Sunday, November 21, 2010

TARIKH HARI RAYA AIDILADHA - Apa kata FUQAHA

Ahli parlimen Kubang Kerian baru-baru ini mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung esok, 22 November 2010 (Isnin) bagi membincangkan isu tarikh Aidil Adha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.

Menurut pakar usul fiqh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, langkah Salahuddin itu sebenarnya lebih banyak mengundang kekeliruan di kalangan rakyat, khususnya umat Islam.

“Kalau saya boleh jumpa kawan saya itu (Salahuddin), saya harap supaya tidak dibawa ke Parlimen.

“Benda-benda semacam ini lebih baik dibawa ke forum yang lebih menjurus (khusus) supaya diselesaikan oleh orang yang benar-benar mahir, bukan Ahli Parlimen.

“Di Parlimen itu, ada orang Islam, ada orang bukan Islam, ada yang faham dan ada yang kurang faham... jadi isu ini akan digunakan oleh pihak tertentu untuk menuduh orang Islam tidak akan bersatu sampai bila-bila.

“Saya tak faham politik, saya tak faham (cara berfikir) ahli politik, saya yang bukan ahli politik, fikir lebih baik tak bawa (ke Parlimen) kerana itu lebih mengelirukan,” ujar Mahmood Zuhdi.

Nada yang sama turut disuarakan oleh penyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah.

“Kalau kita di Malaysia, kita ikut ketetapan kerajaan Malaysia, ia bukan masalah politik atau apa (sebagainya), kita tak nampak unsur yang mengacaunya (mengelirukan).

“Kalau masyarakat sudah boleh menerima ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu, tidak timbul kekeliruan itu seperti yang dianggap Salahuddin,” kata beliau.

Seorang lagi ahli fuqaha Wan Ji Wan Hussin pula berpendapat, inisiatif Salahuddin membawa isu tersebut ke Parlimen adalah wajar kerana perbahasan akan memangkin semua pihak berwajib, khususnya ulama untuk membuat satu ketetapan baru untuk kepentingan umat.

“Pada saya, Parlimen perlu mencetuskan sesuatu yang besar kerana Parlimen akan memangkin perkara yang dianggap kontroversi atau mengelirukan ini dibincangkan oleh mereka yang berkelayakan seperti ulama dan ahli fuqaha.” kata beliau.

“Macam isu kalimah Allah, yang sesetengah kita tidak bersetuju (penganut) bukan Islam menyebutnya (Allah).

“Kalau nak kira Parlimen tidak layak berbincang tetapi dengan tercetusnya isu itu di Parlimen akhirnya menjadi perhatian agamawan sehingga kita menemui keketapan baru iaitu harus bagi masyarakat bukan Islam menyebut kalimah Allah,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, tiada masalah jika isu itu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana Malaysia ada persamaan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Lagi pun, Parlimen mempunyai hak membincangkan sesuai yang menjadi kepentingan awam,” kata beliau.

Oleh itu katanya, beliau yakin bahawa usul tergempar Salahuddin itu tidak akan mengelirukan sesiapa kerana perbahasan di Parlimen akan menarik perhatian agamawan dan ilmuan untuk memainkan peranan masing-masing.

Pun begitu, Mahmood Zuhdi yang juga Timbalan Dekan di Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa memberitahu, penentuan tarikh Aidiladha di tanah air tidak wajar mengikut hari dan waktu wukuf di Arafah.

Jelas Mahmood Zuhdi, sudah memadai sekiranya ahli falak Islam tempatan menggunakan kaedah “ar-rukyah” (melihat anak bulan) dan “al-hisab” (kiraan hari dalam sebulan) untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha.

Ini kerana penetapan Aidiladha di Malaysia, mestilah mengikut al-matla” (waktu timbul) di Malaysia, bukannya mengikut al-matla” di Arab Saudi. “Sembahyang Asar sekarang pun tidak sama waktunya dengan Mekah (Arab Saudi), ertinya tidak semua waktu itu sama di seluruh dunia ini, ia dipanggil perbezaan matla”

“Dahulu pun, kita pernah ada amalan (iaitu) kita akan berhari raya sehari selepas hari wukuf, tetapi amalan itu ternyata tidak memberi kesan yang baik kerana Arab Saudi terlampau lewat mengisytiharkan ketetapannya (tarikh Hari Raya Aidiladha),” katanya lagi.

Ujar Mahmood Zuhdi lagi, sepatutnya ketetapan Hari Raya Aidiladha yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu tidak mengelirukan mana-mana pihak.

Ini kerana katanya, persidangan fiqh sedunia di Istanbul telah pun menetapkan bahawa penentuan waktu dan masa berhubung ibadat umat Islam berdasarkan al-hisab dan al-rukyah.

Luqman turut sependapat dengan Mahmood Zuhdi iaitu penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha di Malaysia tidak perlu terikat dengan ketetapan di Arab Saudi. “Kita ikut kita punya kawasan (Malaysia) sebab puasa pun kita ikut waktu tempatan, sembahyang pun kita tidak ikut Arab Saudi. Kalau diminta kita ikut Hari Arafah, sebenarnya Arab Saudi sendiri pernah mengubah hari (mengerjakan) wukufnya”



“Kalau diminta berpuasa mengikut Hari Arafah seperti yang hadis kata sekali pun, ada pendapat ulama berkata tuntutan itu di Arafah, bukan di tempat lain. Ertinya, dalam menetapkan isu Aidiladha ini sebenarnya masih bersifat dzon (sangkaan) tak kiralah kita nak ikut cara al-hisab atau ar-rukyah atau ikut (perbuatan) Arab Saudi,” ujarnya lagi.

Wan Ji pula memberikan pendapat yang berbeza dengan Mahmood Zuhdi dan Luqman dalam soal menetapkan tarikh Hari Raya Aidiadha. “Kenapa mesti dirujuk Arab Saudi? Isunya sekarang Nabi Muhammad s.a.w menyebut puasa Arafah, Nabi tak sebut puasa pada 9 Zulhijjah”.

“Apabila sebut puasa Arafah, ia perlu dirujuk pada Arab Saudi, tidak patut menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah kerana kedua-dua kaedah tersebut digunakan ketika nak menentukan hari berpuasa pada 1 Ramadan dan Aidilfitri pada 1 Syawal sahaja,” ujar Wan Ji.

Kata pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi — sebuah pertubuhan bukan kerajaan — itu lagi, pendapat tersebut berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim. “Puasa hari Arafah, aku (Nabi Muhammad s.a.w) berharap agar Allah kifarat dosa selama setahun sebelum dan setahun selepas...,” ujarnya memetik hadis ke-1979 dari kitab Sahih Muslim.

Tambah Wan Ji lagi, pendapatnya itu sebagaimana dipetik daripada Naib Presiden Majlis Fatwa dan Kajian Eropah Dr Faisal Maulawi.

“Faisal sendiri mengatakan, perbezaan pendapat itu mungkin berlaku pada melihat anak bulan Ramadan dan anak bulan Aidilfitri, tetapi jumhur (majoriti) ulama bahawasanya semua orang Islam itu berpuasa dan berbuka puasa dengan cara melihat anak bulan berdasarkan pada negeri masing-masing.

“Ada pun nisbah pada Aidiladha, tidak harus berlaku seperti itu dan tidak dilihat (menggunakan) pada al-hisab serta tidak juga melihat pada anak bulan pada negeri-negeri tertentu dalam menentukan anak bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah), tetapi perlu dilihat pada berlakunya jamaah haji secara perbuatan.

“Maka hari Arafah itu adalah hari para haji mengerjakan wukuf secara perbuatan dan tidak ada pengajaran dengan melihat anak bulan pada seluruh negara lain dengan kiraan hisab untuk menentukan Aidiladha,” ujarnya lagi.

