Tuesday, October 28, 2014

Majlis Tertinggi MPP Kampus Induk dikuasai Aspirasi




Malam ini merupakan malam perlantikan bagi Majlis Tertinggi (MT) MPP Universiti Sains Malaysia. Majlis dipengerusikan oleh TNC USM, Prof Adnan bin Hussein.

Keputusan penuh bagi perlantikan tersebut adalah:

Kerusi Yang Di-Pertua MPP
     1) Mohamad Shafiq bin Kamaruddin       (26 undi)
     2) Khairul Anam bin Masal                         (19 undi)

Naib Yang Di-Pertua MPP
     1) Khairul Anam bin Masal                      (menang tanpa bertanding)

Setiausaha MPP
     1) Mazni binti Mohd Zuki                         (32 undi)
     2) Nursyifa Shahida binti Bahrin                  (13 undi)

Bendahari MPP
     1) Nursyifa Shahida binti Bahrin               (25 undi)
     2) Nurliyana Ali                                           (20 undi)

Pengerusi Kampus Kejuruteraan
Iskandazaqwan Zikrullah Zainuddin

Pengerusi Kampus Kesihatan
Zaid bin Abd. Halim

Wednesday, October 15, 2014

ASPIRASI MENDOMINASI KERUSI PRK?

Pada hari penamaan calon 13 hb Oktober 2014 , Aspirasi USM telah mendahului dengan MEMENANGI 10 KERUSI menang tanpa bertanding. Di penghujung hari , satu kerusi dimenangi menang tanpa bertanding lagi menjadikan 11 KERUSI MENANG TANPA BERTANDING setelah salah satu kerusi calon pusat pengajian telah menarik diri.

Kerusi-kerusi yang menang tanpa bertanding mengikut kategori :

Umum IPS : 4 kerusi
Pusat Pengajian Pengurusan : 2 kerusi
Pusat Pengajian Sains Komputer : 1 kerusi
Pusat Pengajian Komunikasi : 1 kerusi
Pusat Pengajian Sains Farmasi : 1 kerusi
Pusat Pengajian Seni : 1 kerusi


Kerusi yang menang tanpa bertanding ekoran penarikan diri calon pihak lawan adalah :

Pusat Pengajian Bahasa,Literasi dan Terjemahan : 1 kerusi

Jumlah kerusi menang tanpa bertanding : 11 kerusi

Semoga kejayaan ini berterusan!


Sunday, October 12, 2014

TARIKH-TARIKH PENTING PRK USM SIDANG AKADEMIK 2014/ 2015


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Berikut merupakan tarikh-tarikh penting bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PRK USM 2014/ 2015) iaitu:


13 Oktober - Penamaan Calon
14 Oktober - Rapat Umum 1
15 Oktober - Rapat Umum 2
16 Oktober - Hari Pengundian

Selamat berjuang dan bertanding dengan penuh hemah.




Aspirasi USM

Rasional Toleransi Realisitik. #WeAreAllAspirasi

Thursday, October 2, 2014

Apresiasi Warga USM Kepada MPPUSM 2013/2014 #IkonSiswaUSM


Assalamualaikum w.b.t Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kurniaNya, pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar USM 2013/2014 (MPPUSM) hari ini secara langsung melucutkan jawatan yang ada pada mereka namun tidak bererti menghentikan usaha mereka untuk terus menabur bakti kepada warga mahasiswa USM.

Kami ingin menzahirkan apresiasi kami buat Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) 2013/2014. Sesungguhnya MPP telah berkhidmat sedaya upaya kepada mahasiswa USM, khususnya dan universiti, amnya. Pelbagai kejayaan dilakar oleh MPP sepanjang sidang lepas. Hal ini dibuktikan dengan bercambahnya majlis-majlis ilmu, riadah, sahsiah, dan lain-lain. Umpama 'taman syurga ilmu' kepada mahasiswa USM, sebanyak 15 Siri Wacana Ilmu yang menampilkan variasi tokoh, pemimpin, dan ikon telah dilaksanakan dengan jayanya. Banyak lagi program dan aktiviti anjuran MPPUSM yang kita semua maklum dengannya.

Kewujudan program-program anjuran MPPUSM tidak lain ialah mengangkat harapan untuk membentuk warga mahasiswa yang bukan sahaja menjadi pencinta ilmu malah secara beransur mengubah paradigma juga sahsiah mahasiswa secara holistik. Alhamdulillah, melalui program yang sudah berlangsung, dapat disimpulkan bahawa harapan tersebut menjadi kenyataan. Syabas buat barisan MPPUSM !

Kesempatan ini juga, kami mewakili seluruh mahasiswa USM ingin merakamkan penghargaan buat Yang Dipertua MPPUSM, Saudara Mohamad Shafiq Bin Kamaruddin atas komitmen beliau yang begitu tinggi dalam memimpin organisasi mahasiswa USM. Satu kesepaduan yang mantap telah ditunjukkan dan kami melihat MPPUSM sebagai model prinsip RASIONAL, TOLERANSI, REALISTIK.

Sekali lagi, terima kasih MPPUSM 13/14 atas perkhidmatan kalian kepada mahasiswa USM !

Rasional Toleransi Realistik
Aspirasi USM.


Thursday, September 25, 2014

FITNAH DAN MEHNAH : KAMI JAWAB

Kami dimaklumkan ada pihak tertentu telah menyerang kami sebelum    semboyan       perang dibunyikan. Sabarlah sahabat-sahabat mahasiswa kami. Kuliah baru bermula kan.. Tapi tak mengapa, kami akan jawab segala persepsi buruk yang cuba dilemparkan oleh kalian ke atas kami.

Muka depan sebuah kaji selidik yang telah diedarkan bertujuan
menyerang Aspirasi USM.


Baru-baru ini, pada sebelah malam, terdapat sekumpulan siswi telah bergerak dari bilik ke bilik kononnya hendak menjalankan soal selidik. Tanpa sebarang kebenaran daripada pihak yang bertanggungjawab, mereka menceroboh privasi para penghuni dengan soalan-soalan berbaur politik yang sangat jelas hanya untuk memfitnah dan memburukkan Aspirasi USM. Kami akan senaraikan dua tiga soalan tersebut berserta jawapan bagi membetulkan salah faham dan persepsi negatif (fitnah) yang cuba dicipta dan ditanamkan oleh mereka ke atas mahasiswa-mahasiswi pencinta keamanan di USM ini.

Soalan pertama yang diajukan berkaitan logo. Teruskan memfitnah kami.


LOGO PPSL IALAH LOGO ASPIRASI?

Sebenarnya dah banyak kali kami jelaskan tentang isu ini tetapi masih gagal difahami dengan baik oleh mereka. Sejujurnya kami tak anggap mereka sebagai seteru politik, sebaliknya hanya berbeza sedikit dalam satu dua perkara. Tapi janganlah sampai mendustakan kebenaran dan memfitnah kami.

Pertama, biar kami jelaskan. Aspirasi bukan ideologi politik, bukan pertubuhan atau persatuan dan bahkan, bukan gerakan haraki kemahasiswaan seperti kumpulan di sebelah sana yang semua tahu siapa mereka. Kami tahu bahawa wujud kekeliruan di sini kerana mereka sering melabelkan kami sebagai musuh gerakan mereka di kampus ini.

