Wednesday, February 3, 2010

Tahniah Wafi, Komander Baru Mahasiswa USM

Saudara Ahmad Wafi Shahedan, YDP MPP USM 2009/10


Rasanya belum terlambat untuk AC mengucapkan sekalung tahniah kepada Saudara Ahmad Wafi yang telah dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM bagi sidang akademik 2009/10.

Pemilihan beliau pada AC adalah sangat bertepatan dengan kredibilitinya sebagai seorang mahasiswa yang proaktif baik di dalam kampus mahupun di peringkat yang lebih tinggi. Ahmad Wafi atau lebih mesra dengan panggilan Wafi merupakan anak Pulau Pinang yang pernah menuntut di Malay Collegue Kuala Kangsar (MCKK), kilang yang melahirkan sekian banyak pemimpin negara sejak dahulu hingga ke hari ini.

Keupayaan beliau juga tidak harus dilihat kepada latar belakang akademik semata-mata. Wafi sendiri sebenarnya telah membentuk imej yang meyakinkan sebagai Exco MPP sewaktu di bawah kepimpinan cemerlang Saudara Mohammad Shafiq pada sidang 2008/09. Justeru tidak hairanlah jika beliau dipilih dan kemudian dilantik sebagai YDP yang baru.

Wafi juga wajar dilihat sebagai penerus tradisi cemerlang MPP USM selama ini. Sebagai YDP, tugasnya sememangnya mencabar lebih-lebih lagi dalam beliau memimpin bukan sahaja MPP tetapi seluruh mahasiswa USM untuk tempoh setahun mendatang. Beliau juga memikul bertanggungjawab yang berat untuk membina persepsi yang lebih cemerlang terhadap mahasiswa USM di mata dunia.

AC mengambil kesempatan ini menyeru rakan-rakan semua supaya tidak lekas membandingkan Wafi dengan barisan YDP sebelum ini. Masa untuk Wafi sememangnya masih panjang sementara jalan yang sedia menanti untuk beliau dan rakan-rakan yang lain masih berliku di hadapan. Justeru kita haruslah menyokong beliau dan rakan-rakan supaya tidak tersasar dari arah yang sebenar.

Selamat berjuang Tuan Komander!!!



Masa Untuk Berkerja

Barisan MPP 2009/10 selepas keputusan penuh Pemilihan MPP diumumkan baru-baru ini.

Sesi pemilihan MPP baru sudah pun selesai. Barisan MPP juga sudah dibentuk dengan Saudara Ahmad Wafi dilantik sebulat suara dari kalangan ahli MPP yang menang sebagai Yang DiPertua yang baru. Kini masanya untuk mereka buktikan kemampuan masing-masing sebagai perwakilan pelajar di peringkat tertinggi universiti. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada mereka semua.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, pemilihan kali ini telah membuka lembaran baru dalam politik kampus. Antara yang paling heboh ketika ini ialah, MPP kali ini tidak akan mampu lagi berfungsi dengan seimbang kerana ketiadaan ‘suara kiri’ yang boleh berperanan sebagai check and ballence kepada kepimpinan yang dibentuk bagi sidang 2009/10.

Apa asasnya? Mudah, kerana tiada wakil dari Pro-Mahasiswa yang menang dalam pemilihan lalu. Dua calon bebas yang menang pula telah mengishtiharkan tidak menyokong mana-mana pihak. Kalau pun mereka berorientasikan haluan kiri, mampukah mereka berperanan sebagai pembangkang dengan komposisi yang begitu kecil?

Jelas sekali, tanggapan begini agak menyimpang dari konsep MPP yang sebenar. Setelah dibentuk, MPP sebenarnya perlu bergerak sebagai satu organisasi struktural yang mempunyai aliran autoriti tertentu secara bersama dan seimbang. Semua ahli MPP mempunyai bidang tugas masing-masing. Justeru, setiap bahagian atau biro adalah saling melengkapi, dan jika wujud pihak yang asyik menentang dan sebagainya, maka pincanglah organisasi tersebut.

Setelah dibentuk MPP juga, soal ideologi atau ‘orientasi politik’ sewajarnya diketepikan. Sebaliknya, semua MPP harus menumpukan perhatian kepada peranan masing-masing di samping cuba memastikan manifesto yang digunakan semasa kempen dibincangkan bersama untuk tindakan lanjut. Tidak harus berlaku ahli MPP bergerak sendirian setelah menang.

Apa yang berlaku dalam MPP sebelum-sebelum ini haruslah diambil sebagai iktibar. Jangan kerana berbeza pendapat maka ahli MPP tertentu tidak lagi datang mesyuarat ataupun menyertai program yang dianjurkan oleh MPP sendiri. Hal ini seolah-olah mengkhianati perjuangan sendiri dan juga amanah pengundi yang telah menggantungkan harapan di leher calon pilihan mereka.

Apa-apa pun, sekarang adalah masa kepada saf kepimpinan Saudara Ahmad Wafi untuk berkerja. Selamat maju jaya.



