Ternyata, logo yang digunapakai selama ini oleh PPSL rupa-rupanya menimbulkan kegelisahan yang begitu mendalam bagi sesetengah orang. Kami tidak mahu menamakan siapa mereka, tetapi jika kenyataan ini dibaca, kami berharap dapat mengubah paradigma dan sudut pandang mereka terhadap tanda hati yang menjadi simbol PPSL ini.
Kami percaya bahawa kegelisahan itu timbul kerana rasa tidak puas hati akibat pemahaman yang salah terhadap maksud dan objektif penggunaan logo ini yang kononnya berunsurkan politik. Inilah padahnya jika kalbu dipenuhi syak wasangka. Ia akhirnya menjadi barah dan sukar dirawat jika terus dibiarkan menguasai diri.
Untuk makluman pihak terbabit, logo PPSL tidak dihasilkan untuk meracuni minda sesiapa samada dalam bentuk ideologi tersirat mahupun tersurat hingga boleh ‘mengancam’ pihak-pihak tertentu. Logo ini mengambil tanda hati sebagai simbol utamanya kerana ia merupakan simbolisme terhadap kesungguhan sekumpulan pelajar menjunjung aspirasi universiti seperti yang terkandung dalam misi dan visi USM.
Sejarahnya bermula kira-kira tiga atau empat tahun yang lalu apabila seorang pelajar menyahut seruan rakan-rakannya dalam PPMS (Pembimbing Pelajar Minggu Suai Kenal sebelum diubah secara rasmi kepada Pembantu Program Siswa Lestari atau PPSL), untuk menghasilkan sebuah tanda pengenalan yang boleh mewakili organisasi tersebut.
Kenapa pelajar itu yang dipilih? Jawapannya mudah, kerana beliau merupakan seorang yang mahir dalam aplikasi terbabit. Adakah itu menjadi kesalahan? Atas usaha dan penat lelahnya maka terhasillah logo tersebut. Ia kemudiannya dipersetujui dan diluluskan oleh pihak universiti untuk digunakan secara rasmi termasuk dicetak pada jaket dan baju korporat PPMS dan PPSL.
Tanda hati dipilih kerana ia melambangkan rasa sayang dan cinta yang mendalam terhadap universiti. Ia juga mewakili suatu intuisi perasaan yang tulus untuk berkhidmat dalam apa jua keadaan dan tekanan ketika berhadapan ribuan mahasiswa-mahasiswi baharu sepanjang minggu orientasi berlangsung. Bahkan, jasa bakti PPSL masih ditagih walaupun selepas tamat minggu orientasi tersebut. Adakah ini juga mahu dipandang remeh?
Semua ini tidak mampu dilangsaikan jika tiada kesanggupan untuk berkorban masa dan tenaga dengan penuh ikhlas melalui kerja kuat tanpa mengharapkan apa-apa balasan material. Tetapi PPSL telah membuktikan mereka mempunyai kualiti tersebut yang terangkum dalam tiga prinsip utamanya iaitu ikhlas, kerja kuat dan kesukarelawanan. Adakah pihak yang mempersoalkan hal ini mampu melakukan lebih baik daripadanya? Jawapannya, belum tentu.
Setiap PPSL yang ditauliahkan perlu memahami rasional penggunaan logo ini dan tidak terpengaruh dengan adu domba yang dimainkan oleh segelintir pelajar tersebut. Kami percaya, mereka lebih memikirkan ancaman terhadap politik kampus kumpulan yang diwakili berbanding memikirkan sumbangan yang diberikan oleh PPSL itu sendiri terhadap universiti. Bagi kami, pemikiran sebegini amat merugikan kerana ia wujud daripada salah faham dan prasangka semata-mata.
Tidak perlu rasanya kami menceritakan setiap pengorbanan yang dilalui oleh PPSL termasuk berkorban cuti dan wang ringgit sendiri. Tidak perlu juga rasanya kami menitipkan setiap ucapan terima kasih yang dikalungkan oleh ibu bapa setiap kali menerima pertolongan yang dihulurkan oleh PPSL. Malah, tak perlu langsung kami mengisahkan betapa terharunya perasaan di hati setiap mereka yang bergelar PPSL apabila melihat adik-adik mahasiswa dan mahasiswi baharu tersenyum hingga menitiskan air mata setelah melafazkan ikrar menjadi warga kampus yang sah.
Kami hanya ingin menyampaikan mesej ini kepada pihak yang berkenaan, sesungguhnya, hanya kami yang memahami dan layak bercakap soal tanda hati ini. Anda duduklah diam-diam di rumah, berbahagialah dengan cuti panjang yang dikurniakan oleh Tuhan itu. Izinkan kami berkhidmat dengan tenang untuk universiti tercinta.
PPSL – Kini dan Selamanya – Di Hati.