Ucapan terima kasih khas untuk MPP 2010/2011.
Kira-kira setahun yang lalu, blog Aspirasi Corner pernah menyiarkan artikel yang mengandungi ucapan tahniah dah harapan daripada Team AC selaku lidah rasmi suara aspirasi mahasiswa USM di atas perlantikan Saudara Ahmad Wafi Shahedan sebagai Yang DiPertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia.
Kira-kira setahun yang lalu juga, kami melihat perjalanan Saudara Wafi bakal dipenuhi onak dan duri. Tidak banyak yang boleh diduga tetapi kami yakin, ranjau itu pasti akan tumbuh dan merintangi jalan yang bakal ditempuh oleh Wafi dan rakan-rakannya. Namun, kami tetap bahawa kepimpinan beliau yang berteraskan semangat toleransi, rasional dan realistik seperti kepimpinan-kepimpinan terdahulu tetap akan dilaksanakan sebaik mungkin.
Setahun berlalu, dan hari ini Saudara Wafi sudah pun menyertai barisan mantan Yang DiPertua MPP. Begitu juga rakan-rakan beliau yang lain yang turut menyertai saf kepimpinan MPP USM Sidang 2010/11, kini mereka pasti tersenyum puas kerana berjaya meneruskan legasi kecemerlangan MPP terdahulu yang setia mendokong aspirasi mahasiswa dan universiti sejak bertahun lamanya.
Jika ditinjau kembali, antara iltizam besar Saudara Wafi apabila diberikan mandat menggalas tanggungjawab sebagai komander mahasiswa dan mahasiswi USM, ialah, untuk mengurangkan kebergantungan mahasiswa hari ini terhadap kerajaan khususnya melalui peluang-peluang perkerjaan selepas bergraduasi atau berijazah. Sejak menguar-uarkan harapannya itu, beliau terus bergerak ke hadapan dan berusaha gigih untuk merealisasikan segala kata yang telah diungkapkan sebaik mungkin.
Hasilnya, melalui kerjasama langsung dengan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), sebuah program berbentuk kursus telah dijalankan dengan pihak pengelola My Career My Future (MCMF) yang juga mendapat sokongan penuh daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program yang berlangsung selama enam minggu itu telah pun berakhir pada awal bulan Januari yang lalu dan melibatkan kira-kira 100 orang bekas penuntut USM. Hari ini, sebahagian besar daripada mereka telah pun mendapat pekerjaan masing-masing di pelbagai syarikat dan jabatan kerajaan.
Apakah kunci atau rahsia segala kejayaan ini? Jika ditanya, kami percaya Saudara Wafi akan menjawab sama seperti kami juga iaitu, semangat bertoleransi dan berdiplomasi ketika menuntut sesuatu perkara. Inilah teras utama kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar USM sejak sepuluh tahun yang lalu. Tanpa pengamalan prinsip-prinsip begini, tentu sukar untuk MPP merealisasikan impian dan harapan warga kampus sejagat.
Selain itu, antara kejayaan terbesar dan terpenting yang dicapai oleh Saudara Wafi dan rakan-rakan ialah melaksanakan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa. Hari ini, model DPP ini telah pun diserap oleh beberapa buah universiti sebelum dicadangkan oleh pihak kementerian supaya diwajibkan di semua IPTA menjelang tahun 2012. Malah, lebih membanggakan, beberapa buah negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat turut menggunakan model Parlimen Mahasiswa ini untuk diiplimentasikan di negeri masing-masing.
Jelas sekali, kejayaan merealisasikan penubuhan Dewan Perundingan Pelajar ini amat membanggakan kita semua. DPP bukan hanya lambang demokrasi dan kebebasan bersuara cara USM, tetapi ia adalah simbol kecemerlangan kepimpinan pelajar yang mengambil aspirasi universiti sebagai modul utama kepimpinan mereka. Kita tidak bercakap sahaja, tetapi kita melaksanakannya! Itulah MPP di USM yang perlu difahami oleh setiap warga penuntut di sini.
