Saturday, August 6, 2011

Di Sebalik Tanda Hati..

Ternyata, logo yang digunapakai selama ini oleh PPSL rupa-rupanya menimbulkan kegelisahan yang begitu mendalam bagi sesetengah orang. Kami tidak mahu menamakan siapa mereka, tetapi jika kenyataan ini dibaca, kami berharap dapat mengubah paradigma dan sudut pandang mereka terhadap tanda hati yang menjadi simbol PPSL ini.

Kami percaya bahawa kegelisahan itu timbul kerana rasa tidak puas hati akibat pemahaman yang salah terhadap maksud dan objektif penggunaan logo ini yang kononnya berunsurkan politik. Inilah padahnya jika kalbu dipenuhi syak wasangka. Ia akhirnya menjadi barah dan sukar dirawat jika terus dibiarkan menguasai diri.

Untuk makluman pihak terbabit, logo PPSL tidak dihasilkan untuk meracuni minda sesiapa samada dalam bentuk ideologi tersirat mahupun tersurat hingga boleh ‘mengancam’ pihak-pihak tertentu. Logo ini mengambil tanda hati sebagai simbol utamanya kerana ia merupakan simbolisme terhadap kesungguhan sekumpulan pelajar menjunjung aspirasi universiti seperti yang terkandung dalam misi dan visi USM.

Sejarahnya bermula kira-kira tiga atau empat tahun yang lalu apabila seorang pelajar menyahut seruan rakan-rakannya dalam PPMS (Pembimbing Pelajar Minggu Suai Kenal sebelum diubah secara rasmi kepada Pembantu Program Siswa Lestari atau PPSL), untuk menghasilkan sebuah tanda pengenalan yang boleh mewakili organisasi tersebut.

Kenapa pelajar itu yang dipilih? Jawapannya mudah, kerana beliau merupakan seorang yang mahir dalam aplikasi terbabit. Adakah itu menjadi kesalahan? Atas usaha dan penat lelahnya maka terhasillah logo tersebut. Ia kemudiannya dipersetujui dan diluluskan oleh pihak universiti untuk digunakan secara rasmi termasuk dicetak pada jaket dan baju korporat PPMS dan PPSL.

Tanda hati dipilih kerana ia melambangkan rasa sayang dan cinta yang mendalam terhadap universiti. Ia juga mewakili suatu intuisi perasaan yang tulus untuk berkhidmat dalam apa jua keadaan dan tekanan ketika berhadapan ribuan mahasiswa-mahasiswi baharu sepanjang minggu orientasi berlangsung. Bahkan, jasa bakti PPSL masih ditagih walaupun selepas tamat minggu orientasi tersebut. Adakah ini juga mahu dipandang remeh?

Semua ini tidak mampu dilangsaikan jika tiada kesanggupan untuk berkorban masa dan tenaga dengan penuh ikhlas melalui kerja kuat tanpa mengharapkan apa-apa balasan material. Tetapi PPSL telah membuktikan mereka mempunyai kualiti tersebut yang terangkum dalam tiga prinsip utamanya iaitu ikhlas, kerja kuat dan kesukarelawanan. Adakah pihak yang mempersoalkan hal ini mampu melakukan lebih baik daripadanya? Jawapannya, belum tentu.

Setiap PPSL yang ditauliahkan perlu memahami rasional penggunaan logo ini dan tidak terpengaruh dengan adu domba yang dimainkan oleh segelintir pelajar tersebut. Kami percaya, mereka lebih memikirkan ancaman terhadap politik kampus kumpulan yang diwakili berbanding memikirkan sumbangan yang diberikan oleh PPSL itu sendiri terhadap universiti. Bagi kami, pemikiran sebegini amat merugikan kerana ia wujud daripada salah faham dan prasangka semata-mata.

Tidak perlu rasanya kami menceritakan setiap pengorbanan yang dilalui oleh PPSL termasuk berkorban cuti dan wang ringgit sendiri. Tidak perlu juga rasanya kami menitipkan setiap ucapan terima kasih yang dikalungkan oleh ibu bapa setiap kali menerima pertolongan yang dihulurkan oleh PPSL. Malah, tak perlu langsung kami mengisahkan betapa terharunya perasaan di hati setiap mereka yang bergelar PPSL apabila melihat adik-adik mahasiswa dan mahasiswi baharu tersenyum hingga menitiskan air mata setelah melafazkan ikrar menjadi warga kampus yang sah.

Kami hanya ingin menyampaikan mesej ini kepada pihak yang berkenaan, sesungguhnya, hanya kami yang memahami dan layak bercakap soal tanda hati ini. Anda duduklah diam-diam di rumah, berbahagialah dengan cuti panjang yang dikurniakan oleh Tuhan itu. Izinkan kami berkhidmat dengan tenang untuk universiti tercinta.

PPSL – Kini dan Selamanya – Di Hati.

Friday, July 8, 2011

Antara sains, sains sosial dan kalbu

Oleh MUHAMMAD SYUKRI SALLEH



PROFESOR DR. MUHAMMAD SYUKRI SALLEH ialah Pengarah, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.


KONGRES pertama Majlis Profesor Negara (MPN) pada 6 hingga 8 Julai agak menghiburkan. Selain dari berpeluang berjumpa teman-teman lama dan baru dari seluruh universiti di Malaysia, pembentangan dan wacananya boleh menjadi makanan fikiran yang agak menarik.


Misalnya, dalam Plenari I dan II yang masing-masing disampaikan oleh Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dan Timbalan Pengerusi MPN Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, ada sekurang-kurangnya empat perkara yang telah ditimbulkan.


Pertama, ahli-ahli MPN beraliran sains tabii perlu menggunakan kepakaran masing-masing seboleh-bolehnya untuk membantu negara mengatasi masalah yang berkaitan sains dan teknologi. Ini ditimbulkan oleh Profesor Zakri ketika menyampaikan ucapan bertajuk Ilmu Mentransformasikan Negara: Perspektif Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Plenari I.


Kedua, dalam mentransformasikan negara, sains sosial tidak boleh diketepikan, malah jika sains tabii menjadi hardware, maka sains sosial pula adalah softwarenya. Ini dikemukakan oleh Profesor Shamsul Amri ketika menyampaikan ucapan yang diubahsuaikan sedikit dari tajuk asal Ilmu Mentransformasikan Negara: Perpektif Sains Kemanusiaan dalam Plenari II.


Ketiga, sains sosial diakui sangat penting berganding dengan tabii dalam mentransformasikan negara. Tetapi ia tidak boleh berganding secara perkotakan (compartmentalized). Sebaliknya kedua-duanya mesti bergabung dalam satu paradigma agar ia menjadi ilmu yang holistik. Ini disarankan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Profesor Dzulkifli Abdul Razak ketika memberi reaksi kepada intipati kedua-dua ucapan Plenari.


Keempat, ilmu transformasi perlu mengambil kira kalbu sebagai salah satu perkara penting dalam mentransformasikan negara. Jika sains dan teknologi menjadi hardware dan sains sosial menjadi software, maka kalbu perlu menjadi heartware agar dengan itu ilmu transformasi menjadi lebih lengkap. Ini dikemukakan oleh moderator Plenari II Tan Sri Profesor Dr. Muhammad Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Selain daripada mengikuti hujah tentang keempat-empat perkara ini, saya juga cuba belajar bagaimana seni penghujahan mereka. Misalnya, sebagai profesor dalam bidang sains yang prihatin dengan masalah persekitaran, Profesor Zakri tentulah logiknya patut menonjolkan keperluan sains dan teknologi dalam mentransformasikan negara.


Begitulah juga dengan Profesor Shamsul Amri. Beliau seorang aktivis sains sosial yang aktif cuba menyedarkan khalayak akan betapa perlunya sains sosial dalam usaha mentransformasikan negara. Beliau kini sedang giat cuba menubuhkan Akademi Sains Sosial, seperti juga Akademi Sains yang sudah sedia ada.


Oleh kerana kedua-dua Profesor Zakri dan Profesor Shamsul Amri bercakap atas dasar kepakaran dan minat masing-masing, maka sekali lalu ia nampak terpisah dan mungkin bercanggah. Masing-masing nampak cuba memperjuangkan bidang masing-masing. Para profesor lain yang menyertai Kongres ini juga barangkali menyokong kedua mereka berdasarkan bidang masing-masing juga.


Namun begitu, Profesor Dzulkifli, walaupun dari bidang sains, cuba membina jambatan antara kedua-dua golongan itu. Beliau mengatakan bahawa gandingan antara sains tabii dan sains sosial tidak boleh dilakukan secara terpisah. Ia mesti bergabung dalam bentuk satu ilmu supaya ia menjadi lebih holistik. Saranan sebegini dibincangkan dengan terperinci dalam Syarahan Utama pada hari kedua Kongres oleh Profesor Dr. Nay Htun dengan tajuk Bridging the Natural Sciences and Social Sciences.


Saya pada mulanya menjangka isu ilmu transformasi ini sudah cukup dengan menggabungkan kedua-dua ilmu sains tabii dan sains sosial ini dalam satu paradigma. Tetapi jangkaan saya itu ternyata meleset.


Ketika menutup Plenari II, Profesor Muhammad Kamal sebagai moderator menimbulkan satu lagi dimensi ilmu yang perlu ada dalam mentransformasikan negara. Ilmu tersebut ialah ilmu kalbu. Baginya tidak cukup sekiranya ilmu transformasi ini hanya mempunyai hardware dansoftware sahaja. Ia juga memerlukan heartware, kesedaran terhadap peranan hati.


Yang menarik bagi saya sebenarnya bukan sahaja isi hujahnya, tetapi juga bagaimana beliau menyampaikan hujah. Saya yakin beliau menyedari akan kepelbagaian fikiran para profesor dalam Kongres ini, ada yang suka kepada agama dan ada juga yang tidak suka.


Dalam keadaan sedemikian, Profesor Muhammad Kamal memulakan hujah dengan membaca petikan daripada Francis Fukuyama, seorang pemikir yang terkenal melalui bukunya, The End of History. Kemudian beliau membaca petikan tulisan Profesor Shamsul Amri sendiri yang juga menyarankan tentang perlunya nilai-nilai yang baik dalam mentransformasikan sosial.


Setelah mempunyai asas hujah yang kuat begini, barulah beliau menyampaikan tentang kalbu. Ertinya beliau menyampaikan hujah tentang kalbu yang kena mengena dengan agama setelah mengasaskan dahulu justifikasi keperluannya berlandaskan hujah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh yang tidak menggunakan perspektif agama, terutama hujah penyampai Plenari itu sendiri.


Bukan itu sahaja. Beliau juga menyampaikan hujah dengan lembut dan tawaduk. Saya tahu Profesor Muhammad Kamal berpegang kepada hakikat bahawa kalbu mestilah menjadi tunjang kepada ilmu transformasi. Namun begitu beliau dengan penuh kompromi mengatakan tidak mengapa jika ilmu kalbu ini diletak bersama dengan ilmu sains tabii dan sains sosial dalam satu kotak, atau dianggap sebagai ilmu tambahan kepada ilmu sains tabii dan ilmu sains sosial ini.


Hujah Profesor Muhammad Kamal ini sama ada secara langsung atau tidak diperkuatkan lagi dengan hujah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajukMentransformasi Negara Melangkaui 2020 pada sebelah petangnya.


Tun Mahathir berkali-kali menekankan bahawa selepas negara menjadi maju, persoalan moral mesti ditekankan sungguh-sungguh agar kemajuan tidak mewujudkan nilai-nilai yang tidak baik sebagaimana telah banyak muncul sekarang. Moral itu pastinya berkait rapat dengan kalbu yang ditimbulkan Profesor Muhammad Kamal.


Apa yang saya kurang faham ialah kenapa baru sekarang Tun Mahathir menekankan tentang moral, setelah Wawasan 2020 itu sendiri mula melahirkan nilai-nilai yang tidak baik dan tidak bermoral. Kenapa beliau tidak menekankan sekali gus tentang persoalan moral dan nilai-nilai baik ini ketika beliau memperkenalkan Wawasan 2020 dahulu lagi?


Saya bagaimanapun bersyukur kerana arkitek Wawasan 2020 itu sendiri menyedari hakikat ini sekarang. Beliau telah menyuarakannya dengan jelas agar Wawasan 2020 tidak terus menghakis moral dan nilai-nilai baik. Dalam hujah-hujah yang cukup meyakin dan menghiburkan, Tun Mahathir telah mempamerkan kesedaran yang sungguh-sungguh tentang kesan Wawasan 2020 dan cuba memperbaikinya mengikut kapasiti yang ada padanya sekarang.


Ringkasnya, saya bukan sahaja mendapat beberapa ilmu baru daripada Kongres Profesor Negara ini, tetapi juga belajar tentang seni menyampaikan hujah, terutamanya dari Profesor Muhammad Kamal. Tanpa seni berhujah, walau bagaimana baik sekali pun pemikiran yang kita kemukakan, sukar orang menerimanya. Itulah yang saya sering hadapi dan cuba terus belajar. Cuma saya cukup berharap apa yang saya pelajari di Kongres Profesor Negara ini bukanlah merupakan jimnastik dan makanan akal semata-mata. Ia juga akan diikuti dengan praktis oleh semua yang bertanggungjawab.


Sempena Kongres Pertama Majlis Profesor Negara (MPN) 2011.

* Artikel yang sama boleh ditemui dalam Utusan Malaysia, 8 Julai 2011.

Sunday, March 20, 2011

Rekod Cerdik USM

Hening pagi di bumi Minden tak lagi seperti biasa. Sejak dua hari yang lalu, burung-burung dan kawanan cengkerik seakan tewas dan akur. Tewas kepada ‘kegilaan’ sekumpulan anak muda bergelar mahasiswa USM mencipta rekod baru baca puisi terpanjang di Malaysia, dan akur dengan kesungguhan dalam mereka membuktikan bahawa warga USM tidak pernah lesu menukilkan kelainan dalam jagat varsiti ini.

Sejurus membuka gelanggangnya pada Jumaat yang lalu, majlis baca puisi yang bertemakan “Sahabat Selamanya” ini terus meriah dengan para peserta bersilih ganti mengemudi kembara puitis tersebut bagi mencatatkan rekod 72 jam tanpa henti, yang pertama seumpamanya di negara ini. Untuk rekod, sebelum ini Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pernah menganjurkan Ratib Seribu Syair yang juga memakan masa lebih tiga hari tiga malam.

Justeru kami ingin mengambil peluang ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh tenaga kerja yang menjayakan program ini. Harapan kami juga tinggi, sama seperti anda semua, ingin melihat acara yang julung-julung kali diadakan ini dipahatkan dalam Malaysia Book of Records sekali gus mengharumkan nama universiti tercinta ini.

Kami juga senada dengan pendapat Siti Jarum dalam ruangan Hiburan Pancaindera minggu lepas yang memuji usaha Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan dan penganjur bersama yang lain sebagai satu program yang cerdik dan lain dari kebiasaan. Bagi kami, program ini jelas sekali berpaksikan kecerdikan dan keintelektualan, dengan hasrat yang cukup besar melangkaui batas sempadan negara dan rumpun bangsa.

Jika kita imbas semula, begitu banyak rekod telah dimuatkan dalam catatan negara tetapi adakah semuanya atau sebahagian besar daripada rekod-rekod tersebut mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan untuk suatu tempoh yang lama?

Kita biasa mendengar rekod menghasilkan kain rentang terpanjang, menyusun syiling, buku dan sebagainya menjadi bangunan atau logo tertentu, malah, menumbuk sambal cili terpanjang juga pernah ‘dijayakan’ oleh rakyat negara ini. Tetapi sejauh manakah acara-acara sedemikian mampu meninggalkan impak yang tinggi terhadap masyarakat dan item yang direkodkan itu sendiri? Kami percaya pada akhirnya, ia hanya kekal sebagai suatu rekod syok sendiri sahaja.

Bukanlah kami hendak mendabik dada dengan usaha rakan-rakan kita ini, tetapi kami yakin, tidak salah untuk kita berbangga dengan kebolehan warga kampus USM mencipta kelainan. Kami bahkan melihat acara ini sebagai suatu indikator baru dalam kita mengobarkan pandangan, suara dan harapan sejagat dengan cara yang aman dan harmoni. Inilah ruang alternatif untuk kita bersuara sebenarnya!

Justeru kami menyeru sahabat semua khususnya warga USM kampus induk untuk turun beramai-ramai memeriahkan acara ini di samping menyokong rekod cerdik ini dijayakan. Masa masih panjang. Ketika kami menulis artikel ini, kembara puisi Sahabat Selamanya baru sahaja melepasi 40 jam yang awal. Dengan baki kurang 30 jam lagi, kami percaya semua yang terlibat akan lebih bersemangat dan berdebar-debar menantikan detikan jam yang ke 72 sekali gus dipahatkan dalam Malaysia Book of Records!

Go USM!

Monday, March 7, 2011

Menaakul Kecaknaan Mahasiswa Terhadap AUKU [Bahagian 1]

Imej : Sekumpulan pelajar Pro-M USM yang berdemonstrasi di Jalan Sg. Dua berhadapan pintu pagar USM tidak lama dahulu.

Suatu hakikat yang tidak boleh digugah lagi ialah fakta bahawa sebahagian besar mahasiswa di kebanyakan institusi pengajian tinggi pada hari ini tidak ambil kisah dengan AUKU, atau lebih teruk, tidak tahu pun akan kewujudkan akta tersebut.

Walaupun perkara ini seharusnya dipandang serius kerana ia berkait rapat dengan hak-hak dan batasan sebagai seorang mahasiswa, tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana tidak ambil kisah dengan akta berkenaan. Hal ini demikian kerana, rata-rata mahasiswa hari ini sudah dipasak dengan persepsi paling asas berkaitan peranan asasi mereka apabila menjejakkan kaki ke alam kampus iaitu untuk belajar dan mengenggam segulung ijazah di hujung pengajian. Persepsi ini tidak dibina oleh persekitaran tetapi ia tumbuh sejak mereka mula melangkah keluar dari rumah masing-masing lagi.

Keadaan hanya berubah apabila mereka melihat peranan sebagai mahasiswa dari suatu jurus pandang yang berbeza berbanding persepsi awal tadi. Mereka mula mengenal apa itu AUKU apabila diberitahu oleh pihak-pihak tertentu dan menjadi semakin arif apabila terlibat secara langsung dalam diskusi atau perbincangan formal ataupun tidak formal berkenaan akta tersebut, tetapi itu tidak menjamin sejauh mana kefahaman mereka tentang AUKU akan terbentuk.

Pada tahap ini, akan wujud beberapa keadaan di mana kumpulan-kumpulan dengan pemahaman yang berbeza tentang AUKU akan saling bertindak balas. Ia berpunca daripada sumber dari mana mereka memahami perihal akta tersebut dan sejauh mana mereka memahami keseluruhan atau sebahagian daripada akta yang diaplikasikan di kebanyakan universiti dan kolej universiti itu.

Dalam bahagian pertama artikel ini, kami tidak akan berbicara tentang kerelevanan AUKU kerana ia merupakan tahap yang lebih tinggi dan memerlukan kupasan yang lebih ilmiah, tetapi fokus utama kami ialah kewujudan perbezaan aliran pemahaman dalam kalangan mahasiswa terhadap AUKU dan bagaimana mahasiswa yang masih tercari-cari sumber yang absah boleh turut serta dalam mana-mana kumpulan berkenaan.

Ia bukan lagi suatu hal yang perlu dibincangkan secara sembunyi-sembunyi kerana pada hari ini, kumpulan-kumpulan mahasiswa berkenaan sudah terbuka dan mampu berdiskusi dengan lebih konklusif malah pihak universiti juga tidak menetapkan sebarang larangan yang khusus terhadap sebarang diskusi berkenaan AUKU. Semuanya demi menjana kecaknaan mahasiswa terhadap akta ini yang turut diperdebatkan di peringkat tertinggi politik nasional. Justeru kami beranggapan bahawa adalah suatu yang merugikan jika kita tidak turut serta membincangkan akta ini.

