Monday, March 25, 2013

AGENDA PENDIDIKAN PERCUMA HANYA RETORIK PEMBANGKANG


Menurut Frederick J. Mc Donald dan M.J. Langeveld, pendidikan merupakan suatu proses atau kegiatan yang diarahkan untuk mengubah kebiasaan (behaviour) manusia. Sebagai manusia, kita dilahirkan tanpa apa-apa pun. Tiada satu kebiasaan pun pada kita. Maka semakin seseorang itu membesar, disitulah letaknya tanggungjawab semua yang disekeliling untuk mencorakkan peribadi dan mewujudkan kebiasaan pada diri seseorang itu.

Dalam konteks pendidikan hari ini, benarkah wujud satu sistem pendidikan yang percuma secara holistik bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi di mana-mana negara di dunia? Apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan percuma itu sendiri? Relevankah sistem ini?

Secara mudah, percuma bermaksud tidak dikenakan apa-apa bayaran atau caj. Jika justifikasi ini diambil kira, maka secara mudah juga kita akan bersetuju bahawa tidak ada satu sistem pendidikan di mana-mana negara yang diberikan secara percuma. Sebaliknya, pasti ada pihak yang mendanai sistem tersebut dari segenap sudut dan perkara.

Definisi umum yang diberikan di peringkat global juga menjelaskan bahawa pendidikan percuma sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan atau dibiayai melalui hasil percukaian negara, atau disokong (secara biasiswa) oleh organisasi tertentu yang tidak berorientasikan keuntungan jangka pendek. Hal ini bermakna, ia tidaklah benar-benar percuma kerana kos tersebut ditanggung melalui sumber lain oleh pihak tertentu seperti kerajaan atau organisasi yang terlibat secara langsung menyediakan pendidikan tersebut.

Terdapat beberapa buah negara yang memberikan pendidikan secara percuma di setiap peringkat kepada rakyatnya. Namun begitu, meskipun negara-negara tersebut menyediakan pendidikan secara percuma, kadar cukai yang dikenakan pula adalah tinggi hingga mencecah lebih 50% berbanding purata pendapatan dalam negara.

Salah sebuah negara tersebut ialah Finland yang mengenakan cukai hingga 49.2% iaitu kesembilan tertinggi di dunia. Hasil cukai inilah yang sebenarnya menampung perbelanjaan pendidikan di negara tersebut seperti membayar gaji para pensyarah, staff universiti, tukang sapu, pengawal keselamatan dan pelbagai lagi.

Negara-negara Yang Menyediakan Pendidikan Percuma

Berikut merupakan negara-negara yang menyediakan pendidikan percuma di semua peringkat kepada rakyatnya:

  1. Brunei
  2. Argentina
  3. Finland
  4. Norway
  5. Jerman



10 Negara Dengan Cukai Tertinggi

Berikut ialah senarai negara yang mengenakan cukai tertinggi ke atas rakyatnya:

  1. Aruba (58.95%) / Purata pendapatan – Tidak diperolehi
  2. Sweden (56.6%) / Purata pendapatan -  $48,800
  3. Denmark (55.4%) / Purata pendapatan - $64,000
  4. Netherlands (52%) / Purata pendapatan - $57,000
  5. Austria (50%) / Purata pendapatan - $50,700
  6. Belgium (50%) / Purata pendapatan- $52, 700
  7. Japan (50%) / Purata pendapatan - $53,200
  8. United Kingdom (50%) / Purata pendapatan - $52,320
  9. Finland (49.2%) / Purata pendapatan  - $49,000
  10. Ireland (48%) / Purata pendapatan - $40,900


Adakah Malaysia Menyediakan Pendidikan Secara Percuma?

Malaysia telah melaksanakan sistem pendidikan percuma secara berperingkat baik di tahap primer (rendah) mahupun sekunder (menengah). Namun begitu, atas faktor ekonomi, Malaysia masih belum mampu menyediakan pendidikan tinggi atau tertiari secara percuma kepada rakyatnya kerana ia melibatkan kos yang amat besar.

Sektor pendidikan tinggi atau tertiari ini dilihat sebagai pelaburan individu terhadap negara. Tidak semua orang layak atau mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat ini. Atas sifat fundamental selektif ini, maka tidak wajar sekiranya pendidikan tinggi turut diberikan percuma kerana ia melibatkan cukai daripada duit rakyat berbanding pelaburan yang dibuat oleh pihak kerajaan ke atas pendidikan primer dan sekunder. 

Namun begitu, pihak kerajaan tetap berusaha meringankan beban rakyat yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari ini melalui pelbagai insentif lain. Misalnya, kerajaan pusat menanggung antara 85% hingga 95% kos yuran pengajian bagi setiap pelajar di universiti awam manakala bakinya ditanggung oleh pelajar sendiri melalui pinjaman pendidikan tinggi, biasiswa dan bantuan-bantuan lain.

Sebagai contoh, kos keseluruhan bagi setahun pengajian untuk kursus perubatan di UiTM ialah RM47, 278. Yuran asas yang perlu dibayar oleh pelajar pula hanyalah RM400 sahaja manakala bakinya ditampung oleh pihak kerajaan sendiri.

Walaupun kos yuran pengajian berbeza di setiap universiti, namun secara relatif kos yang ditampung oleh pihak kerajaan berada pada kadar yang sama iaitu antara 85% hingga 95% daripada kos sebenar.

Hal ini sudah cukup untuk membuktikan sistem pendidikan negara kita berada pada landasan yang cukup baik, bersifat sejahtera dan kondusif ke arah melahirkan lebih ramai graduan dari universiti tempatan. Muktahir ini juga kita dapat lihat iltizam pihak kerajaan membantu para penuntut di institusi pengajian tinggi  melalui pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BR1M), Kad Diskaun Siswa 1Malaysia, diskaun kemudahan pengangkutan dan pelbagai bentuk bantuan lagi yang kesemuanya bertujuan meringankan beban para pelajar kita.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                         Kronologi Isu Pendidikan Percuma di Malaysia

Isu pendidikan percuma kembali timbul selepas Pakatan Rakyat memasukkannya dalam manifesto mereka bagi menghadapi PRU-13.

Sebelum itu, isu ini telah dibawa oleh sebuah gerakan mahasiswa pro-Pakatan Rakyat dikenali sebagai Sekretariat Malaysia Bangkit yang dipimpin oleh bekas mahasiswa Universiti Malaya, Saudara Syahid Zaini. Agenda pendidikan percuma ini merupakan salah satu daripada sembilan tuntutan gerakan ini yang kemudiannya menjadi polemik panjang dalam kalangan rakyat dan ahli politik di Malaysia.

Kemuncak tuntutan ini ialah Demonstrasi Menuntut Pemansuhan PTPTN anjuran Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dengan kerjasama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang ketika itu dipimpin oleh penuntut KUIS, Saudara Ahmad Syukri Razab, dan Sekretariat Malaysia Bangkit sendiri.

Demonstrasi ini berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 14 April 2012. Hampir 1000 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan orang ramai telah berarak di sekitar Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka disusuli pelancaran kempen Occupy Dataran yang berkhemah di Dataran Merdeka selama dua minggu diketuai aktivis mahasiswa haluan kiri, Fahmi Reza.

Polemik pendidikan percuma ini turut melibatkan pemimpin politik negara. Selepas demonstrasi liar tersebut, beberapa pihak daripada parti politik mula membincangkan hal ini dengan lebih serius. Satu debat terbuka juga turut dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf melibatkan Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengarah Strategik PKR, Saudara Rafizi Ramli.

Pakatan Rakyat kemudiannya telah memasukkan idea pendidikan percuma ini sebagai salah satu manifesto mereka bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.  

Betulkah Finland Menawarkan Pendidikan Percuma?

Ya, memang Finland menyediakan pendidikan percuma di semua peringkat. Tetapi ia tidak datng dengan mudah.

Finland dengan enrolmen pelajar setinggi 169,000 orang telah menawarkan pengajian tinggi percuma TETAPI di Malaysia dengan enrolmen pelajar IPTA seramai 508,256 orang mampu memberikan subsidi yuran pengajian tinggi sehingga 95%.

Finland juga dengan kadar cukai maksimum 53% telah menawarkan pengajian tinggi percuma TETAPI di Malaysia dengan kadar cukai maksimum 26% mampu memberikan subsidi yuran pengajian tinggi sehingga 95%.

Dalam erti kata lain, di Finland, pendidikan percuma dibiayai oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi di Malaysia dengan kadar cukai separuh daripada apa yang dikenakan oleh Finland mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 orang pelajar IPTA dalam setahun.

Malaysia juga membelanjakan lebih RM20 bilion setahun untuk subsidi bahan api dan keperluan harian rakyat seperti gula, tepung, minyak masak dan lain-lain.

Bagaimana Pula Dengan Turki?

Dakwaan pembangkang kononnya Turki menyediakan pendidikan tinggi percuma adalah suatu fitnah yang nyata.

Turki sebenarnya mengenakan yuran pengajian tinggi baik di peringkat tertiari mahupun pasca siswazah dan amalannya sama seperti di negara kita. Kadar yuran di Turki boleh dirujuk dalam jadual di bawah:

JADUAL KOS YURAN PENGAJIAN TINGGI DI TURKI. 

Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat rendah dan menengah dari gred 1 hingga 12 dan Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di peringkat rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas.

Di Turki, sebahagian besar pelajar menerima pinjaman pendidikan menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961. Kadar faedah yang dikenakan ialah berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa.

Justeru dengan pencerahan ini, adalah diharapkan semua pihak terutamanya para mahasiswa tidak lekas terpengaruh dengan godaan pendidikan percuma tersebut.

Kita sebenarnya sudah berpeluang menikmati pendidikan percuma. Majoriti daripada kita sekarang ialah penerima pinjaman PTPTN yang kini boleh ditukarkan kepada biasiswa penuh sekiranya kita mendapat keputusan yang cemerlang. Inilah pelaburannya. Jika kita berusaha lebih, kita akan mendapat keuntungan lebih. Jika sebaliknya, kita masih boleh mendapat keuntungan iaitu dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan ijazah yang kita miliki selepas bergelar graduan.

Jadilah kaum yang bersyukur dan berusaha untuk membaiki kehidupan sendiri.





4 comments:

  1. belajar pun ntah kemane.. ada hati nak pendidikan percuma..

    ReplyDelete
  2. kata graduan tp senang sgt percaya dgn tipu helah org, nk free blaja la pandai2 bia dpt biasiswa, kan percuma tu

    ReplyDelete
  3. pmbngkang bodo x penah brsyukor.... dlam dunia mne ade bnda yg perfect nk bgi prcuma agk2 skit kalo cthnya hrga cukai naik mcmne nnti complain gak hrga cukai naik...Ingat dlam dunia ni ade bnda free ke bodo kalo mcm2 sume org goyang kaki je la x yah susah2

    ReplyDelete