pula, dengan memetik nas-nas Al-Quran yang agung, rasuah boleh dicegah jika dalam diri setiap manusia ada hati yang suci, yang gentar kepada akibat perlakuan tersebut, yang sentiasa sedar dan ingat bahawa rasuah, walau apa pun definisi dan pengertiannya, hanya akan menyebabkan kemanusiaan semakin miskin. Baik yang menerima atau yang memberi, tetap kedua-duanya akan miskin, meskipun, dalam sifat rasuah itu ada saling keberuntungan.

Pak Habib juga menghuraikan kenapa rasuah terus berlaku, antaranya kerana tiadanya sifat mahu peduli sesama diri dan sesama anggota masyarakat. Sifat kepedulian ini tidak lagi wujud dalam masyarakat hari ini kerana semuanya mahu memuaskan diri masing-masing, yakni rasa (nafsu) untuk hidup mewah. Semuanya menjadi penuh keakuan, mengejar mewah duniawi seperti yang diajarkan oleh para Yahudi melalui doktrin-doktrin halus mereka. Rasuah tidak berlaku sehinggalah apabila kebenaran Allah tiba di muka bumi ini, lalu orang-orang yang tamak dengan keduniaan menjadi gentar sehingga memaksa mereka membuat penawaran supaya kebenaran itu padam.

Rasulullah ialah manusia mukminin pertama yang ditawarkan rasuah yang cukup tinggi nilainya, ditawarkan tiga ‘Ta’ yang mampu menggoyahkan setinggi iman yakni wanita, takhta dan harta, tetapi baginda jugalah manusia mukminin pertama yang menolak rasuah dalam sejarah ketamadunan manusia sejagat kerana iman yang terlalu kukuh, 100%. Jadi kenapa rasuah? Kenapa masih rasuah?

Prof. Amir kemudiannya mengusulkan, dari sudut pandang ekonomi betapa rasuah itu berlaku hanya akan menyebabkan banyak keadaan buruk termasuk kenaikan kos dalam segenap bidang yang akhirnya menyusahkan rakyat, dan ia tak akan berlaku sekiranya dalam diri manusia perasuah itu ada integriti yang tinggi.

Soal integriti juga sebenarnya payah untuk dikupaskan. Apatah lagi bila dilawankan dengan rasuah, pasti saja integriti akan goyah. Integriti terlalu subjektif walau sebesar mana lencana digantungkan di dada uniform kerana wang satu sen pun mampu membeli integriti. Ia boleh berlaku kerana rasuah bermula serendah satu sen. Mesti ingat itu.

Jadi siapa yang akan menang? Siapa yang akan kalah? Yang menerima mungkin menang dan hidup mewah dan yang memberi pula mendapat apa yang dihajati tetapi, hakikatnya, kedua-duanya akan terus dihimpit dosa yang cukup-cukup-cukup berat. Yang kalah ialah agama, bangsa dan negaranya. Maknanya, semua akan kalah pada akhirnya. Natijahnya bukan sekali besar, tetapi selama-lamanya besar hingga diperhitungkan kelak.

Berlakunya rasuah hingga meruntuhkan negara juga sebenarnya berpunca daripada tiadanya semangat cintakan negara dalam diri setiap warga. Pak Habib memberikan contoh yang sangat kukuh tentang bagaimana Bung Karno mempertahankan negaranya kerana adanya rasa cinta yang tebal terhadap tanah air beliau. Sense of belonging itu sunnah yang tinggi, yang dituntut dalam Islam, sehingga mencintai negara atau tanah air itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada iman. Jadi kenapa rasuah? Mana pergi kepedulian kita dalam hal ini?

Wajarkah kita salahkan SPRM sahaja setiap kali berlaku isu rasuah? Wajarkah kita salahkan satu-satu pihak saja bila jerung tidak ditangkap tetapi bilis-bilis habis diheret? Kenapa bercakap tetapi takut untuk tampil sebagai saksi? Apa kita sedarkah tugas pihak berkuasa hanya menyiasat dan menyiasat itu bukannya kerja yang mudah?

Apa kita juga sedar dalam kehidupan sehari-harian ini kita bebas daripada gejala ini? Yang kita selalu nampak ialah ahli politik saja yang bergelumang dengan rasuah. Tetapi diri kita, keluarga kita, ahli masyarakat yang lainnya bebaskah daripada rasuah? Justeru tak usahlah hanya menyalahkan SPRM saja dalam hal ini. Kita bertanggungjawab secara kolektif.

Seperti kata Pak Habib juga, setinggi mana pun gunung, puncaknya tetap di bawah tapak kaki manusia. Gunung kerana itulah takut untuk memikul amanah dari Allah, tetapi manusia angkuh sekali menuntut amanah tersebut untuk bergelar khalifah di muka bumi ini. Semuanya kerana manusia ada kemahuan, dan kerana kemahuan jugalah rasuah boleh berlaku. Justeru, dengan kemahuan jugalah, atau lebih besar dari itu, kepedulian kita semua, maka rasuah boleh dibendung tak kira bilis atau jerung.

Rasuah itu hanya kita yang tentukannya.


Nota:

USM melalui Sekretariat Pencegahan Rasuah telah menganjurkan Forum Bersama Pemimpin yang bertajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” pada 6hb Mac 2010 bertempat di Dewan Budaya, Pusat Kebudayaan USM. Panelis yang diundang khas ialah Syed Hussein Alattas, penulis dan penganalisa politik terkenal tanah air, Dr. Celeman bin Kasim, Penguasa Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM dan Professor Amir Baharuddian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM yang juga pakar serta penasihat ekonomi kepada Tun Mahathir suatu ketika dahulu di samping turut membentuk sekian banyak pemimpin negara termasuk Datuk Idris Jala. Forum ini dimoderator oleh Professor Omar bin Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP, USM. Sekalung tahniah kepada sahabat saya Nurmaizatulhana Bt Osman (teman sekampung) dan rakan-rakan dalam SPR USM yang menjayakan program ini.


Dipetik daripada blog Rizuan MH