Tuesday, August 31, 2010

Pertandingan Menulis Esei Kritis



Yayasan Kepimpinan Perdana/Perdana Leadership Foundation sedang menganjurkan pertandingan menulis esei yang bertemakan Malaysia Di Dunia Globalisasi : Memupuk Minda Bakal Pemimpin.

Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 hingga 25 tahun dan dijalankan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melaysia dan Bahasa Inggeris.

Hadiah-hadiah menarik disediakan seperti wang tunai sehingga RM 11,000.00, Netbook, e-Reader, iPod dan Baucar Buku MPH.

Untuk maklumat lanjut seperti tajuk-tajuk esei yang dipertandingkan, format dan muat turun burung penyertaan boleh didapati di http:www.perdanaessaycompetition.com.my/ atau ikuti Facebook MPH di facebook.com/mphclick .

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 September 2010.

Rebutlah peluang ini!!! Suarakan pandangan anda secara bebas dan terbuka tentang isu-isu kritikal muktahir seperti kejatuhan daya saing global negara, Model Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 yang bakal kunjung tidak lama lagi.

Selamat Hari Kemerdekan ke 53


31 Ogos. Hari ini kita meraikannya lagi. Sedar atau tidak, hari ini sudah kali ke 53 kita meraikan tanggal 31 Ogos. Apa ada pada tarikh ini? Soalan ini mungkin selayaknya ditanyakan kepada sesiapa sahaja yang bergelar rakyat Malaysia. Adakah sekadar cuti peringatan atau hari penuh pengertian, hanya individu itu sendiri yang tahu.

Kita dijajah selama 446 tahun. Selama itu, bersilih ganti tanah ibu pertiwi ini dilanyak dan diratah oleh pelbagai bangsa dan budaya asing. Datangnya Portugis atas nama glory, gold dan gospel. Kita dijarah. Tanah Melaka itu saksinya. Dibakar segala yang ada hingga kita hilang segala kemegahan. Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, Komunis dan kembali kepada Inggeris. 446 tahun penuh dengan catatan sejarah.

Hari ini, baru 53 tahun kita mengecapi nikmat sebagai warganegara yang merdeka daripada penjajahan. 53 tahun ini terlalu singkat. Kita begitu ketinggalan kerana selama 446 tahun kita sibuk berjuang untuk memerdekakan tanah air sendiri daripada kekangan orang asing. Kita kerugian begitu banyak masa. Tetapi tahulah rakan-rakan, selama 53 tahun itu, kita sedaya upaya cuba mengisinya dengan sebaik-baik pengisian.

Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Pertama yang bertanggungjawab merealisasikan wadah perjuangan kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos seperti yang kita maklum tidak pernah mengisi kemerdekaan dengan slogan-slogan yang hebat didengar. Tunku hanya menjanjikan dua perkara untuk dilaksanakan sebagai pengisian dalam agenda kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu iaitu membasmi kemiskinan dan membasmi masalah buta huruf.

Aspirasi Tunku begitu jelas dan realistik. Hal ini demikian kerana, masalah kemiskinan dan buta huruf merupakan masalah utama yang perlu diatasi sekiranya kita ingin membina sebuah negara yang boleh berdikari di masa depan. Jelas, Tunku telah melakukan sesuatu yang betul dan meninggalkan legasi yang baik kepada pemimpin-pemimpin selepasnya.

Kita mungkin tidak mampu membandingkan usia perjalanan selama 446 tahun dalam ruang yang sekecil ini dengan usia 53 tahun yang kita lalui pasca kemerdekaan. 446 tahun itu akan kekal sebagai sebahagian daripada sejarah penting negara, tetapi 53 tahun ini adalah kayu ukur untuk menilai sejauh mana kita memanfaatkan kemerdekaan yang telah diusahakan oleh nenek moyang kita dahulu.

Bersesuaian dengan tema kemerdekaan pada kali ini, kami di AC ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk melihat kembali peranan yang sepatutnya kita mainkan sebagai generasi pewaris kepimpinan negara. Kitalah yang akan keluar dan mengisi agenda-agenda seterusnya. Apa yang penting, kita mesti bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Kita perlu sedar, kemerdekaan yang kita kecapi hari ini telah menguntungkan semua pihak dan ia adalah hasil daripada perjuangan seluruh penduduk Tanah Melayu, bukan hanya orang Melayu sahaja.

Bersatulah menjana transformasi ke arah Malaysia yang lebih baik.

Friday, August 27, 2010

Hudud – Masih Adakah Harapan?

Ketika AC membangkitkan isu ini beberapa hari lalu, tidak disangka-sangka muncul beberapa komentar yang cuba memandang rendah niat AC. Malah, AC dicabar supaya menyatakan pendirian terlebih dahulu berkenaan isu mahasiswa berpolitik, sesuatu yang langsung terkeluar daripada skop perbincangan yang cuba AC bawakan. Tidak cukup setakat itu, AC dituduh pula menjadi suara kepada parti tertentu lantaran isu ini yang berbaur politik dan dibangkitkan oleh pihak-pihak berkepentingan politik di luar sana.

Reaksi ini agak menghairankan. Di mana salahnya bila AC cuba mengajak mahasiswa berdiskusi secara matang berkenaan isu ini? Perlukah AC memperkenalkan diri terlebih dahulu sebagai perwakilan kepada mana-mana parti sebelum berbicara isu yang genting ini? Sudah AC tegaskan, tujuan utama AC adalah untuk mengajak rakan-rakan siswa berdiskusi supaya kita tidak nampak lesu atau ketinggalan arus. Malah isu ini sangat mustahak untuk dibincangkan. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan, tetapi AC percaya, kita ada cukup keupayaan untuk melontarkan buah fikiran.

Di luar sana, isu ini begitu dibicarakan oleh pihak-pihak yang ada kepentingan politik. AC tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut. Tetapi apa yang ingin AC kongsikan kali ini ialah hasil perbincangan dan pemerhatian kami terhadap beberapa pandangan yang diutarakan oleh banyak pihak berhubung isu Hudud.

Pertama, kami merumuskan, Hudud tidak boleh ditegakkan melalui peti undi. Juga, negara Islam tidak boleh ditegakkan melalui kuasa angkat tangan atau cop jari di atas kertas undi. Kenapa? Kerana geo-politik negara kita tidak mengizinkannya. Hudud dan Negara Islam tidak boleh dilaksanakan melalui sistem demokrasi yang memerlukan suara majoriti rakyat, dan pada masa yang sama, suara minoriti juga masih kuat seperti yang dapat kita lihat ketika ini di Malaysia. Islam itu sendiri tidak disebarkan melalui demokrasi tetapi melalui jalan dakwah dan tarbiyah. Dua perkara ini sepatutnya dijayakan terlebih dahulu sebelum proses demokrasi digunapakai. Dalam erti kata lain, kami percaya dan yakin, Islam tidak dibangunkan melalui sistem sokongan dan peti undi dari saat ia mula lahir hinggalah ke akhir zaman.

Jadi bagaimana? Seperti yang kami tegaskan tadi, Islam menekankan jalan dakwah dan tarbiyah. Ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah. Setelah itu, barulah demokrasi boleh dilaksanakan, yakni selepas dakwah dan tarbiyah sudah mencapai matlamatnya. Apa natijahnya jika ia diketepikan dan kuasa undi diutamakan? Seperti yang kita lihat hari, ramai pemimpin kita bertelagah sesama sendiri. Lebih malang apabila terdapat parti politik tertentu sudah berani menunjukkan kuasa peti undi dan demokrasi mereka terhadap Hudud sehingga Hudud ‘tewas’ kepada suara ‘mereka yang tidak faham’. Hudud telah gagal mendapat kuasa undi yang secukupnya dalam erti kata lain kerana wujudnya kepelbagaian kepentingan atau orientasi politik dalam kalangan parti politik itu sendiri.

Dalam sejarah perkembangan syiar Islamiah, antara usaha yang dititikberatkan sebelum terbinanya negara Islam ialah dakwah. Ulamak-ulamak dihantar ke seluruh pelosok dunia bagi menyampaikan ajaran Islam. Mereka bersungguh-sungguh dalam gerak kerja dakwah yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan pangkat atau kuasa. Cinta mereka totok kepada Islam. Selain itu, Rasulullah SAW sendiri berdasarkan catatan sejarah pernah mengutus surat dakwah dan penjelasan berkenaan Islam kepada penguasa-penguasa utama dunia seperti pemimpin Yahudi Khaibar, Kaisar Romawi, Raja Negus, Raja Khosrau II, Al-Muqawqis (Penguasa Mesir) dan banyak lagi. Semuanya belum mengenal Islam. Soalnya, adakah kaedah ini telah diaplikasikan ketika ini oleh pihak berkenaan?

Kedua, sekilas, kami setuju bahawa isu ini akan kekal menjadi modal di pentas-pentas ceramah atau dada-dada media massa. Hudud sememangnya tidak relevan jika hendak diperjuangkan melalui proses demokrasi kerana demokrasi itu sendiri mengutamakan suara orang ramai dalam sesuatu keputusan. Katakan jika Hudud benar-benar ingin dilaksanakan secara serius, ia memerlukan undi 100% daripada orang Melayu (Islam) dan segelintir mereka yang beragama Islam (bukan Melayu) kerana kaum Melayu adalah majoriti di negara ini. Dari segi konsep, begitulah. Tapi secara praktikal, adakah ia boleh dilaksanakan? Bagaimana dengan suara kaum bukan Melayu (Islam) yang mungkin nisbahnya seimbang? Malah, kita sedia maklum, orang-orang Melayu (Islam) sendiri berpecah-belah. Pada akhirnya, ia tetap kembali kepada usaha dakwah dan tarbiyah yang langsung terhindar daripada kepentingan politik dan kuasa sebelum dilaksanakan proses demokrasi.

Kesimpulannya, berdasarkan perbincangan kami dan kutipan pandangan daripada beberapa penulisan lainnya, kami di Aspirasi Corner yakin dan percaya, untuk melaksanakan Hudud dan negara Islam, ia memerlukan lebih daripada apa yang sedang diusahakan ketika ini dan yang penting, ia hendaklah kembali kepada jalan dakwah dan tarbiyah. Bukan jalan demokrasi atau peti undi yang perlu digunakan tetapi perpaduan seluruh umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini. Kuasa undi dan demokrasi telah pun menunjukkan signal TIDAK kepada perlaksanaannya.

Wednesday, August 25, 2010

Isu Hudud – Apa Reaksi YDP PMI USM?

Nik Nazmi Nik Ahmad

Pertelagahan dalam rumah tangga Pakatan Rakyat iaitu gabungan parti pembangkang utama negara bukanlah perkara asing. Bila menyangkut hal-hal prinsip, sering berlaku pertentangan antara parti-parti terbabit iaitu PAS, PKR dan DAP. Hal ini terjadi kerana setiap parti mempunyai asas perjuangan yang berbeza-beza tetapi bergabung atas maksud yang satu iaitu menumbangkan perikatan Barisan Nasional yang memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun yang lalu.

Terbaru dan masih lagi hangat ialah isu Hudud atau perlembagaan berasaskan hukum syariah Islamiah yang diperjuangkan oleh PAS tetapi sentiasa ditentang keras oleh sekutunya iaitu DAP. Ia menjadi bingit semula lewat isu pembuangan bayi dan masalah kebejatan sosial yang kian parah ketika ini justeru memaksa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengesyorkan langkah penyelesaian yang terbaik iaitu melalui jalan syariah yakni Hudud.

Dari satu sudut, ia mungkin dilihat sebagai political strategies untuk menekan kepimpinan UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional. Sejak sekian lama, PAS mendakwa UMNO sebagai parti Melayu Islam yang anti-Hudud dan menolak perlaksanaannya di negara ini. Malah, PAS turut melabelkan UMNO sebagai parti kafir dan sesat hanya kerana tidak menguatkuasakan hukum Hudud di negara ini walaupun sudah 50 tahun mentadbir kerajaan pusat.

