Sunday, August 31, 2014

PESANAN UNTUK WARGA BAHARU UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Assalamualaikum w.b.t Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada para pelajar yang telah terpilih untuk memasuki Universiti Sains Malaysia pada tahun ini. Anda amat bertuah kerana berjaya  menjadi sebahagian daripada keluarga besar USM. Anda adalah orang yang dipilih daripada mereka yang terpilih. Hal ini  kerana bilangan pemohon yang ingin masuk ke USM amat tinggi.  Pihak universiti sentiasa menanti kehadiran adik – adik dengan penuh gembira.

Menjadi sebahagian daripada warga USM membuatkan adik – adik telah bergelar seorang mahasiswa. Sebagai seorang mahasiswa baru, adik – adik patutlah mempunyai rasa syukur dan bertuah. Pihak universiti dengan penuh komited akan sentiasa memastikan semua mahasiswa USM akan dapat merealisasikan hasrat masing –masing. Kehendak setiap mahasiswa sentiasa akan didengari oleh pihak universiti.

Namun begitu, bukan mudah untuk memenuhi setiap tuntutan daripada semua mahasiswa. Hal ini kerana jumlah penuntut di USM terlalu besar.  Oleh itu, semua mahasiswa haruslah rasional dalam membuat keputusan dan tuntutan. Janganlah meletakkan kehendak emosi apabila ingin melakukan sesuatu perkara. Pihak universiti telah menyediakan pelbagai saluran kepada mahasiswa untuk meluahkan hasrat mereka. Gunakanlah saluran ini dengan sebaik mungkin. Mahasiswa tidak perlu terikut dengan budaya di luar kampus yang sering kali melakukan demonstrasi apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Keadaan ini akan memburukkan imej mahasiswa. Usahlah menjadi dalang kepada pihak tertentu yang ingin mengeksploitasi golongan mahasiswa untuk kehendak politik mereka. Mahasiswa perlu rasional dalam menilai sesuatu perkara dengan matang. Pihak universiti akan sentiasa melindungi golongan mahasiswa.

Hidup dalam sebuah keluarga yang besar memerlukan setiap mahasiswa mempunyai sikap toleransi dalam diri mereka. Erti toleransi yang sebenar dapat diterjemahkan dalam kehidupan mahasiswa di dalam kampus. Sebagai seorang mahasiswa adik –adik haruslah bergerak bersama universiti untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Setiap dasar yang dibawa oleh pihak universiti  telah mengambil kira keperluan setiap mahasiswa. Adik –adik janganlah terpengaruh dengan dakyah daripada pihak luar yang ingin memburukkan nama universiti. Golongan ini kebiasaannya akan menjadi pendesak kepada universiti untuk memenuhi kehendak mereka. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini secara agresif ingin menyemai benih kebencian dalam setiap mahasiswa terhadap pihak universiti. Bersama – samalah kita berganding bahu sebagai sebuah keluarga untuk menjayakan hasrat universiti.

Banyak pihak pada hari ini serangkali melaungkan pelbagai retorik untuk menarik golongan mahasiswa menyokong mereka. Menyedari akan hakikat ini, setiap mahasiswa haruslah mempunyai sikap realistik dalam diri anda. Janganlah terpengaruh dengan retorik yang dibawa oleh sesetengah pihak. Tidak guna hebat berjanji jika tidak mampu untuk melaksana. Golongan mahasiswa haruslah sedar terhadap ancaman tersebut. Pihak universiti sentiasa realistik dalam setiap perancangan yang dibuat. Tidak seperti pihak tertentu yang hanya tahu menabur janji, pihak universiti sentiasa memastikan dasar yang dilakukan oleh mereka adalah realistik bukan idealistik.

Akhir kata, kepada adik – adik semua, sematkanlah azam dan semangat dalam diri anda untuk menjadi keluarga USM yang setia. Marilah kita bergerak bersama ke arah kecemerlangan universiti. Jadilah seorang mahasiswa yang mempunyai sikap rasional, toleransi, dan realistik. Janganlah melakukan perbuatan yang boleh mencemarakan nama baik seluruh warga universiti. Selamat maju jaya dan semoga anda gembira menjadi keluarga baru USM.

Friday, August 29, 2014

KERINGAT BANGSA JANGAN DIPERSIA

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa....

Kebebasan merupakan  impian setiap insan di muka bumi ini. Nilai kebebasan tidak mempunyai pengganti yang setanding dengannya. Sejarah perjuangan telah menunjukkan bahawa nilai kebebasan begitu sukar untuk disemai dalam diri manusia.. Benih perjuangan yang disemai pada hari ini belum tentu akan dapat dituai dan memerlukan masa yang panjang untuk menikmati hasilnya. Menelusuri sejarah perjuangan negara, dapatlah dilihat bhawa matlamat untuk mendapatkan kebebasan merupakan faktor utama dalam sesebuah perjuangan. Realitinya situasi pada hari ini, bukti kebebasan sudah terbukti di depan mata kita. Menikmati nilai kebebasan menyebabkan kita tidak pernah terfikir erti penjajahan. Generasi pada hari ini leka menikmati hasil benih perjuangan oleh generasi terdahulu. Keringat yang gugur semasa perjuangan menyebabkan pohon kebebasan menjadi semakin subur. Hukum putaran alam menunjukkan bahawa, setiap pohon yang subur pasti akan tumbang juga sekiranya tidak dijaga dengan baik..

