Friday, February 25, 2011

Konspirasi?

Pemilihan MPP/MPM seluruh IPTA sudah pun selesai. Daripada analisa kami, kumpulan pendokong aspirasi universiti masih kukuh kerana menguasai 17 buah universiti manakala kumpulan Pro-Mahasiswa pula hanya mampu menguasai 3 buah universiti di Lembah Klang.

Namun begitu, pemilihan kali ini ternyata amat menarik rentetan beberapa insiden yang telah berlaku di beberapa buah IPT. Kalau di USM, kejadian bakar kain rentang calon pendokong aspirasi universiti dianggap sebagai keterlaluan, suasana di Lembah Klang sebenarnya jauh lebih genting. Insiden usung keranda, calon hilang, demonstrasi 17 jam dan sebagainya lagi telah mewarnai pemilihan tahun ini.

Beberapa akhbar misalnya hari ini melaporkan ‘kehilangan’ kedua calon Pro-Mahasiswa Universiti Malaya walaupun selepas menang kerusi yang ditandingi. Kehilangan kedua ini menimbulkan lebih banyak misteri kerana mangsa sehingga kini belum membuat laporan polis berhubung kehilangan pertama, dan kini beliau hilang lagi ketika pihak universiti mahu mengambil keterangannya.

Konspirasi? Atau penganiayaan? Ramai antara kita barangkali belum tahu kedudukan sebenar calon berkenaan. Masturah, penuntut jurusan Sains Politik Syariah Islam di Akademi Pengajian Islam UM dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas membeli kad tambah nilai prabayar di Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam ketika berkempen untuk pilihan raya kampus.

Selepas 30 jam dikatakan hilang, pelajar itu ditemui semula di Masjid Teras Hernang, Bangi tengah malam Ahad lalu. Masturah kemudian muncul antara calon promahasiswa yang menang dalam pemilihan.

Apa yang menariknya ialah keputusan mangsa dan keluarganya yang tidak mahu melaporkan kehilangan beliau itu kepada pihak polis walaupun mengetahui bahaya yang mungkin boleh berlaku ke atas Masturah. Tindakan ibunya, seorang pemimpin kanan sebuah parti politik yang turun berkempen di UM untuk Masturah sepanjang kehilangan tersebut juga menimbulkan pelbagai andaian.

Banyak pihak yang melihat kes ini sebagai konspirasi kumpulan Pro-Mahasiswa sendiri untuk meraih undi simpati. Jika benar, maka memang berkesan strategi tersebut. Andaian ini menjadi semakin ketara kerana sepanjang 30 jam kehilangannya, ibu Masturah dan ahli keluarga yang lain kelihatan tenang dan sempat mengemaskini laman sosial masing-masing seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Masturah juga perlu menjelaskan bagaimana sebuah laman web yang dikendalikannya sendiri iaitu UMKini boleh menghantar emel kepada NetKL.com antara jam 4.15 petang, 19 Februari 2011 lalu. Dua kiriman emel telah dihantar pada jam 1.35 pagi dan 10.12 pagi pada 20hb Februari 2011 menggunakan alamat UMKini. Jika benar beliau hilang, bagaimana emel-emel tersebut boleh dihantar?

Andaian ini semakin kukuh apabila Masturah sekali lagi hilang apabila pihak UM ingin mendapatkan keterangan dan penjelasannya sendiri berhubung kehilangan pertamanya. Menurut kenyataan daripada pihak pentadbiran universiti, Masturah dikehendaki hadir memberikan keterangannya sebelum laporan polis dibuat pada hari ini. Adakah insiden kali ini juga boleh ditakrifkan sebagai ‘hilang’ atau ‘menghilangkan diri’? Hanya Masturah sahaja yang tahu.

Apa-apa pun, beliau sudah pun mendapat apa yang dihajatkan iaitu kuasa dan kedudukan sebagai MPM UM. Namun, jika strategi ‘hilang’ ini memang dirancang, ia jelas sekali suatu pengkhianatan ke atas demokrasi kampus dan seluruh mahasiswa di negara ini.

Sunday, February 20, 2011

Bisik-bisik AC : Ibarat Anak Manja Yang Suka Meminta..

Semakin dekat, semakin jelas. Cuba teka, apakah dia? Masa semakin pantas dan akhirnya, jawapan yang sepatutnya ialah Pro-M!!!

Semakin dekat dengan sesi Pemilihan MPP, semakin jelaslah kepada kita siapa sebenarnya kumpulan pelajar atau mahasiswa/i ini. AC tak cakap kosong dan bukan tujuan AC hendak menyerang atau memburukkan kem mereka. Sebaliknya, sahabat-sahabat anggap sajalah yang AC bertungkus-lumus menyampaikan kebenaran melalui pengalaman kami sendiri.

Khususan untuk adik-adik yang baru mengenal politik kampus, Pro-M yang sebenar ialah sebuah gerakan mahasiswa yang suka mendesak dan menuntut. Lihat saja manifesto yang mereka wara-warakan semalam semasa sesi pengenalan calon. Apa yang mereka minta? Sebelum AC bertanya soalan seterusnya iaitu boleh atau tidak permintaan mereka itu ditunaikan, elok kita perhalusi dahulu apa yang mereka tuntut kali ini.

Dahulu mereka menuntut antara lain dimansuhkan AUKU. Kata mereka, ia masih konsisten dengan perjuangan mereka tetapi semalam, ia seolah-olah senyap. Mereka sebenarnya sudah sedar, isu AUKU bukanlah isu yang mendesak di USM. Ia sekadar perjuangan segelintir pihak saja tetapi kerana berada di dalam pakatan yang sama, maka mereka terpaksa memperjuangkannya selama ini.

Apa yang mereka tuntut semalam sebahagiannya adalah tuntutan lama yang diperbaharui untuk menggempakkan kempen mereka. Salah satunya ialah mendesak universiti supaya mengambil alih perkhidmatan bas komuter. Ia terbit daripada mulut salah seorang calon umum mereka tetapi malangnya, beliau tidak pula menyatakan mekanisme yang hendak digunakan dalam menjayakan misi besar ini.

Agak sedih juga apabila beliau mendakwa MPP selama ini berdiam diri berpeluk tubuh dalam menangani masalah ini, lalu beliau tampil sebagai pejuang atau jaguh, kononnyalah. Tetapi nampak jelas yang beliau sendiri tidak faham situasi sebenar dan tidak merancang sebarang mekanisme pun untuk mengatasi masalah ini secara menyeluruh.

MPP saban tahun sudah berhadapan dengan masalah ini. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh mantan NYDP MPP USM sidang 2010/11, beliau mendapati sebahagian besar responden berpendapat perkhidmatan sedia ada wajar dikekalkan tetapi mutu yang disediakan hendaklah dinaiktaraf selalu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa/i USM pada umumnnya memahami situasi. Justeru kita tertanya-tanya, di manakah tahap kefahaman calon-calon Pro-M terhadap sesuatu isu?

Contoh lain ialah tuntutan insentif APEX kepada semua mahasiswa/i USM. Wah, sekali dengar, manisnya mengalahkan madu. Tetapi realistikkah? Rasionalkah tuntutan begini? Bagaimana mekanisme (sekali lagi) yang hendak digunapakai? Salah seorang daripada mereka malah mengatakan bahawa USM lebih daripada mampu untuk membayar wang tersebut kepada para pelajar justeru kenapa mesti kepada segelintir sahaja?

Kami tak mahu panjang-panjangkan hal ini kerana pemimpin yang berjiwa kecil akan hanya bercakap hal-hal yang kecil dan remeh-temeh. Tetapi kami mahu mengajak sahabat-sahabat semua untuk sama-sama berfikir tentang keanehan Pro-M di USM ini.

RM1000 seorang dengan jumlah pelajara tak kurang 17,000 orang dalam satu-satu masa. Berapa banyak wang diperlukan? Anda hitungkan sendiri, pastikan darab, tambah, bahagi dan tolaknya betul kerana anda pasti tidak percaya dengan angka yang akan anda perolehi. Ia bukan suatu jumlah yang sedikit, sedangkan peruntukan untuk pembangunan mahasiswa/i di bawah Program APEX tak lebih RM 10 juta setahun. Adakah ini rasional?

Persoalannya, adakah mahasiswa USM semakin materialistik atau Pro-M sahaja yang manja lebih-lebih? Yuran pengajian sebahagian besarnya sudah pun ditanggung oleh pihak kerajaan, kemudian diberikan pula pinjaman PTPTN (pinjam dahulu, dah berjaya baru bayar balik) dan biasiswa, pun tak cukup lagi?

Insentif APEX sebenarnya ialah strategi menggalakkan bakal-bakal penuntut IPTA untuk memilih program Sains Tulen dan Sastera Tulin di USM. Hanya mereka yang layak diterima masuk ke USM untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang tersebut sahaja berpeluang mendapat insentif APEX, bukannya untuk semua mahasiswa/i USM. Yang kamu cemburukan sangat itu kenapa? Bukan rezeki kamu, maka terimalah sahaja ketentuan ini dengan hati terbuka dan berusaha bersungguh-sungguh mengejar habuan yang lebih besar pada masa hadapan.

Kami tak nak berceloteh banyak lagi. Anda mahasiswa minda kelas pertama, fikir-fikirkanlah kerasionalan tuntutan mereka ini. Kami akan berkongsi lagi dalam siri bisikan-bisikan seterusnya. Nak percaya atau tidak, terpulanglah kepada anda.

Kata AC : Lebih sudu daripada kuahnya..

Bisik-bisik AC : Apa Yang Dahulu Tak Boleh, Sekarang Boleh?

Akhirnya terpacul juga dari mulut orang kuat PMI menafikan segala prinsip perjuangan mereka selama ini. AC bukan hendak menyibuk, tetapi rasa pelik dan hairan sahaja. Seorang ahli totok PMI berkata malam tadi bahawa Pro-M ialah Pro-M dan PMI tetap PMI. Barangkali pusingan baliknya lebih dari 360 darjah.

Sedikit masa dahulu, PMI paling lantang mempertikaikan tindakan pendokong-pendokong aspirasi yang terdiri daripada mahasiswa/i Melayu kerana menggunakan istilah ‘Salam Aspirasi’. Tetapi pada rapat umum malam tadi, PMI juga melakukan tindakan yang sama malah berulang-kali dan ia disambut penuh megah oleh penyokong-penyokong Pro-M yang terdiri daripada mahasiswa/i Melayu Islam.

Soalnya, kenapa dahulu tak boleh sekarang boleh? Apa bezanya menggunakan Salam Aspirasi dan Salam Pro-Mahasiswa? Kami tidak mahu menggunakan hujah-hujah yang berat, cukuplah sekadar bertanya, apakah hukumnya kini sudah dibolehkan semata-mata untuk meraih undi dan sokongan mahasiswa sejagat? Kalau sudah boleh, maka wajarlah kami menuntut supaya tuduhan lampau terhadap kami dahulu ditarik balik.

Untuk makluman sahabat-sahabat mahasiswa/i USM sekalian, jika anda mahu kenal Pro-M, kenalilah siapa yang menggerakkannya. Ia terdiri daripada gabungan dua kumpulan mahasiswa yang besar di USM iaitu Student Progressive Front yang berpayungkan Persatuan Bahasa Tionghua dan Persatuan Mahasiswa Islam atau panggilan mesranya, PMI.

Pada kebiasaannya, setiap kumpulan Pro-M di mana-mana IPTA/S pun akan dikepalai oleh Presiden/Yang DiPertua PMI. Ia sudah diterima dan diperakui oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menjadi induk gerakan mahasiswa pro-pembangkang di Malaysia. Justeru bila ahli PMI berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian, kami cuma tersenyum sinis. Apa lagi yang hendak diperkatakan..

Dalam berpolitik, manusia cenderung mengikut emosi ramai. Kalau insiden pencabulan hukum semalam diambilkira, maka PMI bukanlah pejuang sebenar gerakan Islam di kampus ini. Dahulu tidak boleh, sekarang boleh. Dahulu salah, sekarang sudah betul. Sedangkan hal prinsip di dalam Islam ialah hal yang paling tidak boleh dikompromikan waima dalam politik sekali pun.

AC kata : Memaku dulang..

Tuesday, February 15, 2011

Wafi dan Rakan-rakan Buktikan Mahasiswa USM Tak Lesu!


Ucapan terima kasih khas untuk MPP 2010/2011.

Kira-kira setahun yang lalu, blog Aspirasi Corner pernah menyiarkan artikel yang mengandungi ucapan tahniah dah harapan daripada Team AC selaku lidah rasmi suara aspirasi mahasiswa USM di atas perlantikan Saudara Ahmad Wafi Shahedan sebagai Yang DiPertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia.

Kira-kira setahun yang lalu juga, kami melihat perjalanan Saudara Wafi bakal dipenuhi onak dan duri. Tidak banyak yang boleh diduga tetapi kami yakin, ranjau itu pasti akan tumbuh dan merintangi jalan yang bakal ditempuh oleh Wafi dan rakan-rakannya. Namun, kami tetap bahawa kepimpinan beliau yang berteraskan semangat toleransi, rasional dan realistik seperti kepimpinan-kepimpinan terdahulu tetap akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Setahun berlalu, dan hari ini Saudara Wafi sudah pun menyertai barisan mantan Yang DiPertua MPP. Begitu juga rakan-rakan beliau yang lain yang turut menyertai saf kepimpinan MPP USM Sidang 2010/11, kini mereka pasti tersenyum puas kerana berjaya meneruskan legasi kecemerlangan MPP terdahulu yang setia mendokong aspirasi mahasiswa dan universiti sejak bertahun lamanya.

Jika ditinjau kembali, antara iltizam besar Saudara Wafi apabila diberikan mandat menggalas tanggungjawab sebagai komander mahasiswa dan mahasiswi USM, ialah, untuk mengurangkan kebergantungan mahasiswa hari ini terhadap kerajaan khususnya melalui peluang-peluang perkerjaan selepas bergraduasi atau berijazah. Sejak menguar-uarkan harapannya itu, beliau terus bergerak ke hadapan dan berusaha gigih untuk merealisasikan segala kata yang telah diungkapkan sebaik mungkin.

Hasilnya, melalui kerjasama langsung dengan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), sebuah program berbentuk kursus telah dijalankan dengan pihak pengelola My Career My Future (MCMF) yang juga mendapat sokongan penuh daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program yang berlangsung selama enam minggu itu telah pun berakhir pada awal bulan Januari yang lalu dan melibatkan kira-kira 100 orang bekas penuntut USM. Hari ini, sebahagian besar daripada mereka telah pun mendapat pekerjaan masing-masing di pelbagai syarikat dan jabatan kerajaan.

Apakah kunci atau rahsia segala kejayaan ini? Jika ditanya, kami percaya Saudara Wafi akan menjawab sama seperti kami juga iaitu, semangat bertoleransi dan berdiplomasi ketika menuntut sesuatu perkara. Inilah teras utama kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar USM sejak sepuluh tahun yang lalu. Tanpa pengamalan prinsip-prinsip begini, tentu sukar untuk MPP merealisasikan impian dan harapan warga kampus sejagat.

Selain itu, antara kejayaan terbesar dan terpenting yang dicapai oleh Saudara Wafi dan rakan-rakan ialah melaksanakan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa. Hari ini, model DPP ini telah pun diserap oleh beberapa buah universiti sebelum dicadangkan oleh pihak kementerian supaya diwajibkan di semua IPTA menjelang tahun 2012. Malah, lebih membanggakan, beberapa buah negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat turut menggunakan model Parlimen Mahasiswa ini untuk diiplimentasikan di negeri masing-masing.

Jelas sekali, kejayaan merealisasikan penubuhan Dewan Perundingan Pelajar ini amat membanggakan kita semua. DPP bukan hanya lambang demokrasi dan kebebasan bersuara cara USM, tetapi ia adalah simbol kecemerlangan kepimpinan pelajar yang mengambil aspirasi universiti sebagai modul utama kepimpinan mereka. Kita tidak bercakap sahaja, tetapi kita melaksanakannya! Itulah MPP di USM yang perlu difahami oleh setiap warga penuntut di sini.

Kejayaan DPP juga amat penting dalam lanskap politik kampus. Seperti yang dikatakan tadi, DPP hari ini sudah menjadi model di negara ini dalam usaha memupuk budaya demokrasi di kampus-kampus seluruh negara. Ia malah pernah dibincangkan di peringkat Kabinet, diulas oleh pakar-pakar perundangan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia. Hal ini secara tidak langsung telah membuka lebih banyak ruang antara kepimpinan mahasiswa dengan pihak pemerintah, sekali gus memastikan lebih banyak suara kampus sampai ke peringkat tertinggi negara kita. Tidakkah ini membanggakan? Anda tanya dan anda fikirlah sendiri.

Kami juga berbesar hati ingin berkongsi kisah di sebalik penubuhan DPP di USM yang barangkali tidak diketahui oleh umum khususnya warga kampus ini. Untuk makluman semua, kejayaan penubuhan DPP adalah suatu rentetan perjuangan panjang yang dibawa oleh kepimpinan MPP terdahulu sebelum dijayakan oleh Saudara Wafi dan rakan-rakan. Ia dicetuskan oleh kepimpinan MPP 2007/08 yang dikepalai oleh Saudara Mohd Syukri Ibrahim, digerakkan secara bersepadu oleh kepimpinan 2009/10 di bawah pimpinan Saudara Muhammad Syafik bin Abd. Aziz sehingga tertubuhnya Dewan Perundingan Pelajar USM sewaktu di bawah pimpinan Saudara Wafi pada sidang 2010/11.

Selain itu, kepimpinan Saudara Wafi juga berjaya meneruskan usaha-usaha menjaga kebajikan mahasiswa seperti yang dilakukan oleh barisan kepimpinan sebelumnya. Ini amat penting untuk diketahui oleh kita semua bagi menangkis dakyah-dakyah jahat yang mengatakan MPP sidang 2010/11 sebagai MPP yang lesu. Antara kejayaan besar MPP sidang ini termasuklah memperjuangkan isu bas yang selama ini menjadi masalah kepada warga kampus. Melalui usaha yang bersungguh-sungguh, akhirnya masalah bas lewat berjaya dijadualkan semula . Beberapa buah perhentian bas juga turut dibina seperti di Desasiswa Fajar Harapan dan Restu untuk kemudahan warga kampus.

MPP juga berjaya menyelesaikan beberapa tuntutan lain terutamanya di peringkat pusat pengajian. Melalui rundingan demi rundingan dengan pihak pengurusan, sebagai contoh, akhirnya sebuah surau baru yang lebih selesa untuk para pelajar telah dibina di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK). Apa yang lebih penting, dengan terbinanya surau baru tersebut bukan sahaja menguntungkan para pelajar PPSK malah memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja yang berada di sekitarnya.

Daripada aspek kelestarian pula, MPP di bawah pimpinan Saudara Wafi kekal komited dalam menjayakan aspirasi universiti untuk menjayakan program-program berbentuk kelestarian. Sebagai contoh, Program Dua Jam Tanpa Kenderaan telah diteruskan dan ditambahbaik proses perlaksanaannya untuk mencapai hasil yang lebih maksima manakala laluan berbasikal khas untuk riadah dan kegunaan harian turut dibina di sekitar kawasan kampus. Semua ini juga berjaya dilaksanakan hasil penerapan nilai-nilai aspirasi dalam MPP iaitu toleransi dan realistik sejajar dengan konteks semasa.

Untuk disenaraikan kesemuanya di sini tentu sekali akan mengambil ruang yang cukup panjang kerana catatan sejarah kecemerlangan MPP USM bukannya sehelai dua. Namun sebagai perkongsian bersama, kami berasakan cukuplah jika kami dapat menggariskan beberapa contoh hasil sumbangan MPP pimpinan Saudara Ahmad Wafi seperti di atas supaya selepas ini, kita semua mampu memahami perih jerih dan susah payah MPP berkerja untuk mahasiswa. Mereka mahasiswa, datang dari mahasiswa dan berkhidmat untuk mahasiswa! Justeru kami menyeru, ambillah peluang masing-masing untuk mengucapkan terima kasih kepada MPP sidang 2010/2011 kerana telah banyak berkorban untuk warga kampus.