Bagaimana pun, Wan Ji berkata Pengerusi Himpunan Ulama Muslim Sedunia Dr Yusof al-Qaradawi sendiri sebenarnya tidaklah menolak pendapat ulama yang menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah dalam menentukan tarikh Aidiladha. “Al-Qaradawi sendiri bersetuju dengan pendapat Prof Maulawi ini, cumanya al-Qaradawi mengambil sikap yang lebih toleransi dengan pendapat segelintir ulama yang bersetuju menggunakan al-rukyah dan al-hisab kerana tidak ada ijmak (kesepakatan) dalam perdebatan ini.

“Maulawi sendiri menyebut jumhur (majoriti) ulama, bukannya kesepakatan (ijmak) ulama dalam perkara ini, apabila disebut majoriti ertinya wujud minoritilah,” ujarnya.

Bagi Wan Ji, Yusof berpendapat demikian mungkin bertujuan untuk mengelak pepecahan di kalangan umat Islam dalam mengamalkan ibadat Islam kerana Islam mengajar perpaduan umat, bukannya pepecahan umat.

“Oleh kerana tidak ada kesepakatan ulama, lebih baik berlapang dada seperti Dr Yusof al-Qaradawi kerana pepecahan di kalangan umat itu lebih besar mafsadahnya (keburukan) berbanding menajamkan perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini (menentukan tarikh Aidiladha),” ujar Wan Ji.

Tuesday, November 9, 2010

Parlimen Mahasiswa: Model Politik Kampus Baru di USM


23 Oktober 2010, Majlis Perwakilan Pelajar USM telah menyegarkan semula cara berpolitik di kampus bila memulakan persidangan "Parlimen Mahasiswa" di USM. Mesyuarat Dewan Perundingan Pelajar (MDPP) yang berlangsung selama sehari dan membahaskan 19 usul telah mencorak satu landskap baru bagi persekitaran politik kampus di Malaysia. Majlis Perwakilan Pelajar USM yang didominasi oleh pro Aspirasi telah berjaya membuktikan bahawa Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) tidak menghalang mereka untuk berpolitik dengan bijaksana dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar di universiti.

Paling berani adalah gesaan MPP kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP agar membenteras isu merempat di kalangan rakyat di Pulau Pinang dalam usul ke-10 Parlimen Mahasiswa. MPP juga berani bersuara menolak cadangan CUEPACS yang ingin melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun. Secara keseluruhannya, usul yang dibentangkan dalam "Parlimen Mahasiswa" adalah bersifat konstruktif untuk kebajikan mahasiswa. Inilah "student power" sebenar bagi mahasiswa. Mereka berbahas dengan rasional dan membuat usul dengan cara yang bijaksana bukan menggunakan jalanan sebagai "parlimen" untuk bersuara. Tahniah kepada MPP USM. Alangkah baiknya jika mahasiswa berpolitik dengan cara begini. Pelajaran tidak terabai, isu dapat disuarakan dan suara pelajar dapat dikemukakan dengan cara yang bijak.

Dipetik dari Angin Perubahan.

Tuesday, November 2, 2010

Pro dan Kontra Projek Menara Warisan Merdeka

Kawasan Stadium Negara dan Stadium Merdeka bakal
bertukar wajah dengan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat kelak.

Sesuatu yang kita masih belum nampak di sebalik pembinaan Menara Warisan ialah keuntungan jangka panjangnya. Manfaatnya, seperti dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CIDB baru-baru ini, terlalu besar khususnya terhadap industri pembinaan di negara ini. Ia bukan sekadar isu tapak atau berapa tinggi bangunan itu hendak didirikan, juga bukan soal modal yang cukup besar nilainya sehingga mampu membina lebih kurang 11 buah lapangan terbang utama di Malaysia, tetapi bagaimana setiap tingkat menara itu kelak mampu menjana pulangan kepada para pelabur dan rakyat negara ini pada masa hadapan.

Menara yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kemegahan negara di tengah kepesatan ekonomi Kuala Lumpur dengan ketinggian 100 tingkat itu telah diumumkan pembinaannya oleh Perdana Menteri DS Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 baru-baru ini. Tanpa menggunakan peruntukan khusus daripada pihak kerajaan, menara itu kelak akan dibina sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan menggunakan kos sebanyak RM 5 bilion.

Sebaik saja diumumkan oleh Perdana Menteri, ia segera menarik perhatian seluruh lapisan rakyat di negara ini. Pelbagai pihak tampil mengemukakan pandangan masing-masing terutamanya ahli-ahli politik. Sehingga kini, suara yang menentang idea pembinaan menara tersebut ternyata lebih kritikal berbanding suara-suara yang menyokong. Sebagai contoh, sebuah page group di Facebook yang menentang cadangan ini, sehingga artikel ini ditulis, telah berjaya mengumpul sokongan lebih 211,000 orang pengguna di laman sosial tersebut.

Walaupun sokongan itu sebenarnya bercampur-baur disebabkan oleh faktor format ‘like’ yang digunakan (mereka yang menyokong Menara Warisan tetap perlu menyertainya untuk berkomentar sekaligus menaikkan rating atau hits kumpulan tersebut), namun sedikit sebanyak ia telah digunakan sebagai manifestasi suara rakyat bawahan yang menolak pembinaan Menara Warisan kerana dianggap membazir wang pelabur atau rakyat dan juga mengundang pelbagai masalah berbangkit terutamanya pencemaran alam sekitar, masalah sosial dan sebagainya lagi.

AC percaya, ramai dalam kalangan kita di USM yang telah menyertai komuniti maya tersebut kerana berkongsi pendapat yang sama dengan rakyat Malaysia di luar sana. Meskipun terdapat segelintir ahli politik khususnya pihak pembangkang yang menggunakan group tersebut sebagai modal menghentam Perdana Menteri, tetapi kami percaya, asasnya tetap sama iaitu berbalik kepada soal keperluan membina sebuah bangunan tinggi di tengah-tengah kekalutan Kuala Lumpur pada waktu negara sedang pulih daripada kejatuhan FDI akibat krisis ekonomi baru-baru ini.

Ramai yang melihat pengumuman oleh Perdana Menteri itu sendiri sebagai sesuatu yang silap. Ia dikatakan dilakukan pada masa dan tempat yang salah. Walaupun idea Menara Warisan dianggap sebagai bukti komitmen kerajaan DS Najib terhadap pembangunan ekonomi baru di Malaysia, hakikatnya, masih banyak sektor pembinaan lain yang sepatutnya didahulukan berbanding melabur dalam pembinaan sebuah bangunan tinggi yang bakal memberikan manfaat kepada golongan tertentu saja.

Sebagai contoh, mutu kemudahan awam yang rendah di kawasan pedalaman dan di sesetengah kawasan bandar ternyata masih membelenggu kehidupan rakyat marhein di negara ini. Hal inilah yang sebenarnya menyebabkan rakyat rimas dengan sesetengah tindak tanduk atau keputusan yang bersifat ‘gempak’ daripada pihak kerajaan. Pada rakyat, apa gunanya bangunan tinggi untuk dimegah-megahkan kalau jambatan dan jalan raya di bawah masih berlopak-lopak di sana sini!

Pun tentu, bolehkah kita melihat isu Menara Warisan ini dari satu sudut sahaja? Boleh, tetapi itu hanya mencerminkan pendirian kita yang tidak seimbang. Seperti yang AC tegaskan awal-awal tadi, keuntungan daripada pembinaannya hanya boleh dinikmati selepas ia mula menjana pulangan yang konsisten kepada negara. Mungkin masa yang diambil masih panjang, namun ia adalah formal dalam sektor hartanah di mana-mana jua.

KLIA dan KLCC, sebagai contoh, merupakan dua buah projek yang kini menempa pelbagai kejayaan untuk Malaysia. KLIA menjadi hub transit kepada sistem pengangkutan utama negara, juga menjadi pintu masuk terpenting Malaysia yang menghubungkan dunia luar dengan rakyat negara ini. KLCC pula kini berdiri megah sebagai lambang kejayaan sebuah konglomerat GLC ulung kita iaitu Petronas. Apa yang pasti, sama seperti Menara Warisan, kedua-duanya pernah dikritik keras sebelum ini sebelum muncul sebagai nadi pertumbuhan ekonomi Malaysia moden di samping menyediakan ribuan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Tegasnya, kerajaan mempunyai alasan yang cukup kukuh untuk melaksanakan pembinaan menara tersebut. Pembinaan bangunan itu bakal menjadi lambang kemodenan dan kemajuan negara di samping dapat memacu pembangunan ekonomi negara.

“Pertamanya, kita nak satu bangunan yang menjadi lambang bukan sahaja moden tapi negara maju, kita juga nak mencetuskan perkembangan ekonomi... Banyak kerja-kerja kontrak dan sebagainya yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi. Kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan yang menempatkan peniaga-peniaga bumiputera dan bukan bumiputera. Ia juga boleh menjadi pusat tarikan yang boleh memberi keuntungan,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan cadangan ini dahulu.

Samada kita sedar atau pun tidak, AC cukup yakin dan percaya, sebab utama projek ini ditentang bukanlah semata-mata kerana ia dianggap membazir, tetapi lebih menjurus kepada dendam politik antara pihak tertentu terhadap usaha positif kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi baru di negara ini. Hal ini demikian kerana, penjelasan berkenaan profile menara ini sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga PNB sendiri tetapi gagal difahami oleh sesetengah pihak yang sebaliknya terus mempolitikkannya untuk kepentingan jangka pendek.

DS Najib misalnya, awal-awal lagi memaklumkan bahawa menara ini bukan pembaziran wang negara sebaliknya bakal menguntungkan rakyat dan negara ini setelah siap kelak. Projek berkenaan melibatkan tanah milik kerajaan, bukannya rakyat. Ia bakal dibina di tapak yang merangkumi kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dan sebagai Perdana Menteri, apa yang dilakukan adalah satu tanggungjawab iaitu memenuhi tuntutan untuk mengkomersialkan kawasan berkenaan sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa sekali gus mensinergikan sosio-ekonomi di ibu negara yang semakin pesat berkembang ketika ini.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman telah menjelaskan kedudukan sebenar projek Menara Warisan bernilai RM5 bilion yang cuba dijadikan satu isu sebagai projek membazir. Hamad Kama Piah menjelaskan PNB tidak akan menggunakan wang pelabur unit amanah dan juga wang kerajaan untuk projek berkenaan. Sebaliknya, projek tersebut akan dimajukan menggunakan wang hasil tabungan PNB sendiri. PNB membeli tanah itu pada harga RM310 juta pada tahun 2000 daripada Danaharta dan projek Menara Warisan itu diluluskan oleh lembaga pengarah PNB pada tahun 2004. Hamad Kama Piah menjangka projek itu akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Justeru AC yakin dan percaya, rakan-rakan semua mampu cakna isu ini sebaik mungkin sebelum memutuskan pendirian masing-masing. Penulisan ini tidak bertujuan menyatakan sokongan atau membantah, sebaliknya sekadar mengusulkan beberapa kemungkinan pro dan kontra yang bakal kita semua sebagai rakyat nikmati melalui pembinaannya kelak. Apa-apa pun, satu fakta yang sukar untuk dinafikan di sini ialah, track record PNB sendiri yang cukup cemerlang sejak tahun 1981 diyakini mampu menguruskan Projek Menara Warisan Merdeka ini dengan jayanya.



Wednesday, October 27, 2010

Relevankah Lagi SPF di USM?

(Klik pada imej untuk paparan lebih jelas)

Muktahir ini, banyak sekali isu timbul, satu per satu berturut-turut samada di dalam pagar kampus kita mahupun rentas sempadan bumi Minden ini. AC yakin, ramai antara kita yang mengikuti setiap isu dengan dekat malah menyumbang pandangan secara tak langsung dalam sesetengah isu.

Mari kita imbau. Pertama, AC ingin mengajak rakan-rakan semua menoleh kembali satu insiden yang sepatutnya tidak berlaku di dalam kampus kita ini sehingga mencetuskan pelbagai masalah berbangkit. Insiden yang dimaksudkan ialah tindakan pihak Student Progressive Front (SPF) yang cuba mencabar undang-udang dan peraturan universiti kita ini dengan membuka booth atau kaunter secara haram dan menyebarkan risalah-risalah yang bersifat provokatif melampau.

AC tidak berniat mengungkit kesilapan mereka tetapi sebagai peringatan bersama, adalah perlu untuk ditegaskan dari masa ke masa bahawa universiti kita mempunyai garis panduan yang khusus yang perlu kita patuhi sebagai pelajar sebelum menjalankan sesuatu aktiviti. Peraturan itu tidak pula menjadi masalah selama ini kepada mana-mana persatuan, tetapi berbeza sama sekali apabila berada ditangan SPF.

Apa yang menariknya, SPF memberikan pelbagai alasan untuk mewajarkan dan menghalalkan tindakan mereka. Kononnya peraturan tersebut tidak relevan dengan pelajar, menyusahkan dan terlalu banyak birokrasi yang melibatkan pelbagai jabatan. AC ingin bertanya, apa sebenarnya masalah yang mereka hadapi? Mereka sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah prosuder tetapi takut dengan muslihat mereka sendiri yang berselindung di sebalik aktiviti mahasiswa atas nama kebebasan bersuara.

Apa yang sebenarnya cuba disampaikan ialah agenda politik pihak tertentu di luar kampus yang terhalang daripada memasuki pagar USM ini. Justeru pihak-pihak tersebut telah menggunakan kumpulan SPF sebagai alat untuk menyebarkan dakyah dan hasutan mereka secara terancang dan licik. Buktinya, SPF pada hari kejadian bertindak menyebarkan pelbagai risalah yang amat bias di samping mengedar dan menjual t-shirt yang bersifat provokatif terhadap keharmonian warga kampus.

Adakah ini perjuangan mereka yang sebenar? Siapa SPF yang sebenarnya? Mungkin ramai yang tidak tahu tentang kewujudan kumpulan mahasiswa anti-estabalishment ini yang sering mencetuskan masalah di dalam kampus. Tidak lama dahulu mereka juga pernah ditangkap kerana menyebarkan risalah haram dari bilik ke bilik namun apabila tindakan diambil oleh Jabatan Keselamatan, mereka menuduh pula JK sebagai zalim dan tidak menghormati hak mahasiswa, bahkan disebarkan pula cerita bahawa JK telah ‘menculik’ pelajar USM sendiri.

Sejak belakangan ini juga, kita dapat melihat secara jelas orientasi politik SPF yang sebenar. Mereka lebih banyak bersengkongkol dengan pihak luar berbanding mendampingi mahasiswa USM sendiri. Tindakan ini bukan saja mencetuskan rasa meluat dan rimas dalam kalangan pelajar USM, malah kumpulan Pro-Mahasiswa juga tidak senang dengan SPF. Buktinya, baru-baru ini satu kenyataan daripada facebook rasmi Pro-Mahasiswa USM sendiri menafikan pembabitan mereka dengan permainan politik SPF. Pada kami ia memberikan satu isyarat jelas, SPF semakin tidak relevan dan ditolak oleh rakan-rakan mereka sendiri. Jadi bagaimana mereka mahu memperjuangkan hak mahasiswa di USM?

Tuesday, October 26, 2010

Little India: Harapan rakyat dan negara

Little India Brickfileds, Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan sering menjadi sasaran dan tumpuan media massa sejak projek pembangunan Little India dimulakan di Brickfields pada 2008. Serangan bertalu arus datang daripada penjaja, pemilik perniagaan dan peniaga yang sudah berniaga di situ sejak bertahun-tahun dahulu.

Mereka merasakan pembangunan pesat Brickfields sebagai Little India akan menjejaskan periuk nasi mereka, tetapi Saravanan yang juga Naib Presiden MIC yang terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan, halangan dan cabaran berjaya 'meredakan' segalanya sebelum merealisasikan harapan dan impian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menstranformasikan Brickfields sebagai pusat perniagaan Little India berkonsepkan gagasan 1 Malaysia.

Malah Saravanan yang juga Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan sejak 2006 sehingga sekarang dan Ahli Parlimen Tapah bagi penggal pertama sejak PRU 2008 kerap juga menjadi sasaran dalam sandiwara permainan politik parti pembangkang sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 2008.

Pihak pembangkang yang mencemburui iltizamnya untuk menjayakan visi dan misi pembangunan Little India turut menuduhnya sebagai gengster dan cuba meraih undi masyarakat India serta macam-macam tuduhan liar dalam tempoh dua tahun ini.

Namun Saravanan bukanlah seorang pemimpin yang cepat mengaku kalah, cepat putus asa, cepat naik angin ataupun merajuk mahupun cepat 'terperangkap' dalam permainan politik pembangkang ataupun mana-mana kumpulan lain. Iltizam dan semangatnya cukup gagah dalam menjayakan perancangan Little India yang diumumkan Najib pada 2008 dan secara terperinci pada 2009.

Beliau amat komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya sebagai satu kenyataan sepertimana yang bakal kita sama-sama saksikan Little India sebagai satu lagi 'mercu' kebanggaan negara.

Esok, lakaran sejarah bakal disaksikan oleh rakyat Malaysia khususnya masyarakat India apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri India, Manmohan Singh merasmikan projek Little India tersebut yang bernilai RM35 juta.

Tidak pernah dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri yang berpengaruh khususnya dari negara India yang mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia sejak bertahun-tahun dulu hadir untuk menyempurnakan majlis yang penuh bersejarah di Brickfields.

Mungkin nilai keseluruhan projek tersebut tidaklah sebesar projek mega tetapi ciri-ciri kebudayaan dan estetika masyarakat India merupakan antara aspek kebanggaan projek tersebut yang tidak boleh dinafikan sama sekali khususnya di bawah pimpinan Perdana Menteri keenam negara, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu prihatin dan mengambil berat mengenai masa depan masyarakat India di negara ini.

Tidak pernah juga dalam sejarah negara seorang yang berstatus Perdana Menteri melawat Brickfields sebanyak dua kali dalam tempoh setahun iaitu pada 2008 di mana ketika itu Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri melawat tapak bazaar Brickfields dan kemudianya pada 4 April 2009, beliau turun padang sekali lagi ke sana dalam rangka lawatan 1 Malaysia yang pertama sehari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Saya ke Brickfields bagi meninjau kebajikan peniaga-peniaga India. Mereka telah memajukan kepada saya permohonan untuk menambah baik prasarana di kawasan tersebut. Kita menyambut baik hasrat rakyat ini dan bersetuju bahawa kawasan ini nanti akan dibangunkan sebagai Little India yang lebih terancang.

"Apa yang menarik, semasa di sana saya telah berkesempatan untuk menikmati teh tarik dan makan tosai di restoran Sri Korthumalai. Saya cukup terharu apabila mengetahui bahawa tauke restoran iaitu S. Paramasivam yang mempunyai marketing acumen cukup baik dengan menamakan sudut tempat saya minum sebagai Najib's Corner," begitulah kata-kata Najib dan betapa signifikasinya Litte India di dalam hatinya ketika berucap sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Najib's Corner dirasmikan pada 2009 oleh Saravanan memaparkan gambar Perdana Menteri sedang menikmati tosai dan teh tarik bersama Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, pemilik restoran berkenaan, Saravanan serta beberapa pegawai kementerian. Ia bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelbagai lapisan masyarakat untuk berkunjung ke restoran tersebut dan juga ke Brickfields untuk melihat apa itu Najib's Corner dengan lebih dekat lagi.

"Sebenarnya kertas kerja mengenai perancangan Little India sudah disampaikan banyak kali kepada kerajaan dan juga DBKL tetapi langsung tak bergerak sehingga tahun 2007 apabila Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Zulhasnan Rafique menghubungi saya untuk menyediakan satu kertas konsep baru mengenai pembangunan Little India.

"Selepas PRU 2008, saya dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Semasa Najib (ketika itu beliau masih Timbalan Perdana Menteri) melawat Karnival Deepavali di Brickfields , Zulhasnan Rafique dan saya mengkemukakan cadangan tersebut kepada beliau.

"Sebelum itu saya mendapat sokongan padu dan kerjasama yang kuat daripada Zulhasnan Rafique yang menjadi salah seorang 'pemangkin' utama dalam merencanakan pembangunan Litte India. Malah, saya nampak ketika itu, Zulhasnan Rafique sedang membisikkan sesuatu ke telinga Najib mengenai projek pembangunan Little India. Akhirnya Najib umumkan pembangunan Little India pada majilis tersebut, seterusnya pada 2009 ketika sekali lagi Najib turun padang ke Brickfields sebagai Perdana Menteri, beliau mengumumkan secara terperincimengenai pembangunan Little India," kata Saravanan.

Beliau juga amat berterima kasih kepada Zulhasnan Rafique serta bosnya sekarang iaitu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang telah meneruskan kesinambungan pembangunan Litte India dengan memberikan sepenuh kebebasan, kepercayaan dan kerjasama dan sokongan kepada Saravanan untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan Little India. Tidak lupa juga kepada pihak DBKL, agensi-agensi kerajaan yang lain, persatuan penduduk, para peniaga dan masyarakat setempat.

Projek Little India meliputi kawasan dari Jalan Travers hingga Jalan Tun Sambanthan telah dimulakan pada Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini dalam dua fasa.

Ia melibatkan kerja-kerja membangunkan kawasan dari Jalan Travers ke Jalan Tun Sambanthan oleh Malaysian Resourses Corporation Berhad (MRCB). Projek kedua-dua fasa Little India yang bernilai RM35 juta, membabitkan premis baru perniagaan, sebuah kompleks parkir dan pembesaran jalan. Ia juga melibatkan pembinaan kolam pancutan air tertinggi di negara ini iaitu 7.62 meter.

Raja Nong Chik sebelum ini dipetik berkata pembangunan projek Little India tidak akan menghapuskan aspek kebudayaan setempat seperti warisan Inggeris, Cina, dan Buddha yang telah wujud sekian lama di kawasan itu.

Beliau berkata, pembangunan Brickfields bukan sahaja akan dinikmati oleh masyarakat India, malah akan menjadi pemacu ekonomi kepada kawasan sekitarnya seperti Lembah Pantai, Seputeh dan Bangsar.

Apakah projek pembangunan Little India akan menjadi KPI M.Saravanan? Sama-sama kita nantikan apakah reaksi selepas ini?

Oleh : Anbumani Balan

Wednesday, October 20, 2010

Pro-M, Apa Sudah Jadi??


Polemik baru politik kampus cuba ditimbulkan lagi. Selepas reda dengan isu kedegilan pihak Student Progressive Front (SPF) yang sewenang-wenangnya menyebarkan risalah haram di dalam kampus, kemudian keluar pula kenyataan rasmi daripada Pro-Mahasiswa USM yang menafikan pembabitan mereka dengan tindakan SPF tersebut, kini Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Islam cuba pula mengalihkan isu kepada persoalan baru.

Dalam satu kenyataannya, beliau berpandangan kedua-dua kumpulan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa sepatutnya dibubarkan supaya perpaduan dan kata sepakat sesama mahasiswa dapat dipupuk dengan lebih mudah dan berkesan, di samping untuk mengelakkan perpecahan yang lebih serius seperti yang berlaku di luar kampus ketika ini.

Pada kami, ini satu pandangan yang pelik dan tidak berasas. Sebagai orang nombor wahid dalam PMI, beliau seharusnya melontarkan pandangan yang lebih komprehensif berbanding mencadangkang solusi yang populis begini. Tidak dinafikan, kewujudan dua entiti politik begini sedikit sebanyak menyebabkan berlakunya perbezaan pandangan yang ketara sesama mahasiswa, tetapi ia sebenarnya penting kerana mampu memupuk kematangan bersuara dan bekerja dalam kalangan mereka yang terlibat.

