Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa....
Kebebasan merupakan impian setiap insan di muka bumi ini. Nilai kebebasan tidak mempunyai pengganti yang setanding dengannya. Sejarah perjuangan telah menunjukkan bahawa nilai kebebasan begitu sukar untuk disemai dalam diri manusia.. Benih perjuangan yang disemai pada hari ini belum tentu akan dapat dituai dan memerlukan masa yang panjang untuk menikmati hasilnya. Menelusuri sejarah perjuangan negara, dapatlah dilihat bhawa matlamat untuk mendapatkan kebebasan merupakan faktor utama dalam sesebuah perjuangan. Realitinya situasi pada hari ini, bukti kebebasan sudah terbukti di depan mata kita. Menikmati nilai kebebasan menyebabkan kita tidak pernah terfikir erti penjajahan. Generasi pada hari ini leka menikmati hasil benih perjuangan oleh generasi terdahulu. Keringat yang gugur semasa perjuangan menyebabkan pohon kebebasan menjadi semakin subur. Hukum putaran alam menunjukkan bahawa, setiap pohon yang subur pasti akan tumbang juga sekiranya tidak dijaga dengan baik..
Ketika pewaris bangsa sedang nyenyak menikmati kemmewahan dunia, seringkali mereka terlepas pandang akan ancaman daripada segenap ruang. Relakah kita melihat tangan- tangan barat menggoncang pohon kebebasan kita. Globalisasi pada hari ini menyebabkan banyak dakyah dan propaganda negatif telah disemai dalam jiwa generasi pasca merdeka. Memburkkan lagi keadaan apabila terdapat tangan- tangan ghaib daripada bangsa kita sendiri yang ingin merobohkan sejarah kebebasan bangsa. Mereka rela menepuk tangan dengan gembira apabila bangsa sendiri dilabel sebagai celaka. Sedih hati kita apabila menilai mentaliti generasi pasca merdeka. Sejarah keagungan bangsa menunjukkan bahawa tamadun mesir purba pernah runtuh akibat pengkianatan bangsa. Justeru itu , sedarlah wahai pewaris bangsa. Tidak guna berdemo untuk meluahkan rasa tidak suka. Hakikatnya negara kita mempunyai saluran dan caranya. Pertahankanlah kedaulatan bangsa.Wariskanlah negara kita kepada anak bangsa sebagai generasi merdeka.
Friday, August 29, 2014
Sunday, August 24, 2014
MERDEKA 57 SEMARAK SEMANGAT PATRIOTISME MAHASISWA @AspirasiUSM
Assalamualaikum Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.
Dalam menyusun langkah melewati susur masa, negara kita telah menerima pelbagai ujian getir. Antara peristiwa sukar yang dilalui seluruh rakyat Malaysia ialah tragedi kehilangan pesawat milik Malaysian Airlines (MAS) iaitu MH370. Lima bulan kemudian, satu lagi tragedi menimpa melibatkan pesawat yang juga milik MAS iaitu MH17. Tragedi ini sungguh memilu hati menuntun rasa kemanusiaan kita kerana pesawat tersebut adalah 'mangsa' pergolakan antara Ukraine dengan pihak pemberontak pro Rusia. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya. Dia jua yang Maha Mengetahui apa yang sebenar-benarnya berlaku terhadap kedua-dua buah pesawat terbabit.
Mari sejenak kita sedekahkan Al Fatihah kepada mangsa tragedi kedua-dua pesawat MH370 & MH17.
Pada bulan Ogos ini, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos, sudah menjadi kebiasaan saban tahun, hari tersebut akan dirai dengan kemeriahan. Namun, persoalan yang ingin AC lontarkan dan sebenarnya juga menjadi perkara yang ingin AC mahu pembaca melihat kembali. Apakah sebenarnya nilai dan erti kemerdekaan negara kepada kita?
Adakah kita menghayatinya? Adakah kita menginsafi setiap nikmat kebebasan, kemewahan, limpah rahmat yang ada kini? Adakah kita mengucap syukur setiap kali kita menghirup udara hasil daripada pengorbanan nenek moyang kita? Dan, masihkah ada sekelumit cinta/ sayang/ ingin berkorban untuk agama, bangsa dan Malaysia ini?
Ini hanya sebahagian daripada rasa pedih yang mencucuk-cucuk jiwa marhaen yang sayang pada agama, bangsa, dan negaranya.
![]() |
| Tema Kemerdekaan Malaysia yang ke-57 |
Mahasiswa merupakan golongan yang menerima pendidikan di tahap yang tinggi dan dihormati masyarakat. Seharusnya kita sudah matang untuk membuat pertimbangan dalam segala hal termasuklah mengasingkan sentimen. Dalam usaha untuk mencapai masyarakat yang seimbang dan harmoni, kita juga perlu berperanan untuk menyebarkan semangat patriotik berpaksikan perasaan sayang kepada negara dan juga bangsa. Mungkin ada yang berpendapat bahawa sayang kepada bangsa dan negara adalah 'rasis'. Namun hakikatnya tanpa kedua-duanya, kita sudah menolak jati diri kita yang sebenar. Lama-kelamaan, jika dibiarkan maka ia akan membarah dalam masyarakat dan akhirnya tiada generasi muda yang mahu memandang berat isu bangsa dan negara sendiri dek kerana begitu mahu 'bertoleransi' !
