KUALA LUMPUR 8 Mac - Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Sains kepada kerajaan Malaysia bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataannya berkata, Zakri, 61, akan bertindak sebagai pegawai penasihat sains utama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Zakri bertanggungjawab mengemukakan dasar, strategi, prosedur dan langkah-langkah berkaitan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta tindakan kerajaan bagi meningkatkan pencapaian dan kelestarian sosio-ekonomi negara.
"Tanggungjawab beliau juga merangkumi mengoptimakan sumber dan keutamaan bagi transformasi Malaysia menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi dan menjadi rujukan utama bagi negara lain," menurut kenyataan itu.
Selain mempengerusikan Majlis Sains dan Penyelidikan Negara, Zakri juga dipertanggungjawabkan untuk merapatkan hubungan jaringan antara kerajaan dan saintis serta organisasi dalam dan luar negara.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Zakri adalah berdasarkan latar belakang beliau yang luas serta sumbangan besar dalam bidang sains di samping merupakan salah seorang Felo Akademi Sains Negara.
Anak kelahiran Pahang itu memperoleh Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian Malaya pada 1969 dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Crop Science dari Louisiana State University, Amerika Syarikat pada 1972.
Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana dalam Sains (1974) serta Doktor Falsafah (PhD) pada 1976 dalam Crop Science (Plant Breeding) dari Michigan State University.
Kerjaya cemerlangnya bermula sebagai pensyarah di Jabatan Biologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1976 hingga 1979, sebelum menjadi profesor biologi di universiti tersebut sehingga tahun 2000.
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) UKM dan merupakan bekas Pengarah Institute of Advance Studies, United Nations University di Tokyo, Jepun dari 2001 hingga 2008 serta Presiden pertama Persatuan Genetik Malaysia. – BERNAMA
Ulasan AC:
Satu lagi berita yang tentunya membanggakan seluruh warga akademik USM dan negara amnya. Perlantikan ini membuktikan USM mampu melahirkan generasi pemimpin sesuai dengan motto Kami Memimpin yang dipegang selama ini. Diharapkan juga ia akan menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga kampus tanpa mengira latar belakang akademik untuk terus maju dan mencipta lebih banyak kejayaan setinggi mungkin.
No comments:
Post a Comment