Saturday, January 28, 2012

AUKU- Antara Tahu Jaga Diri dan Tidak Tahu Jaga Diri

Oleh Team Aspirasi Corner


Sifat fundamental sesuatu perundangan antara lain adalah untuk membela pihak yang tidak bersalah dan memberikan hukuman yang setimpal kepada pihak yang melakukan kesalahan. Dalam hal ini, ia juga berfungsi menjaga majoriti anggota masyarakat yang dilindungi di bawah undang-undang tersebut daripada tindakan perlanggaran yang biasanya dilakukan oleh sekumpulan kecil anggota masyarakat yang lain.


Dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun, undang-undang sentiasa dilihat sebagai instrumen teknikal yang amat penting untuk menjaga ketamadunan yang dibina daripada gangguan mana-mana pihak atau kumpulan mahupun individu yang tidak bertanggungjawab.


Justeru apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih relevan untuk mereka yang tidak tahu menjaga diri, ia seharusnya difahami dengan mudah bahawa akta tersebut mampu mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat kampus daripada sebarang suasana tidak harmoni yang cuba dicetuskan oleh mana-mana pihak.


Sekurang-kurangnya dua tafsiran boleh dibuat daripada kenyataan Tun itu. Pertama, sifat perundangan AUKU masih signifikan untuk mengawal mana-mana kumpulan mahasiswa yang sering mendahulukan cara untuk mencapai matlamat mereka seperti demonstrasi jalanan dan merosakkan harta benda universiti hingga menjejaskan suasana akademik yang berhak dinikmati oleh penuntut yang lain.


Kedua, AUKU pada masa yang sama, menjaga kumpulan mahasiswa ‘yang tahu jaga diri’ daripada tindakan-tindakan tidak wajar yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa yang ‘tidak tahu jaga diri’ seperti yang kami sebutkan tadi. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia berkaitan dengan implikasi langsung dan tidak langsung akibat daripada tindakan kumpulan mahasiswa tersebut.


Seharusnya kita semua menerima kenyataan Tun dengan hati dan minda yang terbuka kerana beberapa insiden muktahir ini jelas membuktikan bahawa masih terdapat segelintir mahasiswa yang gemar bertindak sewenang-wenangnya dalam menyuarakan hasrat dan pandangan mereka. Oleh hal yang demikian, kita memerlukan sebuah perundangan yang mampu menanganinya dengan berkesan terutama di peringkat kampus demi menjaga keharmonian bersama.


AUKU juga tidak boleh dilihat hanya pada satu dua Seksyen sahaja kerana sifatnya yang berfungsi sebagai sebuah perundangan yang menyangkuti pelbagai lagi perkara termasuk hal ehwal pentadbiran, peperiksaan, perlantikan Naib Canselor dan sebagainya. Justeru ia tidak boleh disempitkan hanya semata-mata untuk membebaskan mahasiswa bersuara dan berpolitik.


Justeru sebagai mahasiwa yang mempunyai daya intelektual yang tinggi, kita seharusnya bersikap terbuka dan bersedia melihat sesuatu perkara berkaitan AUKU dari pelbagai sudut sebelum membuat sebarang justifikasi. Hal ini penting supaya kita tidak terperangkap dalam paksi pendapat pihak lain tanpa mengkajinya terlebih dahulu secara mendalam.

Tolak Budaya Seks Songsang Dan Bebas

Pembunuhan Prof. Ismail Al-Faruqi Ada Kaitan dengan Kegiatan Homoseksual?

Oleh Team Aspirasi Corner

Anda kenal Prof. Ismail Faruqi?

Jika kami sekadar menyebut nama beliau, mungkin tidak ramai yang mengenalinya. Tambahan pula beliau sudah lama meninggalkan kita. Kematiannya amat tragis. Beliau dan isteri telah dibunuh akibat tindakan ‘mengarut’ beliau sendiri oleh seorang individu yang baru sahaja memeluk Islam.

Tujuan kami membuat pendedahan ini di sini bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak melainkan untuk berkongsi pengajaran.

