Wednesday, February 12, 2014

GRADUAN KELAS PERTAMA - DI MANA KITA?

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum WBT dan Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Foto di sebelah ini merupakan infografik statistik graduan kelas pertama di Malaysia sehingga Oktober 2013 iaitu pasca sesi konvokesyen terkini di seluruh universiti awam dan swasta.

Kelas pertama, selain merujuk kepada pencapaian yang cemerlang (diukur melalui CGPA), juga menjadi indikator untuk menentukan seseorang itu layak mendapat pengecualian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini. 

Hal ini bermakna, sesiapa sahaja yang mendapat keputusan kelas pertama tidak perlu lagi membuat bayaran balik sekiranya beliau meminjam daripada PTPTN. Dalam erti kata lain, segala kos pengajian yang ditanggung dianggap telah dilangsaikan melalui anugerah ini. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang bergelar mahasiswa tanpa mengira kaum dan agama.

Langkah proaktif ini diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu golongan graduan meringankan kos sara hidup ketika mereka mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan selepas sekian lama bergelumang dengan kuliah dan peperiksaan di universiti. Ia juga berperanan sebagai pendorong kepada mahasiswa untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dilalui. 

Berdasarkan statistik ini, jelas sekali kelompok kelas pertama masih kekal didominasi oleh graduan Cina yang mencatatkan nisbah 67.3 % iaitu sebanyak 13, 279 orang berbanding graduan Melayu sebanyak 5,453 orang (27.6 %) dan India sebanyak 779 orang (3.9 %). Sementara itu, kaum Bumiputra Sabah dan Sarawak pula mencatatkan jumlah yang jauh lebih kecil iaitu sekitar 69 dan 67 orang mewakili nisbah 0.3 % masing-masing daripada keseluruhan jumlah graduan kelas pertama yang direkodkan. 

Berdasarkan catatan ini, boleh disimpulkan bahawa sektor pengajian tinggi masih dikuasai pelajar-pelajar Cina berbanding kaum-kaum lain. Banyak faktor boleh dibentangkan untuk menjelaskan situasi ini namun ia sama sekali tidak boleh menafikan hakikat bahawa kualiti pelajar Cina jauh lebih baik berbanding kaum-kaum lain dalam bidang akademik kerana sikap rajin dan fokus yang tinggi yang ditunjukkan dalam apa-apa jua aktiviti yang dilakukan baik di dalam mahupun di luar dewan kuliah. 

No comments:

Post a Comment