Saturday, August 27, 2011

Tak Perlu Tunggu Sampai Anak Cucu..

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik dalam Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini ada menyatakan bahawa sikap umat Islam yang berpecah dan sering bertelagah pandangan sesama sendiri menyebabkan mereka tidak akan mampu menghadapi cabaran besar termasuk gelombang Kristianisasi.

Zaini Hassan, Penolong Pengarang Utusan Malaysia pula beberapa kali mengatakan bahawa umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini sedang mengalami perpecahan yang amat membimbangkan di mana mereka kini secara ideologi, terbahagi kepada lebih enam kumpulan utama mengikut parti politik dan persepsi peribadi masing-masing.

Apakah implikasi daripada kenyataan-kenyataan ini? Besar, implikasinya amat besar. Seperti yang kita lihat pada hari ini, dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), umat Islam kelihatan lebih banyak bercakaran sesama sendiri berbanding berbincang mencari penyelesaian. Masing-masing cuba menegakkan pandangan sendiri baik yang berautoriti seperti pemimpin politik mahupun orang kebanyakan.

Lebih memalukan apabila terdapat segelintir pihak yang kononnya memperjuangkan Islam lebih gemar mengambil jalan tengah atau manzilah baina manzilatain, supaya tiada pendirian yang dikeluarkan boleh menjejaskan kedudukan organisasi tersebut dalam pakatan yang dibina. Adakah semuanya kerana mahu menjaga undi dan pengaruh? Hanya mereka yang tahu. Tetapi dalam menghadapi persoalan akidah yang sebegini besar, adakah wajar kita berkompromi sehingga menampakkan kelemahan institusi agama Islam di negara ini?

Jika dahulu kita sudah terlanjur berkompromi sehingga merelakan hak agung kita, kalimah suci Allah digunakan oleh orang bukan Islam, adakah hari ini kita masih cuba mencari hujah untuk mewajarkan tindakan tersebut? Hakikatnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah kesan semerta akibat daripada sikap bermuka-muka kita sendiri terhadap agama. Tak perlu menunggu hingga beratus tahun untuk melihat implikasi daripada tolak ansur kita berhubung isu kalimah Allah itu. Tak sampai pun setahun, hari ini dengan kalimah yang sama, bahkan lebih suci iaitu Allahuakbar dan Subhanallah, mereka memanfaatkan keterlanjuran tersebut dengan sebaik-baiknya untuk memesongkan akidah umat Islam di Malaysia.

Misalnya, dalam pemeriksaan oleh JAIS itu, ada bukti yang menunjukkan para peserta majlis ‘thanksgiving’ yang dianjurkan oleh DUMC menyanyikan lagu yang bertajuk Allahuakbar dan Subhanallah. Jika benarlah majlis itu untuk orang Kristian sahaja, maka kenapa lagu dengan judul sedemikian dinyanyikan? Tidakkah ini menimbulkan pelbagai prasangka terhadap orang Islam kerana semua sudah maklum, kedua-dua kalimah suci itu adalah hak ekslusif agama Islam yang terpelihara oleh undang-undang negara ini.

Malah, seorang peserta bukan Islam turut mempertahankan haknya menggunakan kalimah seruan takbir dan tasbih Maha Suci Allah itu kerana kononnya tiada larangan daripada pihak kerajaan. Tidakkah ini sudah cukup untuk membuatkan kita berfikir akan muslihat mereka menuntut penggunaan kalimah Allah dalam urusan agama mereka tidak lama dahulu? Kita juga perlu melihat kembali siapa dalang dalam tuntutan tersebut dan apakah kaitan mereka dengan isu terbaru ini.

Walaupun terdapat peruntukan jelas yang memelihara kesucian kalimah-kalimah Allah dalam ajaran agama Islam di negara ini, namun kerana adanya perselisihan pandangan dalam kalangan orang Islam sendiri khususnya yang melibatkan pemimpin agama dan politik, maka orang bukan Islam lebih berani menyatakan tuntutan mereka sehingga kita akhirnya tunduk dan akur. Inilah padah yang harus kita tanggung. Inilah harga kompromi yang terpaksa kita bayar.

Seperti kata Abdullah Zaik lagi, “kita 14 juta umat Islam tidak mempunyai apa-apa risalah dan apabila berdepan dengan ancaman kita bertaburan. Bahkan kita bercanggah sesama sendiri dalam memahami isu yang dihadapi sekarang.”

Kami teringat, suatu ketika dahulu ketika isu kalimah Allah mula diperdebatkan, salah seorang pemimpin mahasiswa yang mengemudi sebuah organisasi persaudaraan Islam terbesar di USM melontarkan persoalannya; apa masalahnya jika Kristian mahu guna kalimah Allah? Beliau hanya bersandarkan kisah dalam sirah tentang umat terdahulu yang turut mengakui kewujudan Allah walaupun mereka kafir. Adakah beliau sedar, apa yang berlaku pada zaman dahulu dan pada hari ini adalah jauh berbeza? Adakah mereka sedia mengakui keesaan Allah dan menuruti perintah supaya tidak menyekutukan Allah SWT? Jika umat terdahulu yang dimaksudkan itu tetap menyekutukan Allah dan tidak mengakui keesaan-Nya, justeru apa pula bezanya dengan mereka yang menuntut kalimah tersebut pada hari ini?