Syor yang diutarakan itu bagaimanapun turut mendapat reaksi keras daripada Pengerusi DAP sendiri iaitu Karpal Singh yang mendakwa Hudud bukanlah pilihan terbaik untuk menangani segala masalah sosial yang sedang melanda negara. Karpal juga dengan tegas menolak hasrat PAS untuk menguatkuasakan undang-undang yang berasaskan Al-Quran itu sekiranya Pakatan Rakyat mendapat mandat sebagai kerajaan kelak. Ternyata ia menjadi satu tamparan yang hebat kepada PAS.

Walaupun Nik Aziz menganggap bantahan Karpal itu sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili partinya, tetapi Karpal bercakap atas kapasitinya sebagai Pengerusi Parti. Lebih penting, ia juga kini disokong oleh seorang lagi pemimpin kuat DAP iaitu Lim Kit Siang yang turut berkongsi pandangan dengan Karpal. Tidakkah ini menunjukkan DAP senada dalam isu Hudud meskipun mereka berkongsi bumbung yang sama dengan PAS? Buktinya, lihatlah kenyataan rasmi DAP berhubung isu ini seperti berikut :

Hudud laws and Islamic state are not Pakatan Rakyat policies. This is why there is no mention of these issues in the Pakatan Rakyat common platform unveiled at the Pakatan Rakyat Convention in Shah Alam on 19th December last year.

Sementara itu, kenyataan daripada Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Komunikasi PKR pula telah menambahkan huru-hara dalam isu ini. Nik Nazmi seorang pemimpin muda penuh karismatik dan terkenal lewat penulisannya malah pernah mendapat ruang dalam Newsweek tidak lama dahulu. Namun dalam isu Hudud ini, Nik Nazmi menyerlahkan orientasi politik dan pemikirannya yang lebih liberal dengan berkongsi pandangan yang sama dengan Karpal Singh.

Menurut beliau, perjuangan PAS untuk menegakkan hukum Hudud dan mewujudkan negara Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah perbuatan sia-sia. Malah beliau lebih berani apabila mengatakan hukum Hudud tidak sesuai dipraktikkan di negara ini. Walaupun pandangan ini terbit daripada mulut orang muda seperti Nik Nazmi, namun kedudukannya yang digelar sebagai Pewaris Diari Merah dalam PKR harus dilihat sebagai stigma penting yang menggambarkan keseluruhan pandangan parti tersebut. PKR sendiri tidak jelas asas atau prinsip perjuangannya.

Bagi kami di AC, hanya ada satu soalan sahaja, apakah akidah Nik Nazmi selepas mengeluarkan pandangan ini? Jika UMNO dituduh kafir kerana tidak menegakkan hukum Hudud di negara ini, maka Nik Nazmi pastilah lebih teruk kerana langsung mengeluarkan pandangan sedemikian rupa. Adakah PAS berani menjatuhkan hukum kafir kepada anak emas PKR ini sama seperti yang dilakukan terhadap UMNO? Apa pula kata YDP PMI USM?

Tuesday, August 24, 2010

Isu Khutbah Jumaat - Satu Pandangan Kecil dari AC.

Polemik kecil berkenaan tindakan beberapa orang khatib Jumaat yang menyelitkan nama orang bukan Islam di dalam doanya di Pulau Pinang nampaknya belum seselai. Ia bermula apabila Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang mendedahkan perkara tersebut baru-baru ini sehingga mendapat reaksi balas segera daripada pelbagai pihak.

Menurut laporan kebanyakan media massa utama negara, tindakan tersebut sebenarnya telah berlangsung sejak dua tahun yang lalu di mana terdapat segelintir imam atau khatib yang memasukkan nama pemimpin kerajaan negeri yang bukan Islam di dalam doa kedua khutbah.

Tindakan ini dilihat tidak selari dengan rukun-rukun khutbah seperti yang telah disepakati iaitu haruslah mempunyai 5 syarat sahnya seperti puji-pujian kepada Allah SWT, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, berpesan kepada para jemaah supaya bertakwa, membaca ayat suci al-Quran pada salah satu daripada kedua-dua khutbah dan mendoakan kesejahteraan orang mukmin pada khutbah kedua.

