Saturday, August 27, 2011

Sakitkah Anak-anak Muda Hari Ini?

Memahami-Menghayati Erti Kemerdekaan Negara Bangsa

Setiap kali tiba Hari Kemerdekaan, maka kedengaranlah juga satu dua pandangan yang mendakwa anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan negara. Kononnya, nilai patriotisme dalam diri golongan muda kian menyusut. Pelbagai contoh dikemukakan seperti gelagat remaja berpeleseran pada malam kemerdekaan, lumba haram, zina dan sumbang mahram dan sebagainya lagi. Sedikit sebanyak, pandangan-pandangan ini telah menjerumuskan masyarakat secara umum ke dalam suatu persepsi bahawa golongan remaja dan anak muda menghadapi gejala yang sama – tiada jati diri!

Kami tidak mahu mengiyakan atau menafikannya kerana sesiapa pun boleh melontarkan pandangan dalam sistem demokrasi di negara ini. Tetapi kami ingin mengajak rakan-rakan sekalian khususnya para Mahasiswa Apex untuk sama-sama membuka minda dan melihat gelojakan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini terutamanya yang membabitkan golongan ini dari sudut pandang yang lebih adil dan praktikal.

Pertama, kami secara kolektif berpendapat, dan merumuskan bahawa, di luar sana masih ada sejumlah besar anak muda yang memahami erti kemerdekaan dan mereka juga menghayati ruang kemerdekaan itu. Mungkin kaedah penghayatan itu tak sama dengan segolongan yang lain seperti generasi awal dan para cendekiawan yang bercakap-cakap itu, tetapi mereka juga merupakan sebahagian daripada output kemerdekaan dalam bentuk yang tersendiri, terdidik dan terbudaya dalam korpus yang mungkin berbeza tetapi pada akarnya, mereka masih punya jati diri!

Adilkah jika kita membentangkan satu dua contoh kemudian terus membuat rumusan yang bersifat mutlak? Jika dalam uji kaji makmal, ia mungkin suatu langkah terdesak untuk mencipta sesuatu hasilan tetapi dalam konteks sosial, ia adalah suatu tindakan yang cukup dangkal sekali. Misalnya, di sebuah kampong ada kes kecurian motosikal. Si pencurinya berjaya ditangkap dan mereka dikenalpasti sebagai anak-anak muda dari kampong itu sendiri. Lalu, kita semua secara senada memuktamadkan persepsi bahawa di kampong itu anak-anak mudanya harus dibimbangi, ditakuti kerana mereka adalah pencuri! Tidak adil bukan?

Hal yang sama akan berlaku jika seluruh masyarakat terus-terusan memandang golongan remaja dan anak muda sebagai sekumpulan rakyat yang penuh dengan masalah dan penyakit sosial. Kalau pun ada, dan memang ada, tetapi tidak semua golongan ini memakai identiti yang sama. Kami yakin dan percaya masih terdapat sejumlah besar daripada mereka yang berusaha membina jati diri dan identiti yang senada dengan aspirasi kemerdekaan negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Golongan ini sebenarnya amat mudah dikenali dan senang pula didekati oleh masyarakat kerana mereka juga sentiasa mendambakan peluang untuk bersama masyarakat umum.

Lihat sahaja di kampus-kampus, berapa ramai anak muda mempunyai kualiti yang tinggi untuk tampil ke dalam arus masyarakat massa? Sebagai contoh, di USM, kita mempunyai Saudara Mohammda Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia dan juga mantan Speaker Dewan Perundingan Pelajar USM. Beliau cukup dikenali melalui ketrampilan yang menawan dan positif dan berminda super yang jarang-jarang ada pada anak muda kita, bahkan beliau sering dirujuk oleh pemimpin-pemimpin negara berhubung permasalahan mahasiswa dan sering juga menjadi tamu dalam program bual bicara yang serius di kaca-kaca televisyen.

Selain itu, Saudara Ahmad Wafi bin Shaheedan juga merupakan antara nama besar yang pernah dilahirkan oleh USM yang menunjukkan kualiti anak muda kelas pertama melalui daya kepimpinan yang cemerlang dan bersemangat tinggi. Beliau juga merupakan mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM di samping menjadi tenaga penting di sebalik penubuhan Dewan Perundingan Pelajar USM serta Persatuan Mahasiswa Kebangsaan (PMK), sebuah NGO yang sedang diterajui bersama rakan-rakannya dari seluruh negara.

Dua nama besar ini barangkali belum cukup untuk dijadikan contoh bagi memperbaiki persepsi umum yang mengatakan golongan muda negara sedang ketandusan jati diri. Kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan yang boleh diladeni oleh kita semua khususnya para mahasiswa. Mereka lahir dan membesar melalui sistem pendidikan yang sama jika ada pihak yang masih mendakwa bahawa masalah anak muda hari ini berpunca daripada sistem pendidikan negara. Mereka juga mengambil UPSR, PMR dan SPM malah masuk ke alam universiti juga melalui sistem meritokrasi yang sama. Justeru apa yang membezakan mereka dengan anak muda yang sakit di luar sana?