Justeru, dalam usaha kita memantapkan masyarakat dan negara, kita sudah muak dengan pemimpin pembangkang yang mempolitikkan agama dan bangsa yang akhirnya mereka tidak sedar, mereka tidak tahu, dan mereka tidak peduli bahawa mereka adalah 'kesilapan' dalam rencana ini. Misalnya kemelut Menteri Besar Selangor sudah pun menjadi pengajaran kepada penyokong-penyokong pembangkang. Pemimpin yang terbabit dalam isu MB Selangor bagai 'pemain' yang sedang berwayang kepada rakyat.
Mahasiswa kini sudah matang. Jika ada yang salah tidak kira pemerintah mahupun pembangkang, kita tampil untuk menyatakan kesalahan tersebut. Dengan rukun 'Rasional Toleransi Realistik', AC tegaskan bahawa kita bukanlah pihak yang sesetengahnya menganggap mudah untuk 'digula-gulakan' dan menurut secara semberono. Ini pendirian mahasiswa yang berilmu dan beramal dengan ilmunya.
Sesungguhnya kita sebagai rakyat pastinya mencintai negara dan bangsa seterusnya tidak mahu digolok gadaikan oleh pihak tertentu. Ambillah ibrah daripada setiap ujian yang Allah S.W.T beri kepada kita agar ianya menjadi anugerah kepada kita. Ingatlah sahabat-sahabatku, nikmat kemerdekaan ini sukar diraih kembali jika ianya telah diragut.
Mantapkan agama, bangsa, dan negara, julang semangat patriotisme.
#Di_Sini_Lahirnya_Sebuah_Cinta #Merdeka57 #BungaRaya #Malaysia
AC.
Wednesday, May 14, 2014
Umat Islam diancam fahaman humanrightisme – Najib
KUANTAN, 13 Mei – Agama Islam
dan umatnya kini diuji dengan satu bentuk ancaman dan serangan baharu yang
agresif iaitu fahaman humanrightisme yang mengagungkan kehendak dan nafsu
manusia semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fahaman itu
dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang amat pesat berkembang
di dalam dan luar negara.
“Fahaman humanrightisme ini, di
mana rambu dan rencah utamanya adalah berasaskan pemikiran humanisme dan
sekularisme serta liberalisme.
“Ia bersifat songsang apabila
mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem
nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila. Mereka lakukan ini kononnya
atas dasar memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-57 yang
diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah di sini malam
ini.
Turut hadir isteri perdana
menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob
dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib berkata pemikiran
songsang itu cuba dicerna dan disebarkan dengan mengaitkan kesucian agama Islam
dan ia merupakan ancaman yang amat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam
itu sendiri.
“Makanya pada hari ini sekali
lagi kita menegaskan bahawa agama Islam yang dianuti, yang diamalkan dan
dinobatkan sebagai agama negara (rasmi) di Malaysia adalah Islam yang
berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi
Muhammad dan sahabat baginda.
“Kita tidak akan reda dengan
sebarang tuntutan agar hak untuk murtad daripada Islam diberikan, atau hak umat
Islam ini dilaksanakan melalui Mahkamah Syariah dinafikan, mahupun sebarang
perilaku songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender),” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah
negara Islam yang memartabatkan Maqasid Syariah (pelaksanaan syariat mengikut
al-Quran dan Sunnah), Malaysia amat menitik-beratkan kebajikan setiap insan
tanpa mengira kaum dan warna kulit, bahasa dan agama.
Najib berkata keadilan,
keseimbangan dan kecemerlangan adalah ciri wasatiyyah atau kesederhanaan yang
digunakan untuk pelaksanaan hak asasi manusia di negara ini.
“Manakala pemahaman hak asasi
manusia yang ekstrem diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang,
perlembagaan dan nilai budaya bangsa.”
Perdana Menteri berkata,
pemahaman agama Islam yang sebenar dan menyeluruh menjadi asas kekuatan negara
dan rakyat harus berusaha memahami al-Quran mengikut pemahaman Nabi
Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kepada Allah
SWT serta persaudaraan erat sesama Islam.
“Oleh demikian, umat Islam
diingatkan supaya terus menghayati dan memahami secara mendalam bacaan ayat
suci al-Quran,” katanya.
Beliau berkata tema majlis tilawah kali ini “Wasatiyyah Tonggak
Kesatuan Ummah’ sesungguhnya berkait rapat dengan kesederhanaan yang dididik
dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sirahnya.
