Oleh Team Aspirasi Corner
Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang berpangkalan di Sydney pada 2011 melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-19 daripada 153 negara sedunia yang berjaya mengekalkan suasana aman dan kestabilan politiknya. Institut tersebut yang turut bertanggungjawab mengeluarkan Global Peace Index 2011 malah meletakkan Malaysia jauh lebih baik daripada negara-negara serantau termasuk Singapura dalam indeks keamanan dan politiknya.
Menurut komentar daripada Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) yang berpangkalan di UKM, Anis Yunal Yusoff, pencapaian besar ini sebahagiannya disumbangkan oleh faktor ‘kesepaduan sosial’ yang semakin baik dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejak 54 tahun yang lalu.
Pun begitu, hasrat besar untuk melihat perpaduan yang unggul dalam kalangan rakyat sebenarnya masih belum dicapai sepenuhnya. Suasana yang sedang kita saksikan kini mungkin suatu percampuran masyarakat berasaskan formula lama iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971. Namun, apabila dasar tersebut luput pada tahun 1990, usaha menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum menggunakan formula dan rumus sosioekonomi itu, jelas masih gagal.
Hal yang sama turut berlaku selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 dengan teras utamanya ialah pembentukan Bangsa Malaysia. Jangkaan pembentukan perpaduan ini akan berlaku apabila negara memasuki tahun 2020 dengan semua anggota masyarakat memakai identiti sebagai Bangsa Malaysia tanpa sedikit pun melupuskan nilai-nilai jati diri dan asal-usulnya.
Wawasan 2020, dari satu sudut, sedikit sebanyak berjaya merobah penampilan negara ini khususnya pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun perubahan tersebut lebih banyak berlaku dalam bentuk fizikal dan budaya di mana kerancakan pembangunan material dan asimilasi budaya baharu telah menyerapi sebahagian besar anggota masyarakat terutamanya di bandar-bandar besar. Dalam pada itu, dapat dikesan sebaliknya bahawa jurang perpaduan antara kaum tidak mengecil selain ditambah oleh sisih nisbah ekonomi yang semakin membesar membabitkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India di negara ini dengan kita tinggal kurang lapan tahun lagi menjelang 2020.
Sekali imbas, ia mungkin menterjemahkan semula kegagalan formula DEB di sebalik usaha menerapkan semangat dasar tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya orang Melayu yang benar-benar menyerap semangat DEB atas faktor menjaga hak-hak keistimewaan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding kaum lain yang lebih berusaha menguasai ekonomi dan lain-lain sektor. Hasilnya, seperti yang kita lihat, situasi tersebut telah menyemai pelbagai sentimen negatif meskipun hasrat awal DEB adalah untuk kebaikan semua kaum dengan cara menyusun semula struktur ekonomi dan sosiobudaya masyarakat dalam sebuah negara yang baru mengecap kemerdekaan ini.
Justeru baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggagaskan pula konsep 1Malaysia untuk merangsang masyarakat negara ini ke arah perpaduan. Konsep ini menekankan semangat wasatiyah atau kesederhanaan dalam segenap segi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang moderat. Usaha ini seharusnya menjadi mudah kerana rakyat sudah pun memiliki asas perpaduan yang ditinggalkan melalui semangat DEB dan Wawasan 2020 yang dibawakan oleh pimpinan terdahulu, dengan kunci utamanya ialah ‘kesepaduan sosial’ itu sendiri.
Kesepaduan sosial atau social cohesion, menurut Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, telah menjadi kunci kepada konsep equilibirium yang ingin dicapai dalam konsep masyarakat moderat Malaysia sejak 42 tahun yang lalu, atau pasca rusuhan kaum pada Mei 1969. Tegas beliau, sebuah masyarakat moderat hanya mampu dicapai melalui perpaduan dan Malaysia sudah pun memegang anak kuncinya (kesepaduan sosial) sehingga ia menjadi contoh kepada banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Justeru sebagai anggota masyarakat yang lahir selepas 1957, kita selaku mahasiswa yang membentuk sebuah komuniti besar dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama serta budaya ini haruslah memainkan peranan aktif dengan menjayakan hasrat yang diidam-idamkan selama ini iaitu perpaduan unggul di Malaysia. Kita mempunyai ruang dan peluang yang cukup besar berbanding masyarakat di luar kampus untuk menjayakan hasrat tersebut selagi mana kita berpegang kepada nilai-nilai kesederhanaan dan saling menghormati.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadi asas kepada sebuah masyarakat moderat Malaysia. Mari kita mulakan hari ini, di sini!
No comments:
Post a Comment