Di samping itu, suara-suara mahasiswa sama ada dari kumpulan Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa juga penting sebagai pengimbang antara satu sama lain. Walaupun secara praktikalnya ia berbeza berbanding konsep politik di luar kampus, namun sedikit sebanyak implimentasinya turut mencerap budaya kerja atau kepimpinan organisasi politik yang ada di negara ini. Tidakkah ia suatu yang kondusif pada waktu mahasiswa dilarang menyertai parti-parti politik secara aktif?

Umum juga sudah tahu, setiap Yang DiPertua atau Presiden bagi Persatuan Mahasiswa Islam pada amalannya adalah Ketua bagi gerakan Pro-Mahasiswa. Ia adalah ketetapan dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) iaitu induk bagi gerakan mahasiswa haluan kiri di negara ini. Jika ia juga digunapakai di USM, maka tidakkah ia sesuatu yang janggal untuk seorang Ketua Pro-Mahasiswa mengeluarkan pandangan sedemikian walaupun bersifat peribadi?

Ia juga seolah-olah satu tempelakan terhadap pendirian Pro-Mahasiswa sendiri yang selama ini begitu kuat mendesak supaya mahasiswa dibenarkan berpolitik. Ketika isu ini timbul sedikit masa dahulu, terdapat segelintir orang kuat PMI yang juga penggerak Pro-M USM dengan keras menghentam Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM kerana membantah cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifudin Abdullah berhubung isu mahasiswa berpolitik. Namun hari ini, YDP PMI sendiri membuat pusingan 360° sekali gus menyetujui pandangan YDP MPP kita. Sekali lagi, tidakkah ini pelik?

Selain itu, mahasiswa USM juga seharusnya bertanya, apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh kumpulan Pro-Mahasiswa di sini? Adakah dengan memperkenalkan slogan Sedia Mendokong Aspirasi Mahasiswa, ia sudah cukup untuk membuktikan kesediaan mereka memperjuangkan isu-isu mahasiswa sejagat di USM? Apa yang dilakukan oleh SPF baru-baru ini jelas sekali telah mencalar kredibiliti gerakan Pro-Mahasiswa USM yang sedang membina pengaruhnya ketika ini. Malah kenyataan penafian yang dikeluarkan juga jelas menunjukkan ketidaksepakatan mereka dalam banyak perkara.

Kepada Ketua Pro-Mahasiswa USM, kami ada pesanan. Jagalah anak-anak buah anda juga.

Wednesday, October 6, 2010

SPF Tak Hormat Undang-undang, Cemar Perjuangan Pro-Mahasiswa

Tindakan biadap kumpulan Student Progessive Front atau SPF USM yang membuka kaunter dan menyebarkan risalah secara haram baru-baru ini tidak boleh dipandang mudah oleh pihak universiti dan warga mahasiswa sendiri.

Tindakan provokatif begini bukan saja melanggar peraturan universiti malah mencabuli hak mahasiswa sejagat kerana dipaksa menerima bahan-bahan yang bersifat berat sebelah dan langsung tidak berkaitan dengan hak dan kebajikan para pelajar di USM.

Mengikut laporan yang diterima, kumpulan pelajar ini telah membuka kaunter perkhidmatan mereka secara haram di kawasan milik Jabatan Pembangunan dan menggunakan pula kemudahan universiti yang telah dikhaskan kepada mana-mana persatuan atau organisasi berdaftar di USM untuk menjalankan aktiviti mereka.

Di samping itu, bahan-bahan edaran mereka pula sangat provokatif. AC percaya ia tidak dihasilkan oleh SPF sendiri sebaliknya mereka menerima bantuan secara langsung daripada pihak luar. Misalnya, salah satu edaran yang diterima oleh AC dengan jelas memaparkan cetakan logo JERIT, sebuah NGO tidak berdaftar yang kononnya mendokong hak asasi manusia sejagat.

Apa yang dikesalkan ialah tindakan mereka menyebarkan bahan-bahan tersebut mampu mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan mahasiswa USM sendiri. Beberapa orang pelajar yang ditemui telah melahirkan kekecewaan mereka berhubung tindakan tersebut yang dianggap tidak sensitif dengan sentimen masyarakat berbilang kaum di dalam kampus USM.

Pada masa yang sama, AC juga hairan dengan sikap kumpulan SPF ini. Mereka sering kali melanggar undang-undang dan peraturan universiti dengan sewenang-wenangnya. Apabila tindakan dikenakan, mereka menuduh pula pihak universiti menyekat hak dan kebebasan bersuara mahasiswa. Adakah mereka sedar dan faham tentang hak dan kebebasan bersuara? AC yakin dan percaya mereka menyedari peruntukan undang-undang sedia ada tetapi dengan sengaja mencabarnya bagi mencari publisiti dan keprihatinan warga kampus.

AC juga tertanya-tanya, di mana suara rasional Ketua Pro-Mahasiswa USM dalam hal ini? Ini bukan kali pertama dan mungkin bukan yang terakhir. Umum mengetahui Pro-Mahasiswa lazimnya diketuai oleh YDP PMI termasuk di USM sendiri. Tetapi jarang sekali ketua mereka bersuara apatah lagi menegur tindak-tanduk anak-anak buahnya. AC membangkitkannya di sini kerana kesal atas kejadian ini yang telah tersebar di seluruh pelosok negara melalui laman-laman sosial dan blog politik sehingga mencemarkan nama baik USM yang kita sayangi ini. Adakah ini yang kita mahu?

Thursday, September 30, 2010

Berpada-pada Menyatakan Pandangan

Salah satu prinsip dalam amalan demokrasi ialah kebebasan menyatakan pandangan. Jika terma ini digunapakai, seseorang tanpa mengira latar belakangnya boleh mengutarakan apa-apa sahaja pandangannya secara terbuka. Ia diterima sebagai meraikan hak dan kebebasan manusia untuk bersuara.

Tetapi cukupkah jika kita hanya menerima terma ini tanpa melanjutkan perbicaraan meliputi pelbagai sudut lain, seperti implikasi ke atas diri atau individu, sosial dan negara seluruhnya? Bagaimana dengan hak kumpulan majoriti atau minoriti?

Adakah seseorang itu boleh menyentuh sensitiviti seseorang atau sekumpulan yang lain dengan hanya berpegang kepada prinsip kebebasan dirinya untuk bersuara? Bagaimana jika apa yang dikatakannya itu mengakibatkan kelukaan hati pihak lain? Adakah dia masih berhak mempertahankan pandangannya?

Kebebasan bersuara seperti yang dipersoalkan di atas bukanlah kebebasan dalam erti kata yang sebenar. Mengambil contoh insiden seorang Paderi Kristian dari sebuah gereja di Sarawak yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam baru-baru ini, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana kebebasan dalam menyatakan pandangan, walaupun dalam kumpulan yang sama pendirian, harus mempunyai limitasi tertentu.

Jika paderi berkenaan sensitif dengan hati dan perasaan umat Islam, kemungkina besar insiden tersebut tidak akan berlaku dan negara tidak akan kecoh seperti yang kita lihat pada hari ini. Akibat keceloparannya, umat Islam di negara ini telah bangkit mempertahankan hak mereka yang telah disentuh secara terbuka dan disebarkan pula melalui media massa. Hal ini bukan saja telah menimbulkan ketegangan agama, malah mengundang pelbagai reaksi yang keras dan berpontensi mencetuskan konflik perkauman.

Soalnya, adakah paderi tersebut sedar akan implikasi yang timbul akibat tindakan kurang bijak beliau itu? Ketika umat Islam masih menunggu permohonan maaf secara terbuka daripada beliau, percayalah, isu ini akan terus hangat malah mungkin dalam jangka masa yang panjang, ia akan menjadi isu penting berhubung sesitiviti keagamaan di negara. Ia juga menyerlahkan hakikat bahawa masih ada segelintir tokoh masyarakat yang tidak menghormati asas kelainan agama dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

AC percaya, baik Islam mahupun Kristian dan semua agama lain di dunia menganjurkan pengikutnya supaya mengamalkan budaya toleransi dan saling menghormati sesama manusia. Inilah asas sebenar demokrasi di negara ini. Pada masa yang sama, AC yakin insiden ini akan diselesaikan secara baik melalui kaedah perundangan dan juga penerangan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Monday, September 20, 2010

Politik Kampus : Pro dan Kontra Usul MPP Dua Tahun (Bahagian Satu)

MPP tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkhidmat dan menyumbang bakti? Tempoh setahun yang diamanahkan tidak praktikal? Berlaku ketidakseragaman tempoh perkhidmatan antara MPP dan Majlis-majlis Penghuni Desasiswa (MPD) serta Kelab-kelab dan Persatuan? Inilah antara persoalan dan realiti yang sedang berlaku ketika ini di USM dan beberapa IPTA lain.

