Sunday, February 6, 2011

Perjuangan Rentas Sempadan Dari Mahasiswa

Keadaan banjir di Batu Pahat seperti yang dirakamkan semalam.
Ehsan dari Utusan Malaysia Online.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Terlebih dahulu Team AC ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus buat sahabat-sahabat sekalian sama ada di kampus induk mahupun di kampus-kampus cawangan. Semoga kepulangan kita ini bagi meneruskan baki pengajian masing-masing akan membuahkan lebih banyak kecemerlangan dalam segenap aspek.


Kami juga ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak bersiaran di sini. Pun tentu, ia bukanlah kerana kami hilang fokus tetapi seperti sahabat-sahabat semua, kami juga pelajar dan penuntut. Tentunya banyak masa yang diperlukan untuk hal-hal yang lebih mendesak. Untuk makluman juga, banyak artikel yang telah tersedia untuk diposkan, cuma masa sahaja belum mengizinkan.


AC juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh beberapa perkara penting. Pertama, kami ingin mengumumkan kelahiran unit media AC iaitu Media Kampus klik sini yang telah pun bersiaran sejak beberapa bulan yang lalu. Objektif utama penubuhan unit media ini adalah untuk mempromosikan berita-berita berkenaan dunia kampus terutamanya yang melibatkan universiti kita ini. Ia juga diharapkan akan menjadi saluran alternatif kepada penyebaran info-info berkaitan kepentingan dan kebajikan warga mahasiswa sejagat terutamanya daripada pihak kerajaan.


Sejajar dengan penubuhan unit media ini juga, satu laman khas di Facebook turut diwujudkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkongsian info-info dari laman blog ini. Anda boleh menyertai laman tersebut dengan membuat capaian Media Kampus USM di Facebook masing-masing. Untuk makluman sahabat-sahabat juga, penubuhan Media Kampus ini bukan hanya di USM sahaja sebaliknya turut melibatkan beberapa buah universiti utama yang lain seperti UTHM, UKM, USIM dan sebagainya lagi.


Kedua, berhubung dengan musibah atau bencana alam yang kini melanda beberapa buah negeri di semenanjung. AC ingin menyeru sahabat-sahabat yang berkelapangan untuk sama-sama menyertai Sekretariat Sukarelawan yang akan ke Johor pada hari Rabu ini (9hb Feb 2011) bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana. Ayuh tunjukkan keprihatinan kita dalam membantu masyarakat luar kampus kerana kita adalah mahasiswa, datang dari masyarakat dan kepada masyarakat kita bakal berkhidmat!


Sekian dahulu buat masa ini. Hingga bertemu lagi.


Salam Aspirasi Menjana Transformasi!

No comments:

Post a Comment