Musim AGM tiba lagi. AGM atau Mesyuarat Agung Tahunan merupakan rutin di USM melibatkan persatuan-persatuan yang berdaftar. Di IPTA lain suasananya mungkin sama. Masing-masing akan menjalankan operasi pembersihan dan penambahbaikan sebelum menempuh tempoh baru ‘pemerintahan’.
Operasi pembersihan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada proses menggantikan kepimpinan sedia ada yakni yang berkhidmat pada sidang ini dengan kepimpinan baru. Dibersihkan jika ada unsur kekotoran atau kecelaan. Dibersihkan juga supaya yang baru nanti lebih baik dari sedia ada.
Perlunya operasi pembersihan ini sebenarnya lebih dari sekadar menjalankan rutin AGM tersebut. Sudah berbunyi-bunyi bisikan tertentu tentang masalah pentadbiran dalam organisasi yang dihadapi sesetengah persatuan. Ada yang merungut tentang sikap kronisme, ada yang mempertikaikan amalan kuku besi, ada yang mengkritik kerana persatuan menjadi lesu dan sebagainya lagi.
Soalnya, semuanya berkaitan dengan kepimpinan. Justeru layak benarlah jika golongan pemimpin seperti ini dibersihkan lekas-lekas. Imej persatuan perlu dikembalikan. Kita dapat melihat dengan jelas banyak sekali persatuan yang dahulunya cukup aktif menganjurkan pelbagai aktiviti tetapi tiba-tiba saja berubah menikus, senyap dan seperti nyawa-nyawa ikan. Bahkan sampai ada yang terpaksa dilakukan EGM.
Dengan terlaksananya operasi pembersihan ini diharapkan akan membawa lebih banyak kebaikan kepada persatuan tersebut khususnya untuk ahli-ahli dan warga kampus seluruhnya.
Namun yang menjadi kerisauan ketika ini ialah siapakah yang boleh diharap-harapkan untuk mengambil alih kepimpinan sedia ada? Semua faham, tugas mengemudi bukan tugas yang bersifat populis semata, ia bukan sekadar menjadi orang penting dan dikenali ramai. Tetapi lebih jauh dari itu, ia adalah suatu tanggungjawab. Akauntabiliti sebagai ketua menuntut kesungguhan yang istiqamah supaya tidak lesu di tengah jalan atau kecundang sebelum sampai tarikh luputnya.
Masalah ini sebenarnya bakal menjadi barah. Masalah mencari pelapis merupakan masalah yang cukup berat untuk diselesaikan. Jika salah pilih, implikasinya tentu melibatkan seluruh organisasi. Tangkap muat pula bukanlah amalan yang baik. Paling teruk, biarlah kroni yang menjadi pewaris, itupun kalau dah tak ada sangat pilihan kerana sekurang-kurangnya orang tersebut tahu selok belok pentadbiran.
Justeru adalah diharapkan supaya AGM yang bakal diadakan secara berperingkat-peringkat kelak mengikut persatuan akan berlangsung dalam suasana yang aman dan matang. Hala tuju persatuan harus diperbetulkan dan disuntik dengan elemen baru yang lebih segar. Pemimpin hari ini harus bersedia menjadi pemuka hari esok.
No comments:
Post a Comment