Tuesday, January 26, 2010
Sekitar Sesi Penamaan Calon
Calon Pro Aspirasi Dahului Kempen
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Semalam telah berlangsung proses penamaan calon bagi merebut kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pemilihan MPP USM Sidang Akademik 2009/10. Selesai proses tersebut pada jam 12.00 tengah hari diikuti sesi mengemukakan bantahan, sebanyak 24 kerusi telah dimenangi oleh calon-calon yang pro aspirasi universiti termasuk tujuh kerusi di Kampus Kejuruteraan.
Justeru proses pembuangan undi yang bakal berlangsung pada hari Khamis, 28hb Januari ini dijangka akan menyaksikan persaingan sengit di beberapa kerusi konstituensi pusat pengajian dan juga konstituensi umum bagi melengkapkan jumlah 39 kerusi yang telah diperuntukkan pada sidang ini.
Justeru kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada calon-calon yang bersama aspirasi universiti di atas kejayaan anda memenangi 24 daripada 39 kerusi yang diperuntukkan.
Weblog Aspirasi Corner sebagai suara bebas yang mendokong aspirasi universiti akan terus menyokong perjuangan sahabat-sahabat bagi memastikan hak dan kebajikan warga kampus terus dibela sebaik mungkin. Pihak kami juga akan sedaya upaya melaporkan informasi terkini sepanjang proses Pemilihan MPP sidang ini untuk makluman kita semua.
ASPIRASI – Toleransi, Bukan Demonstrasi.
Saturday, January 16, 2010
Kutipan Derma Tabung Gempa Haiti
PENGUMUMAN
Sekretariat Sukarelawan USM akan menjalankan satu kutipan derma dari desa ke desa bermula malam esok (16hb Januari 2009) bagi mengumpul dana bantuan untuk mangsa gempa bumi di Haiti.
Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Muhammad Khazafi Md Napiah (Pengerusi Sekretariat Sukarelawan USM) di talian 019-4792030.
Kerjasama daripada penghuni dan Majlis Penghuni Desasiswa adalah sangat-sangat diharapkan bagi menjayakan misi kemanusiaan ini. Hulurkan tangan anda, ringankan beban mereka.
Wednesday, January 13, 2010
Parlimen Mahasiswa- Agenda Besar Mahasiswa APEX

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
1. Suara mahasiswa ibarat halilintar yang menggegarkan alam seandainya ia berpadu dan menempati segenap ruang yang ada. Suara mahasiswa bahkan digeruni pemimpin negara, dikagumi dunia dan dihormati sejarah.
2. USM mengorak langkah dalam usaha menyebarkan impak daripada suara siswa dan siswinya secara total dengan menggagaskan idea Parlimen Mahasiswa, yang bakal disegani masyarakat sebagai sebuah platform ampuh kesepaduan suara dan pemikiran mahasiswa alaf baru.
3. Ramai yang belum faham apakah Parlimen Mahasiswa, kenapa ia digagaskan dan adakah kita bersedia dengan sistemnya kelak? Malah, adakah ia mampu berperanan dengan baik apabila dilaksanakan?
4. Persoalan-persoalan begini amat perlu dalam kita memahami objektif Parlimen Mahasiswa. Ini kerana, ia bakal mencetuskan ruang perdebatan dan perbincangan sehingga akhirnya kita semua mampu bercakap tentang perkara ini. Aspirasi USM sebagai pemimpin rakan IPTA dan masyarakat sudah melebarkan peranannya sebagai perintis kepada idea-idea baru yang lebih matang dan kritis.
5. Pihak kerajaan juga begitu bersungguh-sungguh menerima idea Parlimen Mahasiswa daripada MPP USM. Inilah bukti bahawa MPP yang mendokong aspirasi universiti sebenarnya menjuarai agenda mahasiswa dalam konteks yang unggul.