Prof. Ismail Faruqi ketika hayatnya mengajar di beberapa buah universiti terkemuka seperti Al-Azhar di Mesir, McGill University di Montreal dan Temple University di Amerika Syarikat. Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan dan mempengerusikan Program Pengajian Islam di Temple University di samping menubuhkan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Pada 27 Mei 1986, beliau bersama isteri dan seorang anak perempuannya telah diserang di rumah mereka di Wyncote, Pennsylvania, oleh salah seorang pelajarnya, Joseph Louis Young yang ketika itu baru sahaja memeluk Islam. Dalam serangan tersebut, Prof. Ismail Faruqi dan isteri telah terbunuh manakala anak perempuan mereka selamat tetapi menerima 200 jahitan.

Tidak diketahui dengan jelas tujuan pembunuhan tersebut dilakukan. Namun, sekurang-kurangnya tiga orang penulis dan wartawan yang menyiasat kes tersebut membuat analisa dan kesimpulan yang senada. Berdasarkan kenyataan pihak polis Philadelphia dan rekod saksi semasa perbicaraan di Mahkamah Montgomery County, mereka mendapati Prof. Ismail Faruqi dan keluarga diserang oleh tertuduh kerana menggalakkan dan memaksa para pelajarnya melakukan aktiviti homoseksual bagi mendapatkan biasiswa di Temple University.

Amy S. Rosenberg, seorang wartawan dari Philadelphia Inquirer, melaporkan bahawa Joseph Louis Young telah membuat pengakuan bertulis kepada pihak polis Philadelphia mengatakan dia terpaksa membunuh keluarga Al Faruqi kerana mereka mendorong amalan homoseksual dalam kalangan pelajarnya dari Malaysia. Pengakuan bertulis Young atau nama Islamnya Yusuf Ali itu telah dibacakan oleh Carol Keenan, Detektif Polis Philadelphia semasa perbicaraan hari pertama di Mahkamah Daerah Montgomery.

Manakala Bridgett M. Davis, wartawan dari Philadelphia Inquirer pada 8 Julai 1987 melaporkan Ismail Faruqi, mentor kepada John Esposito dibunuh kerana aktiviti homoseksual. Pembunuhan itu juga didakwa sebagai bermulanya agenda jihad global yang berlaku pada lewat 80-an.

Ahmad Atif Ahmad, pengendali jurnal Islam terkemuka, Macalester Islam Journal (MIJ), dari Bahagian Pengajian Agama di Macalester College, Minnesota, Amerika Syarikat malah telah mendokumentasikan kes ini dalam sebuah jurnal yang diterbitkan oleh institut tersebut.

Sementara itu, menurut kajian yang dilakukan oleh Nicole Kligerman dari Macalester College dalam jurnal beliau bertajuk Homosexuality in Islam: A Difficult Paradox merumuskan “The 1986 murder of professor Isma’il Al Faruqi and his wife Lois provide a prime example of Western misunderstanding of the Muslim homosexual paradox. Of Palestinian descent, Al Faruqi taught Islamics in Philadelphia and was killed by one of his students–a Muslim convert–who claimed that the Faruqis “forced Muslim students to perform homosexual acts in return for scholarships at Temple University.”

Kes ini juga mendapat liputan daripada pihak akhbar di Malaysia, malah ia dihuraikan dengan sempurna oleh Johari Ismail di dalam bukunya berjudul Enigma Politik Anwar – Igauan Atau Realiti? Di dalam buku tersebut, penulis turut mengemukakan perjalanan proses mahkamah yang lebih jelas termasuk kenyataan memohon maaf dan kekesalan daripada tertuduh atas tindakannya.

Jika kita mengkaji kes ini secara teliti, kita akan menemui beberapa fakta berkait yang penting. Antaranya, ‘politik’ dalaman IIIT sendiri, peranan beberapa nama lain yang turut disebut di dalam perbicaraan ini serta pembabitan ‘kumpulan’ pelajar dari Malaysia yang dinyatakan oleh Young. Insya-Allah, kami akan mendedahkannya dalam masa terdekat.