Aspirasi ialah nilai. Dalam definisi secara harfiahnya, ia berkaitan semangat, hasrat dan kecintaan serta kesungguhan untuk mencapai sesuatu yang diimpikan. Kami juga ada impian dan uniknya, kami berkongsi impian tersebut secara bersama. Kami impikan kampus yang aman. Kami impikan hubungan antara mahasiswa dan mahasiswa yang baik. Kami impikan hubungan antara mahasiswa dan pihak universiti yang harmoni. Hubungan yang baik ini pasti akan memudahkan dan menguntungkan semua pihak. Adakah salah mempunyai impian-impian ini?

Nilai aspirasi di USM ini adalah suatu konsep pemupukan dan pemajmukan nilai yang lain. Biar kami senaraikan untuk kefahaman semua. Nilai-nilai tersebut ialah :

Rasional
Toleransi
Realistik

Ketiga-tiga nilai ini menjadikan kami lebih beraspirasi untuk bersama Universiti mencipta lebih banyak kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan. USM ini sebuah universiti yang cukup terbilang dan kita sebagai mahasiswa, kami fikir, perlu mendokong wadah perjuangan universiti bersama nilai-nilai yang betul dan signifikan. Ia ada di sana ketika misi dan visi USM ini digarap dan kami mendokong misi dan visi ini dengan bangga. Aspirasi USM, ialah misi dan visi USM sendiri. Adakah anda rasa ia salah mendokong misi dan visi USM?

Lawan kepada nilai-nilai ini pula boleh dilihat seperti mana berikut :

Rasional lwn Emosional
Toleransi lwn Demonstrasi
Realistik lwn Idealistik

Insya-Allah, jika ada kesempatan, kami akan huraikan maksud setiap nilai ini dengan lebih terperinci. Doakan kesempatan itu ada supaya semua faham dan semoga mereka akan faham kali ini.

Yang ingin difokuskan di sini ialah berkenaan logo PPSL yang didakwa sama seperti logo Aspirasi USM. Inilah yang kami katakan mereka gagal memahami kebenaran dan menolak pula kebenaran itu.

Untuk makluman, tiada agenda tersirat atau tersembunyi di sini. Ya, tiada!

Sedikit sejarah terhasilnya logo PPSL. Dahulu, sebelum dikenali sebagai PPSL, nama asalnya ialah PPMS atau Pembimbing Pelajar Minggu Suaikenal. Logo ini dicipta oleh Saudara Mohd Shafiq bin Saidon, bekas Yang DiPertua MPD Fajar Harapan 2008/2009 (kalau tak silap kami). Tujuan beliau mencipta logo dengan simbol hati ini sebenarnya berkait rapat dengan nilai-nilai aspirasi Universiti Sains Malaysia sendiri.

Seperti yang kami katakan tadi, Aspirasi USM bukan gerakan yang berorganisasi lengkap dengan ketua atau presiden bagai. Ia hanya rumpunan pendokong semangat dan cita-cita USM sahaja. Sesiapa pun boleh mendokong semangat dan cita-cita ini seperti PPMS dahulu dan PPSL kini. Tiada paksaan. Saya Aspirasi, Anda Aspirasi, Kita Aspirasi. Ia untuk semua. Adakah ini juga salah?

Namun, kelihatan mereka masih tidak faham dan cuba melemparkan fitnah ke atas kami dengan mencipta persepsi kononnya Aspirasi USM ialah gerakan terancang yang ingin mendoktrin suatu ideologi politik. Kami faham maksud mereka ini. Untuk makluman sahabat-sahabat kita ini, soal ideologi politik dan kecenderungan menyokong mana-mana pihak, itu ialah hak individu. Faham?

Jadi tak perlulah jadi agen penyebar fitnah lagi ye. Kedua-dua logo memang sama dan mendokong maksud dan nilai yang sama. Ia bukan logo sebuah parti politik atau pertubuhan dalam kampus. Kami tak pernah sibuk soal logo kalian yang mirip dengan simbol dan warna sebuah pakatan politik luar kampus, jadi tak perlulah sibuk dengan logo kami ini, okey? 

Wednesday, September 24, 2014

NOTA 10 TAHUN LEGASI

SHAFIQ KAMARUDDIN PENYAMBUNG LEGASI 10


Ketika kami diperkenalkan dengan beliau, kami fikir, Saudara Mohammad Shafiq bin Kamaruddin hanyalah mahasiswa kebanyakan. Tiada sesuatu yang istimewa pada diri anak muda ini. Namun, persepsi itu ternyata silap. Dianjak waktu, sedikit demi sedikit kami mula melihat sisi lain pada diri beliau terutamanya bakat kepimpinan yang besar tatkala golongan mahasiswa seperti kita sering dilabel sebagai lesu dan pasif.

Untuk rekod, Shafiq mengemudi Majlis Perwakilan Pelajar USM selaku Yang DiPertua selepas memenangi Pemilihan MPP Sidang Akademik 2013/2014 dengan bergaya. Dengan jumlah undi terkumpul sebanyak 3663 di belakang seorang lagi rakan seperjuangan, Saudara Jemindar bin Abdul Kadir yang mengumpul undi terbesar iaitu sebanyak 3680 undi, Shafiq terus membentuk sebuah pasukan yang mantap bersama 44 orang ahli Majlis Perwakilan yang lain membabitkan ketiga-tiga buah kampus utama USM.

Kemenangan Shafiq dan rakan-rakan dalam pemilihan ini juga membawa makna yang besar kepada perjuangan Aspirasi USM secara keseluruhan. Selepas 9 tahun berturut-turut Aspirasi USM menjadi nadi dan tulang belakang motto Kami Memimpin, Shafiq menggenapkan angka tersebut kepada 10 tahun – dengan cemerlang dan gemilang. 

Sesuatu yang kami pasti ada pada diri beliau secara kualiti ialah sikap rasional, toleransi dan realistik dalam setiap tindakan atau keputusan yang diambil. Pun tentu, Shafiq secara individu, kekal dengan ketegasan dan hal ini diperakui sendiri oleh rakan-rakan MPP yang lain. Gabungan kualiti inilah yang menjadikan beliau seorang ketua yang dihormati pelbagai pihak baik di dalam mahupun di luar kampus. Ya, bukan mudah menjadi ketua jika tiada nilai-nilai tersebut tetapi ia bukan susah juga untuk dipraktikkan bermula dengan jiwa kepimpinan yang tulus dalam diri seseorang pemimpin atau ketua itu sendiri. Ternyata Shafiq memiliki set nilai tersebut.

Sebaik dipilih secara majoriti oleh para perwakilan sebagai Yang DiPertua, Shafiq terus mengorak langkah yang lebih besar dan kejap apabila diundi sebagai Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menggabungkan semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar/Mahasiswa dari semua kampus IPTA seluruh negara. Kejayaan ini juga membawa makna yang besar kepada Aspirasi USM dan kita semua amnya kerana Shafiq telah mengulangi pencapaian mantan YDP MPP USM Sidang 2010/2011, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan yang turut dilantik sebagai Presiden MPPK yang pertama dari Bumi Minden ini.