“Meneladani sunnahnya (Nabi
Muhammad SAW), maka telah sekian lamanya negara kita telah meletakkan
keharmonian dan keadilan serta kesatuan antara rakyat dan Malaysia sebagai
agenda utama negara.
“Ini sejajar dengan usaha kita
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif
dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,”
katanya. – BERNAMA
PERGOLAKAN POLITIK DUN TERENGGANU - ROBIN HOOD, TUAH DAN JEBAT
Oleh : Admin Kak Seri
Tidak semena-mena politik di
Terengganu berkocak. Bukan kocakan biasa-biasa. Ibarat tsunami jugalah kerana
berupaya merobohkan sebuah pemerintahan kerajaan negeri. Dalam amalan
demokrasi, ia biasa. Tapi dari sudut politik pentadbiran, ia agak mencemaskan.
Daripada mata kasar orang awam yang
mengikuti hal ehwal politik negara pula, ia sesuatu yang di luar dugaan
walaupun cerita-cerita tentang perubahan tampuk pimpinan dalam pentadbiran
kerajaan negeri akan bertukar. Senang cakap, memang dah tersebar luas cerita
Menteri Besarnya akan digantikan dengan individu lain.
Hal ini susulan perjanjian awal
antara bekas Menteri Besarnya dengan pentadbiran parti yang diwakili untuk
berundur selepas setahun memerintah berikutan prestasi kurang memuaskan dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu. Maka, bila disebut perjanjian, haruslah pula
ia dihormati dan dipatuhi.
Namun, keadaan menjadi kelam
kabut apabila bekas Menteri Besar itu mengumumkan keluar dari parti dan
mengisytiharkan diri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas hanya beberapa
jam selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan sejurus selepas
Menteri Besar baharu dilantik dengan perkenan Sultan Terengganu.
Kocakan inilah yang mencetuskan
tsunami sehingga nyaris-nyaris menumbangkan kerajaan negeri Terengganu
berikutan dua orang lagi Yang Berhormat ADUN ikut serta keluar parti
menyebabkan kedudukan kerusi di DUN menjadi 14:15:3.
Kedudukan ini, jika dinilai
secara mata kasar, sudah membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk. Walau
bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini,
kerana parti memerintah masih mempunyai kerusi Speaker Dewan untuk
menyelamatkan keadaan. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Penasihat Undang-undang
Negeri.
Namun, ia bukanlah mudah untuk
sebuah kerajaan negeri meneruskan pemerintahan dalam keadaan terikat dengan jumlah
konstituensi yang sama dengan pembangkang melainkan salah seorang, atau dua
atau kesemua ADUN Bebas itu mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemerintah
sedia ada. Dalam erti kata lain, isytiharkan sokongan kepada kerajaan negeri.
Dan, situasi sebaliknya akan berlaku jika salah seorang, atau dua atau
kesemuanya mengisytiharkan sokongan kepada pembangkang. Maka, pada bila-bila
masa juga, perubahan akan berlaku.
Situasi ini sebenarnya amat tidak
kondusif, tidak sihat dan tidak pragmatik dalam pentadbiran mana-mana kerajaan.
Untuk seketika, semua pihak mula
mencongak bilakah DUN Terengganu akan dibubarkan bagi memberi jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN)
diadakan. Hanya melalui kaedah ini sahaja keadaan boleh dipulihkan, itu pun jika
mendapat perkenan Sultan Terengganu. Pun tentu, ia bukanlah semudah yang
dijangkakan kerana kuasa sebenar kini terletak pada Ahli-ahli DUN Bebas
tersebut.
Ketika pembangkang turut
memulakan langkah proaktif ke arah ‘mengambil-alih’ kuasa, tidak semena-mena
salah seorang ADUN Bebas tersebut mengumumkan menarik balik surat pengisytiharan
keluar parti dan kembali ‘taat’ kepada partinya, sekaligus menjadikan kedudukan
15:15:2, dengan tambahan kerusi Speaker Dewan kepada blok pemerintah kerajaan
negeri. Maka kedudukan kini ialah 16:15:2 – masih rapuh sebenarnya.
Dan, untuk seketika kini,
pemerintah kerajaan negeri boleh menarik nafas lega. Menteri Besar baharunya
juga dikhabarkan telah selamat mengetip kad kehadiran kerja pagi tadi sekaligus
memulakan tugas rasminya hari ini. Tetapi, tiada siapa boleh menyatakan bahawa
beliau akan bertugas dengan tenang sekurang-kurangnya untuk sehari ini. Banyak
yang perlu dilakukan. Terlalu banyak. Rumah yang rosak perlu dibaiki ketika
ancaman tsunami baharu kekal wujud.
Dan untuk kita, apa yang boleh
dipelajari?
