Sebagai mahasiswa, kami juga berhak menyuarakan pandangan. Pertama, kami tidak pernah menyokong agenda yang dibawa oleh kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Kedua, kami teguh dengan pendirian bahawa mahasiswa perlu kekal berkecuali dan itu tidaklah menyebabkan mahasiswa bergerak ke belakang. Sama sekali tidak!
Siapa sebenarnya SMM ini? Untuk makluman rakan-rakan, kumpulan mahasiswa ini bukanlah siapa-siapa melainkan sekumpulan penuntut dan alumni yang saban tahun hadir dengan tuntutan yang sama iaitu mansuhkan AUKU dan kebebasan akademik.
Namun, sejak akhir-akhir ini, kumpulan ini semakin agresif dan bertindak seolah-olah mereka mewakili seluruh penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini. Hakikatnya, berdasarkan kenyataan daripada wakil SMM sendiri, mereka hanya mewakili 5000 orang mahasiswa sahaja.
Walaupun rekod ini masih boleh diragui, tetapi yang pasti, angka itu sendiri jelas membuktikan mereka hanya sekumpulan kecil komrad yang bersenjatakan suara yang lantang, atau disebut sebagai vocal minority.
Dalam insiden menurunkan bendera DS Najib di bangunan PWTC tempoh hari misalnya, ia dilakukan oleh segelintir individu sahaja. Insiden itu telah disambut dengan pelbagai sanjungan dan kisahnya dimainkan hampir setiap hari melalui siri perhimpunan susulan untuk menyokong tindakan biadap tersebut. Sejak itu SMM semakin mendapat perhatian sehingga naik tocang dengan mengeluarkan ‘amaran’ keras kepada PM supaya menunaikan tuntutan mereka!
Kemuncaknya seperti yang kita lihat ialah perhimpunan haram di hadapan UPSI melibatkan lebih kurang 50 orang penuntut dari Unisel, Usim dan UPSI sendiri. Dalam perhimpunan tersebut, 17 orang telah ditahan kerana bertindak liar termasuk memecahkan pintu sebuah poliklinik berhampiran, mengganggu lalu lintas (berbaring di atas jalan) dan mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi terhadap pihak polis.
Maka kita dapat menilai dengan mudah daripada tindakan-tindakan tidak matang kumpulan mahasiswa ini. Yang jelas, mereka bersolidariti untuk tujuan yang sempit, menghalalkan cara untuk mencapai matlamat dan menganggap hanya mereka sahaja betul. Sejak sekian lama juga kumpulan mahasiswa antestablishment ini gemar menggunakan kaedah provokasi dan demonstrasi untuk menyuarakan pandangan.
Akhirnya, apakah yang boleh kita harapkan selepas kejadian-kejadian sedemikian. Adakah kerajaan akan dengar suara mereka dan memansuhkan AUKU? Kalau begitu, hebatlah SMM ini. Hanya perlu terpekik terlolong di jalanan membuat tuntutan. Mudahnya demokrasi cara mereka!
Rakan-rakan, zaman sudah berubah. Adakah kita masih mahu terpekik terlolong di jalanan untuk menyuarakan keinginan kita? Apa bezanya kita dan anak kecil jika begitu? Apa bezanya kita dan anak muda di luar sana yang tidak pernah masuk universiti? Sudah tentu mereka memandang rendah terhadap kredebiliti mahasiswa akibat tindakan tidak matang sedemikian.
No comments:
Post a Comment