Kejayaan DPP juga amat penting dalam lanskap politik kampus. Seperti yang dikatakan tadi, DPP hari ini sudah menjadi model di negara ini dalam usaha memupuk budaya demokrasi di kampus-kampus seluruh negara. Ia malah pernah dibincangkan di peringkat Kabinet, diulas oleh pakar-pakar perundangan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia. Hal ini secara tidak langsung telah membuka lebih banyak ruang antara kepimpinan mahasiswa dengan pihak pemerintah, sekali gus memastikan lebih banyak suara kampus sampai ke peringkat tertinggi negara kita. Tidakkah ini membanggakan? Anda tanya dan anda fikirlah sendiri.
Kami juga berbesar hati ingin berkongsi kisah di sebalik penubuhan DPP di USM yang barangkali tidak diketahui oleh umum khususnya warga kampus ini. Untuk makluman semua, kejayaan penubuhan DPP adalah suatu rentetan perjuangan panjang yang dibawa oleh kepimpinan MPP terdahulu sebelum dijayakan oleh Saudara Wafi dan rakan-rakan. Ia dicetuskan oleh kepimpinan MPP 2007/08 yang dikepalai oleh Saudara Mohd Syukri Ibrahim, digerakkan secara bersepadu oleh kepimpinan 2009/10 di bawah pimpinan Saudara Muhammad Syafik bin Abd. Aziz sehingga tertubuhnya Dewan Perundingan Pelajar USM sewaktu di bawah pimpinan Saudara Wafi pada sidang 2010/11.
Selain itu, kepimpinan Saudara Wafi juga berjaya meneruskan usaha-usaha menjaga kebajikan mahasiswa seperti yang dilakukan oleh barisan kepimpinan sebelumnya. Ini amat penting untuk diketahui oleh kita semua bagi menangkis dakyah-dakyah jahat yang mengatakan MPP sidang 2010/11 sebagai MPP yang lesu. Antara kejayaan besar MPP sidang ini termasuklah memperjuangkan isu bas yang selama ini menjadi masalah kepada warga kampus. Melalui usaha yang bersungguh-sungguh, akhirnya masalah bas lewat berjaya dijadualkan semula . Beberapa buah perhentian bas juga turut dibina seperti di Desasiswa Fajar Harapan dan Restu untuk kemudahan warga kampus.
MPP juga berjaya menyelesaikan beberapa tuntutan lain terutamanya di peringkat pusat pengajian. Melalui rundingan demi rundingan dengan pihak pengurusan, sebagai contoh, akhirnya sebuah surau baru yang lebih selesa untuk para pelajar telah dibina di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK). Apa yang lebih penting, dengan terbinanya surau baru tersebut bukan sahaja menguntungkan para pelajar PPSK malah memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja yang berada di sekitarnya.
Daripada aspek kelestarian pula, MPP di bawah pimpinan Saudara Wafi kekal komited dalam menjayakan aspirasi universiti untuk menjayakan program-program berbentuk kelestarian. Sebagai contoh, Program Dua Jam Tanpa Kenderaan telah diteruskan dan ditambahbaik proses perlaksanaannya untuk mencapai hasil yang lebih maksima manakala laluan berbasikal khas untuk riadah dan kegunaan harian turut dibina di sekitar kawasan kampus. Semua ini juga berjaya dilaksanakan hasil penerapan nilai-nilai aspirasi dalam MPP iaitu toleransi dan realistik sejajar dengan konteks semasa.
Untuk disenaraikan kesemuanya di sini tentu sekali akan mengambil ruang yang cukup panjang kerana catatan sejarah kecemerlangan MPP USM bukannya sehelai dua. Namun sebagai perkongsian bersama, kami berasakan cukuplah jika kami dapat menggariskan beberapa contoh hasil sumbangan MPP pimpinan Saudara Ahmad Wafi seperti di atas supaya selepas ini, kita semua mampu memahami perih jerih dan susah payah MPP berkerja untuk mahasiswa. Mereka mahasiswa, datang dari mahasiswa dan berkhidmat untuk mahasiswa! Justeru kami menyeru, ambillah peluang masing-masing untuk mengucapkan terima kasih kepada MPP sidang 2010/2011 kerana telah banyak berkorban untuk warga kampus.
fear of god essentials hoodie
ReplyDeletesupreme clothing
bape
goyard bag
fear of god outlet
goyard bag
paul george shoes
supreme clothing