Sebelum itu, kami ingin kongsikan
sedikit secara ringkas fakta ini. Semua tahu, bekas Menteri Besar yang
bertindak keluar parti itu dahulu juga naik secara kontroversi. Beliau naik ke
tampuk pemerintahan ketika Menteri Besar sebelumnya ‘diturunkan’ takhta pada
waktu kemuncak kegemilangan.
Jika Menteri Besar yang keluar
parti itu berasakan beliau cukup popular di mata rakyat, Menteri Besar
sebelumnya juga tidak kurang hebatnya. Siapa boleh nafikan, bekas Menteri Besar
itu yang kini menjadi Menteri Pendidikan II, telah mengubah lanskap
sosiopolitik dan ekonomi Terengganu selepas berjaya mengembalikan pemerintahan
yang dikuasai parti pembangkang selama sepenggal sebelumnya.
Paling diingati rakyat Terengganu
tentunya, agenda pendidikan yang dipacu oleh bekas Menteri Besar itu sehingga
meletakkan Terengganu di persada pendidikan negara. Ramai rakyat Terengganu hari ini lahir sebagai produk
revolusi pendidikan yang dibawa oleh bekas Menteri Besar tersebut dan terus
menerpa kejayaan di peringkat lebih tinggi baik di dalam mahupun di luar
negara. Dan bekas Menteri Besar yang keluar parti itu pula, hanya meneruskan
kecemerlangan tersebut sambil mencipta satu dua perubahan baharu, sambil
menjadi Robin Hood rakyat untuk popular.
Memang tidak dinafikan, ada satu
dua juga tindakan Menteri Besar yang keluar parti itu disukai rakyat tetapi
kita perlu menilai dari neraca politik keseluruhannya, terutamanya terhadap
diri Menteri Besar yang keluar parti itu sendiri, sebelum merumuskan secara
mutlak.
Robin Hood juga buat silap.
Apatah lagi Jebat dan Tuah. Tetapi siapakah yang akhirnya di pihak yang benar? Untuk
membandingkan ketiga-tiganya memang tidak adil kerana situasi dan zaman tidak relatif
sama. Namun, ada perkara-perkara boleh dirujuk sebagai panduan nilai.
Bekas Menteri Besar yang kini
menjadi Menteri Pendidikan II, jelas sekali bertindak sebagai Tuah yang
bijaksana. Beliau tidak merajuk ketika hilang takhta atas perkenan Sultan.
Beliau kekal tenang, tidak emosi hingga keluar parti dan meneruskan tugas
sebagai YB seperti biasa. Sebagai orang politik, egonya sangat dicabar ketika
itu. Daripada seorang Menteri Besar, beliau diturunkan menjadi ADUN biasa di
dalam dewan. Namun, lihat siapa beliau hari ini?
Sebaliknya, bekas Menteri Besar
itu yang bertindak keluar parti, jelas sekali terlalu beremosi dalam
tindakannya. Ya, kita tidak tahu apa yang berlaku tetapi apa yang kita lihat
hari ini, tidak kurang juga boleh dinilai dan dianalisa. Alasan kenduri kahwin
jelas suatu alasan yang diada-adakan kerana beliau mempunyai masa setahun untuk
merancang! Kenapa tarikh tersebut yang dipilih? Tak perlu bicara soal tolak
ansur di sini kerana setahun masa yang diberikan itu adalah ruang tolak ansur
sebenar yang telah diberikan kepada beliau.
Kini, Robin Hood ini perlu
menilai dan bermuhasabah atas dirinya sendiri. Apakah yang diperolehi selepas
mengambil tindakan tersebut? Apakah pula kebaikan kepada rakyat, negeri dan
negara?
Di atas segala kemelut ini, kita
perlu sampaikan mesej penting ini kepada semua ahli politik di luar sana :
“Cukup-cukuplah. Politik perlukan
kematangan. Takkan itu pun rakyat perlu ajar?” - KS
PENAFIAN : Artikel ini hanya pandangan peribadi admin KS dan tidak mewakili pandangan keseluruhan Aspirasi USM.
Thursday, March 6, 2014
SIAPA SITI KASIM MAHU BODOHKAN ULAMA?
5 Mac 2014, Mahkamah Persekutuan bersidang
mendengar permohonan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan
orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di Malaysia.
Sebelum itu, pada 14 Oktober
2013, Mahkamah Rayuan telah pun membuat keputusan tersebut dan disambut dengan
penuh kesyukuran oleh umat Islam dengan harapan polemik ini akan berakhir
secepat mungkin.
Ya, ia polemik. Polemik yang
cukup sukar. Polemik yang perlu ditangani dengan cermat. Apabila diheret ke
mahkamah, maka ia perlu diadili sebaik-baiknya dengan lunas perundangan yang paling
tepat.
Namun, kemunculan pelbagai pihak
yang tidak diketahui asas ilmu mengenal Allah secara tiba-tiba dengan pelbagai
kenyataan yang mengarut dan menyimpangi kebenaran sedikit sebanyak telah
mengeruhkan keadaan. Natijahnya, polemik penggunaan kalimah Allah menjadi kian
sukar dan rumit.
Terbaru, kenyataan yang
dikeluarkan oleh Siti Zabedah Kassim, seorang peguam dan aktivitis yang mengaku
masih Islam dan berbangsa Melayu. Dalam kenyataan beliau itu, beliau melabelkan
orang Melayu yang mempertahankan kalimah Allah ini sebagai lembu yang bodoh
kerana patuh sahaja kepada saranan alim ulamak dalam isu ini.
Lihat apa kata Tuan Guru Nik Aziz
Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan ; “..kalau
agama lain yang tuhannya tidak satu bahkan tiga ataupun lebih, tiba-tiba nak
guna Allah, itu mengarut!”
Maka siapa Siti Kassim ini jika
dibandingkan dengan Tuan Guru yang disanjungi umat Islam di Malaysia ini?
Melayu Liberal
Sejarah membuktikan golongan
seperti Siti Kassim sentiasa wujud pada setiap zaman. Bukan hanya pada zaman
ini sahaja golongan liberal yang mentafsir agama dan kepercayaan dengan akal
fikiran ini sentiasa cuba memesongkan kebenaran, malah pada zaman Baginda Rasulullah
SAW pun sudah ada. Antara yang terkenal ialah Abdullah bin Ubai bin Salul dan
Dzul Khuwaisirah. Jika dibandingkan dengan Siti Kassim yang mengaku Islam,
apalah sangat. Namun ironinya, mereka berkongsi banyak persamaan : mengaku
Islam tetapi berakhlak sebaliknya.
![]() |
| Siti Zabedah Kassim. |
Pada zaman ini, istilah yang
lebih popular untuk golongan ini ialah Islam Liberal yang kuat berpegang kepada
konsep pluralisme akidah. Ia bermaksud, mereka percaya bahawa semua agama dan
kepercayaan adalah sama kerana menyembah Tuhan yang sama iaitu Allah. Yang berbeza
ialah kaedah penyembahan, dan pada mereka, soal kaedah bukanlah isu yang besar.
Jika semua agama benar, yang mana yang diredhai Tuhan?
Bagi orang Islam, Rabb yang
disembah hanya Allah SWT, Yang Maha Suci, Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan.
Sebelum kedatangan Islam, yakni
sejak terciptanya Nabi Adam AS dan diturunkan ke alam dunia lagi semua manusia
diperintahkan menyembah Allah. Zaman beredar tetapi Rabb tetap sama. Namun manusia
dengan angkuh mula mencipta pelbagai perkara karut dalam usaha ‘mencapai’
Tuhan. Ada yang mencipta berhala, ada yang menyembah pokok, gunung-ganang,
sungai dan sebagainya lagi. Mereka menjadikan simbol-simbol tersebut sebagai
perantara kepada Tuhan Yang Satu (Allah) bahkan sampai ke tahap
menyekutukanNya!
Adakah Siti Kassim boleh
rasionalkan kenapa situasi ini berlaku? Bolehkah Siti Kassim berikan jawapan
dengan ilmu perundangannya itu sekaligus membantu kita memahami bahawa
tindakan-tindakan menyekutukan Allah itu adalah tindakan yang benar dan
diredhai oleh Allah sendiri? Hal ini demikian kerana, menurut kefahaman kita
dan para alim ulamak, tindakan menyekutukan Allah adalah tindakan syirik yang
paling besar. Jika Siti Kassim percaya bahawa semua kaedah ‘mencapai’ Tuhan itu
bukan perkara yang perlu diberatkan, maka dia juga perlu menjelaskan kenapa
Allah menurunkan Al-Quran kepada Muhammad SAW mengikut kefahamannya sendiri
(itu pun kalau beliau masih beriman kepada Al-Quran).
Rasulullah SAW Memperbetul Kesilapan Beragama dan Kepercayaan Manusia
Sebelum Baginda Nabi Muhammad SAW
diangkat menjadi Rasul, masyarakat Arab Jahiliyah yang terdiri daripada kaum
Kafir Quraisy menyembah pelbagai bentuk berhala. Jumlahnya bukan sedikit bahkan
mencecah ratusan jenis. Masyarakat Arab ketika itu hidup dalam keadaan yang
begitu jahil tetapi bukanlah bermakna mereka tidak beragama. Mereka menyembah
pelbagai Tuhan dan menyekutukan Allah pada masa yang sama. Kerana kejahilan
yang melampau, mereka tidak lagi mengenal Allah SWT sebagai Rabb Yang
Menciptakan Alam Semesta.
Keadaan ini berterusan untuk satu
tempoh yang lama sehinggalah Allah melantik Muhammad menjadi Rasul terakhir
yang berperanan membetulkan kesilapan-kesilapan tersebut. Nabi Muhammad sebagai
Rasulullah diberikan tanggungjawab dan amanah untuk berdakwah kepada kaumnya
supaya menyembah Allah SWT yang sebenar-benarnya, berhenti menyekutukanNya
dengan berhala-berhala buatan tangan dan meninggalkan amalan jahiliyah yang
lain. Muhammad SAW mengajarkan Islam, yakni deen
yang bermaksud jalan hidup yang
menyeluruh yang sejahtera, aman dan selamat.