Berbalik kepada fokus utama bahagian ini, kami ingin mengajak sahabat-sahabat semua melihat dari peringkat paling asas, iaitu bagaimanakah kumpulan-kumpulan yang menaakul AUKU ini boleh berbeza pandangan atau pendirian.

Kumpulan yang membentuk majoriti atau mewakili sebahagian besar mahasiswa sebenarnya ialah kelompok yang tidak kisah atau kurang peduli atau mungkin langsung tidak ambil tahu dengan akta tersebut. Ia suatu fakta yang sukar dinafikan walaupun belum ada bancian khusus berkenaan kewujudan kumpulan-kumpulan terbabit.

Kumpulan terbesar ini lahir atau wujud secara natural, iaitu atas sebab personal seperti tidak berminat, tidak mahu membebankan diri sendiri dengan isu-isu yang tidak berkaitan dengan pembelajaran, tidak suka ‘politik’ kerana beranggapan AUKU itu berkoheransi secara langsung dengan politik, tidak mahu membuang masa menyertai diskusi atau perdebatan di samping berasa selesa dengan persekitaran sedia ada seperti di USM ketika ini.

Kumpulan ini sebahagian besarnya merupakan kelompok mahasiswa yang sudah dipasak dengan persepsi bahawa AUKU tidak penting untuk diambil tahu oleh mereka. Walaupun sesetengah universiti atau IPT telah mengadakan sesi khas untuk menerangkan perihal AUKU dan lain-lain peraturan universiti atau kolej pada awal pengajian mereka, tetapi kumpulan pelajar ini selalunya hanya mengambil mudah akan peringatan tersebut kerana beranggapan bahawa mereka sudah pasti akan melakukan perkara-perkara yang sepatutnya sesuai dengan kehidupan di kampus, tidak akan melanggar peraturan atau menentang pihak universiti atau kerajaan secara terang-terangan. Tindakan menghindarkan diri inilah yang membentuk persepsi yang kekal dalam kalangan mereka sehingga tamat pengajian yang cuma berusia tiga hingga lima atau enam tahun tersebut.

Kumpulan kedua yang selalunya wujud ialah kumpulan yang faham sebahagian daripada AUKU terutamanya pada bahagian Perkara 15 yang menyentuh penglibatan mahasiswa dalam hal-hal politik kepartian, badan-badan bukan kerajaan, persatuan dan kelab dan sebagainya lagi yang memenuhi konotasi kebebasan bersuara dan hak asasi mahasiswa sebagai rakyat negara ini.

Kumpulan ini pada asasnya wujud setelah mereka diberitahu oleh sumber-sumber tertentu tentang ketidakrelevanan AUKU yang dianggap sebagai zalim dan mengekang kebebasan asasi para mahasiswa dan pada masa yang sama, mereka juga berusaha mencari sisi ‘negatif’ tersebut melalui pembacaan, perbincangan dan kajian berdasarkan kes-kes tertentu yang pernah berlaku di sesetengah IPT seperti insiden demonstrasi di USM pada tahun 2004 dan insiden ‘Rosmah Puaka’ di Universiti Malaya pada tahun lepas. Dari situlah mereka melihat AUKU sebagai zalim dan menindas sehingganya akhirnya persepsi tersebut menjadi ideologi atau pegangan yang dikongsi bersama dalam kalangan mereka.

Pada dasarnya kelompok atau kumpulan ini lebih cakna berbanding kelompok pertama kerana mereka berusaha memahami AUKU dan berjuang menuntut ia dihapuskan secara total. Kumpulan ini wujud di hampir kesemua IPT di negara ini dan menjadikan agenda menuntut penghapusan AUKU sebagai manifesto perjuangan mereka dalam jagat politik kampus. Kita dapat melihat dengan jelas agenda ini melalui perbincangan terbuka yang sering dianjurkan oleh meraka dan juga melalui wacana-wacana yang ditulis khas berkenaan AUKU. Suatu ciri khas kumpulan ini ialah mereka lebih vokal dan berani, malah sering memilih jalan demonstrasi bagi menyuarakan pendapat mereka.

Kelompok seterusnya ialah kumpulan mahasiswa yang faham AUKU terutamanya pada bahagian Perkara 15 tersebut tetapi mempunyai pandangan atau persepsi yang berbeza. Kumpulan ini mungkin juga memahami keseluruhan AUKU atau mungkin hanya pada bahagian Perkara 15, sama seperti kumpulan kedua tadi tetapi jurus pandang yang melingkari pemahaman mereka adalah berbeza secara total kerana melihat Perkara 15 sebagai penting dan relevan bagi mengekang pengaruh politik parti-parti di luar kampus ke dalam kampus. Namun kumpulan ini selalunya tidaklah terlalu vokal, lebih rasional dan sedia berdiskusi secara sederhana kerana mereka beranggapan ia bukanlah suatu isu yang perlu diperdebatkan.

Kumpulan ini juga melihat Perkara 15 sebagai penyelamat keharmonian kampus selepas menilai insiden-insiden yang pernah berlaku. Sama seperti kumpulan kedua tadi, kumpulan ini juga bersumberkan info-info yang disampaikan oleh pihak tertentu seperti Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) di samping penaakulan sendiri. Kumpulan ini pada masa yang sama juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa AUKU mengekang kebebasan bersuara mahasiswa kerana mereka melihat kebebasan tersebut wujud atau dipraktikkan dalam ruang yang lebih luas dan tidak hanya berkaitan politik semata-mata.

Namun begitu, kumpulan ketiga dan kedua ini masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kumpulan terakhir yang jumlahnya jauh lebih kecil. Kumpulan yang dimaksudkan ini merujuk kepada kelompok mahasiswa yang cakna dan faham keseluruhan akta tersebut dan tidak hanya memfokuskan perbincangan terhadap Perkara 15 sahaja. Kumpulan ini selalunya lebih rasional dan memilih jalan berkecuali setiap kali diasak dengan perdebatan berkenaan Perkara 15. Hal ini demikian kerana mereka melihat AUKU sebagai sebuah institusi perundangan peringkat universiti yang menyediakan garis panduan kepada mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka dan sebagai sebuah institusi perundangan yang sah, ia tidak boleh dilihat secara terpisah-pisah sebaliknya harus dibaca keseluruhan jika benar ia menzalimi mahasiswa.

Sebab utama kumpulan ini tidak mahu terbabit secara langsung dalam mana-mana perdebatan adalah kerana berasakan tindakan tersebut sebagai tidak matang dan terikut-ikut dengan emosi yang natijahnya tidak berkesudahan. Untuk mencapai tahap kefahaman secara komprehensif ini, seseorang haruslah membaca keseluruhan akta tersebut dan mempraktikkannya melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti-aktiviti membabitkan mahasiswa baik di dalam kampus mahupun di luar kampus. Hanya melalui penglibatan secara langsunglah mahasiswa mampu memahami secara keseluruhan AUKU terutamanya dalam hal kebebasan bersuara dan boleh berdiskusi dengan baik apabila ditanya berkenaan AUKU.

Justeru sebagai mahasiswa, kita haruslah berusaha mencari dan memilih sumber yang tepat untuk memahami kepentingan AUKU secara keseluruhan. Adalah suatu tindakan yang tidak matang jika kita hanya tahu bersorak kerana diminta tetapi tidak tahu kenapa atau untuk apa kita bersorak. Juga bukanlah mahasiswa jika kita hanya mampu mengikut kemahuan pihak-pihak tertentu tetapi tidak peka dengan keperluan kita sendiri di dalam kampus dan yang lebih penting, tidaklah digelarkan mahasiswa jika kita gagal membezakan perkara yang baik dan tidak baik serta perkara yang bermanfaat secara total dan perkara yang tidak memberikan manfaat langsung.

Dalam bahagian seterusnya artikel ini, kami akan mengupas pula beberapa isu berkaitan AUKU terutamanya yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi dan bagaimana mahasiswa khususnya di USM boleh memahami AUKU tanpa terpisah-pisah. Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang komen atau pandangan berhubung artikel ini sama ada yang menyokong atau sebaliknya. Ayuh kita raikan kebebasan bersuara cara kita! Hingga berjumpa lagi.

Friday, February 25, 2011

Konspirasi?

Pemilihan MPP/MPM seluruh IPTA sudah pun selesai. Daripada analisa kami, kumpulan pendokong aspirasi universiti masih kukuh kerana menguasai 17 buah universiti manakala kumpulan Pro-Mahasiswa pula hanya mampu menguasai 3 buah universiti di Lembah Klang.

Namun begitu, pemilihan kali ini ternyata amat menarik rentetan beberapa insiden yang telah berlaku di beberapa buah IPT. Kalau di USM, kejadian bakar kain rentang calon pendokong aspirasi universiti dianggap sebagai keterlaluan, suasana di Lembah Klang sebenarnya jauh lebih genting. Insiden usung keranda, calon hilang, demonstrasi 17 jam dan sebagainya lagi telah mewarnai pemilihan tahun ini.

Beberapa akhbar misalnya hari ini melaporkan ‘kehilangan’ kedua calon Pro-Mahasiswa Universiti Malaya walaupun selepas menang kerusi yang ditandingi. Kehilangan kedua ini menimbulkan lebih banyak misteri kerana mangsa sehingga kini belum membuat laporan polis berhubung kehilangan pertama, dan kini beliau hilang lagi ketika pihak universiti mahu mengambil keterangannya.

Konspirasi? Atau penganiayaan? Ramai antara kita barangkali belum tahu kedudukan sebenar calon berkenaan. Masturah, penuntut jurusan Sains Politik Syariah Islam di Akademi Pengajian Islam UM dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas membeli kad tambah nilai prabayar di Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam ketika berkempen untuk pilihan raya kampus.

Selepas 30 jam dikatakan hilang, pelajar itu ditemui semula di Masjid Teras Hernang, Bangi tengah malam Ahad lalu. Masturah kemudian muncul antara calon promahasiswa yang menang dalam pemilihan.

Apa yang menariknya ialah keputusan mangsa dan keluarganya yang tidak mahu melaporkan kehilangan beliau itu kepada pihak polis walaupun mengetahui bahaya yang mungkin boleh berlaku ke atas Masturah. Tindakan ibunya, seorang pemimpin kanan sebuah parti politik yang turun berkempen di UM untuk Masturah sepanjang kehilangan tersebut juga menimbulkan pelbagai andaian.

Banyak pihak yang melihat kes ini sebagai konspirasi kumpulan Pro-Mahasiswa sendiri untuk meraih undi simpati. Jika benar, maka memang berkesan strategi tersebut. Andaian ini menjadi semakin ketara kerana sepanjang 30 jam kehilangannya, ibu Masturah dan ahli keluarga yang lain kelihatan tenang dan sempat mengemaskini laman sosial masing-masing seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Masturah juga perlu menjelaskan bagaimana sebuah laman web yang dikendalikannya sendiri iaitu UMKini boleh menghantar emel kepada NetKL.com antara jam 4.15 petang, 19 Februari 2011 lalu. Dua kiriman emel telah dihantar pada jam 1.35 pagi dan 10.12 pagi pada 20hb Februari 2011 menggunakan alamat UMKini. Jika benar beliau hilang, bagaimana emel-emel tersebut boleh dihantar?

Andaian ini semakin kukuh apabila Masturah sekali lagi hilang apabila pihak UM ingin mendapatkan keterangan dan penjelasannya sendiri berhubung kehilangan pertamanya. Menurut kenyataan daripada pihak pentadbiran universiti, Masturah dikehendaki hadir memberikan keterangannya sebelum laporan polis dibuat pada hari ini. Adakah insiden kali ini juga boleh ditakrifkan sebagai ‘hilang’ atau ‘menghilangkan diri’? Hanya Masturah sahaja yang tahu.

Apa-apa pun, beliau sudah pun mendapat apa yang dihajatkan iaitu kuasa dan kedudukan sebagai MPM UM. Namun, jika strategi ‘hilang’ ini memang dirancang, ia jelas sekali suatu pengkhianatan ke atas demokrasi kampus dan seluruh mahasiswa di negara ini.