Oleh Team Aspirasi Corner
Sifat fundamental sesuatu perundangan antara lain adalah untuk membela pihak yang tidak bersalah dan memberikan hukuman yang setimpal kepada pihak yang melakukan kesalahan. Dalam hal ini, ia juga berfungsi menjaga majoriti anggota masyarakat yang dilindungi di bawah undang-undang tersebut daripada tindakan perlanggaran yang biasanya dilakukan oleh sekumpulan kecil anggota masyarakat yang lain.
Dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun, undang-undang sentiasa dilihat sebagai instrumen teknikal yang amat penting untuk menjaga ketamadunan yang dibina daripada gangguan mana-mana pihak atau kumpulan mahupun individu yang tidak bertanggungjawab.
Justeru apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih relevan untuk mereka yang tidak tahu menjaga diri, ia seharusnya difahami dengan mudah bahawa akta tersebut mampu mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat kampus daripada sebarang suasana tidak harmoni yang cuba dicetuskan oleh mana-mana pihak.
Sekurang-kurangnya dua tafsiran boleh dibuat daripada kenyataan Tun itu. Pertama, sifat perundangan AUKU masih signifikan untuk mengawal mana-mana kumpulan mahasiswa yang sering mendahulukan cara untuk mencapai matlamat mereka seperti demonstrasi jalanan dan merosakkan harta benda universiti hingga menjejaskan suasana akademik yang berhak dinikmati oleh penuntut yang lain.
Kedua, AUKU pada masa yang sama, menjaga kumpulan mahasiswa ‘yang tahu jaga diri’ daripada tindakan-tindakan tidak wajar yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa yang ‘tidak tahu jaga diri’ seperti yang kami sebutkan tadi. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia berkaitan dengan implikasi langsung dan tidak langsung akibat daripada tindakan kumpulan mahasiswa tersebut.
Seharusnya kita semua menerima kenyataan Tun dengan hati dan minda yang terbuka kerana beberapa insiden muktahir ini jelas membuktikan bahawa masih terdapat segelintir mahasiswa yang gemar bertindak sewenang-wenangnya dalam menyuarakan hasrat dan pandangan mereka. Oleh hal yang demikian, kita memerlukan sebuah perundangan yang mampu menanganinya dengan berkesan terutama di peringkat kampus demi menjaga keharmonian bersama.
AUKU juga tidak boleh dilihat hanya pada satu dua Seksyen sahaja kerana sifatnya yang berfungsi sebagai sebuah perundangan yang menyangkuti pelbagai lagi perkara termasuk hal ehwal pentadbiran, peperiksaan, perlantikan Naib Canselor dan sebagainya. Justeru ia tidak boleh disempitkan hanya semata-mata untuk membebaskan mahasiswa bersuara dan berpolitik.
Justeru sebagai mahasiwa yang mempunyai daya intelektual yang tinggi, kita seharusnya bersikap terbuka dan bersedia melihat sesuatu perkara berkaitan AUKU dari pelbagai sudut sebelum membuat sebarang justifikasi. Hal ini penting supaya kita tidak terperangkap dalam paksi pendapat pihak lain tanpa mengkajinya terlebih dahulu secara mendalam.
No comments:
Post a Comment