Rentetan itu, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan baru-baru ini dalam satu artikelnya telah mengusulkan cadangan supaya tempoh perkhidmatan MPP dilanjutkan sehingga dua tahun atau dua sidang bagi memantapkan hubungan antara badan tersebut dan organisasi-organisasi lain di dalam kampus di samping memastikan setiap Exco MPP dapat menunaikan amanah mereka dengan lebih cekap dan berkesan.

Saranan beliau juga turut mendapat perhatian daripada mantan YDP MPP terdahulu iaitu Saudara Muhammad Syafik bin Abdul Aziz yang bersetuju sekiranya perlantikan MPP dibuat untuk tempoh dua sidang. Menurut beliau, langkah itu bukan saja dapat memastikan urusan pentadbiran dan perkhidmatan MPP menjadi lebih praktikal malah turut membantu mengurangkan kos pentadbiran universiti yang terpaksa mengadakan pilihan raya kampus setiap tahun seperti yang dipraktikkan ketika ini.

Selain itu, berdasarkan pengalaman lalu, MPP sering kali berhadapan dengan ‘tuntutan tertunggak yang dibawa ke hadapan’ menyebabkan ada sesetengah Exco MPP terpaksa menjalankan tugas mereka walaupun selepas tamat tempoh perkhidmatan. Sekiranya hal ini berterusan berlaku, adalah dibimbangi ia akan mengganggu tumpuan pihak yang berkenaan terhadap tugas hakiki mereka sebagai pelajar manakala di pihak MPP baru pula, peluang untuk mengetengahkan bakat dan potensi diri sebagai pemimpin muda sedikit sebanyak akan terjejas.

Situasi ini sebenarnya baru sahaja berlaku iaitu kira-kira dua sidang yang lepas ketika pihak Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk menyelaraskan proses pilihan raya kampus di beberapa IPTA berstatus Universiti Penyelididkan iaitu USM, UPM, UKM, UM dan UTM. Bagi mencapai tujuan tersebut, MPP sedia ada ketika itu telah dilanjutkan tempoh perkhidmatan berbanding biasa selaras dengan ketetapan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang memberikan hak kepada Naib Canselor untuk memanjangkan ‘usia’ MPP lebih daripada setahun.

Lantaran wujudnya MPP ‘caretakers’ ini, ia telah melahirkan ketidakseragaman antara badan tersebut dengan organisasi mahasiswa yang lain di dalam kampus yang kebanyakannya ditubuhkan mengikut usia sidang pengajian. Apa yang berlaku ialah, MPP akan berhadapan dengan dua kepimpinan daripada mana-mana persatuan atau kelab kerana tempoh perkhidmatan mereka yang meliputi dua sidang yang berbeza.

Sebagai contoh, sejak dua sidang yang lepas, pilihanraya kampus di USM, UPM, UKM dan UM masing-masing diadakan pada awal semester kedua dan MPP yang dilantik akan tamat tempoh perkhidmatannya setahun kemudian. Manakala Majlis-majlis Penghuni Desasiswa atau Jawatankuasa Kolej Kediaman dan persatuan-persatuan serta kelab dipilih sama ada pada awal sidang atau pada penghujung semester kedua dan bertugas secara rasmi pada semester baru sidang berikutnya.

Justeru di sinilah masalah-masalah ketidakseragaman akan berlaku kerana setiap organisasi termasuk MPP sendiri sudah tentu akan cuba menampilkan agenda-agenda baru sebaik saja ditubuhkan. Seperti kata Saudara Syafik, melainkan MPP baru bersedia memikul amanah yang ditinggalkan oleh MPP lama, maka masalah ini akan terus membelenggu mereka!

Saturday, September 18, 2010

Di Sebalik Penarafan Universiti Terbaik Dunia

THE-TR 2010

Seperti yang dijanjikan oleh Times Higher Education (THE), pada 16 September yang lalu, senarai 200 buah institusi pengajian tinggi terulung di dunia telah dikeluarkan sebagai rujukan massa bagi tempoh 2010-2011.

Senarai tersebut (Klik di sini) telah memperbaharui kedudukan universiti-universiti utama dunia sebelum ini tetapi masih ‘mengekalkan’ posisi Universiti Harvard, Amerika Syarikat di tangga teratas dengan mata keseluruhan mencecah 96.1 diikuti Institut Teknologi California, Amerika Syarikat di tangga kedua dan Institut Teknologi Massachusetts juga dari Amerika Syarikat di tangga ketiga.

Ranking atau kedudukan terkini ini juga secara purata dikuasai oleh institusi-institusi pengajian tinggi dari Amerika Syarikat dengan lapan daripadanya berada dalam kelompok sepuluh universiti terbaik dunia bagi tahun 2010-2011. Ia diikuti oleh universiti-universiti utama dari United Kingdom dan beberapa universiti ternama lainnya dari Eropah dan Asia.


Kedudukan 10 Universiti Terbaik Dunia 2010-2011


Kedudukan 10 Universiti Terbaik Dunia 2009-2010


Secara keseluruhannya kedudukan terbaru ini menyaksikan beberapa pertukaran ‘luar biasa’ berbanding pada tahun 2008 dan 2009. Misalnya kejatuhan University of Cambridge dari tangga kedua pada 2009 ke tangga ke-6 untuk berkongsi kedudukan dengan University of Oxford yang juga jatuh satu anak tangga berbanding pada tahun 2009 .

Selain itu, kita juga dapat mengesan ‘kejatuhan’ beberapa universiti utama lain seperti Yale University dari kedudukan ke-3 (2009) ke tangga ke-10 (2010), Imperial College London dari kedudukan ke-5 (2009) ke kedudukan ke-9 (2010) dan University College London yang terkeluar dari kelompok sepuluh universiti utama dunia berbanding di kedudukan ke-4 pada tahun 2009.

Persoalannya, kenapa perubahan mendadak ini boleh berlaku? Kita tidak dapat mengagak jawapan yang jelas sehinggalah kita menemukan sendiri kelemahan dalam proses penarafan ini. Time Higher Education atau singkatannya THE telah menjalankan usaha mencari universiti terulung di dunia sejak tahun 2004. Diketuai oleh penolong editornya, Phil Baty, THE sebelum ini menjalin kerjasama dengan QS Symonds dan dikenali dengan nama THE-QS.

Walau bagaimanapun, menurut Phil sendiri, metodologi yang digunapakai ketika bergabung dengan QS Symond didapati mempunyai beberapa kelemahan sehingga menimbulkan pertikaian dalam kalangan ahli akademik dan pihak pengurusan universiti terbabit.

Kita di Malaysia juga sebenarnya tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kesilapan teknikal tersebut sehingga mencetuskan polemik dangkal dalam kalangan ahli akademik tempatan. Sama ada mereka sedar ataupun tidak, kebenaran tersebut akhirnya terdedah juga.

Universiti Malaya umpamanya pernah menjadi mangsa kepada percaturan ‘kepakaran’ Barat apabila THE-QS telah dengan cuainya mentafsirkan pelajar Cina dan India warga Malaysia sebagai pelajar antarabangsa di universiti tersebut.

Natijahnya, pada 2004, THE-QS telah menyenaraikan UM di kedudukan ke-89 dunia, suatu kedudukan yang sebenarnya jauh panggang dari api, tetapi benar-benar membuatkan seluruh kampung bersorak gembira. Namun ia tidak bertahan lama apabila setahun kemudian, UM jatuh merudum ke tangga ke 169 iaitu penurunan hampir sekali ganda. Seluruh negara kembali hingar. Pelbagai punca cuba dibongkar-dedahkan tanpa mengetahui situasi sebenar.

Menurut Dr. Hashim Yaacob, bekas Naib Canselor Universiti Malaya, kriteria memberikan kredit ‘lebih’ kepada pelajar dan kakitangan antarabangsa tidak boleh dijadikan kayu ukur sama sekali dalam kita menarafkan mana-mana universiti melainkan jika kita mahu ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’.

Konglomerat Thomson Reuters menyediakan kepakaran dan data saintifik untuk kegunanaan THE dalam proses penarafan universiti terbaik.

Dalam pada itu, kerjasama baru antara THE dan Thomson Reuters juga seharusnya menimbulkan kesangsian. Kutipan data menunjukkan Thomson Reuters ialah sebuah syarikat global yang bergiat aktif dalam pengeluaran dan pemasaran data dan maklumat. Ia bermula apabila Thomson Corp. membeli Reuters pada tahun 2007 sekali gus menghasilkan sebuah konglomerat dengan nilai hampir US$17.5 bilion.

Lebih menarik, entiti ini mempunyai pangkalan data saintifik yang dihasilkan daripada 12,000 jurnal yang berada di bawah imprimata mereka yang juga diindeks dalam Webs of Science (WOS) Thomson Reuters yang kemudiannya digunakan sebagai indikator utama dalam proses penarafan univerisiti oleh THE.

Bagaimana ia beroperasi dan menekan pihak univerisiti? Inilah yang seharusnya kita fahami. WOS atau Web Of Science yang dikuasai oleh Thomson Reuters inilah sebenarnya yang menyebabkan pihak pengurusan universiti dan seluruh warga akademiknya bertungkus lumus mengejar untuk menerbitkan kertas-kertas penyelidikan mereka dalam jurnal tersebut. Secara ekonominya, ia akan menguntungkan konglomerat tersebut.

Sekarang mari kita fahami pula bagaimana THE memanfaatkan data-data tersebut sebelum dijadikan indikator dalam penarafan universiti terbaik dunia 2010. Data yang sama juga akan digunakan oleh THE untuk menjana perkiraan yang akan menentukan kedudukan seperti yang diinginkan oleh mereka. Daripada maklumat yang diperolehi melalui laman web THE, tinjauan kali ini dilaksanakan selepas perbincangan dan konsultansi selama 10 bulan serta input daripada lebih 50 pemimpin sektor pengajian tinggi dunia.


Indikator yang diaplikasikan dalam proses penarafan.


Menurut Phil Baty, penarafan kali ini dianggap sebagai paling komprehensif dan sofistikated dengan mengambil kira beberapa kriteria baru seperti pengajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu yang diaplikasikan dalam 13 indikator penilaian berdasarkan pencapaian setiap universiti terbabit (Klik sini).Satu kategori baru juga telah diperkenalkan iaitu pengajaran yang memberikan markah sehingga 30 peratus di samping memberikan penekanan kepada penyelidikan dan hasilnya.

Metodologi yang telah digunakan oleh THE-TR.

Selepas penelitian ini, kita seharusnya berfikir, apakah implikasi tersirat apabila wujud usaha penarafan sebegini terhadap universiti-universiti di dunia yang merentasi sempadan negara dan benua? Adakah ia sesuatu yang positif dan adil?

Barangkali kita masih ingat akan komentar daripada Naib Canselor kita sendiri tidak lama dahulu betapa kita tidak boleh menarafkan sahabat-sahabat kita sendiri dengan angka atau kedudukan 1,2,3 dan seterusnya kerana ia tidak menjamin keputusan yang sepatutnya kita inginkan, atau setidak-tidaknya, ia akan mewujudkan persaingan dan perlumbaan yang tidak seimbang.

Begitu juga, apabila wujud ‘pihak asing yang berada di luar bidang dan kepentingan’ cuba ‘melaga-lagakan’ kalangan universiti dengan memberikan penafaran berdasarkan kriteria yang telah ‘ditetapkan’, maka ia hanya akan mencetuskan lebih banyak perlumbaan ‘kekayaan’ dan ‘kemegahan’.

Kita perlu tahu bahawa universiti di Eropah dan Amerika Syarikat telah berdiri megah sejak ratusan tahun dahulu, sudah memiliki asas dan tradisi yang kukuh dan didanai secara konsisten di mana pihak berkuasa mereka sentiasa menyokong aktiviti yang dijalankan tanpa banyak ‘berkira’ atas nama pembangunan pendidikan yang komprehensif untuk rakyatnya.

Ketika mereka memiliki tuah tersebut, masih banyak lagi universiti di negara-negara lain termasuk kita di Malaysia yang sedang ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan khususnya fizikal dan spiritual. Kita sebenarnya tewas dalam aspek dana kerana untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang ulung, sumber kewangan yang mewah adalah faktor utamanya.

Walau bagaimanapun, kita di Malaysia seharusnya bersyukur kerana pihak kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan pelbagai strategi ke arah pemantapan bidang penyelidikan di samping melabur sejumlah besar wang rakyat untuk pembangungan pengajian tinggi nasional, termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara baru-baru ini.

Akhir kata, AC ingin menyeru rakan-rakan sekalian supaya tidak terlalu skeptikal dengan melihat ranking sebagai segala-galanya tentang universiti. Usahlah berasa rendah diri atau malu jika kita tidak berada dalam kelompok terbaik dunia ketika ini kerana kita sebenarnya sedang bergerak pantas ke arah tersebut dalam menggapai masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Sayangnya juga kerana Malaysia tidak menyertai ‘pencarian’ THE-TR tersebut!

Tuesday, August 31, 2010

Pertandingan Menulis Esei Kritis



Yayasan Kepimpinan Perdana/Perdana Leadership Foundation sedang menganjurkan pertandingan menulis esei yang bertemakan Malaysia Di Dunia Globalisasi : Memupuk Minda Bakal Pemimpin.

Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 hingga 25 tahun dan dijalankan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melaysia dan Bahasa Inggeris.

Hadiah-hadiah menarik disediakan seperti wang tunai sehingga RM 11,000.00, Netbook, e-Reader, iPod dan Baucar Buku MPH.

Untuk maklumat lanjut seperti tajuk-tajuk esei yang dipertandingkan, format dan muat turun burung penyertaan boleh didapati di http:www.perdanaessaycompetition.com.my/ atau ikuti Facebook MPH di facebook.com/mphclick .

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 September 2010.

Rebutlah peluang ini!!! Suarakan pandangan anda secara bebas dan terbuka tentang isu-isu kritikal muktahir seperti kejatuhan daya saing global negara, Model Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 yang bakal kunjung tidak lama lagi.

Selamat Hari Kemerdekan ke 53


31 Ogos. Hari ini kita meraikannya lagi. Sedar atau tidak, hari ini sudah kali ke 53 kita meraikan tanggal 31 Ogos. Apa ada pada tarikh ini? Soalan ini mungkin selayaknya ditanyakan kepada sesiapa sahaja yang bergelar rakyat Malaysia. Adakah sekadar cuti peringatan atau hari penuh pengertian, hanya individu itu sendiri yang tahu.

Kita dijajah selama 446 tahun. Selama itu, bersilih ganti tanah ibu pertiwi ini dilanyak dan diratah oleh pelbagai bangsa dan budaya asing. Datangnya Portugis atas nama glory, gold dan gospel. Kita dijarah. Tanah Melaka itu saksinya. Dibakar segala yang ada hingga kita hilang segala kemegahan. Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, Komunis dan kembali kepada Inggeris. 446 tahun penuh dengan catatan sejarah.

Hari ini, baru 53 tahun kita mengecapi nikmat sebagai warganegara yang merdeka daripada penjajahan. 53 tahun ini terlalu singkat. Kita begitu ketinggalan kerana selama 446 tahun kita sibuk berjuang untuk memerdekakan tanah air sendiri daripada kekangan orang asing. Kita kerugian begitu banyak masa. Tetapi tahulah rakan-rakan, selama 53 tahun itu, kita sedaya upaya cuba mengisinya dengan sebaik-baik pengisian.

Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Pertama yang bertanggungjawab merealisasikan wadah perjuangan kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos seperti yang kita maklum tidak pernah mengisi kemerdekaan dengan slogan-slogan yang hebat didengar. Tunku hanya menjanjikan dua perkara untuk dilaksanakan sebagai pengisian dalam agenda kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu iaitu membasmi kemiskinan dan membasmi masalah buta huruf.

Aspirasi Tunku begitu jelas dan realistik. Hal ini demikian kerana, masalah kemiskinan dan buta huruf merupakan masalah utama yang perlu diatasi sekiranya kita ingin membina sebuah negara yang boleh berdikari di masa depan. Jelas, Tunku telah melakukan sesuatu yang betul dan meninggalkan legasi yang baik kepada pemimpin-pemimpin selepasnya.

Kita mungkin tidak mampu membandingkan usia perjalanan selama 446 tahun dalam ruang yang sekecil ini dengan usia 53 tahun yang kita lalui pasca kemerdekaan. 446 tahun itu akan kekal sebagai sebahagian daripada sejarah penting negara, tetapi 53 tahun ini adalah kayu ukur untuk menilai sejauh mana kita memanfaatkan kemerdekaan yang telah diusahakan oleh nenek moyang kita dahulu.

Bersesuaian dengan tema kemerdekaan pada kali ini, kami di AC ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk melihat kembali peranan yang sepatutnya kita mainkan sebagai generasi pewaris kepimpinan negara. Kitalah yang akan keluar dan mengisi agenda-agenda seterusnya. Apa yang penting, kita mesti bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Kita perlu sedar, kemerdekaan yang kita kecapi hari ini telah menguntungkan semua pihak dan ia adalah hasil daripada perjuangan seluruh penduduk Tanah Melayu, bukan hanya orang Melayu sahaja.

Bersatulah menjana transformasi ke arah Malaysia yang lebih baik.

Friday, August 27, 2010

Hudud – Masih Adakah Harapan?

Ketika AC membangkitkan isu ini beberapa hari lalu, tidak disangka-sangka muncul beberapa komentar yang cuba memandang rendah niat AC. Malah, AC dicabar supaya menyatakan pendirian terlebih dahulu berkenaan isu mahasiswa berpolitik, sesuatu yang langsung terkeluar daripada skop perbincangan yang cuba AC bawakan. Tidak cukup setakat itu, AC dituduh pula menjadi suara kepada parti tertentu lantaran isu ini yang berbaur politik dan dibangkitkan oleh pihak-pihak berkepentingan politik di luar sana.

Reaksi ini agak menghairankan. Di mana salahnya bila AC cuba mengajak mahasiswa berdiskusi secara matang berkenaan isu ini? Perlukah AC memperkenalkan diri terlebih dahulu sebagai perwakilan kepada mana-mana parti sebelum berbicara isu yang genting ini? Sudah AC tegaskan, tujuan utama AC adalah untuk mengajak rakan-rakan siswa berdiskusi supaya kita tidak nampak lesu atau ketinggalan arus. Malah isu ini sangat mustahak untuk dibincangkan. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan, tetapi AC percaya, kita ada cukup keupayaan untuk melontarkan buah fikiran.

Di luar sana, isu ini begitu dibicarakan oleh pihak-pihak yang ada kepentingan politik. AC tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut. Tetapi apa yang ingin AC kongsikan kali ini ialah hasil perbincangan dan pemerhatian kami terhadap beberapa pandangan yang diutarakan oleh banyak pihak berhubung isu Hudud.

Pertama, kami merumuskan, Hudud tidak boleh ditegakkan melalui peti undi. Juga, negara Islam tidak boleh ditegakkan melalui kuasa angkat tangan atau cop jari di atas kertas undi. Kenapa? Kerana geo-politik negara kita tidak mengizinkannya. Hudud dan Negara Islam tidak boleh dilaksanakan melalui sistem demokrasi yang memerlukan suara majoriti rakyat, dan pada masa yang sama, suara minoriti juga masih kuat seperti yang dapat kita lihat ketika ini di Malaysia. Islam itu sendiri tidak disebarkan melalui demokrasi tetapi melalui jalan dakwah dan tarbiyah. Dua perkara ini sepatutnya dijayakan terlebih dahulu sebelum proses demokrasi digunapakai. Dalam erti kata lain, kami percaya dan yakin, Islam tidak dibangunkan melalui sistem sokongan dan peti undi dari saat ia mula lahir hinggalah ke akhir zaman.

Jadi bagaimana? Seperti yang kami tegaskan tadi, Islam menekankan jalan dakwah dan tarbiyah. Ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah. Setelah itu, barulah demokrasi boleh dilaksanakan, yakni selepas dakwah dan tarbiyah sudah mencapai matlamatnya. Apa natijahnya jika ia diketepikan dan kuasa undi diutamakan? Seperti yang kita lihat hari, ramai pemimpin kita bertelagah sesama sendiri. Lebih malang apabila terdapat parti politik tertentu sudah berani menunjukkan kuasa peti undi dan demokrasi mereka terhadap Hudud sehingga Hudud ‘tewas’ kepada suara ‘mereka yang tidak faham’. Hudud telah gagal mendapat kuasa undi yang secukupnya dalam erti kata lain kerana wujudnya kepelbagaian kepentingan atau orientasi politik dalam kalangan parti politik itu sendiri.

Dalam sejarah perkembangan syiar Islamiah, antara usaha yang dititikberatkan sebelum terbinanya negara Islam ialah dakwah. Ulamak-ulamak dihantar ke seluruh pelosok dunia bagi menyampaikan ajaran Islam. Mereka bersungguh-sungguh dalam gerak kerja dakwah yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan pangkat atau kuasa. Cinta mereka totok kepada Islam. Selain itu, Rasulullah SAW sendiri berdasarkan catatan sejarah pernah mengutus surat dakwah dan penjelasan berkenaan Islam kepada penguasa-penguasa utama dunia seperti pemimpin Yahudi Khaibar, Kaisar Romawi, Raja Negus, Raja Khosrau II, Al-Muqawqis (Penguasa Mesir) dan banyak lagi. Semuanya belum mengenal Islam. Soalnya, adakah kaedah ini telah diaplikasikan ketika ini oleh pihak berkenaan?

Kedua, sekilas, kami setuju bahawa isu ini akan kekal menjadi modal di pentas-pentas ceramah atau dada-dada media massa. Hudud sememangnya tidak relevan jika hendak diperjuangkan melalui proses demokrasi kerana demokrasi itu sendiri mengutamakan suara orang ramai dalam sesuatu keputusan. Katakan jika Hudud benar-benar ingin dilaksanakan secara serius, ia memerlukan undi 100% daripada orang Melayu (Islam) dan segelintir mereka yang beragama Islam (bukan Melayu) kerana kaum Melayu adalah majoriti di negara ini. Dari segi konsep, begitulah. Tapi secara praktikal, adakah ia boleh dilaksanakan? Bagaimana dengan suara kaum bukan Melayu (Islam) yang mungkin nisbahnya seimbang? Malah, kita sedia maklum, orang-orang Melayu (Islam) sendiri berpecah-belah. Pada akhirnya, ia tetap kembali kepada usaha dakwah dan tarbiyah yang langsung terhindar daripada kepentingan politik dan kuasa sebelum dilaksanakan proses demokrasi.

Kesimpulannya, berdasarkan perbincangan kami dan kutipan pandangan daripada beberapa penulisan lainnya, kami di Aspirasi Corner yakin dan percaya, untuk melaksanakan Hudud dan negara Islam, ia memerlukan lebih daripada apa yang sedang diusahakan ketika ini dan yang penting, ia hendaklah kembali kepada jalan dakwah dan tarbiyah. Bukan jalan demokrasi atau peti undi yang perlu digunakan tetapi perpaduan seluruh umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini. Kuasa undi dan demokrasi telah pun menunjukkan signal TIDAK kepada perlaksanaannya.