Wednesday, August 24, 2011

Rasionalisasi Pengekalan Logo PPSL

Ketika kami duduk berbual dengan sekumpulan bakal Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) baru-baru ini, mereka telah bertanya tentang logo yang digunakan oleh PPSL selama ini. Tahniah! Mereka telah mengemukakan soalan yang betul kepada pihak yang betul dan mereka telah mendapat jawapan yang betul.

Tidak dinafikan, penggunaan logo ini sedikit sebanyak telah menjadi isu ketika ini. Malangnya, tidak seperti kumpulan bakal PPSL terbabit yang mengambil inisiatif untuk bertanya secara terus kepada pihak yang sepatutnya, sebaliknya ada sekumpulan pelajar lagi lebih gemar menimbulkan persoalan yang bersifat spekulatif dengan pelbagai andaian semborono yang tidak tepat dengan fakta sebenar.

PPSL (dahulunya dikenali sebagai PPMS – Pembimbing Pelajar Minggu Suai Kenal) pada kami ialah sebuah entiti penting yang turut menjadi sebahagian daripada organ universiti dalam kita memacu transformasi pendidikan tinggi di USM dan negara amnya. Mungkin kenyataan ini kedengaran terlalu boombastik, namun itulah hakikat yang perlu digalas oleh setiap pemegang amanah dan tanggungjawab sebagai PPSL di seluruh kampus yang terlibat.

Mengapa kami berpandangan sedemikian adalah kerana kami melihat, dan mungkin juga sahabat-sahabat seperjuangan yang lain berkongsi pandangan yang sama, betapa PPSL kini bertindak bukan sekadar sebagai pembimbing kepada mahasiswa-mahasiswi Tahun Satu yang baru menjejakkan kaki ke USM, bahkan kumpulan ini jugalah yang menjadi ‘kaunter hadapan’ dalam kita mengetengahkan sistem dan identiti universiti kepada umum terutamanya ibu bapa yang baru pertama kali menjenguk dunia kampus ini.

Hal ini bagi kami cukup penting. PPSL ialah manifestasi kejayaan pengurusan sumber manusia yang signifikan kerana mereka mengatur dan memudahkan urusan lebih kurang 3000 orang pelajar baharu setiap sidang dengan kekuatan penggerak yang kecil. Tanpa pengurusan yang sistematik seperti yang dimainkan oleh PPSL, adalah mustahil mobiliti manusia yang besar ini mampu dihalakan mengikut arah tuju yang betul! Semuanya kini menjadi bukti kemampuan warga USM, dan PPSL adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pengurusan ini dengan begitu mengagumkan.

Justeru sebagai sebuah kumpulan yang diiktiraf oleh universiti, PPSL harus memiliki sesuatu yang boleh dinamakan sebagai simbol identiti selain jenama PPSL itu sendiri. Benar, nama PPSL itu sudah cukup kuat dan tak perlu diperkenalkan lagi. Tetapi bagi kami, itu hanya berlaku dalam kalangan segelintir yang terbabit sahaja. Kita perlukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pihak lain, bahkan mungkin sehingga melekat di hati mereka seperti halnya kita kenal Arsenal, Liverpool dan Manchester United pada logonya.

Oleh hal yang demikian, sejak tiga tahun yang lalu, iaitu pada sidang terakhir perkhidmatan PPMS, para PPMS telah bersetuju untuk menggunakan logo khas berbentuk hati yang telah direkacipta oleh salah seorang penggeraknya iaitu Saudara Mohd Shafiq bin Saidon (mantan Penghulu PPMS Desasiswa Fajar Harapan dan YDP MPD Fajar Harapan sidang 2008-2009) sebagai manifestasi kesatuan warga PPMS ketika itu. Logo ini kemudiannya dicetak pada jaket rasmi PPMS sebelum digunakan secara meluas kemudiannya oleh PPSL atas semangat meneruskan perjuangan murni PPMS terdahulu.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir PPSL kurang menghayati tanda pengenalan ini. Simbol hati yang diaplikasikan di dalam logo ini sebenarnya ialah penzahiran semangat cinta dan sayangkan universiti yang sememangnya sudah sinonim dengan jiwa PPMS dan PPSL. Sebagai contoh, setiap generasi PPMS dahulu sudah diterapkan dengan nilai-nilai berkerja kuat dan ikhlas melalui budaya kesukarelawanan yang tinggi yang menjadi tunjang penting dalam semangat cinta dan sayangkan universiti.

Kesinambungan ini wajar diteruskan oleh setiap PPSL hari ini tanpa ada putusnya. Tanpa tiga elemen penting ini – bekerja kuat, ikhlas dan kesukarelawanan – adalah sukar bagi setiap PPSL menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam semangat yang sebenar. Percayalah, semua elemen itu terpahat kukuh dalam logo tanda hati PPSL dengan motto terbaharunya, Kini dan Selamanya!

Akhir kata, kami menyeru rakan-rakan yang bakal menggalas tugas berat lagi mencabar sebagai PPSL kelak untuk sama-sama menyematkan tanda hati ini dalam jiwa masing-masing. Sayangilah universiti tanpa ada tolok bandingnya! Kami tinggalkan anda dengan satu ungkapan penuh simbolik orang-orang tua kita yang berbunyi, “tiada yang lama maka tiadalah yang baharu.”

PPSL – Kini dan Selamanya – Di Hati!

4 comments:

  1. saya merupakan salah seorang daripada bekas PPSL sidang sebelum-sebelum ini.

    Bagi saya, persoalan yang diutarakan pelajar tersebut
    (ruj : post 12 julai 8.31 pm) adalah berkisar tentang penggunaan perkataan ASPIRASI dalam logo PPSL. Bukan isu penggunaan hati, atau memanifestasikan cinta kepada universiti etc yang jadi persoalan.

    Soalannya cukup mudah. Mengapa ada penggunaan perkataan ASPIRASI dalam logo PPSL??

    Sebagaimana semua sedia maklum, dan sebagaimana yang ditulis dalam artikel ini, PPSL merupakan orang yang paling terkehadapan dan menjadi satu duta yang membentuk 'first impression' kepada junior2 dan ibu bapa mereka yang mungkin baru menjejakkan kaki ke USM.

    Dan kita juga maklum, yang Aspirasi(ie; pro-Aspirasi) pula merupakan satu kumpulan @ 'jenama' dalam kebanyakan IPT yang digunakan sewaktu kempen PRK, yang dilihat bersaing dengan kumpulan lain yang menggunakan jenama pro-Mahasiswa.

    Jadi, itulah yang menjadi isu utama. Bagi saya, kebanyakkan komen untuk memjawab secara 'ilmiah' kepada persoalan itu, terkadang merupakan komen2 sampah yang cuba untuk putar belitkan persoalan asal.

    Buatlah artikel 1000 patah perkataan pun, tapi selama mana persoalan sebenar tidak dijawab, ianya akan terus menjadi persoalan tentang kredebeliti PPSL di USM.

    Saya sudah terlibat dengan kempen persediaan PPSL, dan saya tahu apa matlamat utama PPSL, dan matlamat sampingan yang cuba diterapkan oleh orang2 yang berkepentingan.

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  2. saya masih menanti jawapan daripada persoalan asal, dan telah print screen sbg langkah awal.
    sekian,TQ

    ReplyDelete