Wednesday, May 14, 2014

Umat Islam diancam fahaman humanrightisme – Najib

KUANTAN, 13 Mei – Agama Islam dan umatnya kini diuji dengan satu bentuk ancaman dan serangan baharu yang agresif iaitu fahaman humanrightisme yang mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fahaman itu dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang amat pesat berkembang di dalam dan luar negara.

“Fahaman humanrightisme ini, di mana rambu dan rencah utamanya adalah berasaskan pemikiran humanisme dan sekularisme serta liberalisme.

“Ia bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila. Mereka lakukan ini kononnya atas dasar memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-57 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah di sini malam ini.              

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berkata pemikiran songsang itu cuba dicerna dan disebarkan dengan mengaitkan kesucian agama Islam dan ia merupakan ancaman yang amat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam itu sendiri.

“Makanya pada hari ini sekali lagi kita menegaskan bahawa agama Islam yang dianuti, yang diamalkan dan dinobatkan sebagai agama negara (rasmi) di Malaysia adalah Islam yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad dan sahabat baginda.

“Kita tidak akan reda dengan sebarang tuntutan agar hak untuk murtad daripada Islam diberikan, atau hak umat Islam ini dilaksanakan melalui Mahkamah Syariah dinafikan, mahupun sebarang perilaku songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender),” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan Maqasid Syariah (pelaksanaan syariat mengikut al-Quran dan Sunnah), Malaysia amat menitik-beratkan kebajikan setiap insan tanpa mengira kaum dan warna kulit, bahasa dan agama.

Najib berkata keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan adalah ciri wasatiyyah atau kesederhanaan yang digunakan untuk pelaksanaan hak asasi manusia di negara ini.

“Manakala pemahaman hak asasi manusia yang ekstrem diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, perlembagaan dan nilai budaya bangsa.”

Perdana Menteri berkata, pemahaman agama Islam yang sebenar dan menyeluruh menjadi asas kekuatan negara dan rakyat harus berusaha memahami al-Quran mengikut  pemahaman Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kepada Allah SWT serta persaudaraan erat sesama Islam.

“Oleh demikian, umat Islam diingatkan supaya terus menghayati dan memahami secara mendalam bacaan ayat suci al-Quran,” katanya.
Beliau berkata tema majlis tilawah kali ini “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ sesungguhnya berkait rapat dengan kesederhanaan yang dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sirahnya.

“Meneladani sunnahnya (Nabi Muhammad SAW), maka telah sekian lamanya negara kita telah meletakkan keharmonian dan keadilan serta kesatuan antara rakyat dan Malaysia sebagai agenda utama negara.

“Ini sejajar dengan usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya. – BERNAMA




PERGOLAKAN POLITIK DUN TERENGGANU - ROBIN HOOD, TUAH DAN JEBAT

Oleh : Admin Kak Seri

Tidak semena-mena politik di Terengganu berkocak. Bukan kocakan biasa-biasa. Ibarat tsunami jugalah kerana berupaya merobohkan sebuah pemerintahan kerajaan negeri. Dalam amalan demokrasi, ia biasa. Tapi dari sudut politik pentadbiran, ia agak mencemaskan.

Daripada mata kasar orang awam yang mengikuti hal ehwal politik negara pula, ia sesuatu yang di luar dugaan walaupun cerita-cerita tentang perubahan tampuk pimpinan dalam pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar. Senang cakap, memang dah tersebar luas cerita Menteri Besarnya akan digantikan dengan individu lain.

Hal ini susulan perjanjian awal antara bekas Menteri Besarnya dengan pentadbiran parti yang diwakili untuk berundur selepas setahun memerintah berikutan prestasi kurang memuaskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.  Maka, bila disebut perjanjian, haruslah pula ia dihormati dan dipatuhi.

Namun, keadaan menjadi kelam kabut apabila bekas Menteri Besar itu mengumumkan keluar dari parti dan mengisytiharkan diri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas hanya beberapa jam selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan sejurus selepas Menteri Besar baharu dilantik dengan perkenan Sultan Terengganu.

Kocakan inilah yang mencetuskan tsunami sehingga nyaris-nyaris menumbangkan kerajaan negeri Terengganu berikutan dua orang lagi Yang Berhormat ADUN ikut serta keluar parti menyebabkan kedudukan kerusi di DUN menjadi 14:15:3.

Kedudukan ini, jika dinilai secara mata kasar, sudah membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini, kerana parti memerintah masih mempunyai kerusi Speaker Dewan untuk menyelamatkan keadaan. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

Namun, ia bukanlah mudah untuk sebuah kerajaan negeri meneruskan pemerintahan dalam keadaan terikat dengan jumlah konstituensi yang sama dengan pembangkang melainkan salah seorang, atau dua atau kesemua ADUN Bebas itu mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemerintah sedia ada. Dalam erti kata lain, isytiharkan sokongan kepada kerajaan negeri. Dan, situasi sebaliknya akan berlaku jika salah seorang, atau dua atau kesemuanya mengisytiharkan sokongan kepada pembangkang. Maka, pada bila-bila masa juga, perubahan akan berlaku.

Situasi ini sebenarnya amat tidak kondusif, tidak sihat dan tidak pragmatik dalam pentadbiran mana-mana kerajaan.

