Kenapa rasuah? Soalan yang selalu tiada jawapan mutlak, dan selagi ia terus berlaku, ia kekal rasuah. Negara boleh diwarisi dan akan diwarisi oleh generasi muda, tetapi rasuah hanya menyebabkan negara yang akan diwariskan itu kelak tiada harta untuk anak-anak mudanya.
Rasuah menurut Pak Habib seperti yang beliau komentarkan sebentar tadi dalam Forum Bersama Pemimpin dengan tajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” ialah Rasa Untuk Hidup Mewah. Kerana itulah, rasuah terus berlaku. Kerana itulah juga, rasuah akan terus berlaku.
Tetapi menurut Dr. Celeman pula, dengan memetik nas-nas Al-Quran yang agung, rasuah boleh dicegah jika dalam diri setiap manusia ada hati yang suci, yang gentar kepada akibat perlakuan tersebut, yang sentiasa sedar dan ingat bahawa rasuah, walau apa pun definisi dan pengertiannya, hanya akan menyebabkan kemanusiaan semakin miskin. Baik yang menerima atau yang memberi, tetap kedua-duanya akan miskin, meskipun, dalam sifat rasuah itu ada saling keberuntungan.
Pak Habib juga menghuraikan kenapa rasuah terus berlaku, antaranya kerana tiadanya sifat mahu peduli sesama diri dan sesama anggota masyarakat. Sifat kepedulian ini tidak lagi wujud dalam masyarakat hari ini kerana semuanya mahu memuaskan diri masing-masing, yakni rasa (nafsu) untuk hidup mewah. Semuanya menjadi penuh keakuan, mengejar mewah duniawi seperti yang diajarkan oleh para Yahudi melalui doktrin-doktrin halus mereka. Rasuah tidak berlaku sehinggalah apabila kebenaran Allah tiba di muka bumi ini, lalu orang-orang yang tamak dengan keduniaan menjadi gentar sehingga memaksa mereka membuat penawaran supaya kebenaran itu padam.
Rasulullah ialah manusia mukminin pertama yang ditawarkan rasuah yang cukup tinggi nilainya, ditawarkan tiga ‘Ta’ yang mampu menggoyahkan setinggi iman yakni wanita, takhta dan harta, tetapi baginda jugalah manusia mukminin pertama yang menolak rasuah dalam sejarah ketamadunan manusia sejagat kerana iman yang terlalu kukuh, 100%. Jadi kenapa rasuah? Kenapa masih rasuah?
Prof. Amir kemudiannya mengusulkan, dari sudut pandang ekonomi betapa rasuah itu berlaku hanya akan menyebabkan banyak keadaan buruk termasuk kenaikan kos dalam segenap bidang yang akhirnya menyusahkan rakyat, dan ia tak akan berlaku sekiranya dalam diri manusia perasuah itu ada integriti yang tinggi.
Soal integriti juga sebenarnya payah untuk dikupaskan. Apatah lagi bila dilawankan dengan rasuah, pasti saja integriti akan goyah. Integriti terlalu subjektif walau sebesar mana lencana digantungkan di dada uniform kerana wang satu sen pun mampu membeli integriti. Ia boleh berlaku kerana rasuah bermula serendah satu sen. Mesti ingat itu.
Jadi siapa yang akan menang? Siapa yang akan kalah? Yang menerima mungkin menang dan hidup mewah dan yang memberi pula mendapat apa yang dihajati tetapi, hakikatnya, kedua-duanya akan terus dihimpit dosa yang cukup-cukup-cukup berat. Yang kalah ialah agama, bangsa dan negaranya. Maknanya, semua akan kalah pada akhirnya. Natijahnya bukan sekali besar, tetapi selama-lamanya besar hingga diperhitungkan kelak.
Berlakunya rasuah hingga meruntuhkan negara juga sebenarnya berpunca daripada tiadanya semangat cintakan negara dalam diri setiap warga. Pak Habib memberikan contoh yang sangat kukuh tentang bagaimana Bung Karno mempertahankan negaranya kerana adanya rasa cinta yang tebal terhadap tanah air beliau. Sense of belonging itu sunnah yang tinggi, yang dituntut dalam Islam, sehingga mencintai negara atau tanah air itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada iman. Jadi kenapa rasuah? Mana pergi kepedulian kita dalam hal ini?
Wajarkah kita salahkan SPRM sahaja setiap kali berlaku isu rasuah? Wajarkah kita salahkan satu-satu pihak saja bila jerung tidak ditangkap tetapi bilis-bilis habis diheret? Kenapa bercakap tetapi takut untuk tampil sebagai saksi? Apa kita sedarkah tugas pihak berkuasa hanya menyiasat dan menyiasat itu bukannya kerja yang mudah?
Apa kita juga sedar dalam kehidupan sehari-harian ini kita bebas daripada gejala ini? Yang kita selalu nampak ialah ahli politik saja yang bergelumang dengan rasuah. Tetapi diri kita, keluarga kita, ahli masyarakat yang lainnya bebaskah daripada rasuah? Justeru tak usahlah hanya menyalahkan SPRM saja dalam hal ini. Kita bertanggungjawab secara kolektif.
Seperti kata Pak Habib juga, setinggi mana pun gunung, puncaknya tetap di bawah tapak kaki manusia. Gunung kerana itulah takut untuk memikul amanah dari Allah, tetapi manusia angkuh sekali menuntut amanah tersebut untuk bergelar khalifah di muka bumi ini. Semuanya kerana manusia ada kemahuan, dan kerana kemahuan jugalah rasuah boleh berlaku. Justeru, dengan kemahuan jugalah, atau lebih besar dari itu, kepedulian kita semua, maka rasuah boleh dibendung tak kira bilis atau jerung.
Rasuah itu hanya kita yang tentukannya.
Nota:
USM melalui Sekretariat Pencegahan Rasuah telah menganjurkan Forum Bersama Pemimpin yang bertajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” pada 6hb Mac 2010 bertempat di Dewan Budaya, Pusat Kebudayaan USM. Panelis yang diundang khas ialah Syed Hussein Alattas, penulis dan penganalisa politik terkenal tanah air, Dr. Celeman bin Kasim, Penguasa Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM dan Professor Amir Baharuddian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM yang juga pakar serta penasihat ekonomi kepada Tun Mahathir suatu ketika dahulu di samping turut membentuk sekian banyak pemimpin negara termasuk Datuk Idris Jala. Forum ini dimoderator oleh Professor Omar bin Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP, USM. Sekalung tahniah kepada sahabat saya Nurmaizatulhana Bt Osman (teman sekampung) dan rakan-rakan dalam SPR USM yang menjayakan program ini.
Dipetik daripada blog Rizuan MH
Tak ramai yang hadir.. Amat-amat mengecewakan..
ReplyDelete