Kisah ini mungkin tidak meninggalkan impak yang begitu besar kepada kita kerana ia telah lama berlaku. Tetapi daripada peristiwa tersebut, satu mesej jelas sewajarnya diterima oleh kita semua. Di sebalik keterbukaan dan liberalisme, masih terdapat perkara-perkara yang menyanggahi adat dan tatasusila masyarakat bertamadun tidak dapat diterima oleh sebahagian besar anggota masyarakat kita.

Di sesetengah negara, budaya seks songsang masih menjadi larangan dan dikuatkuasakan melalui sistem perundangan yang khas. Tujuan ia diwartakan sebagai haram bukan semata-mata kerana asas agama tetapi demi menjaga sebuah komuniti yang sihat dan seimbang termasuk di Malaysia sendiri.

Namun begitu, muktahir ini, kita sering mendengar suara-suara yang menuntut supaya undang-undang seumpamanya dimansuhkan. Kononnya, setiap manusia berhak mengamalkan orientasi seks masing-masing termasuk bersama pasangan sejenis. Lebih teruk, undang-undang itu dianggap sebagai lapuk dan tidak lagi relevan dengan zaman ini sekaligus membayangkan kepada kita betapa seriusnya agenda kebebasan hak asasi dan fahaman liberalisme dalam kalangan masyarakat hari ini termasuk di Malaysia.

Justeru sudah tiba masanya kita berkata dengan tegas, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa seks songsang adalah salah, terkutuk dan amat bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang diciptakan berpasang-pasangan antara lelaki dan wanita. Adakah kita mahu lihat bangsa Sodom baru bermaharajalela kembali di muka bumi ini, khususnya di Malaysia?

Lelong Baucer Cemar Imej Mahasiswa

Oleh Team Aspirasi Corner


Terdapat beberapa isu berbangkit selepas penyerahan Baucer Buku 1Malaysia dilaksanakan secara berperingkat baru-baru ini. Antaranya, mekanisme penggunaan baucer empat keping bernilai RM50 setiap satu itu dan jaminan tiada manipulasi oleh pihak tertentu ke atas penerima iaitu para penuntut institut pengajian tinggi (IPT) termasuk para pelajar tingkatan enam di seluruh negara.


Namun, di sebalik semua kebimbangan itu, tidak semena-mena kita dikejutkan pula dengan tindakan segelintir mahasiswa melelong baucer-baucer yang diterima pada harga lebih rendah di Internet. Jelas, ia satu tindakan yang amat tidak wajar dan membelakangkan hasrat pihak kerajaan untuk membantu kita semua mengurangkan beban pembelajaran masing-masing.


Baucer-baucer tersebut seharusnya ditebus dengan membeli buku-buku yang diperlukan sebagai material kuliah, bukannya sebagai jalan untuk mengaut untung segera yang bersifat sementara. Ia bukan sahaja tindakan yang tidak beramanah, malah mencemarkan integriti golongan intelektual di negara ini khususnya dalam kalangan penuntut IPT.


Walaupun dianggap sebagai kes terpencil, kita seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan tidak bertanggungjawab ini. Pihak kerajaan melalui konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah berusaha membantu meringankan kos pengajian yang perlu ditanggung oleh kita selama ini termasuk melalui pemberian baucer buku tersebut. Justeru tidak adil sekiranya kita cuba mencari keuntungan peribadi sehingga menafikan matlamat murni yang hendak dicapai.


Akhir kata, kami mengalu-alukan sebarang tindakan undang-undang ke atas individu yang terlibat sebagai pengajaran kepada kita semua. Semoga ia menjadi pengajaran berguna kepada seluruh warga penuntut di negara ini.

Wednesday, January 18, 2012

Mahasiswa Pemangkin Masyarakat Moderat Malaysia

Oleh Team Aspirasi Corner


Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang berpangkalan di Sydney pada 2011 melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-19 daripada 153 negara sedunia yang berjaya mengekalkan suasana aman dan kestabilan politiknya. Institut tersebut yang turut bertanggungjawab mengeluarkan Global Peace Index 2011 malah meletakkan Malaysia jauh lebih baik daripada negara-negara serantau termasuk Singapura dalam indeks keamanan dan politiknya.


Menurut komentar daripada Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) yang berpangkalan di UKM, Anis Yunal Yusoff, pencapaian besar ini sebahagiannya disumbangkan oleh faktor ‘kesepaduan sosial’ yang semakin baik dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejak 54 tahun yang lalu.