Hari ini, apa yang berlaku langsung tidak menggambarkan kesediaan mereka mengesakan Allah sebaliknya konsep kebenaran mutlak itu telah dimanipulasikan untuk mengelirukan kefahaman akidah umat Islam yang sedia lemah. Dalam pemeriksaan tersebut misalnya, turut ditemui kertas soalan kuiz yang telah direnyuk dan dibuang ke dalam tong sampah yang mengandungi pelbagai soalan berkaitan Islam dan Nabi Muhammad yang amat mengelirukan. Malah, turut ditanya tentang berapa kali Nabi Isa disebut dalam Al-Quran. Apakah motif soalan kuiz sebegini diadakan? Kalau pun untuk menguji kefahaman peserta, mereka sepatutnya menjelaskan secara terperinci tujuan kuiz itu dijalankan dan bukannya cuba memanipulasikan tahap kefahaman peserta khususnya yang beragama Islam.

Jika pemimpin mahasiswa tersebut membaca artikel ini, kami ingin bertanya, apakah beliau tidak menduga implikasi-implikasi begini sewaktu melontarkan pertanyaan itu dahulu? Kami masih ingat, apabila kami cuba mendapatkan penjelasan beliau termasuk mengajukan pandangan dan kerisauan berhubung masa depan anak cucu kita kelak, beliau sebaliknya menyeru supaya bersikap lebih terbuka dan memahami secara menyeluruh isu ini. Hari ini kami benar-benar faham bahawa isu ini adalah cubaan paling halus dan licik untuk mengaburi gerakan Kristianisasi seperti yang dibangkitkan oleh Abdullah Zaik dan sekian banyak ilmuan yang lain.

Bagi kami, apa yang berlaku khususnya yang melibatkan umat Islam dan Melayu di negara kita pada hari ini amat membimbangkan sekiranya ia terus berlarutan. Kenapa? Kerana umat Islam tidak akan dapat lagi mempertahankan saki baki jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam perkara yang memartabatkan agama Islam. Kompromi, tawar-menawar yang keterlaluan dan penghakisan kuasa politik yang sedikit demi sedikit berlaku telah mempercepatkan lagi kerosakan ini sehingga akhirnya satu persatu hak agama Islam diuji dan dicabar.

Selain itu, kita juga perlu menelan hakikat bahawa faktor globalisasi dan penyebaran fahaman humanisme yang cukup halus tetapi pantas telah mengaburi minda masyarakat dunia termasuk di negara ini. Natijahnya, kita dapat melihat bagaimana anggota masyarakat hari ini lebih bersikap pentingkan diri sendiri dan enggan peduli dengan masalah sosial yang wujud di persekitarannya. Humanisme juga telah banyak mengelirukan umat Islam yang rendah kefahaman akidahnya hingga ada yang mempertikaikan perkara-perkara yang sedia termaktub dalam syariat dan perlembagaan persekutuan. Kefahaman ini menjadi ancaman kepada kedudukan Islam, dengan berselindung atas nama pembentukan masyarakat sivil yang membawa kepada kebebasan individu secara mutlak dan saksama.

Apakah kesannya? Mudah sahaja. Seperti yang pernah dituntut oleh Interfaith Counsil (IFC) yang dipengerusikan oleh Datuk S. Ambiga, atas nama kebebasan individu yang mutlak dan saksama, maka setiap anak yang dilahirkan tidak perlu ditetapkan agamanya sebaliknya membiarkan mereka menentukannya sendiri apabila dewasa. Tidakkah ia terlalu kuat unsur humanisme yang diagung-agungkan oleh dunia barat? Sekali dengar, ia bagus. Tetapi secara halus, ia adalah usaha terancang untuk menyekat perkembangan Islam secara global termasuk di Malaysia. Malangnya, tidak sedikit pemimpin muda hari ini termasuk dalam kalangan mahasiswa sendiri yang turut terpesona dengan agenda tersebut.

Akhir kalam, kami masih berpandangan bahawa apa yang berlaku hari ini masih boleh dibaiki. Masih ada ruang dan lompang yang boleh dibaiki dengan syarat, semua umat Islam di negara ini kembali bersatu demi akidah ummah. Biar berbeza pandangan dan ideologi politik tetapi bila tiba persoalan akidah, bersegeralah kita mencari titik persamaan. Dengan persamaanlah kita mampu menjana kekuatan yang ampuh. Penganut agama lain pula tidak perlulah berasa risau atau tergugat kerana sejak sekian lama kebebasan dan keharmonian yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan sentiasa dipraktikkan dengan baik dan dipelihara oleh pemerintah. Sesungguhnya kita amat bertuah menjadi warga sebuah negara bernama Malaysia kerana toleransi beragama bukan sekadar omongan tapi falsafah yang telah lama diamalkan tetapi masih dalam sebuah kerangka yang khas iaitu Perlembagaan Persekutuan. Justeru setiap daripada kita haruslah menghormatinya dengan sebaik mungkin.

Nota : Rujuk Perkara 11 (1),(2),(3),(4) dan (5) dan Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment