Ada beberapa perkara yang selalu dibisingkan apabila kita bercakap tentang kafeteria yang terdapat di dalam kampus USM ketika ini. Antara perkara tersebut, yang paling mendesak tentunya isu menu dan harga makanan, isu kebersihan dan juga masalah layanan.
Tetapi adakah semua kafeteria mengalami masalah yang sama? Mengambil beberapa contoh yang mungkin dihadapi oleh sebahagian besar daripada kita, masalah menu dan harga makanan tentunya berada pada kedudukan teratas. Terdapat pengusaha gerai yang masih belum peka dengan tuntutan ‘selera’ pelanggan kerana menyediakan menu yang sama saban hari, malah ada yang sudah bertahun-tahun menggunakan set menu harian yang sama. Siang sama, malam pun sama.
Masuk bab harga, ia menjadi lebih menjelikkan. Sudahlah makanan sama saja, harga pula tak standard. Ada kafeteria yang tidak melabelkan harga makanan sehingga menyukarkan pelanggan mengagak harga yang akan dikenakan. Maka berlakulah caj yang tidak selaras. Kalau tak percaya, cubalah anda bandingkan sesama sendiri. Jalankan eksperimen mudah ini selama seminggu. Ada masanya pasti anda akan ‘terasa’ dengan harga yang dikenakan sedangkan makanan yang diambil tak seberapa.
Begitu juga, terdapat segelintir pelanggan yang selamba sahaja menghisap rokok di kawasan kafeteria. Tindakan mereka ini langsung tak menghormati hak dan perasaan pengguna lain yang memerlukan udara yang segar dan bersih. Meskipun papan tanda amaran dipasang di kebanyakan sudut, namun akibat penguatkuasaan yang lemah, golongan ini ternyata menjadi lebih galak dan ghairah. Tetapi untuk menyalahkan ketiadaan penguatkuasaan sahaja mungkin tak adil kerana semuanya bergantung kepada sikap dan kesedaran individu terbabit.
Selain itu, masalah pinggan dan cawan yang dtinggalkan terlalu lama di atas meja juga kadang-kala merimaskan. Dalam hal ini mungkin pengusaha kafeteria dan pihak pengurusan desasiswa boleh menggunakan formula angkat bekas makanan sendiri yang diamalkan di Kafeteria Fajar Harapan. Ia bukan saja memudahkan pengguna lain tetapi turut membantu usaha mewujudkan suasana yang bersih serta kondusif untuk sebarang aktiviti.
Kita faham, tugas mengawal selia kafeteria bukanlah tugas yang mudah. Tenaga kerja pula bukanlah ramai bagi sesebuah gerai. Justeru sebagai pelajar dan pengguna, adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk membantu usaha mewujudkan suasana kafeteria yang baik. Tidak ada sesiapa yang rugi jika kita berusaha dan berganding bahu menjaga kebersihan kerana ia menjadi tuntutan dalam semua agama.
BERSAMA UNIVERSITI MENGGERAKKAN TRANSFORMASI
No comments:
Post a Comment