Dengan turunnya Islam maka segala
jalan lain atau kaedah untuk ‘mencapai’ Tuhan yakni Allah itu dianggap tidak
lagi valid, terbatal dan termansuh dengan sendirinya. Kenapa? Inilah yang perlu
difahami oleh Siti Kassim. Islam sebagai jalan hidup yang menyeluruh adalah
suatu jalan yang diredhai Allah SWT, tiada jalan lain kecuali Islam. Jadi bagaimana
Siti Kassim boleh ‘redha’ dengan pelbagai bentuk penyekutuan yang dilakukan
oleh fahaman lain terhadap Allah sedangkan Allah sudah pun menetapkan kaedah
yang paling benar, valid dan wajib diikuti oleh sekalian manusia yakni Islam?
Sepatutnya Siti Kassim menyertai
umat Islam yang lain termasuk para alim ulamak dan menyeru orang bukan Islam
supaya mengEsakan Allah SWT.
Pertahan Kalimah Allah Bukan Isu Bangsa Tapi Akidah
Dalam klip video yang menyiarkan
kenyataan Siti Kassim selepas mahkamah bersidang, jelas sekali Siti Kassim
lebih banyak menyerang orang Melayu berbanding menyebarkan kebenaran bahawa “Allah
itu Tuhan seluruh alam” seperti yang terpampang di bajunya.
Apakah yang Siti Kassim faham
dengan maksud ayat “Allah Tuhan seluruh alam” itu? Adakah Siti Kassim faham “Allah
Tuhan seluruh alam” itu membawa maksud Allah Yang Maha Pencipta telah mencipta
dan menguasai seluruh isi alam termasuk manusia dan makhluk-makhluk yang lain? Namun
manusia dengan angkuh dan sombongnya, dengan sedikit akal yang dikurniakan, telah
menyekutukan Allah SWT dan pada masa yang sama pula, Allah SWT tidak rugi
apa-apa pun akibat daripada perbuatan manusia-manusia yang menyimpang itu. Yang
akan rugi ialah manusia-manusia itu sendiri kerana menolak kebenaran yang
hakiki.
Adakah Siti Kassim termasuk dalam
golongan itu seperti kata-kata beliau, “Saya tidak kisah orang nak kata saya
murtad. In the end, tuhan yang akan judge saya,…”? Siapakah ‘tuhan’ yang
dimaksudkan akan judge beliau nanti
itu? Tuhan yakni Allah yang disembah oleh umat Islam (sebenar-benar jalan yang
diredhai oleh Allah SWT sendiri) atau tuhan versi palsu yang lain?
Kita perlu sedar dan beriman
bahawa Rabb yang kita sembah ialah Rabb yang khusus merujuk kepada Allah, bukan
tuhan yang difahami secara umum yang boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya
sebagai God seperti yang dituntut oleh pihak The Herald dan gereja dalam polemik
ini. Hal inilah yang gagal difahami oleh Siti Kassim dengan sebaik-baiknya.
Kita boleh bersangka baik, mungkin ilmu agamanya cetek dan kefahaman beliau
terhadap konsep tauhid senipis kulit bawang, namun jangan sekali-kali kita
menyokong Melayu Islam Liberal seperti beliau yang tegar dalam kejahilannya
itu.
Ini isu akidah yang besar, bukan
soal perjuangan bangsa. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia yang
lahir akibat pluralisme akidah yang melampau turut berlaku di negara ini. Di Indonesia,
saban tahun jumlah orang Islam yang murtad (keluar daripada Islam) mencecah
angka 2 juta orang. Kenapa hal seperti ini berlaku? Kami tidak perlu menjawab
persoalan ini sebaliknya kita perlu bersama-sama berfikir untuk mencapai
kefahaman supaya pada akhirnya kita boleh bersatu menegakkan kebenaran.
Kepada Siti Kassim dan mereka
yang menuntut hak penggunaan kalimah Allah itu kepada orang bukan Islam, jika
kalian masih Islam, tanyalah hati kecil anda, “kenalkah aku siapa Tuhanku yang
sebenar-benar?” Mudah-mudahan, kalian peroleh jawapan yang benar.
Allah itu Maha Benar. Islam itu
jalan yang benar. Carilah kebenaran melalui jalan yang benar ini supaya kita
kenal siapa Tuhan yang sebenar-benarnya benar.
Nota : Artikel ini ialah pandangan peribadi admin.
Wednesday, February 26, 2014
WACANA ILMU SIRI 2 TAMPILKAN KHAIRY JAMALUDDIN
Wacana Ilmu Siri 1 yang menampilkan Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Muda Malaysia (ILMU), Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya, telah berlangsung dengan jayanya pada 24hb Februari yang lalu.
Program yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS 1) itu penuh sesak dengan kehadiran lebih 500 orang mahasiswa dan mahasiswi USM yang cintakan ilmu.
Minggu ini, Wacana Ilmu diteruskan dengan Siri 2 yang bakal menampilkan seorang lagi tokoh muda negara, Yang Berhormat Tuan Khairy bin Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
Kehadiran tokoh berprofil tinggi ini pasti dinanti-nantikan oleh para 'peminat' beliau lebih-lebih lagi beliau turut dijangka melancarkan majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia di samping beramah mesra dengan warga USM.
Khairy Jamaluddin yang dikenali berperwatakan sempoi dan bersahaja turut akan melancarkan kempen Wheels for All dengan kerjasama Pusat Sukan USM yang bertujuan menggalakkan penggunaan basikal di dalam kampus bagi mengurangkan pencemaran udara.
Sama-sama kita nantikan beliau!
Klik Event@USM untuk mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai program lain di USM.
ASPIRASI USM LANCAR PAUTAN EVENT@USM
Blog Aspirasi USM, Aspirasi Corner, hari ini memasang pautan khas dikenali sebagai Event@USM sebagai salah satu platform interaktif mempromosikan program-program di USM.
Pelayar hanya perlu klik pada imej di atas yang dipasang di sebelah atas pada sidebar blog ini. Buat masa ini pihak admin masih mengumpul poster-poster program sebelum dimuatnaik mengikut urutan tarikh.
Pihak admin Aspirasi Corner tidak mempunyai apa-apa kepentingan melainkan bertujuan membantu dari segi publisti secara percuma. Pihak penganjur boleh memaklumkan kepada kami menerusi FB rasmi Aspirasi USM jika mahu program mereka dipautkan di sini atau sebaliknya.
Friday, February 21, 2014
KENAPA KITA LAIN?
We Lead. Itulah motto Universiti
Sains Malaysia. Sejak ia diperkenalkan secara rasmi, motto ini kian meresapi
jiwa setiap warga Universiti APEX pertama di Malaysia. Dalam apa-apa juga
program atau aktiviti yang dijalankan, motto ini akan dimanifestasikan supaya
pada akhirnya akan memberi kelainan kepada golongan sasar.
We Lead juga meresapi Tujuh Teras
APEX yang telah banyak menjulang nama USM. Teras-teras tersebut adalah seperti
berikut :
- Masa hadapan
- Kelainan
- Kelestarian
- Kemanusiaan
- Kesegajatan
- Perubahan
- Pengorbanan
Daripada ketujuh-tujuh teras ini,
teras kedua iaitu Kelainan boleh disifatkan sebagai teras paling berjaya menyerlahkan
identiti USM sebagai sebuah Universiti APEX di negara ini. Ia boleh dilihat
dalam pelbagai aspek sama ada akademik, kokurikulum mahupun pembangunan
sahsiah pelajar yang lain terutamanya menerusi program-program di luar bilik
kuliah.
Selepas diiktiraf sebagai
Universiti APEX, pihak pengurusan universiti telah merangka pelbagai bentuk
modul dan latihan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai
kualiti modal insan, seimbang antara jasmani, emosi, rohani dan intelektual dan
boleh bersaing dalam semua peringkat cabaran.
Salah satu program berimpak
tinggi yang digarap khas untuk mahasiswa USM ialah Pimpin Siswa Asas dan
Lanjutan. Program seumpama ini tidak pernah ditawarkan di mana-mana institusi
pengajian tinggi yang lain lebih-lebih lagi dalam bentuk yang begitu sistematik
dan menyeluruh. Rata-rata mahasiswa generasi APEX sudah melalui pengalaman
sebagai peserta Pimpin Siswa dan layak bergelar Alumni Pimpin Siswa APEX.
Hari ini, modul-modul Pimpin
Siswa yang dirangka untuk mahasiswa USM sudah mula menarik perhatian universiti-universiti
lain. Terbaru, delegasi dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah membuat
kunjungan ke Pusat Pembangungan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar (PPKSP) yang
bertanggungjawab mengurusjayakan Pimpin Siswa untuk belajar selok-belok program
ini. Dalam pertemuan itu, pihak PPKSP yang diwakili Pengarah Bahagian Hal Ehwal
dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Dr. Nazaruddin Zainun bersama-sama Timbalan
Pendaftar BHEPP, Tuan Haji Husin bin Yahya dan Pengerusi Yayasan USM, En. Abdul
Rashid Rejab tanpa lokek bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan
delegasi UMP.