Ketika  pewaris bangsa sedang nyenyak menikmati kemmewahan dunia, seringkali mereka terlepas pandang akan ancaman daripada segenap ruang. Relakah kita melihat tangan- tangan barat menggoncang pohon kebebasan kita. Globalisasi pada hari ini menyebabkan banyak dakyah dan propaganda negatif telah disemai dalam jiwa generasi pasca merdeka. Memburkkan lagi keadaan apabila terdapat tangan- tangan ghaib daripada bangsa kita sendiri yang ingin merobohkan sejarah kebebasan bangsa. Mereka rela menepuk tangan dengan gembira apabila bangsa sendiri dilabel sebagai celaka. Sedih hati kita apabila menilai mentaliti generasi pasca merdeka. Sejarah keagungan bangsa menunjukkan bahawa tamadun mesir purba pernah runtuh akibat pengkianatan bangsa. Justeru itu , sedarlah wahai pewaris bangsa. Tidak guna berdemo untuk meluahkan rasa tidak suka. Hakikatnya negara kita mempunyai saluran dan caranya. Pertahankanlah kedaulatan bangsa.Wariskanlah negara kita kepada anak bangsa sebagai generasi merdeka.

Sunday, August 24, 2014

MERDEKA 57 SEMARAK SEMANGAT PATRIOTISME MAHASISWA @AspirasiUSM


Assalamualaikum Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Dalam menyusun langkah melewati susur masa, negara kita telah menerima pelbagai ujian getir. Antara peristiwa sukar yang dilalui seluruh rakyat Malaysia ialah tragedi kehilangan pesawat milik Malaysian Airlines (MAS) iaitu MH370. Lima bulan kemudian, satu lagi tragedi menimpa melibatkan pesawat yang juga milik MAS iaitu MH17. Tragedi ini sungguh memilu hati menuntun rasa kemanusiaan kita kerana pesawat tersebut adalah 'mangsa' pergolakan antara Ukraine dengan pihak pemberontak pro Rusia. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya. Dia jua yang Maha Mengetahui apa yang sebenar-benarnya berlaku terhadap kedua-dua buah pesawat terbabit.

Mari sejenak kita sedekahkan Al Fatihah kepada mangsa tragedi kedua-dua pesawat MH370 & MH17.

Pada bulan Ogos ini, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos, sudah menjadi kebiasaan saban tahun, hari tersebut akan dirai dengan kemeriahan. Namun, persoalan yang ingin AC lontarkan dan sebenarnya juga menjadi perkara yang ingin AC mahu pembaca melihat kembali. Apakah sebenarnya nilai dan erti kemerdekaan negara kepada kita?

Adakah kita menghayatinya? Adakah kita menginsafi setiap nikmat kebebasan, kemewahan, limpah rahmat yang ada kini? Adakah kita mengucap syukur setiap kali kita menghirup udara hasil daripada pengorbanan nenek moyang kita? Dan, masihkah ada sekelumit cinta/ sayang/ ingin berkorban untuk agama, bangsa dan Malaysia ini?

Ini hanya sebahagian daripada rasa pedih yang mencucuk-cucuk jiwa marhaen yang sayang pada agama, bangsa, dan negaranya.

Tema Kemerdekaan Malaysia yang ke-57

Mahasiswa merupakan golongan yang menerima pendidikan di tahap yang tinggi dan dihormati masyarakat. Seharusnya kita sudah matang untuk membuat pertimbangan dalam segala hal termasuklah mengasingkan sentimen. Dalam usaha untuk mencapai masyarakat yang seimbang dan harmoni, kita juga perlu berperanan untuk menyebarkan semangat patriotik berpaksikan perasaan sayang kepada negara dan juga bangsa. Mungkin ada yang berpendapat bahawa sayang kepada bangsa dan negara adalah 'rasis'. Namun hakikatnya tanpa kedua-duanya, kita sudah menolak jati diri kita yang sebenar. Lama-kelamaan, jika dibiarkan maka ia akan membarah dalam masyarakat dan akhirnya tiada generasi muda yang mahu memandang berat isu bangsa dan negara sendiri dek kerana begitu mahu 'bertoleransi' !


Justeru, dalam usaha kita memantapkan masyarakat dan negara, kita sudah muak dengan pemimpin pembangkang yang mempolitikkan agama dan bangsa yang akhirnya mereka tidak sedar, mereka tidak tahu, dan mereka tidak peduli bahawa mereka adalah 'kesilapan' dalam rencana ini. Misalnya kemelut Menteri Besar Selangor sudah pun menjadi pengajaran kepada penyokong-penyokong pembangkang. Pemimpin yang terbabit dalam isu MB Selangor bagai 'pemain' yang sedang berwayang kepada rakyat.

Mahasiswa kini sudah matang. Jika ada yang salah tidak kira pemerintah mahupun pembangkang, kita tampil untuk menyatakan kesalahan tersebut. Dengan rukun 'Rasional Toleransi Realistik', AC tegaskan bahawa kita bukanlah pihak yang sesetengahnya menganggap mudah untuk 'digula-gulakan' dan menurut secara semberono. Ini pendirian mahasiswa yang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Sesungguhnya kita sebagai rakyat pastinya mencintai negara dan bangsa seterusnya tidak mahu digolok gadaikan oleh pihak tertentu. Ambillah ibrah daripada setiap ujian yang Allah S.W.T beri kepada kita agar ianya menjadi anugerah kepada kita. Ingatlah sahabat-sahabatku, nikmat kemerdekaan ini sukar diraih kembali jika ianya telah diragut.


Mantapkan agama, bangsa, dan negara, julang semangat patriotisme.

#Di_Sini_Lahirnya_Sebuah_Cinta #Merdeka57 #BungaRaya #Malaysia

AC.