Dalam pada itu, amalan dalam penyampaian khutbah di negara ini turut menyelitkan doa kepada Ketua Agama Islam mengikut negeri masing-masing. Bagi kes Pulau Pinang, ketua yang dimaksudkan ialah DYMM Yang DiPertuan Agung kerana negeri ini termasuk dalam kategori negeri-negeri yang tidak beraja atau bersultan.

Meskipun ia bukan rukun tetapi telah disepakati sebagai menghormati kedudukan ketua-ketua agama Islam ini di samping memastikan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi persekutuan terus diperakui dan dipelihara sepanjang masa. Justeru apabila terdapat segelintir imam atau khatib sendiri yang menggugurkan doa tersebut dan menggantikannya dengan nama pemimpin bukan Islam seperti yang berlaku di Pulau Pinang, ternyata ia telah mengguris hati ramai umat Islam sehingga menjadi polemik dalam kalangan masyarakat.

Menurut Mufti-mufti Kerajaan Negeri Kedah, Perlis dan Perak, insiden sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana adalah jelas ditegah mendoakan kesejahteraan orang bukan Islam sewaktu khutbah kerana ruang yang dirukunkan itu menetapkan ia hanyalah untuk orang-orang mukmin sahaja.

Dakwaan bahawa Nabi Muhammad sendiri pernah mendoakan supaya pemimpin-pemimpin kafir Quraisy mendapat hidayah ketika zaman baginda juga tidak selari dengan realiti yang berlaku. Konteks doa baginda adalah berbeza kerana baginda tidak berdoa sewaktu berkhutbah.

Kita juga berasa hairan kerana isu ini seolah-olah dipermainkan oleh pihak-pihak yang terbabit. Hal ini demikian kerana, pada peringkat awal, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim berkata siasatan pihaknya mendapati pendedahan tersebut tidak benar sama sekali.

Walau bagaimanapun, Utusan Malaysia dalam liputannya berkaitan isu ini mendedahkan sendiri pengakuan daripada Pengerusi Kariah Masjid Padang Menora, Tasek Gelugor, Hamir Mahmud yang mengakui ia benar-benar berlaku. Tidak lama kemudian, media melaporkan pula pengakuan daripada khatib terbabit yang mengakui tindakannya menggugurkan doa kepada DYMM YDPA dan menggantikannnya dengan doa kepada pemimpin berkenaan.

Adalah jelas, kami berpandangan isu ini telah dipolitikkan melebihi kepentingan menjaga kesucian rukun khutbah itu sendiri. Beberapa orang pemimpin pembangkang juga tampil dengan pendirian yang berbeza-beza diselang-seli dengan tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan.

Apa yang menarik untuk direnungkan di sini ialah, kenapa pihak Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Mufti sendiri tidak peka dengan tindakan yang dikatakan sudah berlarutan sejak dua tahun yang lalu? Penafian yang dibuat juga dilihat seolah-olah sekadar melepaskan batuk ditangga.

Selain itu, kenapa platform khutbah yang seharusnya membincangkan permasalahan ummat di samping menjadi ruang bagi jemaah berdoa untuk kesejahteraan umat Islam sejagat disalahgunakan sehingga menjadi isu pula seperti yang berlaku kini? Kenapa tidak digunakan sahaja pentas ceramah yang biasa digunakan untuk berpolitik bagi mendoakan pemimpin negeri supaya mendapat hidayah dan memeluk Islam beramai-ramai? Tidakkah ia lebih terbuka dan menjamin impak langsung?

Justeru adalah menjadi harapan kami di Aspirasi Corner untuk mendengar pula luahan pandangan atau komentar dari mahasiswa USM sendiri berhubung isu ini khususnya daripada saf kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam USM. Isu ini seharusnya membuka mata dan minda kita semua supaya menjadi lebih peka dengan tuntutan-tuntutan arus moden dunia yang semakin liberal.