Di USM, kami percaya semua kenal dan maklum akan kepimpinan Shafiq yang telah mengangkat budaya berwacana ke suatu tahap yang tinggi dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi di sini. Sehingga kini, tak kurang empat belas siri wacana ilmu telah dijayakan membabitkan pelbagai tokoh berpengaruh baik dari dalam negara mahupun dari peringkat antarabangsa. Usaha beliau dan pasukannya itu sedikit sebanyak telah meletakkan peranan mahasiswa USM dalam radar penebaran ilmu rentas bidang di luar bilik kuliah seperti yang sedang diusahakan oleh pihak Universiti.

Shafiq bersama Saudari Nursyifa Shahida, salah seorang
PPSL Sidang 2014/2015
Selain siri Wacana Ilmu yang menjadi fenomena di USM, Shafiq juga telah melancarkan pelbagai program lain baik di dalam kampus ataupun melibatkan masyarakat luar, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global. Selain itu, beliau juga berusaha gigih memastikan setiap manifesto yang dibentangkan oleh para ahli MPP direalisasikan sebaik mungkin sebelum penggal pentadbirannya berakhir pada penghujung Oktober ini.


Dalam siri artikel ini, kami akan luncurkan semula rekod-rekod kejayaan MPP USM Sidang Akademik 2013/2014 di samping mengimbas legasi 10 tahun kepimpinan MPP yang ditunjangi  para pendokong wadah Aspirasi USM. Teruskan menyokong kami kerana kami ialah anda dan kita ialah warga USM!

Tuesday, September 16, 2014

HARI INI DALAM SEJARAH,SELAMAT HARI MALAYSIA...

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA
SALAM ASPIRASI MENJUNJUNG PERPADUAN MAHASISWA...

Tarikh keramat 16 September berulang kembali. Detik bersejarah pada tanggal 16 September 1963 masih segar dalam ingatan. Penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah berjaya membentuk sebuah negara bangsa yang bernama Malaysia. Setelah 51 tahun Malaysia berdiri megah berdaulat sebagai sebuah negara yang bebas merdeka, ramai antara rakyat negara ini tidak pernah mengetahui sejarah pembentukan Malaysia. Dalam usia negara Malaysia yang telah mencapai separuh abad ini, marilah kita sama - sama mengetahui serba sedikit sejarah penubuhan Malaysia.

Perjuangan penubuhan Malaysia pada asasnya bermula sejak negara kita mencapai kemerdekaan iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Idea pembentukan Malaysia telah dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman kepada kerajaan British. Tunku telah meminta kepada kerajaan British untuk menggabungkan Brunei, Sabah, dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia. Cadangan Tunku ini tidak dipersetujui oleh pihak British kerana Singapura disisihkan. Buat pertama kalinya, Sir Malcom Macdonal iaitu Pesuruhjaya Jeneral Inggeris di Asia yang ditugaskan untuk menyelaraskan dasar Inggeris ke atas Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah, dan Sarawak menyarankan supaya wilayah-wilayah tersebut mengeratkan hubungan dari segi politiknya. 

Idea pembentukan Malaysia tercetus pada tanggal 27 Mei 1961 melalui ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ucapan tersebut berlangsung di Hotel Adelphi, Singapura semasa majlis makan tengahari di hadapan Persatuan Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara. Tunku melahirkan idea untuk mewujudkan satu bentuk penyatuan ekonomi dan politik yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu dengan wilayah-wilayah jajahan British iaitu Singapura, Brunei, Sabah, dan Sarawak. Idea ini dilahirkan atas kesedaran bahawa Tanah Melayu dan wilayah-wilayah terbabit sukar untuk berdiri sendiri serta berasingan. Cadangan ini membawa maksud perlunya kerjasama antara penduduk wilayah terbabit untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan British dalam menjayakan proses pembentukan gagasan politik baru di Asia Tenggara. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Oleh sebab itu, pada tahun 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) telah ditubuhkan bagi memberi ruang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang pembentukan gagasan Malaysia. Akhirnya, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menerima pembentukan gagasan tersebut dan mereka telah menyusun satu memorandum untuk dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini menjalankan satu tugas iaitu meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak, seterusnya membuat satu syor perlembagaan yang baru. Pada bulan Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kaum (JAK) telah ditubuhkan bagi merangka perlembagaan Malaysia. JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini telah diterima oleh pihak British. Berdasarkan laporan ini, Perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London bersama 4 anggota negeri yang terlibat pada 9 Julai 1963. Malaysia telah diisytiharkan secara rasminya pada tanggal 16 September 1963.

Menyedari akan hakikat sukarnya untuk membina sebuah negara yang bernama Malaysia, kita haruslah sedar bahawa kedaulatan yang ada pada hari ini mestilah dipertahankan. Beruntunglah kita kerana lahir setelah pembentukan Malaysia. Hakikatnya terdapat banyak tangan luar yang mencemburui penubuhan Malaysia. Masih ingatkah kita dengan 'janji 16 september' yang diluangkan oleh seorang individu. Realitinya janji ini pada hari ini hanya tinggal sebuah angan-angan yang palsu. Tujuannya hanyalah untuk memecahbelahkan keharmonian dan kedaulatan rakyat Malaysia. Ayuh rakyat Malaysia sekalian, jangan sesekali mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda jahat sesetengah pihak untuk melihat kehancuran kemakmuran dalam negara kita. Marilah kita bersama-sama memacu Malaysia ke arah kecemerlangan.

MALAYSIA,DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA
SELAMAT HARI MALAYSIA....

Sunday, August 31, 2014

PESANAN UNTUK WARGA BAHARU UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Assalamualaikum w.b.t Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada para pelajar yang telah terpilih untuk memasuki Universiti Sains Malaysia pada tahun ini. Anda amat bertuah kerana berjaya  menjadi sebahagian daripada keluarga besar USM. Anda adalah orang yang dipilih daripada mereka yang terpilih. Hal ini  kerana bilangan pemohon yang ingin masuk ke USM amat tinggi.  Pihak universiti sentiasa menanti kehadiran adik – adik dengan penuh gembira.

Menjadi sebahagian daripada warga USM membuatkan adik – adik telah bergelar seorang mahasiswa. Sebagai seorang mahasiswa baru, adik – adik patutlah mempunyai rasa syukur dan bertuah. Pihak universiti dengan penuh komited akan sentiasa memastikan semua mahasiswa USM akan dapat merealisasikan hasrat masing –masing. Kehendak setiap mahasiswa sentiasa akan didengari oleh pihak universiti.

Namun begitu, bukan mudah untuk memenuhi setiap tuntutan daripada semua mahasiswa. Hal ini kerana jumlah penuntut di USM terlalu besar.  Oleh itu, semua mahasiswa haruslah rasional dalam membuat keputusan dan tuntutan. Janganlah meletakkan kehendak emosi apabila ingin melakukan sesuatu perkara. Pihak universiti telah menyediakan pelbagai saluran kepada mahasiswa untuk meluahkan hasrat mereka. Gunakanlah saluran ini dengan sebaik mungkin. Mahasiswa tidak perlu terikut dengan budaya di luar kampus yang sering kali melakukan demonstrasi apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Keadaan ini akan memburukkan imej mahasiswa. Usahlah menjadi dalang kepada pihak tertentu yang ingin mengeksploitasi golongan mahasiswa untuk kehendak politik mereka. Mahasiswa perlu rasional dalam menilai sesuatu perkara dengan matang. Pihak universiti akan sentiasa melindungi golongan mahasiswa.