Pun begitu, hasrat besar untuk melihat perpaduan yang unggul dalam kalangan rakyat sebenarnya masih belum dicapai sepenuhnya. Suasana yang sedang kita saksikan kini mungkin suatu percampuran masyarakat berasaskan formula lama iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971. Namun, apabila dasar tersebut luput pada tahun 1990, usaha menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum menggunakan formula dan rumus sosioekonomi itu, jelas masih gagal.


Hal yang sama turut berlaku selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 dengan teras utamanya ialah pembentukan Bangsa Malaysia. Jangkaan pembentukan perpaduan ini akan berlaku apabila negara memasuki tahun 2020 dengan semua anggota masyarakat memakai identiti sebagai Bangsa Malaysia tanpa sedikit pun melupuskan nilai-nilai jati diri dan asal-usulnya.


Wawasan 2020, dari satu sudut, sedikit sebanyak berjaya merobah penampilan negara ini khususnya pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun perubahan tersebut lebih banyak berlaku dalam bentuk fizikal dan budaya di mana kerancakan pembangunan material dan asimilasi budaya baharu telah menyerapi sebahagian besar anggota masyarakat terutamanya di bandar-bandar besar. Dalam pada itu, dapat dikesan sebaliknya bahawa jurang perpaduan antara kaum tidak mengecil selain ditambah oleh sisih nisbah ekonomi yang semakin membesar membabitkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India di negara ini dengan kita tinggal kurang lapan tahun lagi menjelang 2020.


Sekali imbas, ia mungkin menterjemahkan semula kegagalan formula DEB di sebalik usaha menerapkan semangat dasar tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya orang Melayu yang benar-benar menyerap semangat DEB atas faktor menjaga hak-hak keistimewaan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding kaum lain yang lebih berusaha menguasai ekonomi dan lain-lain sektor. Hasilnya, seperti yang kita lihat, situasi tersebut telah menyemai pelbagai sentimen negatif meskipun hasrat awal DEB adalah untuk kebaikan semua kaum dengan cara menyusun semula struktur ekonomi dan sosiobudaya masyarakat dalam sebuah negara yang baru mengecap kemerdekaan ini.


Justeru baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggagaskan pula konsep 1Malaysia untuk merangsang masyarakat negara ini ke arah perpaduan. Konsep ini menekankan semangat wasatiyah atau kesederhanaan dalam segenap segi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang moderat. Usaha ini seharusnya menjadi mudah kerana rakyat sudah pun memiliki asas perpaduan yang ditinggalkan melalui semangat DEB dan Wawasan 2020 yang dibawakan oleh pimpinan terdahulu, dengan kunci utamanya ialah ‘kesepaduan sosial’ itu sendiri.


Kesepaduan sosial atau social cohesion, menurut Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, telah menjadi kunci kepada konsep equilibirium yang ingin dicapai dalam konsep masyarakat moderat Malaysia sejak 42 tahun yang lalu, atau pasca rusuhan kaum pada Mei 1969. Tegas beliau, sebuah masyarakat moderat hanya mampu dicapai melalui perpaduan dan Malaysia sudah pun memegang anak kuncinya (kesepaduan sosial) sehingga ia menjadi contoh kepada banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.


Justeru sebagai anggota masyarakat yang lahir selepas 1957, kita selaku mahasiswa yang membentuk sebuah komuniti besar dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama serta budaya ini haruslah memainkan peranan aktif dengan menjayakan hasrat yang diidam-idamkan selama ini iaitu perpaduan unggul di Malaysia. Kita mempunyai ruang dan peluang yang cukup besar berbanding masyarakat di luar kampus untuk menjayakan hasrat tersebut selagi mana kita berpegang kepada nilai-nilai kesederhanaan dan saling menghormati.


Marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadi asas kepada sebuah masyarakat moderat Malaysia. Mari kita mulakan hari ini, di sini!

Penerokaan Idealisme Mahasiswa

Oleh Team Aspirasi Corner


Seseorang bertanya, adakah salah memiliki pandangan yang bertentangan dengan pandangan umum? Sama ada ya ataupun tidak, tanpa kita sedar ramai yang terperangkap dalam persoalan ini hingga mendorong mereka mengelak daripada memiliki atau melontarkan pandangan sendiri.


Memiliki pandangan sendiri ialah hak setiap orang yang waras. Melontarkannya juga ialah hak masing-masing mengikut medium dan keupayaan yang dimiliki. Tetapi kita tidak boleh sama sekali bertindak memaksa orang lain menerima atau mengiyakan pandangan kita selepas ia dilontarkan.


Sebagai mahasiswa pula, kita seharusnya lebih terbuka ketika menerima atau memberikan sesuatu pandangan baharu. Jika kita berasakan pandangan kita eksklusif, begitu juga pandangan yang dilontarkan oleh orang lain, ia juga bersifat eksklusif kerana terbit daripada pertimbangan akal fikirannya tanpa mengira status kedudukan dan tahap intelektual orang tersebut.


Mahasiswa dilihat sebagai golongan yang berupaya untuk tampil dengan pandangan yang segar dan bertenaga serta mempunyai daya pengimbang kepada kecelaruan sosiobudaya masyarakat sekiranya pandangan-pandangan mereka disalurkan dengan betul dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.


Namun, muktahir ini, acap kali kita temukan betapa pertentangan pandangan antara mahasiswa dan kelompok masyarakat luar semakin ketara hingga mencetuskan pelbagai konflik dan percakaran. Situasi ini berlaku atas pelbagai faktor. Ada yang melihat mahasiswa sebagai kelompok yang terlalu ghairah mencetuskan perobahan dalam masyarakat hingga kadang-kala mereka memecut melebihi had yang ditetapkan.


Ada juga yang melihat golongan ini sedang terperangkap dalam konsep-konsep idea yang cuba dibawakan. Kononnya, idea-idea yang mahu diketengahkan itu terlalu bagus dan molek tetapi hakikatnya, ia tidak realistik dengan kehendak persekitaran di mana idea-idea tersebut cuba dipraktikkan.


Jika situasi ini berlaku, apakah tindakan yang perlu dilakukan? Adakah suara-suara mahasiswa tersebut perlu disekat? Bagi kami, ia amat tidak wajar. Suara mahasiswa ternyata amat mustahak dalam kita membangunkan sebuah negara yang memiliki sumber-sumber yang seimbang dalam segenap sudut.


Mahasiswa sebenarnya sedang berada dalam zon penerokaan ideologi sendiri yang dibentuk hasil pemikiran dan penilaian daripada pelbagai faktor di sekelilingnya.


Selama ini mereka membesar dalam alam persekolahan di mana jurus pandangnya adalah terhad. Mereka memiliki ruang penerokaan yang terbatas dan hanya menyangkuti keperluan asasi sebagai murid sekolah. Sebaliknya, apabila memasuki alam universiti atau pengajian yang lebih tinggi, pandangan dunia mereka menjadi lebih terbuka.


Hal ini diakui oleh Penolong Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz. Menurut beliau, peringkat alam mahasiswa merupakan waktu di mana golongan ini sedang meneroka potensi idealisme masing-masing selepas tamat persekolahan.


“Ia zaman pelajar mengasah idealisme, zaman anak muda suka kepada perkara baru yang mungkin bersifat agak ‘gila’ tetapi itulah yang paling hampir dengan jiwa muda. Cuma yang membezakan dengan anak muda lain ialah mereka pelajar universiti,” katanya seperti yang dipetik daripada Berita Harian bertarikh 5 Januari 2012 yang lalu.


Dalam proses penerokaan ini, ia berlaku sama ada secara langsung atau pun tidak langsung melalui medium yang berbagai-bagai dengan peluang untuk menilai yang lebih besar. Mereka lebih terbuka untuk mengkritik perkara-perkara yang baru ditemukan dan lebih cekap bermain dengan persoalan-persoalan yang bersifat teknikal.


Justeru adalah mustahak jika ruang yang tersedia itu dipelihara dengan baik bagi menggalakkan percambahan idea-idea baharu untuk kebaikan semua pihak. Pihak yang bertanggungjawab juga perlu mewujudkan lebih banyak platform yang mampu menggalakkan suasana tersebut dari masa ke masa.


Dalam pada itu, sebagai mahasiswa, kita juga sepatutnya menyedari bahawa keupayaan akal dan ilmu pengetahuan setiap manusia adalah terbatas. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berpesan, “Berbicaralah dengan seseorang sesuai dengan kadar akal fikiran mereka dan jangan sampai mendustakan Allah dan Rasul-Nya.”


Hal ini sekaligus menggariskan panduan kepada kita supaya tidak bertindak melangkaui batas kemampuan diri dan pihak lain termasuk faktor persekitaran yang melingkari kehidupan kita itu. Pentingnya juga sifat rendah diri dan bersederhana dalam kita menguruskan suasana perbincangan yang menjurus kepada percambahan idea dan pandangan supaya pertentangan yang berlaku tidak membawa sebarang kemudaratan terhadap mana-mana pihak.


Kesimpulannya, sebagai mahasiswa, kita perlu bijak menguruskan pemikiran sendiri dan berkongsi dengan pihak yang betul untuk kebaikan bersama. Memiliki pandangan sendiri bukanlah suatu perkara yang salah. Malah, pandangan atau idea yang terbaik ialah yang dilontarkan atau diterjemahkan dalam bentuk yang lebih real sehingga meninggalkan impak yang positif kepada masyarakat. Dalam peringkat ini, kita seharusnya menghargai ruang kebebasan yang disediakan dan menggunakannya sebaik mungkin untuk menjadi warganegara yang berkualiti tinggi.

Sunday, January 15, 2012

Kebebasan Bersuara Hanya Retorik Kosong


“POLITIK adalah sesuatu yang tidak pasti, hakikatnya politik ini bertukar setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.”


Seperti kata Datuk Dr. Hassan Ali itu, itulah juga yang berlaku ke atas dirinya. Perjuangan beliau selama 15 tahun bersama PAS akhirnya dinoktahkan melalui pemecatan keahliannya oleh pucuk pimpinan tertinggi parti baru-baru ini.


Dari satu sudut, pemecatan beliau itu tidaklah mengejutkan . Menjadi tanggungjawab pemimpin tertinggi untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga nama baik parti daripada perbuatan tidak senonoh ahlinya sendiri.


“Pecatlah…laki bini lagi bercerai. Tidak ada parti atas muka dunia ini yang tidak pernah pecat ahlinya yang tidak senonoh.” Demikian ulasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas pemecatan tokoh ilmuan tersebut.


Dalam kes bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu, beliau dipecat kerana dilihat sering mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak selari dengan polisi semasa parti di samping terlalu obses dengan perjuangan membela agama Islam, bangsa Melayu dan institusi beraja di Malaysia.


Tindakan-tindakan tersebut telah dianggap sebagai tidak menguntungkan parti secara keseluruhan khususnya dalam usaha merebut kuasa pada PRU ke-13 kelak.


Kami tak berminat nak sentuh panjang lebar berkenaan isu tersebut. Biarlah mereka menguruskan rumah tangga yang dihuni dengan cara mereka sendiri. Tetapi kami tertarik untuk mengetengahkan satu perkara penting di sini iaitu kebebasan bersuara dalam sesebuah parti politik di negara ini.


Kes yang membabitkan Dr. Hassan Ali bukanlah yang pertama dan mungkin bukan yang terakhir untuk dijadikan contoh bahawa kebebasan bersuara yang sebenar tidak pernah diamalkan dalam mana-mana parti politik kita, melainkan jika ia bertujuan untuk menyerang pihak lawan.


Dalam erti kata yang lebih mudah, kritik musuh boleh, tapi bukan parti sendiri.


Justeru di manakah rasionalnya tuntutan bahawa kebebasan bersuara dan berpolitik mahasiswa akan lebih terjamin sekiranya mereka dibenarkan menjadi ahli parti politik?


Fikirkan sejenak. Kita bukan sahaja terpaksa membataskan suara, malah perlu patuh dengan perlembagaan parti yang lebih ketat berbanding AUKU termasuk perintah orang atasan. Usah sesekali terfikir untuk mengkritik secara terbuka terhadap pemimpin parti, atau kamu bersedia saja dikenakan tindakan. Ia umpama sengaja masuk mulut buaya!


Hal ini berbeza jika kita kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama, tetap turut serta dalam hal-hal berkaitan isu semasa dan politik. Kita boleh mengkritik atau mengemukakan teguran terhadap sesebuah parti tanpa perlu memikirkan implikasi dikenakan sebarang tindakan.


Jadi rakan-rakan siswa dan siswi sekalian, fikir-fikirkanlah. Politik memerlukan seni retorik, dan retorik tanpa seni berpolitik, ialah omong kosong. Gunakan hak berfikir dengan baik sebelum bersuara. Bagi kami, kekal berkecuali itu sebenar-benar nikmat AUKU.

Fahami Tafsiran Kebebasan dalam Perkara 10

Beberapa insiden belakangan ini melibatkan sekumpulan mahasiswa antiestablishment yang kononnya cuba memperjuangkan kebebasan akademik dan politik seharusnya menimbulkan pelbagai pertanyaan. Antaranya, apakah kebebasan sebenar yang dimahukan oleh mereka? Sejauh manakah mereka memahami kebebasan yang sedang diperjuangkan itu? Benarkah kebebasan mutlak wujud di negara ini?


Apa yang pasti, setiap kali timbul isu-isu begini, mereka akan tampilkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai dalil utama untuk menyokong setiap kegiatan yang dilakukan. Perkara 10 jika mengikut tafsiran mereka, bermakna setiap warganegara Malaysia berhak mengamalkan kebebasan bersuara, berhimpun dan menganggotai apa-apa sahaja organisasi atau persatuan.


Malangnya, ramai yang tidak tahu bahawa tafsiran tersebut hanya menggunapakai Perkara 10 Fasal (1) sahaja, itupun tidak dibaca dengan lengkap. Perkara 10 (1) sebenarnya telah menetapkan kebebasan melalui klausa “Tertakluk” yang membawa maksud ia masih bersyarat dengan Fasal-fasal (2),(3) dan (4) dalam Perkara yang sama.


Ini yang sepatutnya dibacakan; Perkara 10

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3), dan (4) --

(a) Tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

(b) Semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;

(c) Semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan --

(a) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, kententeraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam.

(c) ke atas hak yang diberikan oleh Perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh Perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubungan dengan perlaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.


Berdasarkan peruntukan-peruntukan ini, penting untuk kita fahami bahawa kebebasan yang diberikan itu adalah bersyarat atau ada batasannya. Parlimen sebagai institusi tertinggi yang bertanggungjawab menggubal undang-undang negara mempunyai kuasa untuk menetapkan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan bersesuaian demi menjaga keselamatan awam.


Sekatan-sekatan ini diturunkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakannya. Dalam hal ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan antara pihak yang dimaksudkan menerima kuasa dalam menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat awam. Namun, PDRM tidak pula memiliki kebebasan mutlak dalam bertindak. Selain melalui peruntukan undang-undang yang khas, mereka juga terikat dengan standard operasi sendiri dalam melaksanakan sesuatu sekatan atau tindakan.


Contohnya, sesuatu perhimpunan yang melibatkan lebih daripada lima (5) orang di tempat awam perlu mendapatkan permit secara langsung daripada pihak polis. Namun, dalam insiden malam tahun baru di UPSI yang lalu, jelas sekali pihak penganjur perhimpunan gagal membuat permohonan. Malah, ia sengaja diadakan secara haram atas nama kebebasan berhimpun berdasarkan Perkara 10 ini. Justeru pihak polis tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah bertindak berlandaskan peruntukan sedia ada bagi mencegah sesuatu perhimpunan yang dilakukan secara haram.


Malah, dalam insiden tersebut juga, peserta perhimpunan didapati bertindak di luar batasan seperti memperapikan suasana melalui provokasi liar dan keras, berbaring di atas jalan raya hingga mengganggu lalu lintas, memecahkan cermin pintu sebuah poliklinik dan cuba menceroboh UPSI dengan memanjat pintu pagarnya . Tindakan-tindakan ini dilihat keterlaluan dan perlu dihalang demi menjaga keselamatan dan keharmonian awam.


Kesimpulan kami ialah,pertama, Perkara 10 sememangnya memberikan kebebasan kepada setiap warganegara untuk berhimpun dan bersuara tetapi ia sebenarnya masih terikat dengan sekatan-sekatan lain demi keselamatan dan keharmonian masyarakat awam. Kedua, tidak ada kebebasan mutlak di negara ini, malah tiada negara di dunia yang mewartakan hal tersebut. Ketiga, setiap Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca bersama dengan Perkara lain jika dinyatakan dan janganlah sesekali membuat tafsiran semberono.

Hebat Sangatkah SMM?

Sebagai mahasiswa, kami juga berhak menyuarakan pandangan. Pertama, kami tidak pernah menyokong agenda yang dibawa oleh kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Kedua, kami teguh dengan pendirian bahawa mahasiswa perlu kekal berkecuali dan itu tidaklah menyebabkan mahasiswa bergerak ke belakang. Sama sekali tidak!


Siapa sebenarnya SMM ini? Untuk makluman rakan-rakan, kumpulan mahasiswa ini bukanlah siapa-siapa melainkan sekumpulan penuntut dan alumni yang saban tahun hadir dengan tuntutan yang sama iaitu mansuhkan AUKU dan kebebasan akademik.


Namun, sejak akhir-akhir ini, kumpulan ini semakin agresif dan bertindak seolah-olah mereka mewakili seluruh penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini. Hakikatnya, berdasarkan kenyataan daripada wakil SMM sendiri, mereka hanya mewakili 5000 orang mahasiswa sahaja.


Walaupun rekod ini masih boleh diragui, tetapi yang pasti, angka itu sendiri jelas membuktikan mereka hanya sekumpulan kecil komrad yang bersenjatakan suara yang lantang, atau disebut sebagai vocal minority.


Dalam insiden menurunkan bendera DS Najib di bangunan PWTC tempoh hari misalnya, ia dilakukan oleh segelintir individu sahaja. Insiden itu telah disambut dengan pelbagai sanjungan dan kisahnya dimainkan hampir setiap hari melalui siri perhimpunan susulan untuk menyokong tindakan biadap tersebut. Sejak itu SMM semakin mendapat perhatian sehingga naik tocang dengan mengeluarkan ‘amaran’ keras kepada PM supaya menunaikan tuntutan mereka!


Kemuncaknya seperti yang kita lihat ialah perhimpunan haram di hadapan UPSI melibatkan lebih kurang 50 orang penuntut dari Unisel, Usim dan UPSI sendiri. Dalam perhimpunan tersebut, 17 orang telah ditahan kerana bertindak liar termasuk memecahkan pintu sebuah poliklinik berhampiran, mengganggu lalu lintas (berbaring di atas jalan) dan mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi terhadap pihak polis.


Maka kita dapat menilai dengan mudah daripada tindakan-tindakan tidak matang kumpulan mahasiswa ini. Yang jelas, mereka bersolidariti untuk tujuan yang sempit, menghalalkan cara untuk mencapai matlamat dan menganggap hanya mereka sahaja betul. Sejak sekian lama juga kumpulan mahasiswa antestablishment ini gemar menggunakan kaedah provokasi dan demonstrasi untuk menyuarakan pandangan.


Akhirnya, apakah yang boleh kita harapkan selepas kejadian-kejadian sedemikian. Adakah kerajaan akan dengar suara mereka dan memansuhkan AUKU? Kalau begitu, hebatlah SMM ini. Hanya perlu terpekik terlolong di jalanan membuat tuntutan. Mudahnya demokrasi cara mereka!


Rakan-rakan, zaman sudah berubah. Adakah kita masih mahu terpekik terlolong di jalanan untuk menyuarakan keinginan kita? Apa bezanya kita dan anak kecil jika begitu? Apa bezanya kita dan anak muda di luar sana yang tidak pernah masuk universiti? Sudah tentu mereka memandang rendah terhadap kredebiliti mahasiswa akibat tindakan tidak matang sedemikian.