Wednesday, December 30, 2009

MPP USM Ikhtiar Bantu Pelajar Bermasalah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Warga kampus khususnya para pelajar tahun pertama dinasihatkan supaya bertenang dan tidak lekas panik sekiranya mendapat keputusan yang tidak memuaskan pada semester lepas.

2. Meskipun jumlahnya mungkin tidak terlalu besar, namun pihak MPP USM berjanji akan membantu mereka yang terbabit sebaik mungkin. Saudara Shafiq Aziz selaku YDP ketika ditemui menyatakan keprihatinannya terhadap perkara ini. Beliau juga berjanji akan mengadakan perjumpaan khas bersama pelajar tahun pertama bagi menyalurkan bantuan-bantuan yang diperlukan. Data-data juga menurut beliau sedang dikumpul untuk diambil tindakan yang selanjutnya.

3. Menurut beliau, pihak MPP sentiasa mengambil berat setiap kesulitan yang dihadapi para pelajar USM dan akan memastikan masalah-masalah yang timbul dapat diatasi sebaik mungkin. Justeru beliau meminta supaya lebih ramai pelajar tampil atau berjumpa dengan wakil MPP dari pusat pengajian masing-masing ataupun Pemimpin Pelajar Siswa Lestari (PPSL) bagi mendapatkan bantuan atau nasihat yang tepat.

4. Pada masa yang sama, para pelajar juga dinasihatkan supaya lebih kerap bertemu dengan Penasihat Akademik masing-masing dan berbincang tentang masalah yang dihadapi. Bantuan daripada MPP pula perlulah diterima sebagai usaha alternatif ke arah kebaikan bersama seluruh warga kampus.

Tuesday, December 29, 2009

Terima Kasih MPP USM dan MPPK!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


1.Jika di dalam poket atau dompet anda ketika ini terisi dengan not-not biru, hijau atau merah yang banyak, dan terselit juga slip akaun ATM yang bertarikh hari ini, sila panjatkan syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada-Nya.


2.Seperti yang dinyatakan sebelum ini, wang pinjaman PTPTN ternyata telah pun di’bank-in’kan ke dalam akaun para pelajar, dan yang lebih penting, ia dilakukan lebih awal berbanding semester-semester lepas.


3.Kenapa weblog Aspirasi begitu teruja dengan berita ini?


4.Ramai yang tidak tahu dan mesti diberitahu bahawa semua ini adalah berkat hasil usaha MPP USM dan juga MPP dari IPTA lain di bawah MPPK yang sentiasa berjuang menjaga kebajikan seluruh warga mahasiswa di Malaysia. Alhamdulillah, kita di USM sungguh bertuah kerana perkhidmatan kaunter hadapan yang menguruskan semua ini semakin cekap sekali gus memastikan keselesaan kita semua sebagai penuntut terjamin.


5.Walau bagaimanapun, seperti kebiasaan, pelajar-pelajar dari kelompok kedua dan ketiga mungkin akan menerima wang masing-masing sedikit lewat daripada kelompok pertama. Ia bukanlah satu masalah yang besar tentunya kerana kita semua sudah pun faham kenapa hal tersebut boleh berlaku.


6.Nasihat kami kepa da anda semua, berjimat-jimatlah dalam menguruskan perbelanjaan masing-masing. Setiap dari kita punya tanggungjawab yang besar dan memegang amanah yang berat. Wang yang masuk ke dalam akaun kita adalah wang pinjaman, justeru ia haruslah diurusgunakan dengan berhemah. Ia adalah wang rakyat Malaysia yang berisi dengan harapan dan kepercayaan bahawa kita semua berhak menerimanya. Oleh itu, jangan khianati amanah tersebut.


7.Akhir kata, teruslah menyokong aspirasi universiti yang kita cintai ini. Kita harus ingat bahawa tanpa sokongan terhadap universiti sendiri, pastinya kita akan menempuh arah yang berlainan. Kenapa memilih jalan itu ketika kita diberikan pelbagai nikmat dan kesenangan?


8.Tepuk dada, tanyalah iman dan akal yang waras. Jadilah warga yang bersyukur.


Sunday, December 27, 2009

PTPTN, JPA Dijangka Masuk Lebih Awal- Terima Kasih MPP Pro-Aspirasi!!

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera, Salam 1Siswa 1Aspirasi 1Malaysia kepada mahasiswa bersatu.


1. Berita baik untuk anda semua. PTPTN dan biasiswa JPA dijangka akan masuk lebih baik bagi semester ini. Meski pun belum ada pengesahan yang diterima, namun ura-ura yang mengatakan pinjaman dan biasiswa pelajar termasuk juga KPM akan diterima lebih awal berbanding semester lepas semakin tersebar luas.