Hidup dalam sebuah keluarga yang besar memerlukan setiap mahasiswa mempunyai sikap toleransi dalam diri mereka. Erti toleransi yang sebenar dapat diterjemahkan dalam kehidupan mahasiswa di dalam kampus. Sebagai seorang mahasiswa adik –adik haruslah bergerak bersama universiti untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Setiap dasar yang dibawa oleh pihak universiti  telah mengambil kira keperluan setiap mahasiswa. Adik –adik janganlah terpengaruh dengan dakyah daripada pihak luar yang ingin memburukkan nama universiti. Golongan ini kebiasaannya akan menjadi pendesak kepada universiti untuk memenuhi kehendak mereka. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini secara agresif ingin menyemai benih kebencian dalam setiap mahasiswa terhadap pihak universiti. Bersama – samalah kita berganding bahu sebagai sebuah keluarga untuk menjayakan hasrat universiti.

Banyak pihak pada hari ini serangkali melaungkan pelbagai retorik untuk menarik golongan mahasiswa menyokong mereka. Menyedari akan hakikat ini, setiap mahasiswa haruslah mempunyai sikap realistik dalam diri anda. Janganlah terpengaruh dengan retorik yang dibawa oleh sesetengah pihak. Tidak guna hebat berjanji jika tidak mampu untuk melaksana. Golongan mahasiswa haruslah sedar terhadap ancaman tersebut. Pihak universiti sentiasa realistik dalam setiap perancangan yang dibuat. Tidak seperti pihak tertentu yang hanya tahu menabur janji, pihak universiti sentiasa memastikan dasar yang dilakukan oleh mereka adalah realistik bukan idealistik.

Akhir kata, kepada adik – adik semua, sematkanlah azam dan semangat dalam diri anda untuk menjadi keluarga USM yang setia. Marilah kita bergerak bersama ke arah kecemerlangan universiti. Jadilah seorang mahasiswa yang mempunyai sikap rasional, toleransi, dan realistik. Janganlah melakukan perbuatan yang boleh mencemarakan nama baik seluruh warga universiti. Selamat maju jaya dan semoga anda gembira menjadi keluarga baru USM.

Friday, August 29, 2014

KERINGAT BANGSA JANGAN DIPERSIA

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa....

Kebebasan merupakan  impian setiap insan di muka bumi ini. Nilai kebebasan tidak mempunyai pengganti yang setanding dengannya. Sejarah perjuangan telah menunjukkan bahawa nilai kebebasan begitu sukar untuk disemai dalam diri manusia.. Benih perjuangan yang disemai pada hari ini belum tentu akan dapat dituai dan memerlukan masa yang panjang untuk menikmati hasilnya. Menelusuri sejarah perjuangan negara, dapatlah dilihat bhawa matlamat untuk mendapatkan kebebasan merupakan faktor utama dalam sesebuah perjuangan. Realitinya situasi pada hari ini, bukti kebebasan sudah terbukti di depan mata kita. Menikmati nilai kebebasan menyebabkan kita tidak pernah terfikir erti penjajahan. Generasi pada hari ini leka menikmati hasil benih perjuangan oleh generasi terdahulu. Keringat yang gugur semasa perjuangan menyebabkan pohon kebebasan menjadi semakin subur. Hukum putaran alam menunjukkan bahawa, setiap pohon yang subur pasti akan tumbang juga sekiranya tidak dijaga dengan baik..

Ketika  pewaris bangsa sedang nyenyak menikmati kemmewahan dunia, seringkali mereka terlepas pandang akan ancaman daripada segenap ruang. Relakah kita melihat tangan- tangan barat menggoncang pohon kebebasan kita. Globalisasi pada hari ini menyebabkan banyak dakyah dan propaganda negatif telah disemai dalam jiwa generasi pasca merdeka. Memburkkan lagi keadaan apabila terdapat tangan- tangan ghaib daripada bangsa kita sendiri yang ingin merobohkan sejarah kebebasan bangsa. Mereka rela menepuk tangan dengan gembira apabila bangsa sendiri dilabel sebagai celaka. Sedih hati kita apabila menilai mentaliti generasi pasca merdeka. Sejarah keagungan bangsa menunjukkan bahawa tamadun mesir purba pernah runtuh akibat pengkianatan bangsa. Justeru itu , sedarlah wahai pewaris bangsa. Tidak guna berdemo untuk meluahkan rasa tidak suka. Hakikatnya negara kita mempunyai saluran dan caranya. Pertahankanlah kedaulatan bangsa.Wariskanlah negara kita kepada anak bangsa sebagai generasi merdeka.

Sunday, August 24, 2014

MERDEKA 57 SEMARAK SEMANGAT PATRIOTISME MAHASISWA @AspirasiUSM


Assalamualaikum Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Dalam menyusun langkah melewati susur masa, negara kita telah menerima pelbagai ujian getir. Antara peristiwa sukar yang dilalui seluruh rakyat Malaysia ialah tragedi kehilangan pesawat milik Malaysian Airlines (MAS) iaitu MH370. Lima bulan kemudian, satu lagi tragedi menimpa melibatkan pesawat yang juga milik MAS iaitu MH17. Tragedi ini sungguh memilu hati menuntun rasa kemanusiaan kita kerana pesawat tersebut adalah 'mangsa' pergolakan antara Ukraine dengan pihak pemberontak pro Rusia. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya. Dia jua yang Maha Mengetahui apa yang sebenar-benarnya berlaku terhadap kedua-dua buah pesawat terbabit.

Mari sejenak kita sedekahkan Al Fatihah kepada mangsa tragedi kedua-dua pesawat MH370 & MH17.

Pada bulan Ogos ini, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos, sudah menjadi kebiasaan saban tahun, hari tersebut akan dirai dengan kemeriahan. Namun, persoalan yang ingin AC lontarkan dan sebenarnya juga menjadi perkara yang ingin AC mahu pembaca melihat kembali. Apakah sebenarnya nilai dan erti kemerdekaan negara kepada kita?

Adakah kita menghayatinya? Adakah kita menginsafi setiap nikmat kebebasan, kemewahan, limpah rahmat yang ada kini? Adakah kita mengucap syukur setiap kali kita menghirup udara hasil daripada pengorbanan nenek moyang kita? Dan, masihkah ada sekelumit cinta/ sayang/ ingin berkorban untuk agama, bangsa dan Malaysia ini?

Ini hanya sebahagian daripada rasa pedih yang mencucuk-cucuk jiwa marhaen yang sayang pada agama, bangsa, dan negaranya.

Tema Kemerdekaan Malaysia yang ke-57

Mahasiswa merupakan golongan yang menerima pendidikan di tahap yang tinggi dan dihormati masyarakat. Seharusnya kita sudah matang untuk membuat pertimbangan dalam segala hal termasuklah mengasingkan sentimen. Dalam usaha untuk mencapai masyarakat yang seimbang dan harmoni, kita juga perlu berperanan untuk menyebarkan semangat patriotik berpaksikan perasaan sayang kepada negara dan juga bangsa. Mungkin ada yang berpendapat bahawa sayang kepada bangsa dan negara adalah 'rasis'. Namun hakikatnya tanpa kedua-duanya, kita sudah menolak jati diri kita yang sebenar. Lama-kelamaan, jika dibiarkan maka ia akan membarah dalam masyarakat dan akhirnya tiada generasi muda yang mahu memandang berat isu bangsa dan negara sendiri dek kerana begitu mahu 'bertoleransi' !