6. Kelab Sahabat MPP USM mengucapkan tahniah kepada kepimpinan mahasiswa USM dibawah Saudara Shafiq Aziz yang telah menggegarkan negara dengan agenda besar tersebut. Kami berbangga dengan anda semua!!!
Monday, January 11, 2010
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi terbabit dalam kemalangan
11/01/2010 6:49pm
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Kok Chung dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kok Chung ketika itu dalam perjalanan dari utara ke selatan dengan menaiki kereta Perdana V6, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama.
Sunday, January 10, 2010
Isu Bakar Gereja – Kenyataan Dari Blog PMI Terus Dipersoal Mahasiswa!!!
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
1.Negara sekali lagi dikejutkan dengan berita beberapa gereja Katholik diserang termasuk dibakar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan sanggup mengkhianati prinsip keamanan yang dipegang selama ini oleh rakyat Malaysia.
2.Insiden terbaru yang berlaku di Selangor ini dikatakan berpunca akibat perselisihan pendapat antara rakyat negara ini khususnya dalam kalangan masyarakat Islam selepas keputusan membenarkan penggunaan nama Allah oleh tabloid The Herald dan juga masyarakat bukan Islam yang lain oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31hb Disember 2009.
3. Namun begitu, sebagai mahasiswa yang terbuka kepada pelbagai sumber maklumat, kita haruslah matang dan mampu berfikir secara rasional apabila berlaku sesuatu isu yang panas seperti ini. Kita tidak boleh cepat melatah atau segera memberikan respons berdasarkan pandangan sendiri semata-mata. Dalam isu sebegini, adalah lebih matang sekiranya kita menilai dari setiap sudut dan selebihnya menunggu keputusan siasatan rasmi daripada pihak berkuasa sebelum mengeluarkan pendapat peribadi.
4. Justeru, kenyataan terbaru daripada blog PMI USM berhubung insiden ini telah menimbulkan banyak perdebatan luaran dalam kalangan mahasiswa USM. Antara yang ditimbulkan, siapakah sebenarnya yang bersuara dalam PMI dan apakah suara tersebut mewakili seluruh jemaah?
5. Ulasan panjang lebar daripada entri tersebut juga seolah-olah cuba menggambarkan umat Islam negara ini sedang dalam mood berperang, baik secara fizikal mahupun secara psikologi. Motif sebenar penulisan tersebut juga tidak jelas sedangkan butiran spesifikasi kes ini, termasuk siapakah dalangnya yang sebenar, masih lagi dalam siasatan.
6. Tidak salah berkomentar, tetapi biarlah selepas diukur sedalam mungkin. Jika perlu, wujudkanlah lapangan sendiri supaya lidah rasmi PMI tidak dianggap sebagai medan melaporkan pandangan peribadi, bukannya suara jemaah.
7. Gesaan supaya YDP PMI menarik balik kenyataannya sebelum ini juga masih belum disahut, dan hari ini, sudah tersiar satu lagi kenyataan yang mengelirukan. Diharap perkara ini tidak berulang di dalam lidah rasmi PMI, dan diharap juga, PMI dapat berperanan sebagai sebuah persatuan yang telus memperjuangkan akidah Islamiyah.
Thursday, January 7, 2010
Azam Mahasiswa APEX
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
1.MPP USM dibawah kepimpinan Shafiq Aziz sekali lagi berjaya menganjurkan satu program ilmiah khusus untuk mahasiswa USM. Bertemakan Azam Mahasiswa APEX – Jangan Terus Terlena, ternyata program ini berjaya mencapai objektif walaupun kurang penyertaan akibat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
2. Menurut Pengarah Projek, Saudara Hafizul, program ini dirangka dalam masa yang singkat dengan matlamat utamanya adalah untuk mengumpul pelajar-pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang rendah termasuk P* dan P1. Melalui program ini adalah diharapkan semua peserta akan mendapat motivasi baru dalam meneruskan perjuangan mereka di universiti APEX ini di samping membantu mereka merangka perancangan dan tindakan yang sepatutnya sebagai warga akademia USM.
