Oleh : Admin Kak Seri
Tidak semena-mena politik di
Terengganu berkocak. Bukan kocakan biasa-biasa. Ibarat tsunami jugalah kerana
berupaya merobohkan sebuah pemerintahan kerajaan negeri. Dalam amalan
demokrasi, ia biasa. Tapi dari sudut politik pentadbiran, ia agak mencemaskan.
Daripada mata kasar orang awam yang
mengikuti hal ehwal politik negara pula, ia sesuatu yang di luar dugaan
walaupun cerita-cerita tentang perubahan tampuk pimpinan dalam pentadbiran
kerajaan negeri akan bertukar. Senang cakap, memang dah tersebar luas cerita
Menteri Besarnya akan digantikan dengan individu lain.
Hal ini susulan perjanjian awal
antara bekas Menteri Besarnya dengan pentadbiran parti yang diwakili untuk
berundur selepas setahun memerintah berikutan prestasi kurang memuaskan dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu. Maka, bila disebut perjanjian, haruslah pula
ia dihormati dan dipatuhi.
Namun, keadaan menjadi kelam
kabut apabila bekas Menteri Besar itu mengumumkan keluar dari parti dan
mengisytiharkan diri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas hanya beberapa
jam selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan sejurus selepas
Menteri Besar baharu dilantik dengan perkenan Sultan Terengganu.
Kocakan inilah yang mencetuskan
tsunami sehingga nyaris-nyaris menumbangkan kerajaan negeri Terengganu
berikutan dua orang lagi Yang Berhormat ADUN ikut serta keluar parti
menyebabkan kedudukan kerusi di DUN menjadi 14:15:3.
Kedudukan ini, jika dinilai
secara mata kasar, sudah membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk. Walau
bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini,
kerana parti memerintah masih mempunyai kerusi Speaker Dewan untuk
menyelamatkan keadaan. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Penasihat Undang-undang
Negeri.
Namun, ia bukanlah mudah untuk
sebuah kerajaan negeri meneruskan pemerintahan dalam keadaan terikat dengan jumlah
konstituensi yang sama dengan pembangkang melainkan salah seorang, atau dua
atau kesemua ADUN Bebas itu mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemerintah
sedia ada. Dalam erti kata lain, isytiharkan sokongan kepada kerajaan negeri.
Dan, situasi sebaliknya akan berlaku jika salah seorang, atau dua atau
kesemuanya mengisytiharkan sokongan kepada pembangkang. Maka, pada bila-bila
masa juga, perubahan akan berlaku.
Situasi ini sebenarnya amat tidak
kondusif, tidak sihat dan tidak pragmatik dalam pentadbiran mana-mana kerajaan.
Untuk seketika, semua pihak mula
mencongak bilakah DUN Terengganu akan dibubarkan bagi memberi jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN)
diadakan. Hanya melalui kaedah ini sahaja keadaan boleh dipulihkan, itu pun jika
mendapat perkenan Sultan Terengganu. Pun tentu, ia bukanlah semudah yang
dijangkakan kerana kuasa sebenar kini terletak pada Ahli-ahli DUN Bebas
tersebut.
Ketika pembangkang turut
memulakan langkah proaktif ke arah ‘mengambil-alih’ kuasa, tidak semena-mena
salah seorang ADUN Bebas tersebut mengumumkan menarik balik surat pengisytiharan
keluar parti dan kembali ‘taat’ kepada partinya, sekaligus menjadikan kedudukan
15:15:2, dengan tambahan kerusi Speaker Dewan kepada blok pemerintah kerajaan
negeri. Maka kedudukan kini ialah 16:15:2 – masih rapuh sebenarnya.
Dan, untuk seketika kini,
pemerintah kerajaan negeri boleh menarik nafas lega. Menteri Besar baharunya
juga dikhabarkan telah selamat mengetip kad kehadiran kerja pagi tadi sekaligus
memulakan tugas rasminya hari ini. Tetapi, tiada siapa boleh menyatakan bahawa
beliau akan bertugas dengan tenang sekurang-kurangnya untuk sehari ini. Banyak
yang perlu dilakukan. Terlalu banyak. Rumah yang rosak perlu dibaiki ketika
ancaman tsunami baharu kekal wujud.
Dan untuk kita, apa yang boleh
dipelajari?
Sebelum itu, kami ingin kongsikan
sedikit secara ringkas fakta ini. Semua tahu, bekas Menteri Besar yang
bertindak keluar parti itu dahulu juga naik secara kontroversi. Beliau naik ke
tampuk pemerintahan ketika Menteri Besar sebelumnya ‘diturunkan’ takhta pada
waktu kemuncak kegemilangan.
Jika Menteri Besar yang keluar
parti itu berasakan beliau cukup popular di mata rakyat, Menteri Besar
sebelumnya juga tidak kurang hebatnya. Siapa boleh nafikan, bekas Menteri Besar
itu yang kini menjadi Menteri Pendidikan II, telah mengubah lanskap
sosiopolitik dan ekonomi Terengganu selepas berjaya mengembalikan pemerintahan
yang dikuasai parti pembangkang selama sepenggal sebelumnya.
Paling diingati rakyat Terengganu
tentunya, agenda pendidikan yang dipacu oleh bekas Menteri Besar itu sehingga
meletakkan Terengganu di persada pendidikan negara. Ramai rakyat Terengganu hari ini lahir sebagai produk
revolusi pendidikan yang dibawa oleh bekas Menteri Besar tersebut dan terus
menerpa kejayaan di peringkat lebih tinggi baik di dalam mahupun di luar
negara. Dan bekas Menteri Besar yang keluar parti itu pula, hanya meneruskan
kecemerlangan tersebut sambil mencipta satu dua perubahan baharu, sambil
menjadi Robin Hood rakyat untuk popular.
Memang tidak dinafikan, ada satu
dua juga tindakan Menteri Besar yang keluar parti itu disukai rakyat tetapi
kita perlu menilai dari neraca politik keseluruhannya, terutamanya terhadap
diri Menteri Besar yang keluar parti itu sendiri, sebelum merumuskan secara
mutlak.
Robin Hood juga buat silap.
Apatah lagi Jebat dan Tuah. Tetapi siapakah yang akhirnya di pihak yang benar? Untuk
membandingkan ketiga-tiganya memang tidak adil kerana situasi dan zaman tidak relatif
sama. Namun, ada perkara-perkara boleh dirujuk sebagai panduan nilai.
Bekas Menteri Besar yang kini
menjadi Menteri Pendidikan II, jelas sekali bertindak sebagai Tuah yang
bijaksana. Beliau tidak merajuk ketika hilang takhta atas perkenan Sultan.
Beliau kekal tenang, tidak emosi hingga keluar parti dan meneruskan tugas
sebagai YB seperti biasa. Sebagai orang politik, egonya sangat dicabar ketika
itu. Daripada seorang Menteri Besar, beliau diturunkan menjadi ADUN biasa di
dalam dewan. Namun, lihat siapa beliau hari ini?
Sebaliknya, bekas Menteri Besar
itu yang bertindak keluar parti, jelas sekali terlalu beremosi dalam
tindakannya. Ya, kita tidak tahu apa yang berlaku tetapi apa yang kita lihat
hari ini, tidak kurang juga boleh dinilai dan dianalisa. Alasan kenduri kahwin
jelas suatu alasan yang diada-adakan kerana beliau mempunyai masa setahun untuk
merancang! Kenapa tarikh tersebut yang dipilih? Tak perlu bicara soal tolak
ansur di sini kerana setahun masa yang diberikan itu adalah ruang tolak ansur
sebenar yang telah diberikan kepada beliau.
Kini, Robin Hood ini perlu
menilai dan bermuhasabah atas dirinya sendiri. Apakah yang diperolehi selepas
mengambil tindakan tersebut? Apakah pula kebaikan kepada rakyat, negeri dan
negara?
Di atas segala kemelut ini, kita
perlu sampaikan mesej penting ini kepada semua ahli politik di luar sana :
“Cukup-cukuplah. Politik perlukan
kematangan. Takkan itu pun rakyat perlu ajar?” - KS
PENAFIAN : Artikel ini hanya pandangan peribadi admin KS dan tidak mewakili pandangan keseluruhan Aspirasi USM.
supreme
ReplyDeletecurry 8
off white
supreme t shirt
supreme new york