Justeru, dalam usaha kita memantapkan masyarakat dan negara, kita sudah muak dengan pemimpin pembangkang yang mempolitikkan agama dan bangsa yang akhirnya mereka tidak sedar, mereka tidak tahu, dan mereka tidak peduli bahawa mereka adalah 'kesilapan' dalam rencana ini. Misalnya kemelut Menteri Besar Selangor sudah pun menjadi pengajaran kepada penyokong-penyokong pembangkang. Pemimpin yang terbabit dalam isu MB Selangor bagai 'pemain' yang sedang berwayang kepada rakyat.

Mahasiswa kini sudah matang. Jika ada yang salah tidak kira pemerintah mahupun pembangkang, kita tampil untuk menyatakan kesalahan tersebut. Dengan rukun 'Rasional Toleransi Realistik', AC tegaskan bahawa kita bukanlah pihak yang sesetengahnya menganggap mudah untuk 'digula-gulakan' dan menurut secara semberono. Ini pendirian mahasiswa yang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Sesungguhnya kita sebagai rakyat pastinya mencintai negara dan bangsa seterusnya tidak mahu digolok gadaikan oleh pihak tertentu. Ambillah ibrah daripada setiap ujian yang Allah S.W.T beri kepada kita agar ianya menjadi anugerah kepada kita. Ingatlah sahabat-sahabatku, nikmat kemerdekaan ini sukar diraih kembali jika ianya telah diragut.


Mantapkan agama, bangsa, dan negara, julang semangat patriotisme.

#Di_Sini_Lahirnya_Sebuah_Cinta #Merdeka57 #BungaRaya #Malaysia

AC.

Wednesday, May 14, 2014

Umat Islam diancam fahaman humanrightisme – Najib

KUANTAN, 13 Mei – Agama Islam dan umatnya kini diuji dengan satu bentuk ancaman dan serangan baharu yang agresif iaitu fahaman humanrightisme yang mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fahaman itu dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang amat pesat berkembang di dalam dan luar negara.

“Fahaman humanrightisme ini, di mana rambu dan rencah utamanya adalah berasaskan pemikiran humanisme dan sekularisme serta liberalisme.

“Ia bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila. Mereka lakukan ini kononnya atas dasar memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-57 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah di sini malam ini.              

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berkata pemikiran songsang itu cuba dicerna dan disebarkan dengan mengaitkan kesucian agama Islam dan ia merupakan ancaman yang amat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam itu sendiri.

“Makanya pada hari ini sekali lagi kita menegaskan bahawa agama Islam yang dianuti, yang diamalkan dan dinobatkan sebagai agama negara (rasmi) di Malaysia adalah Islam yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad dan sahabat baginda.

“Kita tidak akan reda dengan sebarang tuntutan agar hak untuk murtad daripada Islam diberikan, atau hak umat Islam ini dilaksanakan melalui Mahkamah Syariah dinafikan, mahupun sebarang perilaku songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender),” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan Maqasid Syariah (pelaksanaan syariat mengikut al-Quran dan Sunnah), Malaysia amat menitik-beratkan kebajikan setiap insan tanpa mengira kaum dan warna kulit, bahasa dan agama.

Najib berkata keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan adalah ciri wasatiyyah atau kesederhanaan yang digunakan untuk pelaksanaan hak asasi manusia di negara ini.

“Manakala pemahaman hak asasi manusia yang ekstrem diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, perlembagaan dan nilai budaya bangsa.”

Perdana Menteri berkata, pemahaman agama Islam yang sebenar dan menyeluruh menjadi asas kekuatan negara dan rakyat harus berusaha memahami al-Quran mengikut  pemahaman Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kepada Allah SWT serta persaudaraan erat sesama Islam.

“Oleh demikian, umat Islam diingatkan supaya terus menghayati dan memahami secara mendalam bacaan ayat suci al-Quran,” katanya.
Beliau berkata tema majlis tilawah kali ini “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ sesungguhnya berkait rapat dengan kesederhanaan yang dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sirahnya.

“Meneladani sunnahnya (Nabi Muhammad SAW), maka telah sekian lamanya negara kita telah meletakkan keharmonian dan keadilan serta kesatuan antara rakyat dan Malaysia sebagai agenda utama negara.

“Ini sejajar dengan usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya. – BERNAMA




PERGOLAKAN POLITIK DUN TERENGGANU - ROBIN HOOD, TUAH DAN JEBAT

Oleh : Admin Kak Seri

Tidak semena-mena politik di Terengganu berkocak. Bukan kocakan biasa-biasa. Ibarat tsunami jugalah kerana berupaya merobohkan sebuah pemerintahan kerajaan negeri. Dalam amalan demokrasi, ia biasa. Tapi dari sudut politik pentadbiran, ia agak mencemaskan.

Daripada mata kasar orang awam yang mengikuti hal ehwal politik negara pula, ia sesuatu yang di luar dugaan walaupun cerita-cerita tentang perubahan tampuk pimpinan dalam pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar. Senang cakap, memang dah tersebar luas cerita Menteri Besarnya akan digantikan dengan individu lain.

Hal ini susulan perjanjian awal antara bekas Menteri Besarnya dengan pentadbiran parti yang diwakili untuk berundur selepas setahun memerintah berikutan prestasi kurang memuaskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.  Maka, bila disebut perjanjian, haruslah pula ia dihormati dan dipatuhi.

Namun, keadaan menjadi kelam kabut apabila bekas Menteri Besar itu mengumumkan keluar dari parti dan mengisytiharkan diri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas hanya beberapa jam selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan sejurus selepas Menteri Besar baharu dilantik dengan perkenan Sultan Terengganu.

Kocakan inilah yang mencetuskan tsunami sehingga nyaris-nyaris menumbangkan kerajaan negeri Terengganu berikutan dua orang lagi Yang Berhormat ADUN ikut serta keluar parti menyebabkan kedudukan kerusi di DUN menjadi 14:15:3.

Kedudukan ini, jika dinilai secara mata kasar, sudah membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini, kerana parti memerintah masih mempunyai kerusi Speaker Dewan untuk menyelamatkan keadaan. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

Namun, ia bukanlah mudah untuk sebuah kerajaan negeri meneruskan pemerintahan dalam keadaan terikat dengan jumlah konstituensi yang sama dengan pembangkang melainkan salah seorang, atau dua atau kesemua ADUN Bebas itu mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemerintah sedia ada. Dalam erti kata lain, isytiharkan sokongan kepada kerajaan negeri. Dan, situasi sebaliknya akan berlaku jika salah seorang, atau dua atau kesemuanya mengisytiharkan sokongan kepada pembangkang. Maka, pada bila-bila masa juga, perubahan akan berlaku.

Situasi ini sebenarnya amat tidak kondusif, tidak sihat dan tidak pragmatik dalam pentadbiran mana-mana kerajaan.

Untuk seketika, semua pihak mula mencongak bilakah DUN Terengganu akan dibubarkan bagi memberi  jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan. Hanya melalui kaedah ini sahaja keadaan boleh dipulihkan, itu pun jika mendapat perkenan Sultan Terengganu. Pun tentu, ia bukanlah semudah yang dijangkakan kerana kuasa sebenar kini terletak pada Ahli-ahli DUN Bebas tersebut.