![]() |
| Delegasi UMP sedang mendengar taklimat berkaitan Program Pimpin Siswa di PPKSP, USM Induk. |
Selain itu, USM juga menjadi
rujukan sebuah lagi universiti di utara tanah air dalam pengurusan acara ekspo
konvokesyen. Pada 20hb Februari 2014, delegasi dari Universiti Malaysia Perlis
(UNIMAP) berkunjung ke USM bagi mempelajari kepakaran Sekretariat CONVEX
menguruskan acara besar itu setiap tahun. Pihak BHEPP yang diwakili En.
Zulkifli bin Che Hussein telah menyempurnakan pembentangan dengan jaya
sekaligus menarik perhatian delegasi UNIMAP.
![]() |
| Sesi perkongsian pengalaman CONVEX bersama Delegasi UNIMAP. |
Sementara itu, satu lagi program
yang telah banyak menjulang nama USM ialah Dewan Perundingan Pelajar (DPP). Lebih
dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa, ia turut mendapat perhatian daripada
pelbagai universiti ternama di seluruh negara. Jika sebelum ini wakil dari
Universiti Utara Malaysia (UUM) pernah menyertai sidang perbahasan sebagai
pemerhati, baru-baru ini delegasi dari Universiti Al-Bukhary juga turut
menyertai persidangan sekaligus belajar secara lebih dekat perjalanan dewan
perundingan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Terbaru, pada 22hb dan 23hb
Februari 2014 ini, kita sekali lagi akan menerima kunjungan delegasi dari
sebuah universiti utama negara iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM). Delegasi penting ini akan mengikuti sesi pembentangan dan taklimat khas
berkenaan DPP yang akan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor BHEPP USM,
Prof. Dr. Adnan bin Hussein dan Speaker DPP, Saudara Haziq Al-Amir.
![]() |
| Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa USM bakal menerima kunjungan dari UIAM pada 22 dan 23 Feb ini. |
Tiga catatan yang kami kongsikan
di atas tadi amat signifikan kepada universiti kerana secara tidak langsung
telah menjadi tanda ukur kepada keberkesanan program APEX yang kini bakal
memasuki Fasa ke-2. Justeru menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan
setiap program yang dirangka dapat dijayakan sebaik-baiknya. Komitmen kita
semua amat ditagih. Kesanggupan dan pengorbanan kita amat diperlukan. Tidakkah
kita berbangga menjadi warga USM?
TOKOH KONTROVERSI DR. FATHUL BARI BAKAL BERWACANA DI USM
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dengan kerjasama Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai (MPDAD) akan menganjurkan WACANA ILMU SIRI 1 pada 24hb Februari 2014 ini jam 8.30 malam bertempat di Dewan Pembangunan Siswa 1.
Panel yang dijemput ialah Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (ILMU) merangkap pensyarah di Universiti Madinah, Ustaz Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya.
Tajuk yang akan dikupas ialah "Mahasiswa Abad Ke 21."
Semua dijemput hadir.
Komen kami :
Ini adalah peluang terbaik kepada seluruh warga kampus, tanpa mengira siapa, untuk berdiskusi secara langsung dengan tokoh muda penuh kontroversi ini.
Ramai yang kata beliau bermanhaj Salafi dan diakuinya sendiri, bahkan. Ada juga yang kata beliau seorang Wahabi aliran keras.
Untuk rekod, Ustaz Fathul Bari pernah beberapa kali berceramah di USM sebelum beliau dikenali ramai. Antaranya, beliau pernah menjadi penterjemah ketika seorang ulamak besar dari Arab Saudi melawat Pusat Islam USM dan menyampaikan tazkirah Maghrib.
Jika anda pencinta ilmu, ayuh kita luangkan masa mengikuti ceramah beliau kali ini pula!
Thursday, February 13, 2014
PESTA SEKS, TARIAN BERBIKINI DAN ARAK DI PULAU PINANG SEMPENA HARI VALENTINE
Gempar!!
Tahun lepas, negara dikejutkan dengan pesta arak bernilai RM4 juta yang diadakan di Batu Feringghi.
Tahun ini, sempena Hari Kekasih atau dalam bahasa kafirnya, Hari Valentine, sebuah pesta penuh maksiat yang bakal menghidangkan tarian separuh bogel, muzik liar dan minuman keras akan diadakan di Pengkalan Weld atau Weld Quey, Pulau Pinang pada hari Sabtu, 15hb Februari 2014.
Beberapa kain rentang, poster dan hebahan berbentuk fylers sudah diedar di sekitar negeri ini bagi mempromosikan program tersebut yang dipercayai dianjurkan oleh pihak swasta dan mendapat 'restu' kerajaan negeri sejak seminggu yang lalu.
Walaupun mendapat kecaman meluas di media sosial dan bantahan terbuka daripada orang ramai namun belum ada tanda-tanda ia akan dibatalkan. Sehingga saat ini, program ini masih diwar-warkan kepada awam tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.
Lebih mengejutkan, menurut Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam dan Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong, pesta muzik berbikini ini boleh dijalankan jika ia berada di dalam premis.
Subscribe to:
Posts (Atom)



.jpg)