3. Sementara itu, TNC HEPP Prof. Omar Osman yang dijemput khas sebagai motivator turut melahirkan ucapan terima kasihnya di atas usaha MPP menjayakan program ini. Menurut beliau program yang julung kali diadakan secara terbuka kepada warga kampus ini boleh dijadikan platform kepada BHEPP dan unit-unit yang bertanggungjawab dalam hal ehwal akademik pelajar USM untuk mendekati pelajar yang bermasalah dalam pelajaran mereka.

4. YDP MPP USM pula ketika dihubungi turut menyatakan kesediaannya untuk membantu para pelajar USM terutamanya generasi pertama APEX menempuhi cabaran sebagai mahasiswa di USM. Bagi beliau, program yang dianjurkan ini adalah salah satu contoh usaha berterusan pihak MPP dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa. Ia juga adalah rentetan program Pecutan Terakhir yang diadakan pada semester lepas.
5. Beliau juga percaya sekiranya cuaca baik dan masa yang sesuai, program ini akan mendapat sambutan yang lebih baik seperti pada program Pecutan Terakhir. Walau bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dan mengucapkan terima kasih kepada para pelajar yang melapangkan masa mereka hadir ke program kali ini.
6. Bagi pihak kami, tahniah dan terima kasih kepada MPP USM. Teruskan usaha anda memimpin mahasiswa USM ke arah kecemerlangan bersama aspirasi universiti ini.
Aspirasi - Dedikasi Bukan Manipulasi
Tuesday, January 5, 2010
Mutu Jalur Lebar Rendah, PPKT Janji Atasi Segera
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
1. Ketika ini, rata-rata pelajar USM sedang berhadapan dengan masalah untuk mengakses laman-laman sesawang di internet kerana mutu perkhidmatan jalur lebar USMHotspot yang rendah. Perkara ini dikesani berlaku sebaik semester baru bermula kira-kira seminggu yang lepas.
2. Oleh itu MPP USM melalui biro yang terbabit telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab iaitu PPKT berhubung kesulitan ini. Hasil kunjungan yang dilakukan, satu penjelasan telah diberikan iaitu perkhidmatan jalur lebar USMHotspot sedang dinaiktaraf ketika ini dan dijangka akan selesai dalam masa terdekat.
3. Selain itu, satu mesyuarat di peringkat pengurusan telah diadakan pada petang tadi bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung kesulitan ini. Kenyataan rasmi juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat sekali gus mampu merungkai rungutan daripada para pelajar.
4. Pro-Aspirasi USM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MPP terbabit di atas peranan yang dimainkan. Pihak kami percaya internet merupakan antara keperluan utama kita semua dan sentiasa mengharapkan mutu perkhidmatan yang terbaik setiap masa.
5. Pro-Aspirasi juga tidak akan jemu membawa isu ini ke peringkat pengurusan melalui saluran yang betul dan kaedah yang toleran dengan keadaan kampus. Sejak sekian lama Pro-Aspirasi sentiasa meletakkan isu jalur lebar sebagai prioritas dalam perjuangan membela hak dan kebajikan pelajar USM. Hasilnya hari ini kita mampu menikmati akses internet yang memuaskan walaupun sering kali juga terganggu atas sebab-sebab teknikal.
6. Justeru kami menyeru rakan-rakan mahasiswa sekalian agar dapat bersabar dan berhemah dalam menangani isu ini. Kita seharusnya bersyukur kerana kedudukan kita di USM yang jauh lebih baik berbanding di IPTA lain dan yang lebih penting, kebajikan kita sentiasa diberikan perhatian oleh pihak pengurusan. Pesan kami kepada anda, bersyukurlah dengan nikmat ini dan jadilah warga yang bijak dan matang setiap masa.
Toleransi, Rasional, Realistik.