2. Bagi sesetengah pelajar berita ini ternyata cukup melegakan. Dengan kemasukan yang lebih awal tentunya banyak urusan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan membolehkan semua yang terlibat menumpukan perhatian terhadap sesi kuliah masing-masing.


3. Pada masa yang sama, pihak terbabit juga dirayu supaya mempertimbangkan nasib bagi segelintir pelajar yang terpaksa menampung kos yuran yang tinggi walaupun hanya satu dua kertas sahaja yang diambil. Hal ini melibatkan terutamanya pelajar yang terpaksa menyambung (extand) pengajian masing-masing akibat pelbagai masalah pada semester ini.


4. Walau bagaimanapun, bagi pihak Pro-Aspirasi, kami sentiasa berterima kasih di atas segala keprihatinan yang diberikan khususnya daripada pihak Majlis Perwakilan Pelajar USM dan juga Kebangsaan yang sentiasa mengambil berat segala masalah pelajar di IPTA dan IPTS. Kesan positif semakin dirasai oleh kita semua berkat usaha gigih mereka memperjuangkan kebajikan pelajar tanpa mengira penat dan jemu.


5. Semoga kepimpinan MPP yang mendukung aspirasi universiti akan terus berbakti demi kebajikan dan kesejahteraan kita semua.

Thursday, December 24, 2009

Berbatas dalam Berjuang

Asas perjuangan mahasiswa hari ini adalah ideologi, sama seperti perjuangan gerakan-gerakan lain di luar kampus. Yang membezakan mereka juga adalah ideologi tersebut, juga bagaimana ia diimplimentasikan sebagai sebuah perjuangan. Pun tentu, ia tidaklah begitu gah. Teras setiap perjuangan mahasiswa sering tidak jauh sasarnya daripada soal-soal kebajikan dan hak asasi mahasiswa. Baik yang mendokong aspirasi mahupun yang kononnya pro-mahasiswa sendiri, kedua-duanya berjuang untuk hal-hal tersebut pada akhirnya. Itulah juga titik pertemuan dalam keterbezaan masing-masing.

Hari ini, umum tahu bahawa gerakan mahasiswa terpecah kepada dua bentuk atau wadah, iaitu Pro-Aspirasi yakni yang mendokong aspirasi universiti dan mahasiswa dan juga Pro-Mahasiswa yang kononnya mendokong hasrat mahasiswa. Kedua-duanya saling bertentang, mahu mencapai matlamat yang digariskan oleh kumpulan masing-masing. Kedua-duanya mendokong konsep perjuangan yang berbeza-beza, punya metodologi yang juga berbeza-beza. Semuanya kerana ideologi setiap gerakan itu sendiri yang memang tidak sama seperti yang ditegaskan tadi.

Gerakan mahasiswa yang membawa aspirasi universiti dan mahasiswa sejagat adalah gerakan yang timbul daripada kesedaran dan kesukarelaan. Ia bukanlah gerakan yang terorganisasi sebagai sebuah badan atau persatuan atau pertubuhan. Namun di kebanyakan universiti termasuk USM sendiri, aspirasi sering diasosiasikan sebagai kerajaan kerana menguasai kabinet MPP. Menjelang pilihan raya, mungkin ia kelihatan seperti sebuah gerakan yang terorganisasi dengan baik kerana terdapat segelintir pelajar yang sedia berkorban mengemudi gerakan ini demi memastikan perjuangan aspirasi tidak hilang arah. Hal ini jugalah yang membezakan gerakan aspirasi dengan gerakan Pro-Mahasiswa baik di USM mahupun di IPTA-IPTA lain.

Seperti yang ditegaskan sebentar tadi bahawa aspirasi adalah gerakan mahasiswa yang punya kesedaran untuk berjuang bersama aspirasi universiti. Gerakan ini tidak menetapkan sebarang dasar sendiri dalam perjuangannya. Apa yang diperjuangkan ialah menyokong segala dasar universiti, berkorban melakukan yang terbaik untuk universiti, berkerja untuk kesejahteraan univesiti dan berbagai-bagai lagi. Siapa univerisiti? Ia tidak lain dan tidak bukan adalah fakulti kemahasiswaan atau para pelajar itu sendiri. Justeru tidak timbul soal aspirasi ibarat balaci atau pak turut, kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk universiti. Ia adalah kecintaan yang dizahirkan melalui tindakan bukan hanya dengan kata-kata sahaja.

Justeru ini jugalah yang membezakan gerakan aspirasi di semua IPTA. Tidak dinafikan ramai pelajar yang tertanya-tanya kenapa wujud identiti yang berbeza-beza antara gerakan aspirasi di setiap IPTA berbanding gerakan Pro-Mahasiswa. Bahkan, simbolnya juga berbagai-bagai. Kepelbagaian ini adalah bukti jelas bahawa aspirasi adalah gerakan yang sama sekali tidak dipengaruhi oleh kuasa politik. Aspirasi di setiap IPTA berbeza kerana masing-masing mempunyai agenda perjuangan yang tersendiri berpandukan dasar dan polisi universiti. Jika ia dikongsikan bersama, maka akan berlakulan kepincangan dalam keseragaman yang cuba diwujudkan.

Di USM sendiri, tidak pernah berlaku di mana gerakan aspirasi cuba mempengaruhi pelajar dengan ideologi politik kepartian tertentu dari luar kampus. Hal ini sama sekali berbeza dengan gerakan Pro-Mahasiswa yang sering menyerap ideologi-ideologi politik kepartian dari luar ke dalam kampus. Kita dapat lihat misalnya melalui kempen-kempen pilihan raya yang dijalankan, juga melalui edaran flyers, poster dan sebagainya yang jelas beraspirasikan ideologi parti-parti tertentu. Persoalannya, adakah kerana mereka adalah pembangkang dalam kampus, maka mereka harus bertindak dan berfikir seperti pembangkang di Parlimen? Kenapa tidak bersama-sama aspirasi menyokong hala tuju universiti?

Di samping itu, gerakan Pro-Mahasiswa juga gah melalui gabungan-gabungan tertentu yang diwujudkan di peringkat nasional. Malangnya, semua gabungan mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang. Apa yang menghairankan ialah, apakah sebenarnya yang cuba digagaskan oleh golongan ini terhadap univeristi? Adakah melalui gabungan yang diwujudkan ini seolah-olah menunjukkan mereka cuba mewujudkan satu fakulti atau institusi pemikiran sahaja, yang dikongsikan bersama? Tidakkah mereka sedar betapa perjuangan mereka akan menjauhkan mahasiswa daripada universiti? Dan soalan paling bodoh yang mungkin sesuai diajukan ialah, adakah mereka lebih berminat menjadi politician berbanding penuntut?

Akhir sekali, siapakah yang mendanai perjuangan Pro-Mahasiswa sebenarnya? Siapakah yang menjadi moderator bagi SPF, PMI, PBT, DEMA dan sebagainya lagi? Semua ini mungkin kabur di mata segelintir atau sebahagian besar mahasiswa tetapi hakikatnya, sudah pasti ada pihak-pihak tertentu yang mendanai gerakan mereka. Lihat sahaja edaran buku Black or White, flyers dan poster tertentu yang semuanya melibatkan kos. Adakah mampu bagi penggerak SPF menyediakan semua itu hanya dengan pinjaman PTPTN atau JPA mereka sahaja? Sudah tentu tidak. Justeru bagaimana? Mungkin pihak SPF atau PMI mempunyai jawapan mereka dalam hal ini.

Pun dalam keterbezaan ideologi dan wadah perjuangan itu, mahasiswa harus sedar betapa suara mereka adalah penting sebagai pengimbang atau check and balance. Tidak semua yang kita buat itu betul dan tidak semua yang orang lain buat itu tidak betul. Mahasiswa perlu menghayati dua situasi ini sebelum menyatakan pendirian masing-masing. Mahasiswa mesti adil dengan prinsip perjuangan sendiri serta tidak melebihkan hal-hal yang tidak sepatutnya dilebihkan. Tugas mahasiswa adalah sebagai penuntut. Hendak berpolitik biarlah kena pada tempat dan masanya.

Mahasiswa juga tidak boleh bertindak semberono, mengikut rentak yang dicipta oleh orang lain dan langsung membangkang atau membantah pihak yang tidak sealiran. Gunakan fakulti pemikiran dengan sebaiknya. Dalam pertentangan yang berlaku, pasti ada titik pertemuannya kerana kita datang dari asas yang sama. Mahasiswa perlu mencari titik pertemuan dalam setiap isu dan melihat kepada kebaikan yang wujud atau dicadangkan demi kesejahteraan kampus seluruhnya, di samping bersama-sama berusaha membaiki kelemahan jika ada, bukannya terus membangkang serba tak kena itu ini. Ketika kita berupaya memilih cara yang lebih positif, kenapa mesti dipilih cara yang lebih banyak implikasi buruk?