Sunday, February 13, 2011

YDP PMI Sertai Demo Parti Politik, Beri Ucapan!


Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) perlu menjelaskan kehadirannya di pentas sebuah parti politik baru-baru ini dalam satu demonstrasi di ibu negara. Menurut maklumat yang kami terima, beliau telah menyertai demonstrasi haram tersebut sebagai respon terhadap revolusi rakyat Mesir yang sedang berlangsung ketika ini.

Namun begitu, apa yang menjadi persoalan kini ialah kenapa seorang mahasiswa dan pemimpin pelajar seperti beliau boleh berada di pentas tersebut malah dirakamkan turut menyampaikan ucapannya kepada khalayak? Hal ini jelas sekali telah melanggar etika dan peraturan universiti serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Walaupun beliau hadir atas pilihan sendiri, tetapi secara tidak langsung beliau juga membawa nama baik USM dan seluruh mahasiswa di sini. Selain mencemarkan nama baik universiti, tindakan beliau juga turut mendapat perhatian pihak berkuasa khususnya PDRM memandangkan perhimpunan tersebut dianjurkan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Kita juga hairan, kenapa beliau menggunakan platform sebuah parti politik untuk bersuara? Adakah kedudukan beliau ketika ini belum cukup kuat untuk beliau suarakan pandangan sendiri ataupun mewakili persatuan dan mahasiswa USM keseluruhannya?

Malah, menurut maklumat-maklumat yang kami terima, beliau juga sering berada bersama di dalam beberapa lagi siri demonstrasi yang pernah dianjurkan sebelum ini oleh parti-parti politik tertentu. Jika benar, ia amat membimbangkan kerana seorang pemimpin mahasiswa seperti beliau dilihat cenderung dengan budaya berdemonstrasi. Adakah beliau juga sedang cuba membawa budaya ini ke dalam kampus?

Justeru kami berharap pihak universiti khususnya Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM dapat memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap perkara ini sebelum nasi menjadi bubur. Tindakan yang tegas perlu diambil seperti kes yang melibatkan Sooh Soh Hwa sedikit masa dahulu.

Sunday, February 6, 2011

Laungkan Hak dan Aspirasi Anda!

Komposer terkenal tanah air, Azmeer, turut membuang undi
dalam pilihan raya kampus yang lalu di USM.

Terdapat satu pandangan umum yang agak popular bahawa pilihan raya kampus (PRK) hanyalah suatu bentuk aktiviti yang tidak begitu penting yang dijalankan saban tahun untuk memilih barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP di sesebuah universiti.

Malah, ada yang beranggapan, ia sekadar ‘fardhu kifayah, orang lain buat kita tak payah’ justeru, golongan ini langsung memandang sepi PRK seolah-olah ia memang benar-benar tidak penting. Bagi mereka, cukuplah jika ada yang turun membuang undi, atau kalau tidak ada sekali pun, pihak universiti masih berkuasa memilih MPP berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada.

Sikap tidak ambil berat, tidak peka dan mungkin juga tidak bertanggungjawab ini sebenarnya amat-amat merugikan. Demokrasi yang cuba dipupuk secara amali ini pastinya tidak mampu dicapai seoptimum mungkin lantaran kurangnya penyertaan daripada golongan mahasiswa terhadap perlaksanaannya.

Sekali pun ada yang secara sukarela terlibat secara aktif termasuklah sewaktu berkempen, meraih undi, membuang undi dan sebagainya lagi, namun tanpa sambutan yang sewajarnya, demokrasi itu sudah tentu tidak dapat diraikan seperti yang diharap-harapkan.

Justeru mahasiswa haruslah menyisih jauh segala pandangan lembam bahawa pilihan raya kampus adalah sesuatu yang tidak penting. Pandangan lembam beginilah yang akhirnya menyebabkan mahasiswa dilabel sebagai lesu dan tidak bermaya.