Kami tidak tahu apakah rahsia mereka yang sebenar tetapi kami yakin dan percaya, kejayaan yang ditempa oleh dua orang anak muda berjiwa besar ini adalah berpunca daripada pendidikan dari rumah masing-masing. Ia bermula dengan tanggungjawab ibu bapa di rumah, sama seperti rakan-rakan yang lain juga. Justeru, ibu bapalah sebenarnya yang mencorakkan anak masing-masing sama ada ke arah masa depan yang gemilang atau suram. Siapa ibu bapa? Mereka adalah anggota masyarakat. Justeru apabila membicarakan permasalahan golongan muda dan remaja, kita akhirnya tetap akan kembali kepada akar punca iaitu peranan ibu bapa masing-masing, bukannya sistem pendidikan dan bukannya pihak kerajaan yang harus dipersalahkan secara mutlak seratus peratus.

Untuk merawat masalah hakisan jati diri dalam kalangan generasi muda dan remaja hari ini juga memerlukan penglibatan yang menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat. Kita harus berhenti menyalahkan pihak pemerintah kerana kami berasakan sudah banyak yang dilakukan oleh kerajaan hari ini dalam memupuk kesedaran umum terhadap kemerdekaan. Kini ia menjadi tanggungjawab kita pula secara khusus dan rinci untuk menyemai nilai-nilai kemerdekaan itu bermula dengan diri kita sendiri. Justeru kami menyarankan dua langkah mudah; pertama, memahami dan kedua, menghayati. Apakah yang dimaksudkan dengan memahami-menghayati ini?

Pendekatan memahami merujuk kepada proses memahami secara menyeluruh erti kemerdekaan dan segala konsep dan pembudayaan yang diperlukan untuk membolehkan seseorang memiliki kualiti atau nilai-nilai sebagai warga yang merdeka. Tidak cukup dengan hanya mengibarkan jalur gemilang atau memasang bendera pada kenderaan, sebaliknya kita semua harus faham apakah faktor yang membolehkan kita menikmati kemerdekaan selama 54 tahun ini. Berhentilah daripada bersikap ‘orang lain buat, aku tak payah’ sebaliknya kita semua perlu menyelongkar khazanah kebudayaan negara bangsa yang selama ini menjadi rona dan warna kemerdekaan Malaysia lalu kita budayakan semula dengan penuh keinsafan. Dari situ, kita akan memahami apakah sebenarnya erti kemerdekaan negara yang unik ini.

Pendekatan menghayati pula adalah suatu proses dalaman dan luaran yang lebih menyeluruh yang lahir selepas kita memahami makna kemerdekaan. Ia memerlukan lebih keinsafan, lebih kesungguhan dan lebih kesyukuran kerana penghayatan yang sebenar tidak akan lahir tanpa wujudnya elemen-elemen ini. Kita perlu insaf bahawa kemerdekaan hari ini adalah kurniaan terbesar selepas kita menyaksikan Kota Melaka runtuh akibat rendahnya nilai jati diri dalam kalangan rakyat jelata. Kita perlu insaf kerana sebuah tanah yang subur dan makmur ini pernah dijajah tetapi berkat usaha keras dan kesedaran atas kesilapan lampau, maka seluruh rakyat berbilang bangsa dan agama bersatu kembali menuntut kemerdekaan daripada para penjajah.

Kita juga perlu bersyukur kerana selama 54 tahun ini, keadilan sosial masih terpelihara di mana setiap kaum berpeluang menikmati pelbagai kemakmuran yang disediakan oleh pemerintah. Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi kita sebenarnya jauh lebih baik dan beruntung jika dibandingkan dengan negara-negara yang seusia kemerdekaannya dengan negara kita. Akhir sekali, kita juga perlu bersungguh-sungguh mempertahankan rahmat kemerdekaan ini dengan apa-apa jua cara sekali pun. Jika nenek moyang kita dahulu berkorban jiwa dan harta benda, kenapa kita tidak boleh melakukan yang sama pada hari ini? Hargailah jasa dan pengorbanan mereka kerana perjuangan mereka itu sebenarnya untuk anak cucu pada hari ini. Siapa anak cucu itu? Jawapannya ialah kita!

Akhir kalam, kami menyeru seluruh masyarakat supaya lebih adil apabila membicarakan tentang golongan muda. Tidak semua anak muda dan remaja itu bermasalah dan kalau pun bermasalah, bantulah, rawatlah supaya lekas menjadi warga yang sihat dan berguna. Kepada mahasiswa, hayatilah erti kemedrdekaan negara dengan sebenar-benarnya. Hiruplah udara segar kemerdekaan supaya minda kita mampu berfikir dengan bebas dan cemerlang.

Salam Kemerdakaan daripada kami di Aspirasi Corner!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!



1 comment: