Monday, November 9, 2009

MENJELANG PILIHAN RAYA KAMPUS USM - MOOD, MOODY?

Mood pilihan raya kampus ternyata semakin dirasai. Jika diukur tahap matangnya, maka sesi pemilihan baru untuk MPP harus berlaku dalam masa terdekat. Ramai yang mengandaikan ia akan berlaku pada awal semester dua, dan tak kurang juga ada yang berpandangan tradisi MPP ‘caretakers’ akan diteruskan sekali lagi di USM pada sidang ini. Lebih-lebih lagi apabila USM sudah diberikan lesen besar menentukan autonominya sendiri termasuk dalam hal-hal seperti ini. Adakah itu benar? Tidak sama sekali.


Menurut sumber yang boleh dipercayai, pilihan raya kampus bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar baru akan diadakan seawal mungkin pada semester kedua kelak. Hal ini bermakna, kebarangkalian berlakunya pembubaran MPP sedia ada sebaik saja semester baru dibuka adalah tinggi, dan ia akan disusuli pula dengan sesi pemilihan baru tidak lama kemudian. Justeru ramai yang meramalkan pilihan raya kampus akan berlangsung pada minggu kedua atau ketiga bulan Januari.


Isu ‘caretakers’ juga tidak perlu ditimbulkan. Jika dahulu ramai yang bingung dan keliru kerana tidak faham dengan istilah tersebut, namun kali ini tidak perlu dibimbangi lagi. Setiap pilihan raya kampus yang akan diadakan adalah selaras dengan peruntukan dan ketetapan yang telah dinyatakan dalam AUKU dan juga Perlembagaan Universiti. Bagi pilihan raya kali ini pula ia juga telah diselaraskan dengan sebahagian besar IPTA lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UPM, UIAM dan sebagainya lagi. Kebanyakan IPTA dan IPTS juga masih belum menjalankan pilihan raya kampus masing-masing.


Justeru apa yang perlu diberikan perhatian oleh setiap pelajar ketika ini adalah untuk mengenalpasti apakah bentuk-bentuk kempen yang bakal berlangsung kelak sebelum mereka mula melakukan ‘candidates marking’ dan juga ‘self evaluations’. Kempen yang bakal dijalankan kelak pastinya akan meninggalkan impak yang besar terhadap minat pelajar untuk mengundi. Justeru adalah menjadi kewajipan, jika boleh dikatakan demikian, oleh setiap pelajar untuk mengambil maklum terhadap sebarang kempen yang dijalankan.


Selain itu, melalui kempen jugalah, setiap daripada kita boleh mengenalpasti siapakah calon yang mampu menggalas tugas sebagai Majlis Perwakilan Pelajar kelak. Penilaian mungkin berlaku berdasarkan persepsi, mungkin juga sebaliknya. Justeru adalah penting juga untuk setiap pelajar tidak melakukan penilaian secara aspek luaran semata-mata. Kriteria calon yang layak harus diteliti sebaik mungkin. Calon-calon perlu dikenali, didekati dan difahami manifesto mereka. Adalah penting untuk memilih calon yang mempunyai manifesto yang jelas dan relevan dengan keperluan semasa.


Semasa kempen juga para pelajar akan dipertontonkan dengan kelibat-kelibat calon yang bermacam ragam. Hal ini kadang kala akan menimbulkan kekeliruan sehingga pelajar gagal membina keyakinan yang diperlukan terhadap calon pilihan mereka. Terdapat banyak kriteria yang harus ada pada seseorang calon yang mesti dijadikan kayu ukur oleh setiap pelajar. Antara yang mustahak ialah, setiap calon haruslah mempunyai pendirian yang jelas terhadap dasar, matlamat dan hala tuju universiti.


Tidak semua calon sebenarnya faham dengan perkara-perkara tersebut. Sebaliknya, ada juga yang langsung menentang. Mereka ini sering tampil sebagai calon yang lebih gemar membangkang universiti, kurang rasa cintanya terhadap univeristi dan suka merendah-rendahkan setiap program atau aktiviti yang dijalankan. Mereka ini sering berlagak jaguh dan gemar mencipta persepsi negatif terhadap aspirasi universiti.


Benarkah hal ini benar-benar berlaku? Takkanlah pelajar hendak membangkang universiti sendiri? Tidak ramai yang tahu sebenarnya siapakah yang sering menjadi gunting dalam lipatan terhadap agenda universiti yang bertunjangkan kepentingan dan kebajikan pelajar sendiri. Sejak sekian lama, antara yang sering berlagak jaguh tersebut tentunya SPF, PBT dan juga PMI yang dikatakan membentuk pakatan pro-Mahasiswa di USM. Geng inilah yang sering menentang aspirasi universiti dalam apa juga program yang dijalankan termasuk program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia baru-baru ini.


Nantikan pendedahan kami seterusnya.


ASPIRASI


Toleransi Bukan Demonstrasi.


Kepimpinan Kami Teratas.