Wednesday, October 19, 2011

AUKU Satu Rahmat!


Kami pelik, takjub. Kenapa agaknya kumpulan Pro-M begitu mahukan AUKU dimansuhkan? Mereka berulang kali menyatakan pandangan yang sama, mahu AUKU dimansuhkan terus. Kononnya, akta tersebut menyekat kebebasan hak asasi mahasiswa sebagai warganegara.


Kami mencari, membelek setiap patah kata dan ayat dalam AUKU yang dikatakan menyekat itu. Daripada keseluruhan Seksyen yang termaktub, kami tak jumpa pun mana-mana bahagian yang dikatakan menyekat kebebasan hak asasi tersebut. Semuanya digubal mengikut lunas perundangan negara.


Alasan mereka sebenarnya terlalu dangkal dan sempit. Sejak dahulu lagi mereka hanya berani menyentuh Seksyen 15 dalam AUKU kerana pada bahagian ini terdapat larangan yang jelas terhadap mahasiswa (baik Pro-M mahupun Pro-A) daripada menganggotai parti politik. Hanya itu sahaja yang dijadikan modal bising mereka.


Bahkan kami tahu, selagi AUKU terus berdiri, selagi itulah mereka tidak akan senyap. Lalu kami ingin bertanya, adakah kebebasan hak asasi itu terdefinisi dengan lengkap apabila kita menjadi ahli parti politik di luar kampus?


Bagi kami, AUKU sedikit pun tidak menghalang kebebasan hak asasi mahasiswa sebagai warganegara. Malah larangan itu sebenarnya satu rahmat buat kita. Kenapa kami berkata demikian? Mudah, kerana kami melihat sekian banyak contoh dan implikasi apabila mahasiswa begitu ghairah dengan ideologi politik kepartian.


Sekarang pun, kalau kita perhatikan melalui Facebook, blog dan media-media bebas yang lain, tidak sedikit mahasiswa yang telibat secara tidak langsung dengan ideologi-ideologi parti politik di luar pagar kampus. Melalui komentar mereka berhubung isu-isu semasa, itu sudah cukup membayangkan betapa kebebasan itu sebenarnya sudah wujud. Ia dipraktikkan dengan terbuka oleh sesiapa yang berminat. Jarang kita dengan ada tindakan yang diambil kalau ia cuma pandangan dan komentar.


Tetapi bagaimana kalau tiada Seksyen 15 dan larangan tersebut? Banyak yang boleh kita jangkakan. Misalnya, akan wujudlah kumpulan-kumpulan dan pergerakan mahasiswa yang mewakili parti-parti politik di dalam kampus. Kumpulan ini akan bercakap tentang A dan kumpulan yang lagi satu akan membangkang dengan hujah yang lain pula. Lama-kelamaan, apa kesudahannya?


Kita juga tidak dapat menghalang lagi jika parti-parti politik ingin mewujudkan cawangan mahasiswa mereka di dalam kampus. Bayangkan, adanya Pemuda UMNO Cawangan Fajar Harapan, Bakti Permai dan Cahaya Gemilang. Pada masa yang sama, PKR, PAS dan DAP juga mempunyai cawangan masing-masing. Ia akan sama seperti di luar! Lalu, apa lagi yang boleh kita jangkakan?


Ini implikasi-implikasi yang harus timbul sebenarnya. Maka, kita akan melihat keghairahan baru mahasiswa dan mahasiswi di dalam kampus. Lambakan koran, buletin, risalah-risalah politik, kain rentang, poster dan bermacam lagi ‘kemeriahan’ akan menghiasi kehidupan kampus. Inikah yang kita mahu?


Kita juga tidak boleh lagi menghalang jika ada pemimpin-pemimpin parti ingin masuk dan berceramah di dalam kampus. Di padang kawad, mungkin setiap minggu akan ada ceramah politik. Minggu ini UMNO, minggu depan PAS, minggu berikutnya DAP dan PKR. Begitulah seterusnya.


Kenapa kita tidak boleh menghalang? Kerana kita tidak ada lagi akta yang boleh disandarkan. Setiap perkara akan dihubungkan dengan kebebasan hak asasi mahasiswa. Kalau di luar kampus boleh, kenapa dalam USM tak boleh? Itulah yang akan digunakan sebagai hujah. Soalnya, adakah ini yang kita nak?


Kami percaya, suara yang mahukannya tidaklah ramai berbanding yang menolak. Tetapi, yang tidak ramai inilah yang selalu buat onar di dalam kampus. Yang dua, tiga orang inilah yang tak pernah diam membuat tuntutan. Kerana yang dua, tiga orang inilah kampus jadi bising seperti di UPM dan UM dahulu.


Sekali lagi kami ingin bertanya, susah sangatkah untuk mengikut apa yang telah termaktub? Susah sangatkan nak menghormati undang-undang? Kamu cuma mahasiswa. Tiga, empat tahun sahaja di dalam kampus. Kenapa ghairah dengan perkara yang bukan menjadi tanggungjawab kamu?


Nak bersuara, nak bermasyarakat, peluangnya terbuka luas. Kita ada pelbagai persatuan. Kita ada Majlis-majlis Penghuni dan MPP. Kita ada sekretariat itu ini. Kita ada NGOs yang selalu berdamping dengan mahasiswa USM. Sertailah mereka, berbaktilah dengan masyarakat jika itu yang dimahukan. Kenapa yang tak boleh juga hendak dibuat?


Berhentilah jadi mahasiswa yang dangkal dan sempit. Gunakan masa yang singkat ini untuk membina kualiti diri yang sebenar, bukannya menjadi pak turut dan anjing politik yang menyalak tak tentu punca. Kita mahasiswa! Kita harapan negara! Keluarlah dengan kualiti yang didambakan oleh masyarakat, bukannya keluar sebagai sampah masyarakat. Duit rakyat yang kita gunakan ini ada amanah yang perlu kita tanggung. Jangan disia-siakan setiap sen wang itu untuk kepentingan sempit pihak lain!