Oleh Team Aspirasi Corner
Seseorang bertanya, adakah salah memiliki pandangan yang bertentangan dengan pandangan umum? Sama ada ya ataupun tidak, tanpa kita sedar ramai yang terperangkap dalam persoalan ini hingga mendorong mereka mengelak daripada memiliki atau melontarkan pandangan sendiri.
Memiliki pandangan sendiri ialah hak setiap orang yang waras. Melontarkannya juga ialah hak masing-masing mengikut medium dan keupayaan yang dimiliki. Tetapi kita tidak boleh sama sekali bertindak memaksa orang lain menerima atau mengiyakan pandangan kita selepas ia dilontarkan.
Sebagai mahasiswa pula, kita seharusnya lebih terbuka ketika menerima atau memberikan sesuatu pandangan baharu. Jika kita berasakan pandangan kita eksklusif, begitu juga pandangan yang dilontarkan oleh orang lain, ia juga bersifat eksklusif kerana terbit daripada pertimbangan akal fikirannya tanpa mengira status kedudukan dan tahap intelektual orang tersebut.
Mahasiswa dilihat sebagai golongan yang berupaya untuk tampil dengan pandangan yang segar dan bertenaga serta mempunyai daya pengimbang kepada kecelaruan sosiobudaya masyarakat sekiranya pandangan-pandangan mereka disalurkan dengan betul dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.
Namun, muktahir ini, acap kali kita temukan betapa pertentangan pandangan antara mahasiswa dan kelompok masyarakat luar semakin ketara hingga mencetuskan pelbagai konflik dan percakaran. Situasi ini berlaku atas pelbagai faktor. Ada yang melihat mahasiswa sebagai kelompok yang terlalu ghairah mencetuskan perobahan dalam masyarakat hingga kadang-kala mereka memecut melebihi had yang ditetapkan.
Ada juga yang melihat golongan ini sedang terperangkap dalam konsep-konsep idea yang cuba dibawakan. Kononnya, idea-idea yang mahu diketengahkan itu terlalu bagus dan molek tetapi hakikatnya, ia tidak realistik dengan kehendak persekitaran di mana idea-idea tersebut cuba dipraktikkan.
Jika situasi ini berlaku, apakah tindakan yang perlu dilakukan? Adakah suara-suara mahasiswa tersebut perlu disekat? Bagi kami, ia amat tidak wajar. Suara mahasiswa ternyata amat mustahak dalam kita membangunkan sebuah negara yang memiliki sumber-sumber yang seimbang dalam segenap sudut.
Mahasiswa sebenarnya sedang berada dalam zon penerokaan ideologi sendiri yang dibentuk hasil pemikiran dan penilaian daripada pelbagai faktor di sekelilingnya.
Selama ini mereka membesar dalam alam persekolahan di mana jurus pandangnya adalah terhad. Mereka memiliki ruang penerokaan yang terbatas dan hanya menyangkuti keperluan asasi sebagai murid sekolah. Sebaliknya, apabila memasuki alam universiti atau pengajian yang lebih tinggi, pandangan dunia mereka menjadi lebih terbuka.
Hal ini diakui oleh Penolong Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz. Menurut beliau, peringkat alam mahasiswa merupakan waktu di mana golongan ini sedang meneroka potensi idealisme masing-masing selepas tamat persekolahan.
“Ia zaman pelajar mengasah idealisme, zaman anak muda suka kepada perkara baru yang mungkin bersifat agak ‘gila’ tetapi itulah yang paling hampir dengan jiwa muda. Cuma yang membezakan dengan anak muda lain ialah mereka pelajar universiti,” katanya seperti yang dipetik daripada Berita Harian bertarikh 5 Januari 2012 yang lalu.
Dalam proses penerokaan ini, ia berlaku sama ada secara langsung atau pun tidak langsung melalui medium yang berbagai-bagai dengan peluang untuk menilai yang lebih besar. Mereka lebih terbuka untuk mengkritik perkara-perkara yang baru ditemukan dan lebih cekap bermain dengan persoalan-persoalan yang bersifat teknikal.
Justeru adalah mustahak jika ruang yang tersedia itu dipelihara dengan baik bagi menggalakkan percambahan idea-idea baharu untuk kebaikan semua pihak. Pihak yang bertanggungjawab juga perlu mewujudkan lebih banyak platform yang mampu menggalakkan suasana tersebut dari masa ke masa.
Dalam pada itu, sebagai mahasiswa, kita juga sepatutnya menyedari bahawa keupayaan akal dan ilmu pengetahuan setiap manusia adalah terbatas. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berpesan, “Berbicaralah dengan seseorang sesuai dengan kadar akal fikiran mereka dan jangan sampai mendustakan Allah dan Rasul-Nya.”
Hal ini sekaligus menggariskan panduan kepada kita supaya tidak bertindak melangkaui batas kemampuan diri dan pihak lain termasuk faktor persekitaran yang melingkari kehidupan kita itu. Pentingnya juga sifat rendah diri dan bersederhana dalam kita menguruskan suasana perbincangan yang menjurus kepada percambahan idea dan pandangan supaya pertentangan yang berlaku tidak membawa sebarang kemudaratan terhadap mana-mana pihak.
Kesimpulannya, sebagai mahasiswa, kita perlu bijak menguruskan pemikiran sendiri dan berkongsi dengan pihak yang betul untuk kebaikan bersama. Memiliki pandangan sendiri bukanlah suatu perkara yang salah. Malah, pandangan atau idea yang terbaik ialah yang dilontarkan atau diterjemahkan dalam bentuk yang lebih real sehingga meninggalkan impak yang positif kepada masyarakat. Dalam peringkat ini, kita seharusnya menghargai ruang kebebasan yang disediakan dan menggunakannya sebaik mungkin untuk menjadi warganegara yang berkualiti tinggi.
No comments:
Post a Comment