Jangan Terpengaruh Dengan Gesaan Berhimpun Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Mahasiswa USM diseru supaya tidak terpengaruh dengan penyebaran artikel haram yang mengajak para pelajar menyokong pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melalui kes yang melibatkan seorang bekas penuntut yang akan diperdengarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.
Soh Sook Hwa, yang pernah dikenakan hukuman denda sebanyak RM 200 oleh pihak universiti di bawah peruntukan AUKU selepas didapati bersalah kerana terlibat secara langsung dalam pilihan raya umum pada tahun 2004 telah memfailkan dokumen di mahkamah bagi mencabar kesahihan peruntukan terbabit.
Selepas beberapa tahun, pihak mahkamah akhirnya menerima permohonan Soh bagi memulakan perbicaraan yang dijangka berlangsung pada 29hb Mac 2010 iaitu esok. Menurut artikel itu lagi, asas tuntutan Saudari Soh adalah daripada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan kepada setiap warganegara yang berumur 21 tahun ke atas untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan politik.
Kita seharusnya tidak terkeliru dengan permainan segelintir pihak yang cuba memesongkan fakta kerana sebagai mahasiswa, kita sepatutnya boleh berfikir tentang kerelevanan dan tujuan AUKU digubal. Ia juga sebenarnya sudah dirombak dan perlaksanaannya pada hari ini adalah berdasarkan kepada penambahbaikan yang telah dilakukan pada tahun lepas.
Pihak universiti baru-baru ini juga telah mengeluarkan kenyataan yang meminta supaya para pelajar tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan pihak-pihak lain. Pada masa yang sama, di bawah autonomi sebagai Universiti APEX, USM sendiri sedang dalam proses merangka perlembagaan baru bagi menggantikan AUKU yang dilihat mampu memenuhi tuntutan-tuntutan ‘tertentu’ daripada segelintir mahasiswanya.
Justeru AC mengambil kesempatan ini untuk menyeru sekali lagi kepada rakan-rakan semua supaya berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Adalah merugikan jika tindakan hari ini hanya mengancam masa depan sendiri.
No comments:
Post a Comment