31 Ogos. Hari ini kita meraikannya lagi. Sedar atau tidak, hari ini sudah kali ke 53 kita meraikan tanggal 31 Ogos. Apa ada pada tarikh ini? Soalan ini mungkin selayaknya ditanyakan kepada sesiapa sahaja yang bergelar rakyat Malaysia. Adakah sekadar cuti peringatan atau hari penuh pengertian, hanya individu itu sendiri yang tahu.
Kita dijajah selama 446 tahun. Selama itu, bersilih ganti tanah ibu pertiwi ini dilanyak dan diratah oleh pelbagai bangsa dan budaya asing. Datangnya Portugis atas nama glory, gold dan gospel. Kita dijarah. Tanah Melaka itu saksinya. Dibakar segala yang ada hingga kita hilang segala kemegahan. Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, Komunis dan kembali kepada Inggeris. 446 tahun penuh dengan catatan sejarah.
Hari ini, baru 53 tahun kita mengecapi nikmat sebagai warganegara yang merdeka daripada penjajahan. 53 tahun ini terlalu singkat. Kita begitu ketinggalan kerana selama 446 tahun kita sibuk berjuang untuk memerdekakan tanah air sendiri daripada kekangan orang asing. Kita kerugian begitu banyak masa. Tetapi tahulah rakan-rakan, selama 53 tahun itu, kita sedaya upaya cuba mengisinya dengan sebaik-baik pengisian.
Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Pertama yang bertanggungjawab merealisasikan wadah perjuangan kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos seperti yang kita maklum tidak pernah mengisi kemerdekaan dengan slogan-slogan yang hebat didengar. Tunku hanya menjanjikan dua perkara untuk dilaksanakan sebagai pengisian dalam agenda kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu iaitu membasmi kemiskinan dan membasmi masalah buta huruf.
Aspirasi Tunku begitu jelas dan realistik. Hal ini demikian kerana, masalah kemiskinan dan buta huruf merupakan masalah utama yang perlu diatasi sekiranya kita ingin membina sebuah negara yang boleh berdikari di masa depan. Jelas, Tunku telah melakukan sesuatu yang betul dan meninggalkan legasi yang baik kepada pemimpin-pemimpin selepasnya.
Kita mungkin tidak mampu membandingkan usia perjalanan selama 446 tahun dalam ruang yang sekecil ini dengan usia 53 tahun yang kita lalui pasca kemerdekaan. 446 tahun itu akan kekal sebagai sebahagian daripada sejarah penting negara, tetapi 53 tahun ini adalah kayu ukur untuk menilai sejauh mana kita memanfaatkan kemerdekaan yang telah diusahakan oleh nenek moyang kita dahulu.
Bersesuaian dengan tema kemerdekaan pada kali ini, kami di AC ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk melihat kembali peranan yang sepatutnya kita mainkan sebagai generasi pewaris kepimpinan negara. Kitalah yang akan keluar dan mengisi agenda-agenda seterusnya. Apa yang penting, kita mesti bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Kita perlu sedar, kemerdekaan yang kita kecapi hari ini telah menguntungkan semua pihak dan ia adalah hasil daripada perjuangan seluruh penduduk Tanah Melayu, bukan hanya orang Melayu sahaja.
Bersatulah menjana transformasi ke arah Malaysia yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment