Sunday, February 20, 2011

Bisik-bisik AC : Ibarat Anak Manja Yang Suka Meminta..

Semakin dekat, semakin jelas. Cuba teka, apakah dia? Masa semakin pantas dan akhirnya, jawapan yang sepatutnya ialah Pro-M!!!

Semakin dekat dengan sesi Pemilihan MPP, semakin jelaslah kepada kita siapa sebenarnya kumpulan pelajar atau mahasiswa/i ini. AC tak cakap kosong dan bukan tujuan AC hendak menyerang atau memburukkan kem mereka. Sebaliknya, sahabat-sahabat anggap sajalah yang AC bertungkus-lumus menyampaikan kebenaran melalui pengalaman kami sendiri.

Khususan untuk adik-adik yang baru mengenal politik kampus, Pro-M yang sebenar ialah sebuah gerakan mahasiswa yang suka mendesak dan menuntut. Lihat saja manifesto yang mereka wara-warakan semalam semasa sesi pengenalan calon. Apa yang mereka minta? Sebelum AC bertanya soalan seterusnya iaitu boleh atau tidak permintaan mereka itu ditunaikan, elok kita perhalusi dahulu apa yang mereka tuntut kali ini.

Dahulu mereka menuntut antara lain dimansuhkan AUKU. Kata mereka, ia masih konsisten dengan perjuangan mereka tetapi semalam, ia seolah-olah senyap. Mereka sebenarnya sudah sedar, isu AUKU bukanlah isu yang mendesak di USM. Ia sekadar perjuangan segelintir pihak saja tetapi kerana berada di dalam pakatan yang sama, maka mereka terpaksa memperjuangkannya selama ini.

Apa yang mereka tuntut semalam sebahagiannya adalah tuntutan lama yang diperbaharui untuk menggempakkan kempen mereka. Salah satunya ialah mendesak universiti supaya mengambil alih perkhidmatan bas komuter. Ia terbit daripada mulut salah seorang calon umum mereka tetapi malangnya, beliau tidak pula menyatakan mekanisme yang hendak digunakan dalam menjayakan misi besar ini.

Agak sedih juga apabila beliau mendakwa MPP selama ini berdiam diri berpeluk tubuh dalam menangani masalah ini, lalu beliau tampil sebagai pejuang atau jaguh, kononnyalah. Tetapi nampak jelas yang beliau sendiri tidak faham situasi sebenar dan tidak merancang sebarang mekanisme pun untuk mengatasi masalah ini secara menyeluruh.

MPP saban tahun sudah berhadapan dengan masalah ini. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh mantan NYDP MPP USM sidang 2010/11, beliau mendapati sebahagian besar responden berpendapat perkhidmatan sedia ada wajar dikekalkan tetapi mutu yang disediakan hendaklah dinaiktaraf selalu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa/i USM pada umumnnya memahami situasi. Justeru kita tertanya-tanya, di manakah tahap kefahaman calon-calon Pro-M terhadap sesuatu isu?

Contoh lain ialah tuntutan insentif APEX kepada semua mahasiswa/i USM. Wah, sekali dengar, manisnya mengalahkan madu. Tetapi realistikkah? Rasionalkah tuntutan begini? Bagaimana mekanisme (sekali lagi) yang hendak digunapakai? Salah seorang daripada mereka malah mengatakan bahawa USM lebih daripada mampu untuk membayar wang tersebut kepada para pelajar justeru kenapa mesti kepada segelintir sahaja?

Kami tak mahu panjang-panjangkan hal ini kerana pemimpin yang berjiwa kecil akan hanya bercakap hal-hal yang kecil dan remeh-temeh. Tetapi kami mahu mengajak sahabat-sahabat semua untuk sama-sama berfikir tentang keanehan Pro-M di USM ini.

RM1000 seorang dengan jumlah pelajara tak kurang 17,000 orang dalam satu-satu masa. Berapa banyak wang diperlukan? Anda hitungkan sendiri, pastikan darab, tambah, bahagi dan tolaknya betul kerana anda pasti tidak percaya dengan angka yang akan anda perolehi. Ia bukan suatu jumlah yang sedikit, sedangkan peruntukan untuk pembangunan mahasiswa/i di bawah Program APEX tak lebih RM 10 juta setahun. Adakah ini rasional?

Persoalannya, adakah mahasiswa USM semakin materialistik atau Pro-M sahaja yang manja lebih-lebih? Yuran pengajian sebahagian besarnya sudah pun ditanggung oleh pihak kerajaan, kemudian diberikan pula pinjaman PTPTN (pinjam dahulu, dah berjaya baru bayar balik) dan biasiswa, pun tak cukup lagi?

Insentif APEX sebenarnya ialah strategi menggalakkan bakal-bakal penuntut IPTA untuk memilih program Sains Tulen dan Sastera Tulin di USM. Hanya mereka yang layak diterima masuk ke USM untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang tersebut sahaja berpeluang mendapat insentif APEX, bukannya untuk semua mahasiswa/i USM. Yang kamu cemburukan sangat itu kenapa? Bukan rezeki kamu, maka terimalah sahaja ketentuan ini dengan hati terbuka dan berusaha bersungguh-sungguh mengejar habuan yang lebih besar pada masa hadapan.

Kami tak nak berceloteh banyak lagi. Anda mahasiswa minda kelas pertama, fikir-fikirkanlah kerasionalan tuntutan mereka ini. Kami akan berkongsi lagi dalam siri bisikan-bisikan seterusnya. Nak percaya atau tidak, terpulanglah kepada anda.

Kata AC : Lebih sudu daripada kuahnya..

No comments:

Post a Comment