Untuk seketika, semua pihak mula mencongak bilakah DUN Terengganu akan dibubarkan bagi memberi  jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan. Hanya melalui kaedah ini sahaja keadaan boleh dipulihkan, itu pun jika mendapat perkenan Sultan Terengganu. Pun tentu, ia bukanlah semudah yang dijangkakan kerana kuasa sebenar kini terletak pada Ahli-ahli DUN Bebas tersebut.

Ketika pembangkang turut memulakan langkah proaktif ke arah ‘mengambil-alih’ kuasa, tidak semena-mena salah seorang ADUN Bebas tersebut mengumumkan menarik balik surat pengisytiharan keluar parti dan kembali ‘taat’ kepada partinya, sekaligus menjadikan kedudukan 15:15:2, dengan tambahan kerusi Speaker Dewan kepada blok pemerintah kerajaan negeri. Maka kedudukan kini ialah 16:15:2 – masih rapuh sebenarnya.

Dan, untuk seketika kini, pemerintah kerajaan negeri boleh menarik nafas lega. Menteri Besar baharunya juga dikhabarkan telah selamat mengetip kad kehadiran kerja pagi tadi sekaligus memulakan tugas rasminya hari ini. Tetapi, tiada siapa boleh menyatakan bahawa beliau akan bertugas dengan tenang sekurang-kurangnya untuk sehari ini. Banyak yang perlu dilakukan. Terlalu banyak. Rumah yang rosak perlu dibaiki ketika ancaman tsunami baharu kekal wujud.

Dan untuk kita, apa yang boleh dipelajari?

Sebelum itu, kami ingin kongsikan sedikit secara ringkas fakta ini. Semua tahu, bekas Menteri Besar yang bertindak keluar parti itu dahulu juga naik secara kontroversi. Beliau naik ke tampuk pemerintahan ketika Menteri Besar sebelumnya ‘diturunkan’ takhta pada waktu kemuncak kegemilangan.

Jika Menteri Besar yang keluar parti itu berasakan beliau cukup popular di mata rakyat, Menteri Besar sebelumnya juga tidak kurang hebatnya. Siapa boleh nafikan, bekas Menteri Besar itu yang kini menjadi Menteri Pendidikan II, telah mengubah lanskap sosiopolitik dan ekonomi Terengganu selepas berjaya mengembalikan pemerintahan yang dikuasai parti pembangkang selama sepenggal sebelumnya.

Paling diingati rakyat Terengganu tentunya, agenda pendidikan yang dipacu oleh bekas Menteri Besar itu sehingga meletakkan Terengganu di persada pendidikan negara. Ramai rakyat  Terengganu hari ini lahir sebagai produk revolusi pendidikan yang dibawa oleh bekas Menteri Besar tersebut dan terus menerpa kejayaan di peringkat lebih tinggi baik di dalam mahupun di luar negara. Dan bekas Menteri Besar yang keluar parti itu pula, hanya meneruskan kecemerlangan tersebut sambil mencipta satu dua perubahan baharu, sambil menjadi Robin Hood rakyat untuk popular.  

Memang tidak dinafikan, ada satu dua juga tindakan Menteri Besar yang keluar parti itu disukai rakyat tetapi kita perlu menilai dari neraca politik keseluruhannya, terutamanya terhadap diri Menteri Besar yang keluar parti itu sendiri, sebelum merumuskan secara mutlak.

Robin Hood juga buat silap. Apatah lagi Jebat dan Tuah. Tetapi siapakah yang akhirnya di pihak yang benar? Untuk membandingkan ketiga-tiganya memang tidak adil kerana situasi dan zaman tidak relatif sama. Namun, ada perkara-perkara boleh dirujuk sebagai panduan nilai.

Bekas Menteri Besar yang kini menjadi Menteri Pendidikan II, jelas sekali bertindak sebagai Tuah yang bijaksana. Beliau tidak merajuk ketika hilang takhta atas perkenan Sultan. Beliau kekal tenang, tidak emosi hingga keluar parti dan meneruskan tugas sebagai YB seperti biasa. Sebagai orang politik, egonya sangat dicabar ketika itu. Daripada seorang Menteri Besar, beliau diturunkan menjadi ADUN biasa di dalam dewan. Namun, lihat siapa beliau hari ini?

Sebaliknya, bekas Menteri Besar itu yang bertindak keluar parti, jelas sekali terlalu beremosi dalam tindakannya. Ya, kita tidak tahu apa yang berlaku tetapi apa yang kita lihat hari ini, tidak kurang juga boleh dinilai dan dianalisa. Alasan kenduri kahwin jelas suatu alasan yang diada-adakan kerana beliau mempunyai masa setahun untuk merancang! Kenapa tarikh tersebut yang dipilih? Tak perlu bicara soal tolak ansur di sini kerana setahun masa yang diberikan itu adalah ruang tolak ansur sebenar yang telah diberikan kepada beliau.
Kini, Robin Hood ini perlu menilai dan bermuhasabah atas dirinya sendiri. Apakah yang diperolehi selepas mengambil tindakan tersebut? Apakah pula kebaikan kepada rakyat, negeri dan negara?

Di atas segala kemelut ini, kita perlu sampaikan mesej penting ini kepada semua ahli politik di luar sana :


“Cukup-cukuplah. Politik perlukan kematangan. Takkan itu pun rakyat perlu ajar?”  - KS


PENAFIAN : Artikel ini hanya pandangan peribadi admin KS dan tidak mewakili pandangan keseluruhan Aspirasi USM.