Ketika pembangkang turut memulakan langkah proaktif ke arah ‘mengambil-alih’ kuasa, tidak semena-mena salah seorang ADUN Bebas tersebut mengumumkan menarik balik surat pengisytiharan keluar parti dan kembali ‘taat’ kepada partinya, sekaligus menjadikan kedudukan 15:15:2, dengan tambahan kerusi Speaker Dewan kepada blok pemerintah kerajaan negeri. Maka kedudukan kini ialah 16:15:2 – masih rapuh sebenarnya.

Dan, untuk seketika kini, pemerintah kerajaan negeri boleh menarik nafas lega. Menteri Besar baharunya juga dikhabarkan telah selamat mengetip kad kehadiran kerja pagi tadi sekaligus memulakan tugas rasminya hari ini. Tetapi, tiada siapa boleh menyatakan bahawa beliau akan bertugas dengan tenang sekurang-kurangnya untuk sehari ini. Banyak yang perlu dilakukan. Terlalu banyak. Rumah yang rosak perlu dibaiki ketika ancaman tsunami baharu kekal wujud.

Dan untuk kita, apa yang boleh dipelajari?

Sebelum itu, kami ingin kongsikan sedikit secara ringkas fakta ini. Semua tahu, bekas Menteri Besar yang bertindak keluar parti itu dahulu juga naik secara kontroversi. Beliau naik ke tampuk pemerintahan ketika Menteri Besar sebelumnya ‘diturunkan’ takhta pada waktu kemuncak kegemilangan.

Jika Menteri Besar yang keluar parti itu berasakan beliau cukup popular di mata rakyat, Menteri Besar sebelumnya juga tidak kurang hebatnya. Siapa boleh nafikan, bekas Menteri Besar itu yang kini menjadi Menteri Pendidikan II, telah mengubah lanskap sosiopolitik dan ekonomi Terengganu selepas berjaya mengembalikan pemerintahan yang dikuasai parti pembangkang selama sepenggal sebelumnya.

Paling diingati rakyat Terengganu tentunya, agenda pendidikan yang dipacu oleh bekas Menteri Besar itu sehingga meletakkan Terengganu di persada pendidikan negara. Ramai rakyat  Terengganu hari ini lahir sebagai produk revolusi pendidikan yang dibawa oleh bekas Menteri Besar tersebut dan terus menerpa kejayaan di peringkat lebih tinggi baik di dalam mahupun di luar negara. Dan bekas Menteri Besar yang keluar parti itu pula, hanya meneruskan kecemerlangan tersebut sambil mencipta satu dua perubahan baharu, sambil menjadi Robin Hood rakyat untuk popular.  

Memang tidak dinafikan, ada satu dua juga tindakan Menteri Besar yang keluar parti itu disukai rakyat tetapi kita perlu menilai dari neraca politik keseluruhannya, terutamanya terhadap diri Menteri Besar yang keluar parti itu sendiri, sebelum merumuskan secara mutlak.

Robin Hood juga buat silap. Apatah lagi Jebat dan Tuah. Tetapi siapakah yang akhirnya di pihak yang benar? Untuk membandingkan ketiga-tiganya memang tidak adil kerana situasi dan zaman tidak relatif sama. Namun, ada perkara-perkara boleh dirujuk sebagai panduan nilai.

Bekas Menteri Besar yang kini menjadi Menteri Pendidikan II, jelas sekali bertindak sebagai Tuah yang bijaksana. Beliau tidak merajuk ketika hilang takhta atas perkenan Sultan. Beliau kekal tenang, tidak emosi hingga keluar parti dan meneruskan tugas sebagai YB seperti biasa. Sebagai orang politik, egonya sangat dicabar ketika itu. Daripada seorang Menteri Besar, beliau diturunkan menjadi ADUN biasa di dalam dewan. Namun, lihat siapa beliau hari ini?

Sebaliknya, bekas Menteri Besar itu yang bertindak keluar parti, jelas sekali terlalu beremosi dalam tindakannya. Ya, kita tidak tahu apa yang berlaku tetapi apa yang kita lihat hari ini, tidak kurang juga boleh dinilai dan dianalisa. Alasan kenduri kahwin jelas suatu alasan yang diada-adakan kerana beliau mempunyai masa setahun untuk merancang! Kenapa tarikh tersebut yang dipilih? Tak perlu bicara soal tolak ansur di sini kerana setahun masa yang diberikan itu adalah ruang tolak ansur sebenar yang telah diberikan kepada beliau.
Kini, Robin Hood ini perlu menilai dan bermuhasabah atas dirinya sendiri. Apakah yang diperolehi selepas mengambil tindakan tersebut? Apakah pula kebaikan kepada rakyat, negeri dan negara?

Di atas segala kemelut ini, kita perlu sampaikan mesej penting ini kepada semua ahli politik di luar sana :


“Cukup-cukuplah. Politik perlukan kematangan. Takkan itu pun rakyat perlu ajar?”  - KS


PENAFIAN : Artikel ini hanya pandangan peribadi admin KS dan tidak mewakili pandangan keseluruhan Aspirasi USM. 

Thursday, March 6, 2014

SIAPA SITI KASIM MAHU BODOHKAN ULAMA?

5 Mac 2014, Mahkamah Persekutuan bersidang mendengar permohonan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di Malaysia.

Sebelum itu, pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan telah pun membuat keputusan tersebut dan disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam dengan harapan polemik ini akan berakhir secepat mungkin. 

Ya, ia polemik. Polemik yang cukup sukar. Polemik yang perlu ditangani dengan cermat. Apabila diheret ke mahkamah, maka ia perlu diadili sebaik-baiknya dengan lunas perundangan yang paling tepat.  

Namun, kemunculan pelbagai pihak yang tidak diketahui asas ilmu mengenal Allah secara tiba-tiba dengan pelbagai kenyataan yang mengarut dan menyimpangi kebenaran sedikit sebanyak telah mengeruhkan keadaan. Natijahnya, polemik penggunaan kalimah Allah menjadi kian sukar dan rumit.

Terbaru, kenyataan yang dikeluarkan oleh Siti Zabedah Kassim, seorang peguam dan aktivitis yang mengaku masih Islam dan berbangsa Melayu. Dalam kenyataan beliau itu, beliau melabelkan orang Melayu yang mempertahankan kalimah Allah ini sebagai lembu yang bodoh kerana patuh sahaja kepada saranan alim ulamak dalam isu ini. 


Lihat apa kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan ; “..kalau agama lain yang tuhannya tidak satu bahkan tiga ataupun lebih, tiba-tiba nak guna Allah, itu mengarut!”

Maka siapa Siti Kassim ini jika dibandingkan dengan Tuan Guru yang disanjungi umat Islam di Malaysia ini?

Melayu Liberal

Sejarah membuktikan golongan seperti Siti Kassim sentiasa wujud pada setiap zaman. Bukan hanya pada zaman ini sahaja golongan liberal yang mentafsir agama dan kepercayaan dengan akal fikiran ini sentiasa cuba memesongkan kebenaran, malah pada zaman Baginda Rasulullah SAW pun sudah ada. Antara yang terkenal ialah Abdullah bin Ubai bin Salul dan Dzul Khuwaisirah. Jika dibandingkan dengan Siti Kassim yang mengaku Islam, apalah sangat. Namun ironinya, mereka berkongsi banyak persamaan : mengaku Islam tetapi berakhlak sebaliknya. 

Siti Zabedah Kassim.

Pada zaman ini, istilah yang lebih popular untuk golongan ini ialah Islam Liberal yang kuat berpegang kepada konsep pluralisme akidah. Ia bermaksud, mereka percaya bahawa semua agama dan kepercayaan adalah sama kerana menyembah Tuhan yang sama iaitu Allah. Yang berbeza ialah kaedah penyembahan, dan pada mereka, soal kaedah bukanlah isu yang besar.

Jika semua agama benar, yang mana yang diredhai Tuhan?

Bagi orang Islam, Rabb yang disembah hanya Allah SWT, Yang Maha Suci, Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan.

Sebelum kedatangan Islam, yakni sejak terciptanya Nabi Adam AS dan diturunkan ke alam dunia lagi semua manusia diperintahkan menyembah Allah. Zaman beredar tetapi Rabb tetap sama. Namun manusia dengan angkuh mula mencipta pelbagai perkara karut dalam usaha ‘mencapai’ Tuhan. Ada yang mencipta berhala, ada yang menyembah pokok, gunung-ganang, sungai dan sebagainya lagi. Mereka menjadikan simbol-simbol tersebut sebagai perantara kepada Tuhan Yang Satu (Allah) bahkan sampai ke tahap menyekutukanNya!

Adakah Siti Kassim boleh rasionalkan kenapa situasi ini berlaku? Bolehkah Siti Kassim berikan jawapan dengan ilmu perundangannya itu sekaligus membantu kita memahami bahawa tindakan-tindakan menyekutukan Allah itu adalah tindakan yang benar dan diredhai oleh Allah sendiri? Hal ini demikian kerana, menurut kefahaman kita dan para alim ulamak, tindakan menyekutukan Allah adalah tindakan syirik yang paling besar. Jika Siti Kassim percaya bahawa semua kaedah ‘mencapai’ Tuhan itu bukan perkara yang perlu diberatkan, maka dia juga perlu menjelaskan kenapa Allah menurunkan Al-Quran kepada Muhammad SAW mengikut kefahamannya sendiri (itu pun kalau beliau masih beriman kepada Al-Quran).

Rasulullah SAW Memperbetul Kesilapan Beragama dan Kepercayaan Manusia

Sebelum Baginda Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, masyarakat Arab Jahiliyah yang terdiri daripada kaum Kafir Quraisy menyembah pelbagai bentuk berhala. Jumlahnya bukan sedikit bahkan mencecah ratusan jenis. Masyarakat Arab ketika itu hidup dalam keadaan yang begitu jahil tetapi bukanlah bermakna mereka tidak beragama. Mereka menyembah pelbagai Tuhan dan menyekutukan Allah pada masa yang sama. Kerana kejahilan yang melampau, mereka tidak lagi mengenal Allah SWT sebagai Rabb Yang Menciptakan Alam Semesta.

Keadaan ini berterusan untuk satu tempoh yang lama sehinggalah Allah melantik Muhammad menjadi Rasul terakhir yang berperanan membetulkan kesilapan-kesilapan tersebut. Nabi Muhammad sebagai Rasulullah diberikan tanggungjawab dan amanah untuk berdakwah kepada kaumnya supaya menyembah Allah SWT yang sebenar-benarnya, berhenti menyekutukanNya dengan berhala-berhala buatan tangan dan meninggalkan amalan jahiliyah yang lain. Muhammad SAW mengajarkan Islam, yakni deen yang bermaksud jalan hidup yang menyeluruh yang sejahtera, aman dan selamat.

Dengan turunnya Islam maka segala jalan lain atau kaedah untuk ‘mencapai’ Tuhan yakni Allah itu dianggap tidak lagi valid, terbatal dan termansuh dengan sendirinya. Kenapa? Inilah yang perlu difahami oleh Siti Kassim. Islam sebagai jalan hidup yang menyeluruh adalah suatu jalan yang diredhai Allah SWT, tiada jalan lain kecuali Islam. Jadi bagaimana Siti Kassim boleh ‘redha’ dengan pelbagai bentuk penyekutuan yang dilakukan oleh fahaman lain terhadap Allah sedangkan Allah sudah pun menetapkan kaedah yang paling benar, valid dan wajib diikuti oleh sekalian manusia yakni Islam?

Sepatutnya Siti Kassim menyertai umat Islam yang lain termasuk para alim ulamak dan menyeru orang bukan Islam supaya mengEsakan Allah SWT.

Pertahan Kalimah Allah Bukan Isu Bangsa Tapi Akidah

Dalam klip video yang menyiarkan kenyataan Siti Kassim selepas mahkamah bersidang, jelas sekali Siti Kassim lebih banyak menyerang orang Melayu berbanding menyebarkan kebenaran bahawa “Allah itu Tuhan seluruh alam” seperti yang terpampang di bajunya.

Apakah yang Siti Kassim faham dengan maksud ayat “Allah Tuhan seluruh alam” itu? Adakah Siti Kassim faham “Allah Tuhan seluruh alam” itu membawa maksud Allah Yang Maha Pencipta telah mencipta dan menguasai seluruh isi alam termasuk manusia dan makhluk-makhluk yang lain? Namun manusia dengan angkuh dan sombongnya, dengan sedikit akal yang dikurniakan, telah menyekutukan Allah SWT dan pada masa yang sama pula, Allah SWT tidak rugi apa-apa pun akibat daripada perbuatan manusia-manusia yang menyimpang itu. Yang akan rugi ialah manusia-manusia itu sendiri kerana menolak kebenaran yang hakiki.

Adakah Siti Kassim termasuk dalam golongan itu seperti kata-kata beliau, “Saya tidak kisah orang nak kata saya murtad. In the end, tuhan yang akan judge saya,…”? Siapakah ‘tuhan’ yang dimaksudkan akan judge beliau nanti itu? Tuhan yakni Allah yang disembah oleh umat Islam (sebenar-benar jalan yang diredhai oleh Allah SWT sendiri) atau tuhan versi palsu yang lain?

Kita perlu sedar dan beriman bahawa Rabb yang kita sembah ialah Rabb yang khusus merujuk kepada Allah, bukan tuhan yang difahami secara umum yang boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya sebagai God seperti yang dituntut oleh pihak The Herald dan gereja dalam polemik ini. Hal inilah yang gagal difahami oleh Siti Kassim dengan sebaik-baiknya. Kita boleh bersangka baik, mungkin ilmu agamanya cetek dan kefahaman beliau terhadap konsep tauhid senipis kulit bawang, namun jangan sekali-kali kita menyokong Melayu Islam Liberal seperti beliau yang tegar dalam kejahilannya itu.

Ini isu akidah yang besar, bukan soal perjuangan bangsa. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia yang lahir akibat pluralisme akidah yang melampau turut berlaku di negara ini. Di Indonesia, saban tahun jumlah orang Islam yang murtad (keluar daripada Islam) mencecah angka 2 juta orang. Kenapa hal seperti ini berlaku? Kami tidak perlu menjawab persoalan ini sebaliknya kita perlu bersama-sama berfikir untuk mencapai kefahaman supaya pada akhirnya kita boleh bersatu menegakkan kebenaran.

Kepada Siti Kassim dan mereka yang menuntut hak penggunaan kalimah Allah itu kepada orang bukan Islam, jika kalian masih Islam, tanyalah hati kecil anda, “kenalkah aku siapa Tuhanku yang sebenar-benar?” Mudah-mudahan, kalian peroleh jawapan yang benar.

Allah itu Maha Benar. Islam itu jalan yang benar. Carilah kebenaran melalui jalan yang benar ini supaya kita kenal siapa Tuhan yang sebenar-benarnya benar. 


Nota : Artikel ini ialah pandangan peribadi admin.

Wednesday, February 26, 2014

WACANA ILMU SIRI 2 TAMPILKAN KHAIRY JAMALUDDIN

Wacana Ilmu Siri 1 yang menampilkan Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Muda Malaysia (ILMU), Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya, telah berlangsung dengan jayanya pada 24hb Februari yang lalu.

Program yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS 1) itu penuh sesak dengan kehadiran lebih 500 orang mahasiswa dan mahasiswi USM yang cintakan ilmu.

Minggu ini, Wacana Ilmu diteruskan dengan Siri 2 yang bakal menampilkan seorang lagi tokoh muda negara, Yang Berhormat Tuan Khairy bin Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Kehadiran tokoh berprofil tinggi ini pasti dinanti-nantikan oleh para 'peminat' beliau lebih-lebih lagi beliau turut dijangka melancarkan majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia di samping beramah mesra dengan warga USM.

Khairy Jamaluddin yang dikenali berperwatakan sempoi dan bersahaja turut akan melancarkan kempen Wheels for All dengan kerjasama Pusat Sukan USM yang bertujuan menggalakkan penggunaan basikal di dalam kampus bagi mengurangkan pencemaran udara.

Sama-sama kita nantikan beliau! 



Klik Event@USM untuk mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai program lain di USM. 

ASPIRASI USM LANCAR PAUTAN EVENT@USM

Blog Aspirasi USM, Aspirasi Corner, hari ini memasang pautan khas dikenali sebagai Event@USM sebagai salah satu platform interaktif mempromosikan program-program di USM.


Pelayar hanya perlu klik pada imej di atas yang dipasang di sebelah atas pada sidebar blog ini. Buat masa ini pihak admin masih mengumpul poster-poster program sebelum dimuatnaik mengikut urutan tarikh. 

Pihak admin Aspirasi Corner tidak mempunyai apa-apa kepentingan melainkan bertujuan membantu dari segi publisti secara percuma. Pihak penganjur boleh memaklumkan kepada kami menerusi FB rasmi Aspirasi USM jika mahu program mereka dipautkan di sini atau sebaliknya. 

Friday, February 21, 2014

KENAPA KITA LAIN?

We Lead. Itulah motto Universiti Sains Malaysia. Sejak ia diperkenalkan secara rasmi, motto ini kian meresapi jiwa setiap warga Universiti APEX pertama di Malaysia. Dalam apa-apa juga program atau aktiviti yang dijalankan, motto ini akan dimanifestasikan supaya pada akhirnya akan memberi kelainan kepada golongan sasar.

We Lead juga meresapi Tujuh Teras APEX yang telah banyak menjulang nama USM. Teras-teras tersebut adalah seperti berikut :

  1. Masa hadapan
  2. Kelainan
  3. Kelestarian
  4. Kemanusiaan
  5. Kesegajatan
  6. Perubahan
  7. Pengorbanan


Daripada ketujuh-tujuh teras ini, teras kedua iaitu Kelainan boleh disifatkan sebagai teras paling berjaya menyerlahkan identiti USM sebagai sebuah Universiti APEX di negara ini. Ia boleh dilihat dalam pelbagai aspek sama ada akademik, kokurikulum mahupun pembangunan sahsiah pelajar yang lain terutamanya menerusi program-program di luar bilik kuliah.

Selepas diiktiraf sebagai Universiti APEX, pihak pengurusan universiti telah merangka pelbagai bentuk modul dan latihan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai kualiti modal insan, seimbang antara jasmani, emosi, rohani dan intelektual dan boleh bersaing dalam semua peringkat cabaran.

Salah satu program berimpak tinggi yang digarap khas untuk mahasiswa USM ialah Pimpin Siswa Asas dan Lanjutan. Program seumpama ini tidak pernah ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi yang lain lebih-lebih lagi dalam bentuk yang begitu sistematik dan menyeluruh. Rata-rata mahasiswa generasi APEX sudah melalui pengalaman sebagai peserta Pimpin Siswa dan layak bergelar Alumni Pimpin Siswa APEX.

Hari ini, modul-modul Pimpin Siswa yang dirangka untuk mahasiswa USM sudah mula menarik perhatian universiti-universiti lain. Terbaru, delegasi dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah membuat kunjungan ke Pusat Pembangungan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar (PPKSP) yang bertanggungjawab mengurusjayakan Pimpin Siswa untuk belajar selok-belok program ini. Dalam pertemuan itu, pihak PPKSP yang diwakili Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Dr. Nazaruddin Zainun bersama-sama Timbalan Pendaftar BHEPP, Tuan Haji Husin bin Yahya dan Pengerusi Yayasan USM, En. Abdul Rashid Rejab tanpa lokek bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan delegasi UMP.

Delegasi UMP sedang mendengar taklimat berkaitan Program
Pimpin Siswa di PPKSP, USM Induk.

Selain itu, USM juga menjadi rujukan sebuah lagi universiti di utara tanah air dalam pengurusan acara ekspo konvokesyen. Pada 20hb Februari 2014, delegasi dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) berkunjung ke USM bagi mempelajari kepakaran Sekretariat CONVEX menguruskan acara besar itu setiap tahun. Pihak BHEPP yang diwakili En. Zulkifli bin Che Hussein telah menyempurnakan pembentangan dengan jaya sekaligus menarik perhatian delegasi UNIMAP.

Sesi perkongsian pengalaman CONVEX bersama Delegasi
UNIMAP. 

Sementara itu, satu lagi program yang telah banyak menjulang nama USM ialah Dewan Perundingan Pelajar (DPP). Lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa, ia turut mendapat perhatian daripada pelbagai universiti ternama di seluruh negara. Jika sebelum ini wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pernah menyertai sidang perbahasan sebagai pemerhati, baru-baru ini delegasi dari Universiti Al-Bukhary juga turut menyertai persidangan sekaligus belajar secara lebih dekat perjalanan dewan perundingan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Terbaru, pada 22hb dan 23hb Februari 2014 ini, kita sekali lagi akan menerima kunjungan delegasi dari sebuah universiti utama negara iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Delegasi penting ini akan mengikuti sesi pembentangan dan taklimat khas berkenaan DPP yang akan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor BHEPP USM, Prof. Dr. Adnan bin Hussein dan Speaker DPP, Saudara Haziq Al-Amir.  

Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa USM bakal menerima
kunjungan dari UIAM pada 22 dan 23 Feb ini. 

Tiga catatan yang kami kongsikan di atas tadi amat signifikan kepada universiti kerana secara tidak langsung telah menjadi tanda ukur kepada keberkesanan program APEX yang kini bakal memasuki Fasa ke-2. Justeru menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan setiap program yang dirangka dapat dijayakan sebaik-baiknya. Komitmen kita semua amat ditagih. Kesanggupan dan pengorbanan kita amat diperlukan. Tidakkah kita berbangga menjadi warga USM?