Saturday, January 2, 2010
Isu Herald - YDP PMI Diminta Nyatakan Pendirian
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
1.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusan penghakimannya telah memutuskan untuk membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan tabloid Herald. Keputusan terputus dibuat selepas hakim Datuk Lau Bee Lan mengambil kira kedudukan Artikel 11 yang dianggap membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam asalkan bukan bertujuan untuk berdakwah terhadap orang Islam di negara ini.
2. Laporan daripada BERNAMA juga memetik Datuk Lau Bee Lan sebagai berkata bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah semasa mengenakan larangan terhadap tabloid mingguan Katholik itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
3. Isu ini mula diperkatakan sejak tahun 2007 apabila tabloid tersebut telah dengan sengaja menerbitkan artikel yang mengandungi nama Allah sehingga mencetuskan kekeliruan dan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
4. Walau bagaimanapun, beberapa pihak khususnya daripada kalangan cerdik pandai agama telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bercanggah-canggah sehingga menambahkan lagi kekeliruan umum termasuk mahasiswa. Lebih parah apabila Ahli Parlimen (PAS) Shah Alam Khalid Samad dan beberapa pemimpin pembangkang yang lain telah menyokong Herald.
4. Bagi umat Islam isu ini adalah sensitif kerana melibatkan kesucian Allaw swt sebagai Tuhan Yang Esa. Umat Islam diwajibkan beriman kepada Allah swt dan menafikan kewujudan zat yang lain selain dari-Nya.
5. Pro-Aspirasi USM juga memandang berat isu ini dan berharap ia akan diselesaikan dengan sebaik mungkin.
6. Kami juga meminta supaya YDP PMI USM dapat menjelaskan pendirian beliau berhubung isu ini kepada mahasiswa. PMI sebagai sebuah badan dakwah dan mempunyai jemaah yang lantang di USM perlu tampil menjelaskan kedudukan perkara ini dari sudut ilmiah dan bukannya turut berpolitik tentang isu tersebut.
Tahniah Ustaz Hj Elias Zakaria
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
1. Pro-Aspirasi USM mengambil ruang dan kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Ustaz Hj Elias Zakaria di atas perlantikan beliau sebagai yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang berkuat kuasa esok (hari ini, 2hb Janurai 2009).
2. Perlantikan beliau harus dilihat sebagai satu lagi pengiktirafan dan penghormatan terhadap kemampuannya untuk memimpin organisasi tersebut. Berita ini juga pastinya akan menaikkan lagi imej USM sebagai sebuah institusi yang melahirkan pemimpin, sesuai dengan motto Kami Memimpin yang menjadi sumber aspirasi kita selama ini.
3. Pada masa yang sama juga, pengumuman tersebut telah mendapat perhatian yang meluas daripada blogger nasional. Hal ini demikian kerana, isu jawatan YDP MAIPP pernah satu ketika telah dipolitikkan oleh pihak tertentu sehingga menjadi gula-gula semasa kempen pilihan raya di Permatang Pasir baru-baru ini.
4. Mantan TPM DS Anwar Ibrahim yang kini mengetuai pembangkang di Parlimen pernah menjanjikan perlantikan calon PAS yang bertanding di Permatang Pasir ke jawatan tersebut sekiranya menang dalam pemilihan yang diadakan. Namun ternyata ia hanyalah janji yang dipolitikkan untuk menarik sokongan pengundi semata-mata.
5. Ironinya, perlantikan Hj Elias secara langsung telah membuka satu lagi pembohongan Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat kepada rakyat. Kemenangan calon PAS gagal diterjemahkan kepada janji tersebut. Untuk makluman, Hj Elias telah pun dicadangkan sebagai bakal YDP MAIPP lebih awal oleh Kerajaan Negeri sendiri termasuk daripada pihak pembangkang di DUN PP iaitu UMNO dan BN.
6. Kepada Hj Elias, kami mengucapkan tahniah sekali lagi dan selamat bertugas.