PRK bukan sekadar tentang membuang undi, juga tidak semata-mata berkenaan memilih calon yang kacak dan cantik-cantik seperti yang tercetak di atas kertas-kertas undi sahaja. Lebih dari itu, pilihan raya kampus ialah suatu proses untuk memaknakan kebebasan bersuara mahasiswa. Ia bukan lagi semata-mata tentang teori dan idealisme. Inilah detik untuk mempraktikkannya.

Mahasiswa perlu menggunakan peluang dan ruang yang disediakan ini sebaik-baiknya untuk menyatakan hak dan impian mereka. Gunakanlah proses ini untuk menyemarakkan harapan anda sama ada ia bersangkut-paut dengan hal-hal kebajikan mahupun isu-isu sejagat. PRK inilah medannya untuk anda memilih wakil terbaik yang mampu menyalurkan aspirasi anda supaya didengar oleh pihak universiti dan kerajaan.

Akhir kata, gunakanlah hak bersuara anda sebaik-baiknya. Undilah calon-calon yang diyakini mampu membawa seluruh isi universiti ke arah yang lebih cemerlang. Sejarah politik kampus kita jelas membuktikan bahawa kepimpinan MPP yang sedia mendokong aspirasi universiti seperti yang terkandung di dalam Misi dan Visi USM adalah yang terbaik!

Aspirasi Universiti Adalah Aspirasi Mahasiswa!

Bersama Universiti Manjana Transformasi.

Perjuangan Rentas Sempadan Dari Mahasiswa

Keadaan banjir di Batu Pahat seperti yang dirakamkan semalam.
Ehsan dari Utusan Malaysia Online.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Terlebih dahulu Team AC ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus buat sahabat-sahabat sekalian sama ada di kampus induk mahupun di kampus-kampus cawangan. Semoga kepulangan kita ini bagi meneruskan baki pengajian masing-masing akan membuahkan lebih banyak kecemerlangan dalam segenap aspek.


Kami juga ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak bersiaran di sini. Pun tentu, ia bukanlah kerana kami hilang fokus tetapi seperti sahabat-sahabat semua, kami juga pelajar dan penuntut. Tentunya banyak masa yang diperlukan untuk hal-hal yang lebih mendesak. Untuk makluman juga, banyak artikel yang telah tersedia untuk diposkan, cuma masa sahaja belum mengizinkan.


AC juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh beberapa perkara penting. Pertama, kami ingin mengumumkan kelahiran unit media AC iaitu Media Kampus klik sini yang telah pun bersiaran sejak beberapa bulan yang lalu. Objektif utama penubuhan unit media ini adalah untuk mempromosikan berita-berita berkenaan dunia kampus terutamanya yang melibatkan universiti kita ini. Ia juga diharapkan akan menjadi saluran alternatif kepada penyebaran info-info berkaitan kepentingan dan kebajikan warga mahasiswa sejagat terutamanya daripada pihak kerajaan.


Sejajar dengan penubuhan unit media ini juga, satu laman khas di Facebook turut diwujudkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkongsian info-info dari laman blog ini. Anda boleh menyertai laman tersebut dengan membuat capaian Media Kampus USM di Facebook masing-masing. Untuk makluman sahabat-sahabat juga, penubuhan Media Kampus ini bukan hanya di USM sahaja sebaliknya turut melibatkan beberapa buah universiti utama yang lain seperti UTHM, UKM, USIM dan sebagainya lagi.


Kedua, berhubung dengan musibah atau bencana alam yang kini melanda beberapa buah negeri di semenanjung. AC ingin menyeru sahabat-sahabat yang berkelapangan untuk sama-sama menyertai Sekretariat Sukarelawan yang akan ke Johor pada hari Rabu ini (9hb Feb 2011) bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana. Ayuh tunjukkan keprihatinan kita dalam membantu masyarakat luar kampus kerana kita adalah mahasiswa, datang dari masyarakat dan kepada masyarakat kita bakal berkhidmat!


Sekian dahulu buat masa ini. Hingga bertemu lagi.


Salam Aspirasi Menjana Transformasi!