Sunday, August 31, 2014

PESANAN UNTUK WARGA BAHARU UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Assalamualaikum w.b.t Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan Mahasiswa.

Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada para pelajar yang telah terpilih untuk memasuki Universiti Sains Malaysia pada tahun ini. Anda amat bertuah kerana berjaya  menjadi sebahagian daripada keluarga besar USM. Anda adalah orang yang dipilih daripada mereka yang terpilih. Hal ini  kerana bilangan pemohon yang ingin masuk ke USM amat tinggi.  Pihak universiti sentiasa menanti kehadiran adik – adik dengan penuh gembira.

Menjadi sebahagian daripada warga USM membuatkan adik – adik telah bergelar seorang mahasiswa. Sebagai seorang mahasiswa baru, adik – adik patutlah mempunyai rasa syukur dan bertuah. Pihak universiti dengan penuh komited akan sentiasa memastikan semua mahasiswa USM akan dapat merealisasikan hasrat masing –masing. Kehendak setiap mahasiswa sentiasa akan didengari oleh pihak universiti.

Namun begitu, bukan mudah untuk memenuhi setiap tuntutan daripada semua mahasiswa. Hal ini kerana jumlah penuntut di USM terlalu besar.  Oleh itu, semua mahasiswa haruslah rasional dalam membuat keputusan dan tuntutan. Janganlah meletakkan kehendak emosi apabila ingin melakukan sesuatu perkara. Pihak universiti telah menyediakan pelbagai saluran kepada mahasiswa untuk meluahkan hasrat mereka. Gunakanlah saluran ini dengan sebaik mungkin. Mahasiswa tidak perlu terikut dengan budaya di luar kampus yang sering kali melakukan demonstrasi apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Keadaan ini akan memburukkan imej mahasiswa. Usahlah menjadi dalang kepada pihak tertentu yang ingin mengeksploitasi golongan mahasiswa untuk kehendak politik mereka. Mahasiswa perlu rasional dalam menilai sesuatu perkara dengan matang. Pihak universiti akan sentiasa melindungi golongan mahasiswa.

Hidup dalam sebuah keluarga yang besar memerlukan setiap mahasiswa mempunyai sikap toleransi dalam diri mereka. Erti toleransi yang sebenar dapat diterjemahkan dalam kehidupan mahasiswa di dalam kampus. Sebagai seorang mahasiswa adik –adik haruslah bergerak bersama universiti untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Setiap dasar yang dibawa oleh pihak universiti  telah mengambil kira keperluan setiap mahasiswa. Adik –adik janganlah terpengaruh dengan dakyah daripada pihak luar yang ingin memburukkan nama universiti. Golongan ini kebiasaannya akan menjadi pendesak kepada universiti untuk memenuhi kehendak mereka. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini secara agresif ingin menyemai benih kebencian dalam setiap mahasiswa terhadap pihak universiti. Bersama – samalah kita berganding bahu sebagai sebuah keluarga untuk menjayakan hasrat universiti.

Banyak pihak pada hari ini serangkali melaungkan pelbagai retorik untuk menarik golongan mahasiswa menyokong mereka. Menyedari akan hakikat ini, setiap mahasiswa haruslah mempunyai sikap realistik dalam diri anda. Janganlah terpengaruh dengan retorik yang dibawa oleh sesetengah pihak. Tidak guna hebat berjanji jika tidak mampu untuk melaksana. Golongan mahasiswa haruslah sedar terhadap ancaman tersebut. Pihak universiti sentiasa realistik dalam setiap perancangan yang dibuat. Tidak seperti pihak tertentu yang hanya tahu menabur janji, pihak universiti sentiasa memastikan dasar yang dilakukan oleh mereka adalah realistik bukan idealistik.

Akhir kata, kepada adik – adik semua, sematkanlah azam dan semangat dalam diri anda untuk menjadi keluarga USM yang setia. Marilah kita bergerak bersama ke arah kecemerlangan universiti. Jadilah seorang mahasiswa yang mempunyai sikap rasional, toleransi, dan realistik. Janganlah melakukan perbuatan yang boleh mencemarakan nama baik seluruh warga universiti. Selamat maju jaya dan semoga anda gembira menjadi keluarga baru USM.

No comments:

Post a Comment