Wednesday, January 27, 2010

Calon Pro Aspirasi Disabotaj?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apa yang dirisaukan selama ini telah pun berlaku semalam. Perang poster dan kain rentang memang benar-benar berlaku kali ini di Kampus Induk USM sepanjang tempoh berkempen bagi memilih kepimpinan baru MPP sidang 2009/10.

Semalam, ia benar-benar menjadi medan perang apabila beberapa helai rentangtelah dikoyakkan begitu juga dengan poster-poster yang dipasang melibatkan calon-calon yang pro aspirasi. Soalnya, siapakah yang begitu tergamak melakukan provokasi tersebut?




Kain rentang calon yang dipasang di hentian bas berhadapan Pusat Budaya yang telah direnyukkan. Siapa punya angkara?


Kain rentang calon yang pro aspirasi universiti, Saudara Kelvin telah dikoyakkan dengan menggunakan alat tajam. Sebahagian daripada kain rentang tersebut telah hilang.


Jika dilihat kepada kedudukan semasa, calon-calon Pro Mahasiswa jelas sekali cukup tertekan khususnya bagi calon konstituensi umum mereka kerana dihimpit dengan pelbagai hujah daripada pihak pro aspirasi sewaktu sesi rapat umum semalam.

Selain itu, kedudukan mereka juga jauh tertinggal selepas gagal menghantar wakil bagi kebanyakan kerusi pusat pengajian sekali gus memberikan kemenangan mudah kepada calon yang pro aspirasi universiti.

Selesai proses penamaan calon pada hari Isnin lalu, calon-calon yang pro aspirasi universiti telah pun menang di 11 pusat pengajian termasuk 7 di Kampus Kejuruteraan, sekali gus membolehkan 24 daripada 39 kerusi dikuasai oleh pro aspirasi sebelum sesi pemilihan diadakan pada 28hb Januari ini (esok).



Kain rentang calon pro aspirasi universiti, Saudara Abel Benjamin turut menjadi mangsa. Kain rentang ini dipasang berhadapan Pusat Pengajian Fizik tidak jauh dari lokasi markas Pro-Mahasiswa di Pusat Pengajian Teknologi Industri.


Sementara itu, bagi kerusi umum pula, Pro-Mahasiswa hanya menghantar lima wakil untuk bertanding di enam buah kerusi yang diperuntukkan. Persatuan Mahasiswa Islam dilihat mendominasi kem Pro-Mahasiswa apabila menghantar 3 orang calon wanitanya bagi kerusi umum bagi menentang calon-calon yang pro aspirasi universiti.

Berdasarkan kedudukan ini, maka jelas sekali Pro-Mahasiswa yang ditunjangi SPF dan PMI cukup tertekan bagi menghadapi kempen kali ini. Aspirasi Corner bukanlah hendak mempertikaikan strategi mereka kerana bagi sesetengah orang, mengoyak banner juga adalah strategi kempen, namun ia seharusnya tidak berlaku di sini.



Kain rentang calon pilihan yang pro aspirasi universiti, Saudara Kelvin paling banyak dikoyakkan. Adakah wujud dendam yang mendalam terhadap calon ini daripada pihak tertentu? Jika ditelitikan, modus operandi 'mereka' hampir sama iaitu mensasarkan calon-calon yang dilihat mampu menggugat calon pelajar SPF dari Pro-Mahasiswa.


Pada kami, ia hanya dilakukan oleh pihak yang tertekan. Adalah mustahil atau tak masuk akal untuk mendakwa pro aspirasi yang melakukan provokasi tersebut. Kebanyakan banner yang dikoyakkan melibatkan calon Cina yang pro aspirasi universiti. Jadi, siapakah yang berdendam kepada mereka ini? Mungkin SPF? Selama ini pun, SPF yang paling agresif berkempen. Tidak mustahil jika juga ia dilakukan oleh mereka.

Harapan kami, PMI bolehlah menasihati ‘sahabat’ mereka supaya mengamalkan nilai-nilai yang murni sewaktu berkempen, insya-Allah.


Tuesday, January 26, 2010

Warga IPTA digesa keluar mengundi

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Para mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) digesa menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada pilihan raya kampus masing-masing.


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dihubungi Utusan Malaysiahari ini berkata, inilah masanya untuk warga IPTA berperanan memilih pemimpin mahasiswa sebelum melakukannya pada pilihan raya umum.


Beliau diminta mengulas mengenai pemilihan barisan pemimpin bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2009/2010 yang diadakan sejak minggu lalu dan bakal berakhir pada 28 Januari ini.


Mohamed Khaled berkata, pilihan raya kampus dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa sebagai calon pemimpin masa depan serta mengenal realiti pilihan raya yang sebenar.


Setakat ini empat IPTA telah melaksanakan pemilihan iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 17 Januari lalu sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 21 Januari.


Pemilihan MPP bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) pula akan dilakukan pada 26 Januari ini.


Sementara itu, mahasiswa di tujuh universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 28 Januari ini.


Dipetik daripada Utusan Malaysia Online, 26hb Januari 2010