Wednesday, August 24, 2011

Persimpangan Politik Atau Akidah?

Pelbagai tafsiran boleh dibuat apabila kita melihat dan menilai tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik berhubung isu ‘serbuan’ ke atas sebuah gereja di Damansara Utama baru-baru ini yang didakwa cuba mempengaruhi sekumpulan penganut Islam supaya murtad. Tindak-tanduk itu adakalanya mengelirukan, lebih-lebih lagi kerana wujud kecelaruan pandangan antara satu sama lain. Ada yang menyokong ‘serbuan’ tersebut, ada pula yang menentang, dan tak kurang juga yang cuba mengaitkannya dengan permainan politik oleh parti lawan.

Untuk seketika, kita percaya wujudnya insiden ‘serbuan’ tersebut kerana sebahagian besar media terutamanya portal-portal bebas melaporkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu gereja tersebut. Lalu riuhlah negara sehingga ada yang mendakwa ia umpama serbuan Zionis Israel ke atas masjid orang Islam di Palestin. Namun, semuanya berubah 360˚ apabila tersebar video liputan ‘serbuan’ tersebut melalui beberapa buah blog sebelum dipaut secara langsung oleh pengamal-pengamal media bebas yang lain.

Tiada langsung serbuan atau yang menyerupai tindakan gestapo sebagaimana yang didakwa. Apa yang berlaku ialah beberapa kakitangan JAIS dan anggota polis mengunjungi sebuag gereja kerana terdapat laporan yang mendakwa wujudnya satu majlis kesyukuran yang dipercayai turut disertai oleh orang Islam. Mereka didakwa cuba dipengaruhi supaya meninggalkan agama yang dianuti atau dalam istilah yang sering digunapakai iaitu murtad (keluar dari Islam). Berdasarkan laporan tersebut maka pihak JAIS segera bertindak berlandaskan bidang kuasa yang dimiliki.

Siri video yang didedahkan itu juga menyiarkan secara terperinci setiap tindakan yang diambil oleh JAIS termasuk proses diplomasi yang panjang iaitu lebih satu jam dengan wakil penganjur sebelum JAIS dibenarkan masuk ke dalam dewan di mana majlis tersebut berlangsung untuk menjalankan pemeriksaan. Justeru tidak timbul langsung isu serbuan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, tuduhan itu sengaja dilemparkan untuk memburukkan kredibiliti JAIS dan pihak polis sekali gus menutup isu sebenar iaitu perlanggaran terhadap hak-hak orang Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II berhubung kebebasan beragama, Perkara 11 (1) telah menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya. Apakah yang dinyatakan dalam Fasal (4) ini? Inilah fasal atau hal yang sebenarnya telah memelihara hak-hak orang Islam di negara ini tetapi telah dicabar secara terbuka oleh pihak gereja berkenaan. Fasal (4) dengan jelas menyebut, undang-undang negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama (seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1) tadi berhubung ‘mengembangkannya’ yakni mengembangkan agama masing-masing) di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Selain itu, Perkara 12 (3) yang menyentuh Hak Berkenaan Dengan Pendidikan turut menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri. Frasa ‘tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima’ di sini membawa pengertian yang jelas iaitu larangan pemaksaan sama ada secara terang-terangan atau halus melalui apa-apa jua cara sekali pun sehingga orang yang berkenaan menukar agamanya terutamanya penganut Islam di negara ini.

Dari sudut undang-udang, tindakan JAIS itu adalah tepat. Mereka tidak menyerbu sebaliknya setiap tindakan yang diambil adalah selari dengan amalan standard atau prosedur jabatan berkenaan seperti yang didedahkan melalui siri rakaman video tersebut. Justeru kenapa boleh wujud pelbagai pertikaian terutamanya daripada pemimpin-pemimpin politik? Apakah autoriti mereka dalam isu ini mengatasi bidang kuasa JAIS sebagai agensi pelaksana undang-undang negara? Sepatutnya dalam isu ini semua pihak menghormati tindakan JAIS dan menyerahkan sepenuhnya kepada badan tersebut untuk menyelesaikan sebarang perkara berbangkit. Tetapi apabila kepentingan politik telah mengatasi bidang kuasa JAIS, maka rakyat menjadi keliru dan tertanya-tanya. Campur tangan secara keterlaluan daripada pihak media bebas juga tambah mengusutkan keadaan sehingga pintu kebenaran hampir-hampir tertutup terus. Mujurlah ada rakaman video tersebut yang sedikit sebanyak telah membantu rakyat memahami perkara sebenar.

Selain itu, tidak dinafikan, punca sebenar isu ini ialah masalah kemiskinan dan kesempitan hidup dalam kalangan peserta yang dijemput oleh pihak gereja terbabit. Dalam hal ini, agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan harus dipersalahkan kerana terlepas pandang sedangkan mereka telah disediakan dengan peruntukan yang besar untuk membantu masyarakat di negara ini. Tetapi cukupkah sahaja menyalahkan pihak berkenaan selepas isu ini timbul? Di mana tanggungjawab pemimpin masyarakat yang dipilih oleh rakyat di kawasan tersebut kerana seharusnya beliaulah yang paling awal mengetahui setiap permasalahan rakyatnya.

Kita juga berasa jengkel apabila segelintir agamawan seperti ulamak dan para ustaz mengambil peluang di atas isu ini dengan menjadikannya sebagai modal menghentam pihak kerajaan dan parti lawan bertubi-tubi. Isu seperti ini kelihatan menarik kerana ia berlaku di luar kepentingan keluarga kita. Cuba bayangkan jika ada saudara-mara kita yang terlibat. Tanyakan diri anda, di mana tanggungjawab anda ketika itu? Bagaimana pula jika mereka ialah sahabat-sahabat kita, jiran-jiran kita? Tidakkah kita juga bertanggungjawab secara umum? Jadi berhentilah daripada menyalahkan pihak lain sahaja setiap kali timbul sesuatu masalah. Sebaliknya kita semua harus memikul tanggungjawab ini bersama.

Akhir kata daripada kami, ayuhlah kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik bersama-sama menghormati undang-undang yang selama ini telah menjaga keharmonian negara tercinta ini. Jika nenek moyang kita dahulu boleh menghormati hak masing-masing, kenapa kita hari ini tidak mampu menghormatinya? Apakah yang membezakan kita dengan generasi terdahulu? Tepuk dada tanyalah iman, tanyalah hati kecil masing-masing. Sebagai mahasiswa pula, kita seharusnya cakna dengan persekitaran dan mengambil inisiatif membantu masyarakat supaya lebih memahami erti perpaduan nasional.

Apa yang kita miliki hari ini tidak datang bergolek. Hanya mereka yang memahami erti kemerdekaan yang sebenar sahaja mampu menikmati ruang yang tersedia ini dengan penuh rasa syukur dan berterima kasih. Kebebasan, ada batasnya.

No comments:

Post a Comment